Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Islam bawa rahmat ke seluruh umat

Posted by epondok di Jun 9, 2014


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Al-Quran, al-Sunah beri panduan lengkap setiap aspek hidup insan

Islam adalah anugerah nikmat tiada ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada umat manusia. Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW untuk menyelamatkan warga alam ini daripada terjerumus ke kancah kesesatan dan sebagai gantinya Islam menaungi alam semesta.

Islam datang ke alam semesta dalam keadaan tidak dikenali. Oleh itu, Islam dipulau, dihina dan ditentang hebat orang kafir Musyrikin. Situasi inilah yang dihadapi Rasulullah SAW pada detik permulaan menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat Arab.
Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali dalam keadaan dagang, maka beruntung dan berbahagialah golongan ghuraba’ iaitu pedagang-pedagang. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah golongan pedagang itu? Lantas Baginda menjawab: Mereka itulah golongan manusia yang melakukan islah atau reformasi di saat berleluasanya kerosakan, kezaliman dan penindasan di kalangan manusia.” (Riwayat Muslim)

Setelah Islam bertapak kukuh di bumi Madinah, Islam diangkat sebagai teras yang mendasari segala aspek kehidupan ummah. Ini bermakna Islam dipraktikkan secara menyeluruh oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat sehingga mereka muncul sebagai generasi terbaik dan contoh umat terkemudian.

Pengiktirafan mereka sebagai umat contoh dan terbaik yang dilahirkan Islam telah diperakui sendiri oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Bertolak dari sini, generasi Rasulullah SAW dan sahabat mengorak langkah melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi yang terbentang luas ini hingga mampu menumpaskan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu Empayar Rom dan Parsi.

Akhirnya, Empayar Islam mengambil tempat gah di persada dunia memantulkan nilai Islam ke seluruh warga alam semesta. Ringkasnya, kedatangan Islam memberikan kerahmatan, kemuliaan dan kesejahteraan kepada umat Islam sehingga memegang tampuk pemerintahan dunia satu ketika dulu.
Perlu ditegaskan bahawa kesemuanya ini adalah janji dan jaminan Allah kepada orang yang beriman kepada-Nya. Apa yang dijanjikan Allah ini telah berlaku dan pasti akan berlaku pada masa akan datang.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian dalam hal ini ialah usaha umat Islam menuju kemuncak kejayaan itu bukanlah satu perkara yang mudah dicapai atau boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia mempunyai syarat tertentu yang wajib dipenuhi.

Syarat itu adalah antara formula dan rahsia yang telah melonjakkan generasi Rasulullah SAW dan sahabat sebagai generasi terbaik. Antara formula itu ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar iman.

Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi dan menjauhi segala larangan-Nya. Begitu juga, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah mengatasi segala-galanya daripada kecintaan kepada dunia, anak isteri, harta, pangkat dan kedudukan.

Seterusnya, konsep ibadah dalam Islam sewajarnya dihayati dan diterjemahkan secara keseluruhannya di alam realiti kehidupan semasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah al-An’am, ayat 162-163)

Apa yang berlaku kini, umat Islam begitu asyik menayangkan nostalgia silam yang gemilang tanpa mengambil iktibar terhadap yang telah berlaku satu ketika dulu. Sepatutnya, apa yang berlaku dijadikan pengajaran untuk mengulang kegemilangan itu.

Justeru, Islam sewajibnya diletakkan di tempatnya yang sewajarnya sebagai teras menunjangi setiap lapangan hidup manusia. Ini kerana tidak ada satu masalah pun di dalam kehidupan ini melainkan Islam mempunyai penawarnya dan jalan penyelesaiannya yang ampuh.

Di sini terletaknya ciri-ciri keunikan dan keistimewaan yang menghiasi Islam hingga diiktiraf sebagai ad-Din paling sempurna dan lengkap dengan sistem atau cara hidup menyeluruh.

Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunah perlu dihayati secara keseluruhannya, bukannya diambil sebahagiannya dan ditolak sebahagian yang lain kerana turutkan kehendak hawa nafsu yang menyeleweng.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: