Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Selagi bernama manusia kematian pasti menjelma

Posted by epondok di Ogos 4, 2014


ABD RAZAK MUTHALIB

 

KESUDAHAN golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat?

Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanyatanyakan.

Sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal dalam neraka jahanam – Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat (Sambil dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayat-Ku selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?”

Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami, Kami dikalahkan oleh sebabs-ebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.

“Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.”

ALLAH berfirman: “Diamlah kamu dengan kehinaan dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatu pun) kepada-Ku!  “Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hamba-Ku (di dunia dahulu) memohon kepada-Ku dengan berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik pemberi rahmat ‘.

“Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasan-Ku, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.

“Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

ALLAH bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung.

ALLAH berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang tujuan pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al- Mukminun: 99-15)

Betapa ayat ALLAH ini menyentap perasaan dan mengetuk pemikiran kita. Dalam kerancakan dan kesibukan kita menguruskan urusan dunia, paksi kehidupan ini perlu diingat dan dilihat dengan betul. ALLAH mengingatkan dalam ayat-ayat di atas perihal hambahamba-
Nya yang ingkar dan lupa kedudukannya sebagai hamba ALLAH, lalu merasai penyesalan selepas kematian menjemput mereka pulang ke pangkuan Tuhan.

Hidup di dunia melakukan kekufuran dan kemaksiatan. Lalu merayu untuk dipulangkan semula ke dunia, supaya dapat melakukan amal soleh.

Namun, rayuan itu hanya tinggal rayuan, apabila kematian telah ditakdirkan. Tidak ada siapa yang mampu menahan. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang. Apabila ajal kematian ditetapkan, ia pasti akan bertandang. Tidak dipercepatkan dan tidak juga dilewatkan.

Inilah hakikat kematian.

ALLAH mengingatkan kita: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati ALLAH (dengan menjalankan perintah-Nya).dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau
lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”.

“Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan”. (Surah Al- Munafiqun: 9-11)

Ajal kematian menjadi satu rahsia di sisi ALLAH. Tidak ada siapa yang tahu bilakah hayatnya akan berakhir.

Di manakah nafasnya akan berhenti. Ia kekal menjadi rahsia yang terselit padanya seribu satu hikmah. Kematian boleh datang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Persoalannya, adakah kita sentiasa bersedia?! “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.

Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan-Nya”. (Surah Luqman: 34) Kematian akan datang mengejar kita bila ditakdirkan telah tiba masanya.

Tidak kira muda atau tua, miskin atau kaya, sakit atau sihat bertenaga, di masjid atau pun di pasar raya, si raja atau rakyat jelata. Selagi bernama manusia, pasti kematian menjelma, walau pun kita belum bersedia menyambutnya.

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. (Surah Al-Nisaa’: 78)

Kehidupan ini adalah satu proses ujian. Ujian untuk menilai siapakah yang paling baik amalannya. Jika amalan kebaikan mengatasi keburukan, ganjaran syurga dijanjikan. Namun, jika dosa kejahatan mengatasi kebaikan, terimalah azab neraka yang sentiasa bersedia.

Kehidupan di dunia adalah medan ujian yang sementara. Harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, pujian dan sanjungan adalah ujian. Seseorang yang hidupnya dilimpahi harta kemewahan di dunia, bukanlah ukuran untuk dia juga hidup senang di akhirat sana.

Mungkin kepapaan sedang menantinya di sana. Seseorang yang hidupnya di dunia disanjung dan dipuja, dihormati dan didaulat, belum tentu dia mendapat perkara yang sama di akhirat. Mungkin kehinaan akan menyelimutinya di akhirat sana.

Seorang yang hidup dalam kemiskinan, kemungkinan lebih kaya di sisi Tuhan. Seorang yang hidup hanya sebagai rakyat biasa, mungkin lebih mulia di sisi Tuhannya.

Oleh sebab itu, yang dinilai oleh ALLAH, bukanlah sebanyak mana harta yang dimiliki, setinggi mana pangkat dan darjat, semulia mana bangsa dan keturunan. Namun, yang mulia di sisi Tuhan adalah yang paling tinggi ketakwaan.

Destinasi abadi kita ialah akhirat.

Justeru, apa jua situasi kita di dunia, jangan lupa untuk fikirkan apa kaitannya dengan akhirat. Adakah pekerjaan, kedudukan, pangkat, harta, sanak saudara kita sekarang boleh membantu kita untuk mengacapi nikmat syurga kelak.

Jadikanlah berita kematian seseorang sebagai muhasabah untuk kita.

Betapa kita ini tidak memiliki apa-apa. Segala yang ada hanyalah pinjaman. Bila tiba masanya ia harus dikembalikan. Justeru, mengapa harus sombong sesama manusia? Mengapa tergamak menzalimi sesama kita?.

Bagaimana sanggup menipu dan rasuah untuk mengaut harta? Lupakah kita, hidup ini hanya sementara? Sampai masa, kita akan kembali kepada-Nya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: