Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ramadan bukan adat

Posted by epondok di Julai 10, 2014


BULAN Ramadan adalah salah satu bulan yang istimewa dalam kalangan umat Islam. Apabila tibanya bulan Ramadan, semua umat Islam yang sudah layak memikul taklifan diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan ini. Kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan telah disebutkan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW dan ijmak (kesepakatan) seluruh ulama muslimin.

Begitu pun, sebahagian umat Islam seolah-olah tidak mengendahkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Mereka menganggap bahawa puasa itu seakan-akan adat kebiasaan umat Islam apabila tibanya Ramadan. Ramadan lebih dianggap sebagai adat sepanjang tahun berbanding kewajipan ke atas setiap insan yang bergelar Muslim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah:183)

Imam Ibnu Kathir menyebutkan dalam tafsirnya bahawa dalam ayat ini Allah memerintahkan seluruh umat Islam untuk berpuasa. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, melakukan persetubuhan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Ini kerana puasa mengandungi penyucian dan penjernihan diri daripada amalan-amalan yang buruk dan akhlak yang tercela.

Beliau juga menyebutkan bahawa pada awal-awal permulaan Islam, mereka diperintahkan untuk berpuasa tiga hari setiap bulan. Perintah itu akhirnya dimansuhkan lalu diganti dengan puasa wajib sebulan sepanjang bulan Ramadan selepas turunnya surah di atas.

Ia turut disebut oleh Al-Dahhak bahawa kewajipan berpuasa tiga hari setiap bulan itu bermula sejak zaman Nabi Nuh dan ia berterusan hinggalah awal kedatangan Islam bagi umat Nabi SAW hinggalah Allah SWT menasakhkannya dengan puasa di bulan Ramadan.

Diperintahkan

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran menyebutkan bahawa lafaz al-Quran yang menyebutkan kutiba (diperintahkan) bermaksud ia suruhan yang bersifat wajib. Maka ayat yang menyebutkan tentang diperintahkan berpuasa itu bermaksud diwajibkan ke atas umat Islam yang mukallaf (sudah layak memikul kewajipan yang diperintahkan Islam).

Kewajipan berpuasa di bulan Ramadan ini tidak ada sebarang khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama Islam dan ia selari sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: Islam ini tertegak dengan lima perkara; bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji jika mampu dan berpuasa di bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini kita boleh melihat segelintir umat Islam yang sengaja tidak berpuasa atau berpuasa hanya setengah hari tanpa sebarang sebab. Lebih buruk lagi apabila mereka makan di khalayak ramai, sama ada di kedai-kedai makan orang buka Islam ataupun di kedai makan Islam yang dibuka secara “tersembunyi.”

Ini bukan sahaja memberikan gambaran buruk terhadap umat Islam, bahkan ia kelihatan seperti mempermain-mainkan syariat yang telah diwajibkan ke atas setiap Muslim. Sikap sebegini menunjukkan mereka langsung tidak malu melanggar perintah Tuhan, di samping tidak menghormati orang lain yang berpuasa.

Mulut terkoyak

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku didatangi oleh dua orang lelaki. Kemudian kedua-duanya menarik lenganku dan membawaku ke sebuah gunung yang berbatu lalu berkata; “Naiklah”. Aku berkata: “Aku tidak sanggup untuk melakukannya.”

Kedua orang lelaki itu berkata: “Kami akan memudahkannya untukmu.” Maka aku pun menaikinya hingga aku sampai pada kegelapan gunung. Tiba-tiba ada suara yang sangat keras. Aku bertanya: “Suara apakah itu?” Mereka menjawab: “Itulah jeritan para penghuni neraka.”

Lalu dia membawaku berjalan dan tiba-tiba aku bersama orang-orang yang tergantung tumit mereka, mulut mereka terkoyak dan darah mengalir daripadanya. Aku bertanya: “Siapakah mereka itu?” Mereka menjawab: “Merekalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum sampai waktunya.” (riwayat Ibnu Khuzaimah no. 1865)

Semoga kita semua sedar bahawa puasa di bulan Ramadan bukanlah sesuatu perkara yang remeh. Ia merupakan salah satu daripada tiang-tiang agama Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Wallahua’lam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: