Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2014

Galakan bersedekah lambang kasih sayang Islam

Posted by epondok di Ogos 30, 2014

KEJADIAN ribut, gempa bumi, banjir dan banyak lagi musibah benar-benar menginsafkan kita. Kita wajib bersyukur apabila kita di Malaysia tidak mengalami ujian besar daripada Allah SWT itu.

Dalam situasi penderitaan yang dialami oleh seluruh mangsa akibat daripada bencana yang menimpa tersebut, kita rasa berbangga dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat untuk menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat melalui tabung derma yang dilancarkan.

Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan-amalan yang boleh mendorong manusia berbuat baik sesama manusia. Tujuannya adalah untuk melahirkan individu insan yang sejahtera, keluarga yang bahagia, masyarakat yang penyayang, negara yang aman dan bersatu padu.

Bagi melaksanakan matlamat tersebut, Rasulullah SAW adalah sebagai qudwah hasanah telah melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan yang dinyatakan itu. Baginda telah menganjurkan bahawa setiap pergerakan sendi manusia itu dikira sebagai sedekah dan sedekah itu dikira sebagai suatu kebaikan dan setiap satu kebaikan pula akan diberi nilai 10 hingga 70 atau 700.

Konsep setiap amar makruf adalah sedekah telah dinyatakan oleh baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, ramailah dalam kalangan manusia yang berpeluang untuk memperoleh kelebihan pahala memandangkan ia terlalu mudah untuk dilaksanakan tetapi perlulah dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dengan sempurna, di samping ciri-ciri keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.

Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari telah bersabda yang bermaksud: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan menaikkan barangannya ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah.”

Setiap kebaikan yang dilakukan, sama ada dalam bentuk rohani dan fizikal sebenarnya adalah sedekah. Amalan sedekah juga adalah satu lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud ‘benar’. Orang yang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.

Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah SWT dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang yang bersedekah adalah dermawan, manakala yang bakhil adalah seteru Allah.

Dalam surah al-Lail, Allah telah menyatakan tentang sifat kedekut dan ego, di mana orang yang bersifat demikian kehidupannya akan dipenuhi dengan liku-liku yang sukar dan bermasalah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tuhan tidak akan merahmati sesiapa yang tidak berperikemanusiaan, iaitu tidak bersifat kasih sayang terhadap orang lain.

Pahala berganda

Daripada konsep sedekah itu sendiri al-Sunnah telah menggariskan suatu keterangan iaitu berkaitan ganjaran pahala berganda bagi penganjur amalan baik dan makruf, di samping dosa berganda pula bagi mereka yang menganjur amalan keji dan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nawawi, baginda bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memulakan satu amalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu selepas ia mati tidak dikurangkan walaupun sedikit. Dan sesiapa yang memulakan satu amalan buruk dan keji yang melakukan amalan itu selepas daripada kematiannya, maka tidak sedikit pun dosa amalan itu dikurangkan.

Terdapat sebuah hadis Nabi SAW yang turut berbicara berkaitan konsep sedekah iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, di mana beliau menceritakan tentang beberapa orang sahabat baginda: “Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat seperti mana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Tidakkah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah, setiap tegahan daripada kemungkaran adalah sedekah, jimak seorang dari kamu adalah sedekah.

Para sahabat berkata, ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu ingat bahawa jika sekiranya dia melepaskannya pada yang haram, tidakkah dia akan berdosa? Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala.”

Kedua daripada segi perolehan pahala berganda, Islam tidak pernah melihat kepada taraf kedudukan atau daripada aspek kaya dan miskin seseorang itu, kerana setiap insan mukmin sentiasa mempunyai peluang untuk memilikinya.

Galakkan berbuat kebaikan tidak akan memberatkan manusia, kerana Islam sendiri menjanjikan bahawa apa saja bentuk kebaikan yang dilakukan akan memperoleh pahala yang jelas daripada Allah SWT.

Sesungguhnya konsep bersedekah merupakan suatu motivasi yang cukup kuat kepada seseorang untuk menjadikan diri mereka lebih sempurna, sekali gus menjadi Muslim sejati yang mempunyai keperibadian unggul serta menjadi contoh ikutan umat yang lainnya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Buat kebaikan semasa hidup

Posted by epondok di Ogos 29, 2014

MENJADI seorang yang beramal, beriman dan bertakwa sangatlah payah jika tidak mempunyai ilmu. Justeru, ilmu memandu kita ke arah kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Agama Islam adalah agama yang menganjurkan kepada penganutnya untuk berfikir dan mendorong mereka agar berbuat kebaikan dalam semua perkara. Justeru, sebagai umat Islam perlu bersyukur kerana diberikan nikmat iman dan Islam.

Nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia adalah kesihatan tubuh badan, keamanan dan kemakmuran, iman, Islam dan kemerdekaan serta kesempurnaan fizikal dan mental.

Berkaitan dengan Islam, Sufyan bin Abdullah berkata: Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain.” Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkanlah (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat Muslim)

Melakukan kebaikan juga adalah ibadat. Banyak jenis amal kebaikan atau ibadat, daripada sekian banyak ibadat itu tidak sama pahalanya. Ada yang tergolong kecil sedikit pahalanya dan ada yang tergolong sederhana dan ada yang lebih besar pahalanya. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang melakukannya. (riwayat Bukhari)

Ada jenis amal kebaikan dan ibadat yang dijanjikan dengan balasan syurga, ada ibadat yang dikerjakan akan menghapuskan dosa dan banyak lagi fadilat atau kegunaan lainnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa melapangkan kesusahan (kesempitan) untuk seorang mukmin di dunia, maka Allah akan melapangkan baginya kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat dan barang siapa memudahkan kesukaran seseorang maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat.

Menutup aib

Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba yang suka menolong kawannya. Barang siapa menempuhi jalan menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Suatu kaum yang berkumpul dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, bertilawah al-Quran dan mempelajarinya bersama, maka Allah akan menurunkan ketenteraman dan menaungi mereka dengan rahmat. Para malaikat mengitari mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka dalam kalangan para malaikat di sisi-Nya. Barang siapa lambat dengan amalan-amalannya maka tidak dapat dipercepat dengan mengandalkan keturunannya. (riwayat Muslim)

Oleh itu, dalam melakukan amalan yang baik kita sepatunya menyegerakannya. Segala kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan pahala daripada Allah SWT. Telah dijelaskan kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya sedikit.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang membuat kebaikan untuk Islam, maka baginya pahala orang yang melakukan setelahnya dan pahala mereka tidak dikurangi sedikit pun. Dan barang siapa yang membuat keburukan untuk Islam, maka baginya dosa dan dosa mereka tidak dikurangi sedikit pun. (riwayat Imam Muslim)

Jangan sesekali kita melakukan keburukan, kerana keburukan itu bukan sahaja menambahkan dosa, malah menjadikan seseorang itu sukar untuk berbuat kebaikan kepada dirinya dan juga orang lain. Antara dosa besar yang mesti dihindari, menghina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa, menipu dan berbohong, mencuri dan merompak, riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, mengumpat dan memfitnah.

Sementara, dosa besar yang membawa kehancuran umat antaranya minum arak dan menagih dadah, melakukan zina, menuduh zina, liwat dan musahaqah, dan membunuh diri yang mesti dijauhi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Orang hebat tidak abai masa

Posted by epondok di Ogos 28, 2014

Oleh Norhayati Paradi

Hidup dimanfaatkan dengan mencari pahala sebanyak mungkin

“Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dan akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Titipan pesanan Saidina Ali Abi Talib ini,
Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak, barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat ‘melihat’ hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur, doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup adalah peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meminjam semangat hukama “Buat baik sehingga letih buat maksiat”. Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Peluang bertaubat

Bagi mereka suka melakukan maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalahan dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa, tapi hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmah bukan saja pada mereka yang taat, tetapi juga buat mereka yang dalam maksiat.

Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhum-Nya “Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.”

Sebagai perbandingan, satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam setengah saja hidup di akhirat.

Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlalu singkat. Allah mengingatkan kita menerusi Surah Yunus ayat 45 mafhum-Nya “Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat saja dari siang hari.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”

Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam as-Shafie mengenai keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang lalai.

Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu.

Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk menjawab soalan yang datang daripada Allah berupa ujian kehidupan.

Hanya yang membezakan adalah kertas soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan ditetapkan.

Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya.

Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.

Kesal masa diisi dengan dosa

Imam Al-Ghazali menerusi Ihya’ ‘Ulumiddin menyatakan bahawa ada orang yang menyesal bukan saja kerana masa itu diisi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat.

Dibayangkan umpama kotak masa yang akan hadir ketika di Padang Mahsyar. Apabila kita membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala.

Alhamdulillah, pastinya kita yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita. Nauzubilla, sudah pasti kita akan menyesal tidak terhingga.

Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah as-Sajadah ayat 12). Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan untuk mengungkapkan Subhanallah.

Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan Subhanallah saja sudah sebesar Bukit Uhud. Dan jika kita mampu melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan.

Orang tua berpesan, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak.

Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketika di dunia ini. Hidup di dunia untuk akhirat.

Hukama mengatakan perjalanan menuju kematian bermula sebaik saja kita dilahirkan. Hari ini dan hari seterusnya hanya sisa umur saja. Manfaatkan sisa umur kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.

Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang panjang sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai ini. Insya-Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cukur jambul antara adat, sunnah Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Ogos 25, 2014

CUKUR jambul adalah adat unik masyarakat Melayu bagi menyambut kehadiran cahaya mata baru dalam keluarga.

Sambil para hadirin berselawat dan berzanji, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi.

Bagaimanapun satu persoalan timbul; sejauh manakah adat yang diwarisi sejak turun temurun oleh masyarakat Melayu di negara ini selari dengan syariat Islam?

Penulis yang menganjurkan majlis adat itu apabila menerima kehadiran anak ketiga dan anak saudara baru-baru ini mengambil peluang untuk mengkaji dan mendalami adat cukur jambul.

Berdasarkan pemerhatian penulis, adat itu pada asasnya tidak bertentangan dengan syariat Islam, namun tindakan masyarakat yang menokok tambah perkara lain serta tidak melakukan amalan itu berdasarkan syariat Islam sebenarnya membuatkan hukum majlis cukur jambul ada yang menyalahi ajaran Islam.

Dalam Islam, mencukur rambut bayi yang baru lahir disebut oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya : “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama”.

MENCUKUR RAMBUT

Menjelas perkara ini penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata bagi memastikan majlis itu menepati sunnah Rasullulah, rambut bayi yang baru lahir itu perlu dicukur semua.

“Memang tidak cukur masa majlis itu, kalau cukur masa itu berdarah kepala budak, guntinglah sedikit-sedikit… lepas orang balik cukur semua rambut jadilah ia sunnah”, katanya.

Namun apa yang menjadikan amalan itu bukan sunnah apabila rambut bayi itu tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu dan tiada pahala diperoleh daripada hanya mengunting sedikit rambut bayi yang baru lahir itu.

Menurut Ustaz Azhar Idrus lagi, sebaiknya rambut bayi yang dicukur itu ditimbang dan jumlah berat timbangan itu disamakan dengan harga emas atau perak.

“Jumlah berat rambut itu sekian sekian gram kemudian kita tengok emas atau perak berapa harganya ikut gram rambut itu, jumlahnya itu kita sedekah kepada yang memerlukan”, katanya.

Beliau berkata mencukur rambut bayi yang baru lahir adalah amalan yang baik bagi membolehkan rambut bayi yang lebih sihat dan lebat tumbuh.

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar dari rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

AMALAN BIDAAH

Bagi Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, yang juga bekas Pegawai Agama Istana Negara, terdapat banyak perkara yang membuatkan adat cukur jambul dilakukan masyarakat Melayu bertentangan dengan sunnah mencukur rambut yang dituntut Rasulullah S.A.W. antaranya penggunaan buah kelapa.

“Mengikut sesetengah pendapat amalan cukur jambul seperti menggunakan buah kelapa adalah tradisi dan kepercayaan masyarakat India. Soalnya, kenapa guna buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?”, tanya beliau.

Beliau berkata majlis cukur rambut tidak wajib disertakan dengan marhaban atau berzanji memadai dengan bersyukur sahaja melainkan jika diadakan akikah bolehlah diadakan jamuan.

Namun disebabkan rasa gembira menerima cahaya mata baru, masyarakat mengadakan majlis itu secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan.

“Perbuatan ini (mengadakan majlis) tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak maka ia menjadi satu kesalahan”, katanya.

Beliau menegaskan bayi yang baru dilahirkan seharusnya tidak didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil supaya mampu membesar menjadi orang yang berguna kelak.

ADAT SELARI SYARIAT ISLAM

Datuk kepada penulis, Mohtar Haron, 79, yang menguruskan majlis cukur jambul anak ketiga dan anak saudara penulis baru-baru ini menjelaskan bahawa perkembangan minda masyarakat kini didapati semakin menghapuskan amalan bidaah dalam adat cukur jambul.

“Masyarakat kita sekarang semakin bijak kerana tahap pendidikan yang lebih baik berbanding dahulu membolehkan kita memikirkan apa yang baik dan apa yang buruk… ditambah dengan kemudahan internet dan maklumat di hujung jari kita boleh tahu sendiri apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan”, katanya.

Mengambil contoh penggunaan buah kelapa dalam adat itu, sekitar tahun 70-an dahulu buah kelapa yang ditebuk dan diukir perlu ada dalam adat itu, malah rambut bayi yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa dan kemudian ditanam.

Begitu juga dengan pulut kuning atau nasi kunyit yang dahulunya sesuatu yang wajib untuk majlis cukur jambul atas pelbagai kepercayaan, tetapi kini hanya dihidangkan sebagai satu daripada sajian biasa tanpa apa-apa kepercayaan untuk para hadirin pada majlis itu.

Sekarang amalan bidaan dalam majlis cukur jambul semakin berkurangan kerana masyarakat semakin mengetahui apa yang perlu, tidak perlu dan salah dilakukan berdasarkan syariat Islam.

“Tetapi air kelapa dan minyak kelapa itu ada digunakan lagi bila hendak menggunting dan mencukur rambut bayi itu, bukan kerana kepercayaan apa-apa tetapi khasiat bahan itu kurangkan gatal atau pedih selepas rambut dicukur dan membantu percepatkan pertumbuhan rambut baru”, katanya.

Mengenai keperluan menganjurkan majlis cukur jambul, Mohtar berkata penganjuran majlis itu tidak wajib, cukuplah dengan mencukur rambut bayi itu mengikut sunnah Rasulullah dan penganjuran majlis itu bergantung kepada kemampuan keluarga itu sendiri.

Beliau turut melihat adat mencukur jambul itu sebagai satu cara yang amat baik memperkenalkan cahaya mata baru kepada seluruh anggota keluarga terutama yang tinggal jauh di perantauan.

“Cara ini dapat meningkatkan kemesraan antara keluarga di samping mendekatkan hubungan antara anggota keluarga daripada usia muda mereka, selain itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan keluarga kita dengan masyarakat setempat”, katanya

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Bergembiralah orang yang sabar

Posted by epondok di Ogos 24, 2014

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)

Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza’i: “Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya).”

Sentiasa menguji

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)

Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim)

Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh diri dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah.” (riwayat al-Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Daurah Kitab IPT dan Umum 2014

Posted by epondok di Ogos 23, 2014

Tarikh :

Mulai 21 Syawal 1435H Bersamaan 17 Ogos 2014M hingga 5 Zulhijjah 1435H Bersamaan 30 September 2014M ( Dalam jangkamasa 45 hari )

Cara Daftar :

 

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon / Sms.

Maklumat lanjut sila hubungi Tel: 09-7126708 (P) / Us Nasharudin 0199859887

 

Syarat& Yuran penyertaan

 

Muslimin dan Muslimat berumur 17 Tahun ke atas

RM60 Sebulan (tidak termasuk kos makan minum)

Tempat Program:

Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah, Pondok Tunjong,Batu 5, Jln Kuala Krai,16010, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian muslimat :
Kitab Hidayah Sibyan
Kitab Minhaj Abidin
Kitab Muhimmah
Wirid Dan Zikir Pilihan

Qiamullail ,

Tadarrus Al-Quran.

 

Pengisian muslimin :

Idohul Bab

Hikam Jawi

Faridatul Faraid

Munyatul Musolli

Risalah Ilmu Tauhid Arab

Sughro 2
Keperluan yang mesti dibawa:

Pakaian harian, Bantal ,Selimut, Cadar tilam , Alat tulis.

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Menjauhkan perkara samar-samar

Posted by epondok di Ogos 23, 2014

Numan bin Basyir berkata, Saya mendengar Nabi Muhammad bersabda: Percayalah, perkara yang halal itu jelas. Perkara yang haram pun jelas juga. Antara perkara yang halal dan perkara yang haram, terdapat perkara yang samar-samar. Majoriti manusia tidak dapat mengenal perkara yang samar-samar.

Sesiapa yang menghindari perbuatan yang samar-samar, beliau sudah menjauhkan dirinya daripada perkara yang mencemarkan agamanya dan kehormatannya.
Lakukan perkara samar-samar sudah terjatuh perkara haram

Sesiapa yang melakukan perkara yang samar-samar, beliau sudah terjatuh dalam perkara yang haram, ibarat gembala yang mengembala dekat kawasan larangan, hampir-hampir sahaja ternakannya makan di kawasan larangan itu.

Ingatlah, semua raja mempunyai kawasan larangannya. Ingatlah, kawasan larangan Allah adalah perkara yang diharamkan oleh-Nya. Ingatlah, dalam badan manusia ada seketul darah beku. Apabila benda itu baik, baiklah seluruh badan. Apabila benda itu rosak, rosaklah seluruh badan. Ingatlah benda itu adalah hati. (Riwayat Bukari dan Muslim)

Justeru, dalam setiap tindakan kita, perlu dinilai kesannya terhadap diri dan juga orang lain. Muhasabah wajar dijadikan amalan supaya apa yang terlintas dalam hati dan diterjemahkan melalui perbuatan adalah perkara yang baik-baik saja.

Beri manfaat kepada orang lain
Islam menegaskan kepada umatnya, manusia yang terbaik dalam kalangan mereka adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Oleh itu, pastikan setiap tindakan kita memberi kebaikan kepada orang lain. Jika diam itu yang terbaik, maka seeloknya kita berdiam diri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ego sifat keji hancurkan umat

Posted by epondok di Ogos 22, 2014

Berdendam, cakap ikut sedap mulut jejas silaturahim

Islam agama menganjurkan hubungan persaudaraan atau silaturahim yang baik sama ada terhadap keluarga, saudara dan tetangga. Mengeratkan silaturahim adalah tuntutan dan memutuskannya dianggap dosa besar.

Menghubungkan silaturahim bermaksud berbuat baik kepada keluarga dan tetangga dengan menyampaikan kebaikan, menjauhkan keburukan atau kezaliman, ziarah menziarahi, sering menanyakan keperluan, meraikan undangan dan saling menghormati dan berkongsi suka duka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Allah SWT telah menggandingkan perintah bertakwa kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan berbuat kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dan sebagainya.

Kewajipan tunai hak sesama makhluk

Perintah itu menjelaskan kewajipan menunaikan hak Allah dan kewajipan menunaikan hak sesama makhluk. Allah SWT juga menggambarkan penyebab atau perosak silaturahim itu disebabkan sikap ego, sombong, takbur dan membanggakan diri.

Ego adalah perosak silaturahim. Ia pastinya membawa kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ego, sombong, takbur atau membanggakan diri adalah sifat mazmumah yang amat dibenci Allah SWT. Mereka yang ego akan menganggap dirinya lebih istimewa dan mulia seterusnya mementingkan diri sendiri.

Ingatlah, ego, sombong, takbur atau membanggakan diri adalah sifat iblis. Iblis telah menunjukkan keegoannya kepada Allah SWT, tatkala enggan sujud kepada Nabi Adam. Dia menganggap dirinya lebih hebat atau mulia kerana dijadikan daripada api berbanding Nabi Adam. Sikap ego Iblis ini akhirnya menyebabkan dia digolongkan sebagai kafir. Saat ini, apa yang merisaukan kita ialah sifat ego bukan hanya dimiliki oleh mereka yang jahil, kadangkala dimiliki juga oleh golongan berilmu. Bahayanya sifat ego kerana ia adalah kunci kepada segala sifat mazmumah.

Ia akan menyebabkan seorang individu itu selalu meninggikan suaranya tanpa sebab, mudah naik marah seterusnya melenting, suka bertikam lidah, merasakan pandangannya adalah yang terbaik, lalu tidak mahu menerima pandangan orang lain, sukar untuk meminta maaf apabila bersalah dan susah untuk memaafkan.

Keadaan akan menjadi lebih parah jika mereka yang ego ini mempengaruhi pula individu lain untuk menolak dan membenci mereka yang tidak sehaluan dengannya. Ringkasnya, inilah penyebab yang boleh memutuskan silaturahim sama ada dalam hubungan sesama keluarga, rakan dan tetangga.

Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada umat Islam keseluruhannya jika ramai dalam kalangan kita terdiri daripada manusia yang ego? Sanggup menyimpan dendam bertahun lamanya dan menutup sebarang pintu rundingan dan kemaafan.

Dalam Islam, terdapat beberapa ancaman terhadap mereka yang memutuskan hubungan silaturahim antaranya, orang yang memutuskan silaturahim tidak diterima amalannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh amal diperlihatkan pada hari Khamis dan Isnin maka pada hari itu Allah SWT memberikan keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun kecuali seseorang yang bertengkar antara dia dan saudaranya. Maka dikatakan kepada malaikat: Biarkanlah kedua orang” (Riwayat Muslim)

Fasik jika putus silaturahim

Orang yang memutuskan silaturahim disifatkan al-Quran sebagai fasik, rugi dan sesat. Disandarkan kepada Saidina Ali, beliau menyatakan pemutus silaturahim itu disifatkan al-Quran dengan fasik, rugi dan sesat. Fasik ialah orang yang berperangai buruk, jahat, berdosa besar atau tidak mempedulikan perintah Allah.

Lawan bagi sifat ego ini ialah tawaduk atau merendahkan diri dan tidak angkuh. Ia penyelesaian terhadap permasalahan yang timbul melalui sifat ego kerana tawaduk berperanan melenyapkan sikap ego, berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri.

Orang yang tawaduk akan bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan sombong. Orang yang tawaduk akan patuh dan taat menerima kebenaran daripada sesiapa pun dan tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain.

Sesungguhnya Islam amat menganjurkan kita untuk bersifat tawaduk. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaduk sehingga tiada yang bersikap bongkak terhadap orang lainnya dan tidak menganiaya orang lain.” (Riwayat Muslim)

Islam mewajibkan kita menjaga hubungan silaturahim sesama keluarga, rakan dan tetangga serta mengharamkan kita memutuskannya. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam mempraktikkan sifat tawaduk. Hasil kemuliaan akhlak, Baginda amat dicintai dan dihormati keluarga, kerabat, rakan, kenalan bahkan lawan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

‘Jawatan pemimpin usah diminta’

Posted by epondok di Ogos 21, 2014

Oleh Zamanuddin Jusoh

Antara tuntutan utama dalam agama adalah menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dan pengabaian terhadap tuntutan itu akan memberi implikasi besar. Penyebab utama kepada kerosakan umat akibat pengabaian manusia terhadap amanah khususnya amanah kepemimpinan.

Kepemimpinan amanah yang amat penting kerana ia berkait dengan urusan sesama manusia. Di sinilah bermulanya proses ujian terhadap mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin sama ada terus berada pada landasan agama atau sebaliknya.

Amanah ini menitikberatkan urusan perintah dan larangan Allah SWT serta sejauh manakah komitmen seorang pemimpin terhadap amanah itu. Kita akan dapat menilai sesebuah kepemimpinan melalui timbangan neraca Allah SWT bagi memastikan keberkatan sesebuah kepimpinan.

Jujur atau ikut nafsu

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Acuan Allah SWT dan siapakah yang lebih baik daripada acuan Allah? Dan kepada-Nyalah kami menyembah.” (Surah al-Baqarah, ayat 138) Oleh itu, apabila kepemimpinan jauh daripada hidayah Allah SWT, maka akan terlihat kepincangan dan terserlah wajah sebenar seseorang sama ada mereka benar-benar jujur atau sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menyimpang daripada jalan-Ku, dia akan menghadapi kehidupan yang pincang dan sempit. Maka Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan kami dalam keadaan buta, padahal aku dulu (di dunia) dapat melihat. Allah berfirman: Demikianlah kamu dilupakan sebagaimana kamu telah melupakan ayat-ayat Kami dahulu.” (Surah Tahaa, ayat 124-126)

Ulama berbeza pendapat mengenai maksud buta dalam ayat di atas, apakah buta hati atau buta mata? Pendapat terbanyak adalah buta penglihatan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka sekali-kali dia tidak akan mendapat penolong bagi mereka selain dari Dia. Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan tuli.” (Surah al-lsraa, ayat 97)

Kepemimpinan adalah suatu amanah yang besar serta menjadi kewajipan untuk melaksanakannya. Baginda SAW mengingatkan sahabat untuk menjauhi sesuatu jawatan pada tampuk pemerintahan kerana bebanan besar yang akan ditanggungnya pada hari kiamat.

Baginda SAW pernah menasihati Abu Zarr yang memohon jawatan: “Wahai Abu zarr, engkau tidak mampu sedangkan jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” (Riwayat Muslim)

Simbol cinta dunia

Ini menjelaskan beratnya tanggungjawab sesuatu jawatan yang disandang sedangkan manusia beranggapan ia satu penghormatan dan peluang keemasan. Realitinya, percaturan untuk menjadi pemimpin adalah simbol cinta dunia yang keterlaluan.

Masing-masing ghairah dan bercita-cita kepada habuan serta imbuhan yang akan diperoleh. Pihak yang sedia berada di persada kepemimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan kerana terlalu sayangkan keistimewaan dikecapi tanpa memikirkan risiko berhadapan Allah SWT di hari kemudian.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (Riwayat Bukhari)

Sejarah membuktikan Baginda SAW tidak pernah melayan permintaan sahabat terhadap sesuatu jawatan. Justeru, sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang diminta untuk menguruskan urusan masyarakat bukannya mereka yang menawarkan dirinya untuk menjadi pemimpin.

Baginda juga pernah menasihati dua sahabat melalui satu riwayat seorang sahabat berkata: “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Larangan minta
jawatan

Jelas bahawa mereka yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan manusia dan bantuan daripada Allah SWT kecuali mereka yang diminta untuk memimpin. Jaminan ini telah digambarkan oleh Baginda SAW.

Baginda SAW menasihati sahabatnya, Abd Rahman Samurah: “Wahai Abd Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu dan jika engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan.”

Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi jawatan kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab mesti dilunaskan.

Hanya keimanan menjadi penyelamat dan mereka yang beriman saja dijanjikan sebagai pewaris kepada kekuasaan di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka selaku khalifah yang berkuasa.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Syarat raih keberkatan

Inilah syarat utama yang diletakkan oleh Allah SWT untuk memegang tampuk pemerintahan bagi meraih keberkatan daripada Allah SWT. Kefahaman terhadap kehendak agama dan rakyat adalah antara syarat kepemimpinan yang baik sekali gus melengkapkan mereka sebagai pemimpin sebenar.

Mereka mestilah berusaha menunaikan tanggungjawab manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan dalam kehidupan serta kecemerlangan di masa hadapan.

Imam al-Ghazali juga menegaskan: “Kekuasaan dan agama adalah anak kembar. Agama adalah dasar dan kekuasaan adalah penjaga.” (Ihya Ulumuddin)

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin atau pegawai di dalam sebuah kumpulan sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah SWT daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang yang beriman.”

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hias diri dengan sifat sabar

Posted by epondok di Ogos 20, 2014

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajal adalah rahsia yang tak seorang pun daripada kalangan manusia mengetahuinya, kecuali Allah SWT dan malaikat-Nya. Ketika, tibatiba nyawa tercabut daripada jasad, apakah kita sudah bersedia untuk bertanggungjawab terhadap hidup kita jalani di dunia.

Kehidupan dunia yang selama ini kita tempuh adalah ujian Ilahi untuk membezakan siapakah manusia yang baik dan buruk amalnya. Manusia yang baik amalnya, maka jaminannya adalah syurga penuh kenikmatan, manakala yang buruk amalnya, akan dihumbankan ke dalam neraka penuh kesengsaraan.

Hidup di dunia diibaratkan ladang untuk mencari bekalan terbaik menghadap Allah yang Maha Besar. Untuk itu, ada sejumlah bekalan yang seharusnya dipersiapkan setiap insan yang beriman kepada Allah SWT. Pertama, bekalan paling utama untuk menghadap Allah adalah takwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa iaitu memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Bekalan takwa

Takwa adalah bekalan setiap insan yang beriman. Tanpa takwa, Allah SWT tidak akan reda dan tidak akan memberikan pertolongan kepada hamba-Nya. Tanpa takwa juga, Allah SWT tidak akan menerima amalan hamba-Nya.

Kedua, bekalan ilmu kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, ayat 28)

Menuntut ilmu kewajipan bagi setiap Muslim dan Muslimah. Jika kita enggan belajar dan menuntut ilmu, maka kita akan mudah melakukan kesilapan, tidak pula melakukan kebaikan, malah tidak bermanfaat kepada orang lain, tidak akan berjaya dalam hidupnya dan yang pastinya akan mudah tersesat.

Apatah lagi, orang rajin beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu yang benar, maka dia adalah seperti seorang yang berjalan bukan pada jalannya. Pendek kata, kita kena beringat supaya jangan sampai amalan dilakukan hanya sia-sia kerana tidak didasari ilmu yang benar.

Ketiga, bekalan tawakal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Thalaq, ayat 3)

Tawakal akan menanamkan dalam hati insan sifat kesungguhan, menggantungkan harapan hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Setiap insan hanya berdaya berusaha, berikhtiar dan berdoa, manakala natijah dan hasil segala sesuatu itu Allah SWT yang menentukan.

Keempat, bekalan selanjutnya adalah syukur. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepada- Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).” (Surah al-Nisa’, ayat 147)

Bentuk syukur

Bentuk rasa syukur itu meliputi syukur dengan lisan, hati dan tindakan kita.

Ingatlah bahawa sesungguhnya nikmat itu akan lestari kerana syukur kita kepada Ilahi, sebaliknya ia akan hilang dengan kufur kita kepada nikmat dikurniakan.

Kelima, bekalan sabar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al- Baqarah, ayat 153)

Apa pun pekerjaan dan di mana juga berada, setiap insan sangat perlu menghiaskan diri dengan sifat sabar. Seorang guru sudah tentu dituntut bersabar mengajar anak didiknya. Begitu juga majikan mestilah bersabar berdepan pelbagai kerenah anak buahnya.

Bahkan, orang yang ditimpa musibah juga harus sentiasa bersabar. Jadikanlah sabar sebagai penolong kita kerana yakinlah bahawa Allah SWT bersama dengan orang yang bersabar terhadap ujian hidup di dunia ini.

Zuhud

Bekalan yang seterusnya adalah zuhud iaitu tidak mencintai dunia. Rasulullah SAW bersabda: “Zuhudlah kamu terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu dan janganlah kamu mencintai apa yang dimiliki manusia, nescaya sekalian manusia akan mencintaimu!” (Riwayat Ibnu Majah)

Mengutamakan akhirat adalah bekalan yang bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (Surah al-Isra’, ayat 19)

Demikianlah antara bekalan penting yang harus kita siapkan sebelum Allah SWT memanggil kita untuk menghadap-Nya. Yakinlah, bekalan inilah yang menolong kita memikul taklif kewajipan syariat dalam kehidupan dunia ini, mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan dunia akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »