Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2014

Hiasai Aidilfitri dengan amalan Nabi s.a.w

Posted by epondok di Julai 28, 2014

RAMAI daripada kita masih keliru antara adat dan syariat dalam menyambut Syawal pada hari ini. Tolong ustaz berikan pencerahan bagaimanakah sebenarnya cara menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang dituntut syariat?

Jawapan

Hari raya adalah hari kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah SWT. Oleh itu, di dalam surah al-Baqarah ayat 185 menjelaskan tentang bulan Ramadan. Di hujung ayat tersebut dinyatakan tentang kesyukuran. Oleh itu, adalah jelas bahawa hari raya adalah hari kesyukuran.

Namun begitu, kesyukuran pada hari raya nampaknya diraikan dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya. Antaranya:

i. Ketidakhadiran di dalam solat Isyak berjemaah di surau dan masjid pada malam hari raya. Sebabnya mungkin kerana sudah tidak ada lagi solat sunat Tarawih. Ini bermaksud kehadiran pada bulan Ramadan hanya bagi melaksanakan satu perkara sunat iaitu solat Tarawih, sedangkan solat fardu berjemaah itu merupakan satu tuntutan agama. Ketidakhadiran dalam solat fardu Isyak berjemaah pada malam hari raya biasanya akan berlarutan pula pada solat Subuh pagi raya.

Maka sikap meremehkan solat fardu berjemaah adalah satu sikap yang tidak wajar. Sikap ini biasanya menjadi lambang, sama ada kita ikhlas beribadat dalam solat Tarawih atau tidak. Sekadar lambang dan petanda sahaja, bukannya satu kepastian. Ini kerana keikhlasan merupakan satu rahsia antara seorang hamba dengan Allah SWT.

ii. Selain itu, kesyukuran pada hari raya juga diraikan dengan pelbagai makanan yang enak. Perkara ini tidak salah. Ini kerana setiap tuan rumah mungkin menyediakan makanan yang berbeza. Namun sikap insan yang membalas dendam dengan makan apa sahaja makanan dalam kuantiti yang melampau adalah bentuk kesyukuran yang tercemar. Al-Quran berpesan agar kita makan dan minum tetapi tidak melampaui batas.

iii. Kesyukuran hari raya juga tercemar dengan perkara yang tidak patuh syariah. Contohnya pergaulan yang tidak mengenal batas yang ditetapkan hukum agama seperti lelaki perempuan berjabat tangan tanpa lapik. Begitu juga soal pakaian yang tidak menutup aurat dan sebagainya.

Ini adalah sekadar contoh bagaimana berlaku sedikit pencemaran di dalam sambutan hari raya. Oleh itu, sewajarnya kita mengenali apakah sunnah khusus yang baik yang dapat kita amalkan. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

1. Menghidupkan malam hari raya dengan ibadat seperti solat, bacaan al-Quran, takbir, tasbih, istighfar dan sebagainya. Ia boleh juga dilakukan pada satu pertiga malam yang akhir. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa sesiapa yang menghidupkan malam raya dengan ibadat maka hatinya tidak mati pada hari matinya semua hati. Bertakbir dan membanyakkan takbir pada malam hari raya dan juga paginya adalah amat baik.

2. Mandi sunat hari raya. Waktu mandi sunat ini bermula pada separuh malam raya. Elok juga dilakukan selepas solat fardu Subuh sebelum hadir solat raya.

3. Menzahirkan kegembiraan ketika bertemu dengan rakan-rakan dan sebagainya.

4. Ziarah ahli keluarga bagi merapatkan ikatan. Ziarah ini adalah kerana Allah dan bagi menghubungkan silaturahim.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Khutbah Aidilfitri 1435H

Posted by epondok di Julai 26, 2014

KhutbaH Aidilfitri 1435H

خطبة عيد الفطري 1435

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pagi raya waktu afdal bayar zakat fitrah

Posted by epondok di Julai 25, 2014

Zakat fitrah wajib dilaksanakan bagi tujuan menyucikan diri dan kembali kepada fitrah semula jadi manusia yang suci dan bersih daripada dosa. Zakat fitrah atau ‘zakat badan’ berbeza dengan zakat lain seperti zakat hasil ternakan, emas dan perak, harta perdagangan, hasil pertanian yang termasuk dalam kategori zakat harta.

 

Tujuan kefarduan zakat fitrah jelas seperti disebut dalam hadis Nabi SAW: “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan orang miskin.” (Riwayat Abu Daud)

 

 

Zakat fitrah mempunyai dua fungsi utama iaitu bagi tujuan ibadat dan sosial. Dalam aspek ibadat, zakat fitrah bertindak menyucikan diri orang berpuasa daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti kata-kata tidak berfaedah yang kadang-kadang sukar untuk dikawal.

 

Dalam aspek sosial pula, zakat fitrah bertindak membantu golongan fakir miskin dengan memberikan bantuan makanan atau dalam bentuk wang kepada mereka terutama untuk persiapan menyambut Aidilfitri supaya mereka turut bergembira bersama-sama orang lain yang lebih berkemampuan.

 

Sabda Nabi SAW: “Rasulullah SAW telah memfardukan zakat fitrah sebanyak segantang tamar atau segantang gandum ke atas golongan hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan umat Islam.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Menurut jumhur fuqaha, zakat fitrah diwajibkan juga ke atas golongan fakir miskin dengan syarat mereka memiliki kadar zakat berkenaan iaitu segantang makanan utama tempatan (bagi Malaysia adalah beras) yang lebih daripada keperluan asas dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya.

 

Kadar itu hendaklah ada pada malam hari raya Aidilfitri bagi membolehkan zakat fitrah wajib ke atas mereka, jika tidak ada pada waktu itu maka tidak diwajibkan. Jika lebihan yang dimiliki adalah satu gantang saja, maka dia hendaklah mengutamakan zakat fitrah dirinya terlebih dulu.

Menurut jumhur fuqaha termasuk Imam Syafii, waktu kewajipan membayar zakat fitrah mula berkuat kuasa tepat pada waktu jatuhnya matahari akhir bulan Ramadan. Namun, zakat fitrah boleh ditunaikan dalam tempoh tertentu, lebih awal atau lebih lewat daripada waktu itu. Malah, menurut mazhab Syafii, zakat fitrah boleh ditunaikan seawal bermula bulan Ramadan lagi.

 

Waktu paling afdal adalah pada pagi hari raya Aidilfitri iaitu sebelum solat sunat hari raya diadakan. Ibnu Umar meriwayatkan: “Bahawasanya Rasulullah SAW menyuruh supaya zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan solat (sunat Aidilfitri).” (Riwayat al-Bukhari)

 

Melewatkan sehingga selepas solat Aidilfitri bererti meninggalkan amalan yang afdal dan hukumnya adalah makruh. Sekiranya zakat fitrah dibayar selepas terbenam matahari 1 Syawal, maka hukumnya adalah haram dan berdosa serta ia dikira qada.

 

Sabda Nabi SAW: “Oleh itu, sesiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya, maka ia adalah sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Lailatulqadar bonus bagi pemburu takwa Ramadan

Posted by epondok di Julai 22, 2014

Lailatulqadar adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang bermujahadah mengharapkan rahmat-Nya. Padanya juga diturunkan al-Quran yang mulia. Betapa istimewanya malam itu, ia termaktub secara khusus dalam surah al-Qadr.

Berikutan kemuliaan dan keagungan yang terdapat padanya, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya memburu Lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Carilah malam al-Qadr pada bilangan hari yang ganjil, pada sepuluh hari-hari terakhir di bulan Ramadan.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bangun malam pada malam al-Qadr kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Yakinlah Lailatulqadar mempunyai kelebihan dan fadilat besar. Jika kita begitu teruja memperoleh bonus bulanan pada pendapatan gaji kita, maka Allah SWT juga mengurniakan ‘bonus’ pahala jauh berlipat ganda pada malam al-Qadar.

Kurniaan ‘bonus’ daripada Allah SWT inilah yang menjadi bekalan akhirat nanti, sedangkan bonus berupa wang yang kita peroleh hanya menguntungkan kehidupan di dunia. Bukankah Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan?

Hayati puasa dengan sasaran ganjaran takwa

Ini bermakna, beribadah pada malam itu menyamai tempoh masa 83 tahun empat bulan. Wajarkah kita melepaskan peluang seumpama ini? Bagi yang benar-benar menghayati ibadah puasa dengan sasaran memperoleh ganjaran takwa, sudah pasti Allah SWT mengurniakan anugerah ini kepada mereka.
Inilah hadiah istimewa daripada Allah SWT kepada pemburu takwa di bulan Ramadan. Jiwa yang rindukan bonus istimewa ini, pasti bersedia mengharungi segala kesusahan serta sanggup berkorban berjaga malam mengetepikan nikmat keduniaan.

Setiap masa berlalu tidak dibiarkan bersisa dengan aktiviti yang sia-sia serta melalaikan. Rasailah betapa tenang dan damai dapat kita kecapi pada malam itu kerana Allah SWT menjanjikan kesejahteraan sehingga terbit fajar.

Malah, malam itu dilimpahi barakah daripada Allah SWT dan malam itu al-Quran diturunkan. Jadikanlah impian untuk bertemu Lailatulqadar kerana ia ternyata menjadi bukti keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita.

Allah SWT juga akan mengampunkan segala dosa hamba-Nya yang telah lalu jika mereka berjaya menghidupkan malam itu dengan penuh keimanan dan pengharapan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bangun malam pada malam al-Qadr kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dengan fadhilat Lailatulqadar yang dinyatakan, mudah-mudahan ia dapat memberikan suntikan motivasi kepada kita. Berusahalah mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan khususnya pada sepuluh malam terakhir.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tadabbur hayati kandungan al-Quran

Posted by epondok di Julai 21, 2014

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Huraian surah al-Baqarah: Lalai, ikut hawa nafsu, takbur halang ayat suci meresap dalam diri

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Allah SWT memberi kemuliaan kepada bulan Ramadan dengan memilihnya sebagai bulan diturunkan al-Quran bahkan semua kitab samawi yang terdahulu pun diturunkan pada bulan Ramadan.
Al-Quran mempunyai keterangan iaitu dalil dan hujah yang terang lagi jelas bagi yang memahami dan mentadaburkan al-Quran. Ia juga adalah dalil kebenarannya membawa petunjuk dan menolak kesesatan di samping pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, halal dengan haram.

Apa yang membezakan penurunan kitab terdahulu dengan al-Quran ialah Rasul terdahulu diturunkan kitab itu kepada mereka sekali gus, manakala al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada bulan Ramadan pada malam Lailatulqadar.

Kemudian ia turun beransur-ansur kepada Rasulullah SAW berdasarkan situasi dan peristiwa yang dilalui oleh Baginda. Timbul pertanyaan sebahagian orang Musyrikin mengapa al-Quran tidak turun sekali gus kepada Rasulullah SAW seperti Nabi yang terdahulu.

Allah SWT menjawab melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)? Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)

Petunjuk tolak kesesatan
Ibnu Kathir ketika memberi komentar pada ayat itu antaranya menyebut, ini adalah pujian untuk al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kepada hati hamba-Nya yang beriman, membenarkan dan mengikuti al-Quran.

Al-Quran mempunyai keterangan iaitu dalil dan hujah yang terang lagi jelas bagi yang memahami dan mentadaburkan al-Quran. Ia juga adalah dalil kebenarannya membawa petunjuk dan menolak kesesatan di samping pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, halal dengan haram.

Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan kepada manusia untuk mereka menjalani kehidupan lalu didatangkan hukum taklif yang jelas dan rahsia alam yang mereka boleh mengkajinya dari masa ke semasa.

Al-Quran jika ditadabur dengan hati ikhlas akan membawa seseorang itu kepada kebenaran tanpa tiada seorangpun yang boleh menyekat kesan al-Quran itu. Justeru, pemimpin Quraisy sedaya upaya menghalang manusia ketika itu mendengar al-Quran kerana dikhuatiri mereka akan terkesan dengannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!” (Surah Fussilat, ayat 36)

Sentuhan al-Quran mampu meruntuhkan segala keegoan dan kesombongan manusia dan jin. Al-Quran menceritakan kesan yang diperoleh jin apabila mendengar al-Quran. Kisah Saidina Umar memeluk Islam adalah salah satu contoh kekuatan tarikan hidayah al-Quran.

Hijab jauhkan manusia dengan al-Quran

Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Justeru, al-Quran hendaklah dibaca dengan membuka mata, telinga dan hati serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT.

Semoga dengan itu Allah akan membuka hikmah dan rahsia-rahsia al-Quran kepada sesiapa yang membacanya dan menghayatinya. Di samping itu, setiap manusia hendaklah berusaha mentadaburkan ayat Allah SWT dengan penuh kesungguhan tanpa putus asa atau merasa lemah.

Ibnu Masu’d menjelaskan, tujuan penurunan al-Quran dengan ungkapannya, “Diturunkan al-Quran kepada mereka untuk diamalkan, maka jadilah pengajiannya untuk beramal. Sesungguhnya seseorang kamu membaca al-Quran dari permulaan al-Quran sehingga akhirnya, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal, apa yang tertinggal hanyalah amalannya.”

Justeru, tidak cukup dengan sekadar dibaca dan dihafal semata-mata (tanpa menafikan kepentingan kedua-dua perkara itu), apa yang utama ialah beramal dengan keseluruhan isi al-Quran. Selain membaca kita perlu mentadabbur, merenung, berfikir dan beramal dengan apa yang kita baca.

Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bersegera beribadat

Posted by epondok di Julai 20, 2014

 

SALAH satu matlamat kefarduan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah keperibadian unggul dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan yang sebenar kepada Allah SWT.

Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut, ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah SWT dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harus di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa.”

Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.

Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.

Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama. (riwayat Bukhari).

Persiapan diri

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus dahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:

Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan

Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat atau kelebihan yang bakal diperoleh oleh semua umat Muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan.

Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah SWT akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.”

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau memberikan alasan berpuasa dalam bulan Ramadan akan menjadikan umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru, “Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan dan kemenangan

Posted by epondok di Julai 19, 2014

 

KEMENANGAN tentera Islam pada Perang Badar telah memberi suntikan semangat luar biasa dalam peluasan dakwah Islamiah. – Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH dengan kunjungan Ramadan dan turunnya al-Quran pada bulan ini adalah salah satu isyarat bahawa kemenangan Islam sudah pasti wujud berdasarkan catatan sejarah. Firman Allah SWT yang bermaksud: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.(al-Baqarah: 185)

Madrasah Ramadan merupakan madrasah jihad dan kemenangan yang dicatatkan di dalam sejarah Islam sebagai contoh antara peristiwa besar yang mewarnai sejarah kegemilangan umat Islam itu ialah:

Permulaan Nuzul al-Quran (25 atau 17 Ramadan). Ia merupakan titik permulaan peradaban manusia. Ini kerana ia menyingkap kegelapan jahiliah seterusnya dipancarkan sinar keilmuan Islam melalui kitab Ilahi dengannya tertegak tamadun Islam dan insan. Maka beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci al-Quran yang menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.

Kemenangan dalam Peperangan Badar pada tahun ke-2 Hijrah, di mana tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan yang amat daif tetapi membawa ketinggian iman dan keyakinan kepada Allah SWT, telah dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah melebihi 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan ini merupakan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan Nabi SAW.

Persediaan Rasulullah SAW daripada sudut ketenteraan dalam menghadapi tentangan golongan Quraisy kerana membalas dendam atas kekalahan peperangan Badar pada tahun ke-3 Hijrah.

Pada tahun ke-5 Hijrah, para sahabat bersedia menghadapi Peperangan Khandak.

Pada tahun ke-6 Hijrah berlaku peperangan kecil membabitkan 130 orang mujahid Islam memerangi Bani Abdillah bin Sa’labah yang menzahirkan permusuhan.

Peristiwa meruntuhkan segala bentuk berhala di Kaabah dan di Kota Mekah pada bulan Ramadan, tahun ke-7 Hijrah.

Pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah, juga berlaku pada bulan Ramadan. Ini hasil daripada pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Dengan kemenangan tersebut, umat Islam dapat menjadikan Mekah sebagai kota Islam di mana terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruhnya.

Kedatangan rombongan Thaqif dari Taif menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan pada tahun ke-9 Hijrah untuk memeluk Islam.

Utusan Rasulullah SAW dengan mengiringi Ali bin Abi Talib ke Yaman pada bulan Ramadan, yang membawa pengislaman penduduk Yaman, iaitu pada tahun ke-10 Hijrah.

Pada tahun ke-13 Hijrah berlaku peperangan al-Buaib di bulan Ramadan. Peperangan ini berlaku di Iraq di antara tentera Islam dan Parsi. Ketua tentera Islam bernama al-Muthanna bin Harithah, manakala ketua Parsi bernama Mahran. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan yang besar di pihak tentera Islam, selain berjaya membunuh hampir 100,000 tentera musuh.

Peperangan Qadisiyah yang menyaksikan kemenangan bergaya tentera Islam menumbangkan Parsi pada tahun ke-15 Hijrah.

Pada tahun 31 Hijrah, pembukaan al-Nubah dan perjanjian al-Qibt. Al-Nubah ialah kawasan di selatan Mesir yang mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Pembukaannya dilakukan oleh seorang sahabat bernama Abdullah bin Saad bin Abi Sarh.

Pada tahun 53 Hijrah, pembukaan Semenanjung Rhodes. Pembukaan ini dilakukan oleh Janadah bin Abi Umayyah pada bulan Ramadan setelah menerima tentangan daripada musyrikin yang merupakan lanun di lautan.

Pada tahun 67 Hijrah terkuburnya negeri al-Mukhtar al-Thaqafi. Seorang pendusta yang sesat yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW yang muncul dalam kalangan Bani Thaqif. Dia mendakwa didatangi wahyu sehingga ulama pada masa itu menyesatkannya. Gabenor Basrah Mus’ab bin al-Zubair telah mengepalai peperangan menentang al-Mukhtar di Kufah dalam satu peperangan yang hebat sehingga akhirnya al-Mukhtar berjaya dikepung dan dipancung kepalanya.

Pada tahun 91 Hijrah, Tariq bin Ziyad berjaya menguasai Kota Andalusia. Peristiwa ini sebagai mukadimah bertapaknya Islam di negara Eropah sehinggalah ke kawasan lain.

Pada tahun 102 Hijrah, peristiwa pembukaan bandar-bandar di negara Perancis. Antara bandar yang dibuka yang dibuka ialah Touloise, Sabtamania dan Urbunah. Kukshonah dan Sans iaitu kawasan yang jauhnya 30 batu dari ibu kota Perancis. Pembukaan ini berjaya dilakukan setelah kekalahan teruk yang dihadapi tentera Perancis di dalam peperangan dengan tentera Islam.

Peperangan ini berterusan sejak zaman Musa bin Nusair menjadi Gabenor Andalus, kemudian diganti dengan anaknya, Abdul Aziz setelah kematiannya. Jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada al-Samh bin Malik al-Khulani atas arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Setelah itu diserahkan kepada ‘Anbasah bin Sulaiman al-Kalbi. Beliau meneruskan kemaraan bersama Islam membuka kota-kota di selatan Perancis.

Semoga dengan catatan ini memberi semangat kepada kita untuk menjadi umat yang cemerlang dan berjaya di dunia seterusnya di akhirat.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan doa malaikat

Posted by epondok di Julai 18, 2014

Zamanuddin Jusoh
Perbanyak amal jariah, utamakan solat berjemaah

Ramadan yang mulia mengingatkan kita makhluk diciptakan Allah SWT daripada cahaya dan berbeza daripada manusia, makhluk ini tidak pernah ingkar perintah Allah SWT, jauh sekali untuk melakukan maksiat kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya (malaikat) adalah hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafaat melainkan kepada orang yang diredai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 26-28)
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat akan mendoakannya: Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.”

Tanpa kita sedari, malaikat sering mendoakan kebaikan untuk manusia yang sentiasa taat perintah Allah SWT. Ada riwayat menyatakan malaikat yang menunggu di pintu masjid mendoakan kebaikan jemaah yang hadir bersolat.

Malaikat menziarahi ahli masjid

Jika ahli masjid mendapat keuzuran, malaikat akan pergi menziarahi orang itu di rumahnya. Bukan sekadar itu, malaikat pernah berperang bersama Baginda SAW dalam peperangan. Malaikat juga membantu memenggal kepala kaum musyrikin dalam peperangan Badar.

Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan itu menyaksikan kemenangan besar kepada Muslimin walaupun bilangan mereka hanyalah 313 orang berbanding 1,000 kuffar Quraisy. Maka diturunkan malaikat sebagai memenuhi doa Baginda SAW.
Pertolongan Allah SWT telah dirakamkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, pada hal kamu ketika itu adalah orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 123)

Malaikat tidak terkecuali membantu serta mendoakan kaum Muslimin. Malaikat juga turun memberi sokongan dan doa kepada mereka yang sentiasa berada dalam keadaan bersuci atau berwuduk.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersama dengannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Mereka inilah yang sering dianugerahkan dengan mimpi yang baik serta dorongan yang boleh membawa kebaikan. Mereka yang duduk dalam keadaan khusyuk menunggu solat berjemaah juga tidak terkecuali daripada doa malaikat.

Solat adalah tiang agama. Maka persediaan untuk menunaikannya adalah satu usaha yang amat diredai oleh Allah SWT.

Perkara ini dikuatkan oleh hadis diriwayatkan Imam Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat akan mendoakannya: Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.”

Ditambah pula mereka yang berada di saf pertama didoakan kesejahteraan oleh malaikat. Mereka yang menyambung saf dengan tidak membiarkan kekosongan dalam saf juga mendapat perhatian malaikat.

Menghalang syaitan beroperasi

Menghalang syaitan daripada beroperasi akan mengundang malaikat bagi menggantikan tempatnya. Pada ketika itulah malaikat mendoakan untuk mereka. Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf dalam solat.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim)

Malaikat juga mengucapkan ‘Amin’ ketika imam selesai membaca al-Fatihah. Menunjukkan malaikat sentiasa bersama mereka yang solat dan mendoakan kebaikan mereka.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: “Apabila imam membaca ‘Amin’ hendaklah kamu mengucapkan ‘Amin’, kerana sesungguhnya malaikat juga membaca ‘Amin’ bersama dengan imam. Sesiapa yang bersamaan ucapan ‘Amin’ dengan ucapan malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Kelebihan doa malaikat

Selepas selesai solat, maka kita akan duduk sebentar sebagai kerehatan dan sedikit zikrullah bagi menampung kekurangan solat dilakukan. Maka, di sini kita masih lagi mendapat kelebihan doa malaikat.

Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu antara kalian selama ia ada dalam tempat solat yang mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, malaikat berkata: Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Terdapat banyak lagi riwayat berkaitan malaikat dalam urusan kebaikan manusia. Lihatlah mereka yang bersedekah sentiasa mendapat perhatian malaikat.

Begitu juga mereka yang menziarahi orang sakit dan mengajak kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya pada waktu siang dan pada waktu malam sehingga subuh.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ramadan adalah medan yang sesuai untuk dipraktikkan semua perkara kebaikan. Marilah kita jadikan Ramadan bulan untuk menempah tiket doa daripada malaikat supaya mendapat keberkatan sehingga Ramadan akan datang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keutamaan doa dan istighfar

Posted by epondok di Julai 17, 2014

DALAM al-Quran mengenai ibadat puasa di bulan Ramadan antaranya terkandung ayat yang secara khusus membicarakan mengenai perihal berdoa. Di dalamnya Allah SWT perintahkan orang beriman untuk berdoa kepada-Nya. Allah SWT berjanji untuk mengabulkan doa asalkan memenuhi syarat-syaratnya iaitu; Memohon hanya kepada Allah SWT bukan selain-Nya, memenuhi segala perintah-Nya dan seterusnya, beriman kepada Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa mengabulkkan permohonan dan menetapkan takdir segalanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186)

Bulan Ramadan merupakan bulan di mana orang beriman mempunyai kesempatan begitu luas untuk berdoa kepada Allah SWT. Waktu-waktu mustajab (saat doa dimakbulkan Allah) terdapat dalam beberapa situasi, khusus sepanjang Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi.” (riwayat Tirmizi)

Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab. Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.

Setiap orang yang faham maksud hadis ini sangat gembira menyambut Ramadan. Justeru, ini bererti selama sebulan ia berpuasa peluang doanya dimakbulkan Allah SWT sangatlah luas.

Lebih-lebih lagi, saat menjelang berbuka puasa ketika menanti tibanya azan Maghrib. Kita seharusnya memanfaatkan waktu sebaiknya untuk berdoa.

Kesempatan terbaik menjelang berbuka dengan mengajukan berbagai-bagai permohonan kepada Allah SWT. Ini kerana, sebahagian daripada masyarakat kita, lebih suka menghabiskan waktu dengan berbual dan melakukan perkara yang remeh-temeh menjelang Maghrib di bulan Ramadan al-Mubarak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka.” (riwayat Ibnu Majah)

Berbuka

Rasulullah SAW membaca doa ketika berbuka yang bermaksud: “Jika Nabi Muhammad SAW berbuka, ia berdoa : Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan semoga ganjaran didapatkan, insya-Allah.” (riwayat Abu Daud)

Mengapa di dalam doa berbuka Nabi SAW mengatakan: “….dan semoga ganjaran didapatkan, insya-Allah?”

Ini kerana, sesungguhnya yang sangat diharapkan bukan semata-mata kegembiraan pertama sewaktu berbuka di dunia, melainkan yang lebih diharapkan orang beriman ialah kegembiraan kedua iaitu saat bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Orang beriman ketika itu bergembira berjumpa Allah SWT kerana ibadat puasanya sewaktu di dunia diterima Allah Yang Esa. Demikianlah Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa terdapat dua kegembiraan. Kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan saat ketika perjumpaannya dengan Allah SWT kerana ibadat puasanya. (riwayat Bukhari)

Hidup manusia di dunia adalah perggantian antara susah dan senang. Maka selama sebulan Ramadan, hendaklah kita membaca yang Nabi SAW biasa membaca ketika menghadapi keadaan susah mahupun menerima kurniaan.

Nabi SAW melazimkan kalimah istighfar sebagaimana maksud hadis berikut: “Barang siapa yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya.” (riwayat Abu Daud)

Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut, “Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima.” (riwayat Ibnu Majah)

Mohon ampun

Allah SWT telah memuji para hamba-Nya yang gemar beristighfar, terutama pada waktu-waktu mulia dan istimewa. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu sahur. (Ali-Imran: 17)

Imam Ibnu Kathir berkata tentang kalimah, memohon ampun di waktu sahur menunjukkan keutamaan istighfar di waktu sahur (penghujung malam). Ada pendapat mengatakan, saat Nabi Ya’akub a.s berkata kepada anak-anaknya: Pasti aku akan memohon keampunan kepada Tuhanku untuk kamu. (Yusuf : 89). Beliau mengakhiri pelaksanaannya sampai waktu sahur.

Waktu sahur adalah waktu di penghujung malam menjelang Subuh. Keutamaannya tidak didapatkan pada waktu-waktu selainnya.

Kesempurnaan istighfar di waktu ini diawali dengan kegiatan solat malam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata air-mata air sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah). (Az-Zariyaat: 15-18)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jadual cari lailatul qadar

Posted by epondok di Julai 17, 2014

Petikan http://almalakawi.wordpress.com

ليلة القدر خير من الف شهر

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Pada sepuluh yang akhir bulan ramadan kita digalakkan beriktikaf di masjid supaya mendapat malam Lailatul-Qadar.

Mengikut pendapat Imam Syafie malam Lailatul-Qadar boleh ditemuai pada sepuluh yang akhir, tetapi malam yang ganjil terlebih diharapkan. Malam yang terlebih diharapkan daripada sekelian malam ganjil ialah malam dua puluh satu dan malam dua puluh tiga bulan Ramadan.

Imam Gazali dan lainnya ada menyebut bahawa malam Lailatul-Qadar boleh diketahui dengan meneliti satu hari bulan jatuh pada hari apa? Sekiranya satu hari bulan pada hari ahad atau hari rabu maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh sembilan.

Sekiranya satu hari bulan hari isnin maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh satu.

Sekiranya satu hari bulan pada hari selasa atau jumat maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh tujuh.

Sekiranya satu hari bulan pada hari khamis maka Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh lima.

Sekiranya satu hari bulan hari sabtu maka Lailatul-Qadar malam yang ke dua puluh tiga.

Berkata Syeikh Abu Hasan Syazili selama baligh aku, aku tiada luput malam Lailatul-Qadar dengan menguna kaedah (cara) ini

Lihat jadual dibawah ini:

No Awal bulan hari Lailatul-Qadar pada malam
1 Ahad 29
2 Isnin 21
3 Selasa 27
4 Rabu 29
5 Khamis 25
6 Jumaat 27
7 Sabtu 23

Seorang yang dapat berbuat ibadat pada malam Lailatul-Qadar seolah-olah dia sentiasa beribadat selama lapan puluh tiga tahun. Orang yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Martabat yang paling tinggi menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan pelbagai ibadat sepanjang malam, seperti sembahyang, membaca Al-Quran dan berdo’a.

Martabat pertengahan menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan menghidup separuh malam dengan pelbagai ibadat.

Martabat yang paling rendah menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan sembahyang isyak berjemaah, dan azam hendak sembahyang subuh berjemaah.

Fadilat malam Lailatul-Qadar tidak tertentu pada mereka yamg mengetahuinya tetapi hasil fadilat malam Lailatul-Qadar bagi mereka yang menhidupkannya walaupun mereka itu tidak mengetahui malam itu malam Lailatul-Qadar.

Posted in Amalan Pilihan | 4 Comments »