Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Larangan main-main dengan taubat

Posted by epondok di Jun 13, 2014


Drs Wan Aminurrashid W Abd Hamid
Bukan taubat jika tiada azam baiki diri
Memohon ampun di atas kesilapan hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh. – Gambar hiasan
Bertaubat kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan menyuruh hamba-Nya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia bersifat Maha Pengampun.

Tidak sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 37).

Malah Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah: 222)

Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) kepada Allah sebanyak 100 kali sehari.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim).
Penegasan terima taubat Mukmin
Penegasan Allah yang berjanji menerima taubat hamba-Nya memberikan harapan yang tinggi kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala dosa diperbuat.

Allah Maha Mengetahui kelemahan hamba-Nya yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi tidak melakukan syirik kepada-Nya.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hamba-Nya mahu bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud: “Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hamba-Nya, lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya lalu menemuinya kembali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seseorang yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya.

Akan tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan semula barang berharganya yang hilang.

Namun, kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi ‘lampu hijau’ kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus, yakni apabila berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat, kemudian mengulangi lagi, dan selepas itu bertaubat kembali kerana mengingat Allah itu Maha Pengampun.

Taubat yang dijanjikan Allah akan diterima-Nya ialah taubat yang lahir dari hati Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.

 

Bukan taubat jika ulangi kesilapan

Ucapan istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan kerahmatan-Nya.

Terjatuh ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali, akan tetapi manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan, langsung dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Mukmin sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah dosa. Islam mengajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri.

Tidak dinafikan bahawa seorang Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.
Pengaruh nafsu, lemah iman

Mukmin yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat, tetapi disebabkan kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa.

Jika terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka, dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: