Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tadabbur hayati kandungan al-Quran

Posted by epondok di Julai 21, 2014


Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Huraian surah al-Baqarah: Lalai, ikut hawa nafsu, takbur halang ayat suci meresap dalam diri

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Allah SWT memberi kemuliaan kepada bulan Ramadan dengan memilihnya sebagai bulan diturunkan al-Quran bahkan semua kitab samawi yang terdahulu pun diturunkan pada bulan Ramadan.
Al-Quran mempunyai keterangan iaitu dalil dan hujah yang terang lagi jelas bagi yang memahami dan mentadaburkan al-Quran. Ia juga adalah dalil kebenarannya membawa petunjuk dan menolak kesesatan di samping pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, halal dengan haram.

Apa yang membezakan penurunan kitab terdahulu dengan al-Quran ialah Rasul terdahulu diturunkan kitab itu kepada mereka sekali gus, manakala al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada bulan Ramadan pada malam Lailatulqadar.

Kemudian ia turun beransur-ansur kepada Rasulullah SAW berdasarkan situasi dan peristiwa yang dilalui oleh Baginda. Timbul pertanyaan sebahagian orang Musyrikin mengapa al-Quran tidak turun sekali gus kepada Rasulullah SAW seperti Nabi yang terdahulu.

Allah SWT menjawab melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)? Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)

Petunjuk tolak kesesatan
Ibnu Kathir ketika memberi komentar pada ayat itu antaranya menyebut, ini adalah pujian untuk al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kepada hati hamba-Nya yang beriman, membenarkan dan mengikuti al-Quran.

Al-Quran mempunyai keterangan iaitu dalil dan hujah yang terang lagi jelas bagi yang memahami dan mentadaburkan al-Quran. Ia juga adalah dalil kebenarannya membawa petunjuk dan menolak kesesatan di samping pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, halal dengan haram.

Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan kepada manusia untuk mereka menjalani kehidupan lalu didatangkan hukum taklif yang jelas dan rahsia alam yang mereka boleh mengkajinya dari masa ke semasa.

Al-Quran jika ditadabur dengan hati ikhlas akan membawa seseorang itu kepada kebenaran tanpa tiada seorangpun yang boleh menyekat kesan al-Quran itu. Justeru, pemimpin Quraisy sedaya upaya menghalang manusia ketika itu mendengar al-Quran kerana dikhuatiri mereka akan terkesan dengannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!” (Surah Fussilat, ayat 36)

Sentuhan al-Quran mampu meruntuhkan segala keegoan dan kesombongan manusia dan jin. Al-Quran menceritakan kesan yang diperoleh jin apabila mendengar al-Quran. Kisah Saidina Umar memeluk Islam adalah salah satu contoh kekuatan tarikan hidayah al-Quran.

Hijab jauhkan manusia dengan al-Quran

Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Justeru, al-Quran hendaklah dibaca dengan membuka mata, telinga dan hati serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT.

Semoga dengan itu Allah akan membuka hikmah dan rahsia-rahsia al-Quran kepada sesiapa yang membacanya dan menghayatinya. Di samping itu, setiap manusia hendaklah berusaha mentadaburkan ayat Allah SWT dengan penuh kesungguhan tanpa putus asa atau merasa lemah.

Ibnu Masu’d menjelaskan, tujuan penurunan al-Quran dengan ungkapannya, “Diturunkan al-Quran kepada mereka untuk diamalkan, maka jadilah pengajiannya untuk beramal. Sesungguhnya seseorang kamu membaca al-Quran dari permulaan al-Quran sehingga akhirnya, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal, apa yang tertinggal hanyalah amalannya.”

Justeru, tidak cukup dengan sekadar dibaca dan dihafal semata-mata (tanpa menafikan kepentingan kedua-dua perkara itu), apa yang utama ialah beramal dengan keseluruhan isi al-Quran. Selain membaca kita perlu mentadabbur, merenung, berfikir dan beramal dengan apa yang kita baca.

Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: