Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hayati erti kekeluargaan sambut Aidilfitri

Posted by epondok di Ogos 1, 2014


KEGEMBIRAAN seorang Islam menyambut Syawal ialah kejayaannya melalui sebulan Ramadan dengan berpuasa menahan lapar dan dahaga serta melaksanakan pelbagai ibadah untuk mencari keredaan Allah SWT. Kegembiraan ini adalah satu kegembiraan unik yang dikongsi bersama ahli keluarga.

Ibu bapa melahirkan rasa gembira dengan memberi upah atau duit raya kepada anak-anak yang berjaya berpuasa pada usia yang masih muda. Anak-anak juga dibelikan pakaian, kasut baharu dan rumah dihias untuk menunjukkan rasa gembira yang tidak terhingga.

Di Malaysia perkara yang paling mewah adalah makanan. Maka setiap rumah akan ada juadah hari raya yang istimewa masing-masing. Jika diingatkan, semua rumah akan menyediakan makanan utama seperti ketupat, lemang, rendang dan kuah kacang, namun ada juga keluarga menyediakan lontong, laksa, laksam, nasi dagang, nasi kerabu, nasi beriani dan sebagainya.

Pada 1 Syawal jika kita berkunjung ke lima buah rumah, kita akan tetap menjamah juadah yang dihidangkan, walaupun ia tetap lemang dan ketupat. Namun rasanya tetap berbeza kerana ia disediakan oleh orang yang berbeza dengan emosi yang berbeza.

Hari raya adalah hari yang paling gembira bagi kanak-kanak kerana mereka melihat hari raya sebagai masa untuk bergembira, berpakaian dan berkasut baharu, berjalan dari rumah ke rumah mengutip duit raya, bermain bunga api, makan sebanyak mungkin mengikut selera dan menonton televisyen atau wayang dan bersantai sepanjang hari.

Suasana hari raya dahulu dan hari ini juga sudah banyak berubah, namun semangatnya tetap sama. Banyak kampung telah tiada lagi bertakbir dari rumah ke rumah tetapi berbeza dengan taman perumahan di bandar-bandar di mana budaya sebegini telah dihidupkan kembali.

Cara sebuah keluarga menyambut hari raya juga telah melalui perubahan, begitu pun semangatnya tetap serupa. Ramai yang masih memasang pelita, cuma ia menggunakan pelita elektrik atau bateri. Bagi sebuah keluarga, hari raya bermakna semua adik-beradik berkumpul untuk bertemu serta bermaaf-maafan.

Jika sepanjang tahun kita sibuk dengan hal dunia, hari raya adalah masa bercuti dan menghabiskannya bersama ibu bapa dan saudara mara. Apabila berumah tangga, pengalaman paling mencabar ialah berhari raya pertama kali di rumah mertua. Bagi seorang lelaki, mungkin beraya di rumah isteri tidak memberi impak yang terlalu besar kepadanya. Mungkin kerana Allah menjadikan lelaki lebih ‘keras hati’ untuk menjadi terlalu emosi.

Bagi isteri, ia tetap merasa kelainan berhari raya di rumah keluarga suami. Bagi pasangan yang baharu berkahwin keputusan berhari raya di mana sangat penting. Saya ada banyak kes di mana keputusan berhari raya ini menjadi punca utama pasangan bergaduh dan akhirnya membawa kepada perceraian. Nampak remeh tetapi ia boleh menggugat kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Ada suami mengguna kuasa ‘veto’ di mana hanya dia membuat keputusan sebelah mana mereka patut beraya. Sebenarnya, semua pasangan yang ingin berkahwin mesti mengamalkan sikap terbuka dan berbincang dalam hal yang melibatkan keluarga. Apalah makna hari raya jika pasangan kita pulang berhari raya dengan penuh keterpaksaan, bermasam muka kerana tidak dapat balik ke rumah keluarganya.

Apalah gunanya kita bermaaf-maafan di pagi raya jika dalam hati kita menangisi keputusan pasangan kita untuk berhari raya di rumah keluarganya dan tidak di rumah keluarga kita. Akhirnya perkahwinan yang dibina dengan rasa cinta itu mengalami masalah kerana tiada tolak-ansur, bertimbang rasa dan menerima bahawa keluarga pasangan kita adalah juga keluarga kita. Ibu mertua sama tarafnya dengan ibu kita. Belajarlah menyayangi keluarga pasangan seperti kita menyayangi keluarga kita.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: