Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bersahur amalan sunah baik untuk kesihatan

Posted by epondok di Julai 11, 2014


Oleh Ridhwan Huzairi
Makan awal pagi beri tenaga jalani ibadah puasa

Jika kita perhatikan masyarakat sekeliling, ramai daripada kalangan kita yang masih tidak mengambil berat akan kepentingan bersahur pada bulan Ramadan.

Segelintir mereka menganggap sahur bukanlah perkara wajib yang akan menjadi syarat diterimanya amalan puasa di sisi Allah.

Malah, bagi mereka sahur suatu perkara yang sangat berat kerana perlu bangkit pada awal pagi bagi menyediakan juadah sahur di samping bersengkang mata dan melawan rasa mengantuk demi menelan makanan pada waktu penghujung malam.

Sedar atau tidak, bila tibanya waktu tengah hari, kudrat mereka menjadi semakin lemah. Ini disebabkan sikap mereka yang sambil lewa akan pengambilan sahur sehingga menyebabkan aktiviti mereka menjadi tidak produktif dan hanya diisi dengan tidur sementara menunggu masuknya waktu berbuka.

Memburu keberkatan bersahur
Nabi SAW bersabda, “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bersahur ialah satu amalan penting dan ia termasuk dari sunah Rasulullah SAW yang perlu dicontohi. Apakah maksud keberkatan di sini? Ia bermaksud rahmat, kebaikan serta memperoleh restu daripada Allah SWT. Jika kita bekerja keras dan mendapat bonus daripada majikan, maka kita akan gembira, bayangkan jika kita mendapat restu dan rahmat daripada Allah SWT.

Islam menggalakkan amalan bersahur, di samping dapat melatih diri supaya bangkit awal pagi, ia adalah peluang kepada hambanya untuk memohon keampunan dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT kerana waktu sahur adalah antara waktu mustajab doa seperti firman Allah ketika memuji orang Mukmin, “Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar” (Az-Zariyyat, ayat 18)

Lewatkan bersahur

Rasulullah SAW bersahur sekalipun makanan yang ada hanyalah buah kurma. Jika tiada kurma, Baginda SAW akan bersahur dengan hanya meminum air.

Inikan pula zaman kita yang mempunyai lebihan makanan, sehingga lauk berbuka dan moreh malamnya masih berbaki di atas meja.

Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Ahmad)

Jika kita semua fikir secara logik, apakah kebaikan melewatkan sahur ini? Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh.

Berdasarkan riwayat daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata, “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami terus bangun untuk melakukan solat Subuh.”

Ini kerana hikmah bersahur pada waktu sedemikian adalah seolah-olah kita mengambil sarapan pagi. Kajian menunjukkan, makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

Mereka yang sentiasa menjaga pengambilan sarapan pagi berdepan risiko 50 peratus lebih rendah untuk diserang masalah kesihatan berbanding mereka yang langsung tidak mengambil sarapan pagi.

Inilah hikmahnya Islam mengajar umatnya agar bersahur, di samping ada keberkatan, juga menjamin kesihatan tubuh badan.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua agar dapat bangkit pada setiap pagi hari di bulan Ramadan supaya dapat mengikut sunnah Baginda SAW iaitu bersahur, memohon istighfar dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: