Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Berlaku adil kepada anak-anak

Posted by epondok di Julai 2, 2014


SEORANG anak ketika dilahirkan fitrah dirinya dalam keadaan lemah dan tidak berkuasa. Malah anak-anak seperti anak Orang Kurang Upaya (OKU) juga lebih lagi memerlukan perhatian dan asuhan yang sempurna disebabkan mereka mempunyai banyak kelemahan dalam fizikal dan mental.

Tugas yang berat yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa adalah mengambil berat terhadap asuhan dan didikan anak-anak. Inilah amanah yang perlu dipikul oleh ibu bapa. Ini perlu bagi melahirkan generasi yang kuat dan beriman dalam semua aspek kehidupan.

Harapan seorang anak hanyalah kepada ibu yang melahirkan dan juga bapanya. Ibunya yang dianugerahkan oleh Allah SWT perasaan kasih sayang, kecintaan dan rasa keibuan yang lebih berbanding seorang bapa, sewajarnya mempunyai rasa belas kasihan dan perikemanusiaan yang lebih berbanding bapa.

Melalui pendidikan ibu bapa, anak-anak akan mendapat belaian kasih sayang, rasa cinta, simpati dan menuju kesempurnaan dalam kehidupan pada masa akan datang. Sebagai ibu bapa dan orang beriman, muliakan anak-anak dan elokkan adab mereka melalui asuhan dan didikan di rumah.

Justeru, dengan mengetahui hak-hak dan tugas ibu bapa setiap pasangan akan melakukan tugas mengasuh dan mendidik anak dengan sempurna. Pendidikan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sangat jelas dalam Islam. Ia meliputi pendidikan fizikal, akal, iman, rohani dan akhlak dan juga pendidikan kemasyarakatan.

Tanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak, sama ada yang sihat dan juga anak OKU terletak kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibu bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan anak-anak seperti tempat tinggal yang selesa dan bersih, cukup ruang pengudaraan. Menyediakan makan minum yang cukup dan bersih. Pakaian yang sesuai selesa dan bersih.

Selain itu, anak-anak juga memerlukan pendidikan akhlak dan agama yang sempurna. Penjagaan yang rapi dan persekitaran yang dapat menggalakkan kehidupan yang selesa dan sihat, serta mendapat pembelajaran secara formal dan tidak formal.

Anak-anak juga memerlukan ruang dan peluang untuk bermain dan bergaul dengan rakan sebaya. Anak-anak yang dikurung, tidak bergaul akan menyebabkan perkembangan sosial mereka terbantut. Ibu bapa juga mesti menyediakan ruang dan peluang untuk anak memperoleh pendidikan mengikut tahap perkembangan fizikal dan mental mereka melalui pemilikan alat permainan yang boleh merangsang pemikiran ke arah pembelajaran.

Oleh itu, ibu bapa juga perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak, sama ada anak yang lahirnya sihat atau anak OKU dengan menumpukan kasih sayang kepada mereka melalui perbuatan dan percakapan. Di samping itu, mengamalkan pergaulan yang baik dengan anak-anak di dalam dan di luar rumah.

Ibu bapa hendaklah menunjukkan perlakuan yang jelas bahawa ibu dan bapa mengasihi dan menyayangi anak-anak, walaupun anak OKU. Mengamalkan perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, guru-guru dan rakan-rakan.

Tanggungjawab menjamin keselamatan anak-anak juga terletak kepada kedua-dua ibu bapa. Iaitu menyediakan tempat yang selamat dan bersih untuk anak-anak dan ahli keluarga diami. Melindungi anak daripada segala bentuk ancaman bahaya penyakit dan ancaman lain, sama ada ketika anak-anak di luar rumah mahupun di dalam rumah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap anak-anakmu. (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ yang membawa maksud mendidik anak biarlah sejak dari kecil secara lembut dan beransur-ansur supaya senang dilatih dan dididik dalam perkara yang menjurus kepada kebaikan. Jangan sesekali kurung dan seksa anak kerana dia bukan binatang ternakan.

Anak-anak adalah amanah Allah yang seharusnya diasuh, dididik dan dibimbing diberi pendidikan dan pelajaran hingga dewasa. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak sangat besar terutama dalam era yang penuh cabaran masa kini. Pengorbanan ibu bapa mengasuh dan mendidik anak pastinya akan mendapat balasan syurga Allah.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: