Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ilmu akidah asas pengajian agama

Posted by epondok di Jun 7, 2014


Oleh Abdul Razak Mohamad Rawi

Hukum syarak, ajaran rasul pegangan utama dalam mencari kebenaran

Sejarah mencatat terdapat banyak firqah (golongan) dalam masalah akidah yang saling bertentangan di antara satu sama lain. Ini fakta yang tidak dapat dibantah. Bahkan dengan tegas dan jelas Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa umatnya akan berpecah menjadi 73 golongan.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dan sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 di antaranya di neraka dan hanya satu yang di syurga iaitu al-Jama’ah.” (Riwayat Abu Daud)
Akal adalah syahid (saksi dan bukti) akan kebenaran syarak. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh ulama tauhid atau ulama al-kalam (teologi) untuk memandu antara kebenaran syarak dengan kebenaran akal.

Mereka mengikuti jejak Nabi Ibrahim seperti dikisahkan dalam al-Quran ketika membantah Raja Namrud dan kaumnya, di mana beliau menundukkan mereka dengan dalil akal. Fungsi akal dalam agama adalah sebagai saksi bagi kebenaran syarak bukan peletak dasar bagi agama itu sendiri.

Berbeza dengan golongan falsafah yang berbicara mengenai Allah, malaikat dan banyak hal lainnya yang hanya berdasarkan penilaian akal semata-mata. Mereka menjadikan akal sebagai dasar agama tanpa memandang ajaran dibawa nabi dan rasul.

Secara ringkasnya Dunia Melayu Sunni sehingga kini berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada ajaran Imam Abu-Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi walaupun sekarang ada pihak yang mencabarnya serta menggantikannya dengan yang lain atas pelbagai alasan.

Dari segi kefahaman hukum syarak dan pelaksanaannya, masyarakat Islam di Nusantara kebanyakannya berpandukan kepada mazhab Syafi’i. Ini perlu diteruskan dengan tambahan yang terdiri daripada keputusan atau fatwa baharu yang diperlukan kerana perkembangan masa dan budaya.
Kerohanian dan akhlak pula, rantau ini dipandu oleh huraian Imam al-Ghazali Rahmatullah Alaih khususnya mengikut ajarannya yang ada dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Syaikh Muhammad ‘Abduh yang ditanya mengenai buku terbaik untuk panduan generasi muda dalam bidang akhlak dan kerohanian, dijawabnya kitab Ihya’ karangan Imam al- Ghazali. Kitab itu diringkaskan oleh al-Qasimi dalam buku Ma’izatul-Mu’mininnya.

Akidah itu diajarkan di pondok Ahlussunnah di negara kita Malaysia, Indonesia, Thailand dan lain-lainnya. Alhamdulillah, akidah ini diyakini oleh ratusan juta kaum muslimin di seluruh dunia seperti Brunei, India, Pakistan, Mesir (terutama al-Azhar), negara Syam (Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin), Maghribi, Yaman, Iraq, Turki, Chechnya, Afghanistan dan banyak lagi negara lainnya.

Maka wajib bagi kita untuk sentiasa memberi penuh perhatian dan serius dalam mendalami akidah al- Firqah al-Najiyah iaitu akidah golongan majoriti kerana ilmu akidah adalah ilmu paling mulia yang menjelaskan pokok atau dasar agama.

Abu Hanifah menamakan ilmu ini dengan al-Fiqh al-Akbar kerana mempelajari ilmu ini wajib diutamakan daripada mempelajari ilmu lainnya. Setelah selesai atau khatam mempelajari ilmu ini barulah disusuli dengan ilmu Islam yang lain.

Inilah metod yang diikuti sahabat nabi dan ulama daripada kalangan salaf mahupun khalaf dalam mempelajari agama.

Tradisi ini telah bermula dari zaman Rasulullah SAW, seperti dikatakan oleh Ibn Umar dan Jundub: “Kami ketika remaja saat mendekati baligh bersama Rasulullah mempelajari iman (tauhid) dan belum mempelajari al-Quran. Kemudian kami mempelajari al-Quran maka bertambahlah keimanan kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Secara garis besar akidah asy’ari yang juga akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah meyakini Allah SWT Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, Allah bukanlah benda yang boleh digambarkan dan bukan benda yang berbentuk serta berukuran.

Allah SWT tidak serupa dengan sesuatu pun daripada makhluk-Nya. Allah SWT ada dan tidak ada permulaan atau penghabisan bagi kewujudan-Nya, Allah SWT Maha Kuasa dan tidak ada yang melemahkan-Nya, serta Allah SWT tidak diliputi arah.

Allah SWT ada sebelum menciptakan tempat tanpa tempat, Allah SWT wujud setelah menciptakan tempat dan tanpa bertempat. Tidak boleh ditanyakan tentang-Nya bila, di mana dan bagaimana ada-Nya. Allah SWT ada tanpa terikat oleh masa dan tempat.

Maha suci Allah SWT dari bentuk (batasan), batas akhir, sisi-sisi, anggota badan yang besar dan anggota badan yang kecil. Allah SWT tidak diliputi satu arah atau enam arah penjuru. Allah SWT tidak seperti makhluk-Nya. Allah SWT maha suci dari duduk, bersentuhan, bersemayam, menyatu dengan makhluk-Nya.

Allah SWT tidak terjangkau oleh fikiran dan tidak terbayang dalam ingatan, kerana apapun yang terbayang dalam benakmu maka Allah SWT tidak seperti itu. Allah SWT maha hidup, maha mengetahui, maha kuasa, maha mendengar dan maha melihat.

Barang siapa menyifatkan Allah SWT dengan sifat makhluknya sungguh dia telah kafir. Allah SWT yang telah menciptakan makhluk dan perbuatan-Nya, Allah juga yang menentukan rezeki dan ajal mereka. Tidak ada yang boleh menolak ketentuan-Nya dan tidak ada yang boleh menghalangi pemberian-Nya.

Apa yang Allah SWT kehendaki pasti terlaksana dan yang tidak Allah SWT kehendaki tidak akan terjadi. Allah SWT bersifat dengan kesempurnaan yang pantas bagi-Nya dan Allah SWT maha suci dari segala bentuk kekurangan.

Nabi Muhammad SAW adalah penutup nabi dan penghulu rasul. Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT ke muka bumi ini untuk semua penduduk bumi, jin mahupun manusia. Nabi Muhammad SAW jujur dalam setiap apa yang disampaikannya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: