Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ibadat puasa penawar stress

Posted by epondok di Julai 5, 2014


ISMAIL IBRAHIM

ALHAMDULILAH saya muncul buat pertama kalinya dalam penulisan ini pada bulan berkat, Ramadan.

Orang Islam berpuasa pada bulan ini untuk menunaikan perintah ALLAH, semoga mereka menjadi orang yang bertakwa.

Takwa mengikut ayat kedua surah Al-Baqarah ialah mereka “yang beriman dengan perkara yang ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan apa-apa  yang direzekikan ALLAH kepada mereka”.

Puasa mendidik orang Islam supaya bersifat dengan sifat takwa, kerana puasa yang dilakukan secara ikhlas akan benar-benar menjadikan mereka yakin akan kekuasaan dan kewujudan ALLAH, maka ALLAH tetap mengetahui dan melihat mereka, sehinggakan sekiranya mereka berada berseorangan di dalam bilik yang berkunci pun, mereka yang berpuasa tidak akan makan atau minum, kerana mereka yakin bahawa ALLAH sentiasa mengawasi dan melihat mereka.

Ketika mengamalkan ibadat puasa juga, mereka menambahnya dengan bersolat wajib dan sunat, maka di sinilah terletaknya sifat kedua orang yang bertakwa, iaitu mendirikan sembahyang.

Sifat ketiga yang diterangkan ALLAH tentang orang yang bertakwa, ialah membelanja, menderma, mengeluarkan sedekah, malah mengeluarkan zakat fitrah yang wajib untuk dimanfaatkan oleh orang lain, yang miskin, fakir dan yang memerlukan.

Oleh itu, puasa dengan sendirinya melengkapkan orang Islam dengan ciri-ciri Islam, iaitu dari segi akidah, syariah dan akhlaknya. Meyakini akan perkara yang ghaib adalah merupakan tunggak ketakwaan.

Mendirikan solat adalah mendirikan syariah dan ibadah yang wajib dilakukan oleh hamba ALLAH kepada Tuhannya.

Dan komponen ketiga Islam ialah akhlak dan nilai moral yang baik, kerana dengan memberikan sedekah jariah, mengeluarkan zakat fitrah adalah merupakan satu asas akhlak dan nilai kemasyarakatan yang unggul bagi manusia dalam membina kesejahteraan dan kebahagiaan dunia umumnya.

Maka inilah sebahagian daripada falsafah puasa yang difirmankan oleh ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 183 “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”.

Ertinya bahawa kehadiran orang Islam di atas muka bumi ini, tidaklah hanya untuk beriman dan melakukan ibadat ritual sahaja kepada ALLAH, malah ibadat zakat, sedekah jariah adalah merupakan ibadat yang dituntut dan hasilnya akan dapat dirasakan oleh masyarakat di sekelilingnya, dan inilah kelebihan agama Islam sebagai satu agama untuk diri individu dan untuk masyarakat seluruhnya.

Umat Muslimin di negara kita memulakan puasa dalam keadaan yang agak payah. Udara kering dan panas, debu dan asap dari kebakaran hutan melanda segala tempat.

Yang dikhuatirkan lagi ialah seandainya air dalam paip juga kekeringan, menimbulkan masalah untuk memasak, makan minum, mandi-manda, dan sebagainya.

Hal ini sekiranya berlaku merupakan satu tekanan, atau yang diistilahkan sebagai stres, dan sekiranya stres ini berterusan untuk satu jangka masa agak lama, maka akan timbullah krisis, dan krisis yang berterusan akan mengakibatkan penyakit jiwa dan pemikiran manusia.

Penyakit jiwa inilah yang terlalu banyak dialami oleh manusia moden pada hari ini.

Namun bagi orang Islam yang berpuasa, hal ini tentulah akan terubat sedikit dengan ibadat puasa yang mengajar mereka bersabar dan tabah dalam menghadapi kepayahan, sambil berusaha bagi mengatasi segala kepayahan yang menyebabkan stres itu. Ibadat merupakan penawar stres yang mujarab.

Orang yang berpuasa seharusnya lebih berusaha bagi mengubati perasaan dalamannya sendiri ketika menghadapi krisis, kerana puasa itu sendiri mengajar kita bagi mengurus segala kesusahan, rasa lapar dan dahaga, penat dan tidak bermaya, haruslah diatasi dari dalam dirinya sendiri, iaitu perintah ALLAH yang menyebabkan dia lapar dan dahaga, maka dia tidaklah seharusnya menyalahkan orang lain dalam hal ini.

Semoga ALLAH SWT menerima ibadat puasa kita ini Insya-ALLAH

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: