Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2014

Nikmati kehadiran Ramadan penuh syukur

Posted by epondok di Jun 29, 2014

 

SESUNGGUHNYA sudah menjadi tanggungjawab semua umat muslimin untuk meneruskan amal ibadat masing-masing dalam kehidupan termasuklah setiap kali munculnya bulan barakah, Ramadan al-mubarak.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengerjakan puasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.”

Bagaikan menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh umat mukmin di seluruh pelosok dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah telah mempersiapkan diri untuk menyambutnya.

Bahkan bermula Rejab membawa ke Syaaban, baginda telah mengajar para sahabat sebuah doa bagi mendapatkan keberkatan Syaaban sehingga munculnya Ramadan dalam keadaan yang lebih bersedia. Doa tersebut berbunyi: ” Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

Bersempena dengan kehadiran Ramadan pada tahun ini, elok kiranya kita sama-sama bermuhasabah bagi merenung sejenak sejauh manakah kita bersiap sedia untuk sama-sama menghayati fadilat Ramadan yang mencakupi aspek emosi, jasmani, rohani dan intelek kita sebagai seorang Muslim, khususnya dalam menjalani ibadat puasa.

Dalam hal ini cuba kita renungi catatan Imam al-Ghazali yang telah membahagikan tahap puasa orang mukmin melalui tiga tahap tertentu:

* Terbaik (khusus al-khusus) – Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya daripada melakukan segala perkara yang membatalkan puasanya, bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasanya.

* Khusus – Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri daripada maksiat batin.

* Umum – Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa jua perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca-punca yang menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam hari ini masih berada di tahap kedua dan ketiga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ghazali adalah disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama, walaupun menyedari sedang meniti hari-hari dalam bulan yang begitu berkat dalam Islam.

Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan-rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah SWT dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan, Allah akan mengampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama. (riwayat Bukhari)

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa tingkat disiplin hargai masa

Posted by epondok di Jun 28, 2014

Allah SWT akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain yang mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Ganjaran pada akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh daripada ibadah puasa ialah sifat ikhlas. Puasa ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba kerana ibadah puasa adalah rahsia antara hamba dan tuhannya.

Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaan kepada Allah SWT yang mengetahui zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadah puasa istimewa dalam melahirkan sifat ikhlas kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima Allah SWT.

Didik lebih tegas tinggalkan perkara diharam syariat
Puasa menutup keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadan seperti makan dan minum. Puasa mendidik untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara diharamkan oleh syariat.

Puasa mendidik kita memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara boleh membatalkan puasa. Pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat moden atau tradisi.

Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan, tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

Rasulullah SAW mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata ‘aku berpuasa! Seorang Mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.

Bahkan, ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri daripada perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

Nikmat Ramadan dikongsi seluruh umat Islam

Orang Islam di seluruh pelusuk dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi.

Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama perlu ada dalam diri setiap Mukmin.

Puasa mengajar Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual. Sepanjang Ramadan, Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan membatalkan puasanya.

Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang Mukmin supaya setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa ditetapkan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan

Posted by epondok di Jun 27, 2014

Zamanuddin Jusoh
Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani

Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10)
Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya” Surah Ali-Imran (ayat 39)

Ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah.

Ramadan bonus tingkat ketakwaan

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.

Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75)
Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.

Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)

Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36)

Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah

Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.

Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”

Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)

Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat.

Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.

Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT.

Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman

Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.

Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”

Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Makanan halal penyucian dalaman diri

Posted by epondok di Jun 26, 2014

Kita makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan. Demikianlah ungkapan sering kali kita dengar, tetapi sejauh manakah kita mengambil berat kandungan dan keadaan makanan diambil, apakah halal di sisi Islam atau sebaliknya.

Makanan halal sering menimbulkan isu apabila ada pihak didapati mengambil mudah perkara itu. Malah, ada segelintir masyarakat yang bertanya mengapakah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian.

Disebabkan itu juga sebuah video yang tersebar luas di laman sosial baru-baru ini memaparkan seorang wanita yang persoalkan mengenai halal serta mempersendakan perkara itu seolah-olah beliau tidak kisah dan mengambil berat berkenaan halal dan haram ini.

Kelebihan makanan halal

Semestinya Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaan-Nya. Sudah pasti ada hikmah dan kelebihan makanan yang halal dalam membantu manusia menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Antara hikmahnya adalah menjamin keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Keberkatan ialah satu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada seseorang yang dikehendaki-Nya dalam bentuk ilmu, iman, kebahagiaan, ketenangan dan sebagainya.

Pengambilan makanan halal dan menghindari perkara haram adalah antara cara untuk meraih keberkatan. Kehidupan bagi umat Islam bukanlah terhenti di dunia bahkan yang lebih utama adalah kehidupan hakiki di akhirat.
Prihatin sumber pendapatan

Rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka. Masyarakat perlu mengambil berat dan prihatin sumber pendapatan supaya menjamin kebahagiaan yang hakiki. Jadi, Islam melihat perkara ini dengan lebih jauh kerana kita perlu mencapai keberkatan di akhirat juga.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tarmizi )

Makanan halal menjadi salah satu faktor yang penting untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya dimakbulkan. Jika doa tidak dimakbulkan, pada perkara apakah lagi yang boleh kita harapkan. Oleh itu, Rasulullah SAW menekankan umat Islam menitikberatkan berkaitan makanan halal ini.

Janganlah terlalu seronok dengan nafsu makan sehingga terlupa atau mengabaikan sumber dan kandungan makanan sama ada halal di sisi hukum mahupun tidak. Sebaliknya perlu teliti dan berjaga-jaga dalam pengambilan makanan.

Selain itu, antara hikmah lain berkenaan pengambilan makanan halal ialah terhindar daripada seksaan api neraka. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hamba yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram dan riba maka neraka lebih layak baginya.” (Riwayat Ibnu Abbas)

Tambahan sekarang ini banyak produk dihasilkan dicampur bahan kimia yang mana tidak diketahui secara jelas kandungannya. Perkara ini yang menjadi kerisauan umat Islam kerana dikhuatiri bahan digunakan tidak halal di sisi syarak.

Penyucian dalaman, luaran

Selain itu, penyucian diri dari sudut dalaman dan luaran juga menentukan amal ibadah diterima oleh Allah SWT. Jadi, menghindari daripada makanan haram antara kaedah penyucian diri supaya solat, puasa, zakat dan sebagainya mudah diterima oleh Allah SWT.

Jika dilihat realiti hari ini, ramai yang solat, tetapi masih berterusan melakukan maksiat sedangkan solat mencegah manusia daripada melakukan perkara dosa. Mungkin jawapannya solat itu tidak diterima berpunca daripada pengambilan makanan haram. Ramai tidak menyedari perkara itu.

Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab umat Islam untuk lebih berhati-hati serta mengambil berat berkaitan pemakanan halal. Hendaklah kita sentiasa memastikan setiap makanan yang diperoleh dan dimakan halal menurut syariat Allah SWT. Sesungguhnya suruhan Allah SWT bertujuan memberi kebaikan kepada manusia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa tak dipertonton, elak sifat riak

Posted by epondok di Jun 25, 2014

Zamanuddin Jusoh

Keikhlasan hati melakukan ibadat dibalas sehingga 700 kali ganda

Puasa adalah ibadat yang menampilkan kerahsiaan antara Allah dan hamba-Nya kerana Allah sendiri akan menentukan ganjaran pahala bagi mereka yang berpuasa.
Kelebihan ini telah digambarkan oleh Baginda SAW dalam sabda: “Pada hari kiamat nanti, ada satu golongan yang dianugerahkan kepada mereka sayap seumpama burung dan mereka bebas ke sana ke mari menikmati keindahan syurga. Mereka ditanya bagaimanakah mereka dapat masuk ke syurga dan mendapat keistimewaan ini. Mereka menjawab : “Kami tidak pernah melihat timbangan dan titian sirat, tetapi kami dapat beribadat tanpa diketahui orang lain.” (Zabdah Al-Wai’zin)

Daripada Anas, Baginda SAW bersabda: “Lima perkara yang akan merosakkan puasa seseorang iaitu dusta, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu dan pandangan yang bersyahwat. Begitu juga menjauhi daripada mendengar perkara mungkar dan maksiat serta melalaikan.”

Kita sering melihat manusia melakukan upacara ibadat kerana berhala, matahari, bulan, pokok dan sebagainya, namun tiada yang berpuasa untuk perkara sedemikian. Maka, puasa kita hanyalah untuk Allah semata-mata dan berhak mendapat ganjaran berlebihan daripada-Nya.

Puasa tidak dapat menjana perasaan riak serta sifat mazmumah lain kerana segala-galanya dipandu oleh hati. Puasa tidak memerlukan pergerakan anggota seperti ibadat lain kerana puasa hanya memerlukan niat di hati.

Keikhlasan hati

Berbanding ibadat lain yang mana perbuatannya dapat dilihat serta dipertontonkan, puasa yang tidak dipertontonkan menyelamatkan daripada wujud perasaan riak.
Ini menunjukkan ada kalangan manusia yang sentiasa mendapat kelebihan daripada Allah SWT disebabkan keikhlasan hati yang mereka miliki.

Malaikat yang sentiasa ditugaskan bersujud ke hadrat Allah SWT mendoakan untuk mereka yang berpuasa Ramadan: “Wahai Tuhan, rahmatilah mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan dari umat Muhammad SAW dan jauhilah mereka daripada azabMu.” (Zahratur Riadz)

Tidak dapat dinafikan mereka yang mendapat kelebihan sedemikian mempunyai kualiti puasa amat tinggi di mana mereka tidak hanya sekadar menahan perut bahkan segala anggota lain akan turut berpuasa.

Sememangnya kita tidak dapat menyamai kualiti puasa anbiya dan siddiqin, namun setiap kita haruslah melihat kembali tahap kemampuan puasa dan membuat perbandingan dengan tahun lalu.

Apakah kita akan berada pada tahap puasa yang sama iaitu tahap puasa orang awam saja pada setiap tahun tanpa sebarang pembaharuan, sedangkan kita mampu meningkatkan puasa awam yang biasa kepada puasa khawas yang dimiliki solihin (orang salih).

Bagi mendapat tahap puasa ini, kita hanya perlu penambahbaikan pada anggota lain untuk turut berpuasa dengan menjaga pandangan, pendengaran dan lidah.

Daripada Anas, Baginda SAW bersabda: “Lima perkara yang akan merosakkan puasa seseorang iaitu dusta, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu dan pandangan yang bersyahwat. Begitu juga menjauhi daripada mendengar perkara mungkar dan maksiat serta melalaikan.”

Elak makan berlebihan

Kekangan hawa nafsu selama setahun akan dapat dibendung dengan berpuasa Ramadan. Oleh itu, kita dilarang mengambil makanan berlebihan di bulan Ramadan kerana nafsu akan mengalah apabila mengurangkan makanan daripada memenuhi pencernaan kita.

Demikianlah antara faedah yang dapat dikecapi daripada puasa Ramadan. Ada riwayat menyatakan, tatkala Allah SWT menciptakan akal manusia, ia sentiasa menurut perintah Allah SWT seraya berkata bermaksud: “Engkau adalah Tuhan yang maha pencipta dan aku adalah hambaMu yang lemah. Maka Allah berfirman: Wahai akal, engkaulah makhluk ciptaan-Ku yang paling mulia.”

Kemudian diciptakan nafsu manusia serta diuji oleh Allah SWT dan mendapati ia sangat keras serta degil sehingga Allah SWT menyeksa nafsu dengan azab neraka selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan, maka nafsu tetap nafsu dan keadaan sombongnya tetap tidak berubah. Lalu Allah SWT meletakkan nafsu pada azab yang berbentuk kelaparan, maka akhirnya ia tunduk dan mengaku bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan semua makhluk.

Disebut juga tujuan Allah SWT mewajibkan puasa selama sebulan adalah kerana kesan makanan yang dimakan oleh Nabi Adam daripada pohon larangan akan hilang dan sirna setelah berlalu masa sebulan.

Setelah Allah SWT menerima taubat Nabi Adam, maka Allah SWT memerintahkan Adam berpuasa selama sebulan tanpa berbuka. Namun kita umat Baginda SAW dibenarkan berbuka pada malam hari kerana mendapat penghormatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Kemudian Allah SWT memberi kata dua kepada Adam dan menerima taubatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 37)

Sebahagian ahli tafsir menyatakan, di sinilah Adam diperintahkan berpuasa sebagai balasan di samping mengurangkan kehendak hawa nafsu. Ini kerana kelazatan dunia berkisar kepada empat perkara saja iaitu makan, minum, bersenggama dan tidur.

Ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka yang berpuasa tidak dapat dianggarkan oleh ilmuwan kerana setiap kebajikan akan digandakan daripada 10 hingga 700 kali ganda melainkan ibadat puasa.

Walaupun semua ibadat akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, puasa mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT sehingga ulama mempunyai pelbagai pandangan berkaitan kelebihan ganjaran yang disediakan Allah SWT kepada ibadat puasa.

Antara faktor yang menyebabkan ibadat puasa mendapat pengiktirafan besar daripada Allah SWT ialah tahap keikhlasan tinggi yang ada pada ibadat puasa kerana peranan besar dimainkan oleh hati.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sedekah harta disayangi, utamakan keluarga terdekat

Posted by epondok di Jun 24, 2014

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Sedekah yang sebenarnya ialah memberi sesuatu yang mendatangkan faedah kepada penerimanya. Bagi memenuhi tuntutan itu, kita disarankan mengeluarkan harta paling disayangi yang lazimnya elok dan berharga.

Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)
Selepas turunnya ayat itu, Abu Talhah bin Ubaidillah (daripada kalangan Ansar yang kaya di Madinah) ingin segera bersedekah. Hartanya yang paling disayangi iaitu sebuah kebun berdekatan dengan masjid.

Allah SWT yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)
Rasulullah SAW sering kali kelihatan memasuki kebun itu (dengan izin tuannya) untuk merasai air yang jernih dan sejuk dari sumbernya yang ada di situ.

Suatu hari Abu Talhah menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hasratnya menjadikan kebun itu sebagai sedekah semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Eloklah! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang engkau katakan mengenai kebun itu dan pada pendapatku, sebaiknya kebun itu engkau sedekahkan kepada kaum kerabatmu.” (Riwayat Muslim)

Menjaga hati penerima pemberian

Dua pengajaran boleh difahami dan diberi penekanan untuk dihayati setiap Muslim iaitu menafkahkan harta disayangi dan mengutamakan nafkah kepada keluarga terdekat. Perkara ini penting demi menjaga hati orang yang menerima pemberian.
Di samping itu dapat menguat dan mengeratkan hubungan silaturahim kerana sedekah melambangkan kasih sayang serta sifat keprihatinan terhadap sesama insan.

Kita perlu sedar harta dimiliki bukanlah milik kita sepenuhnya kerana dalamnya ada hak orang lain yang perlu diasingkan (sama ada melalui sedekah, derma atau zakat).

Salah seorang sahabat Nabi SAW, Al-Ahnaf Ibn Qays, ternampak seorang lelaki sedang menggenggam sejumlah wang dirham. Lalu Al-Ahnaf bertanya: “Milik siapa wang itu, sahabat? Lelaki itu menjawab secara baik: Wang yang kugenggam ini memang milikku, tuan. Jawapan itu dibantah oleh Al-Ahnaf dengan nada memberi nasihat: Bukan. Wang itu bukan (menjadi) milikmu hingga engkau mengeluarkannya untuk memperoleh pahala atau sebagai tanda syukur (pada Allah SWT).”

Penganiayaan akibat bakhil

Orang yang bakhil dan cintakan harta bukan saja menunjukkan kesombongan sikap, malah sebenarnya telah melakukan satu penganiayaan terhadap orang lain, jauh daripada rahmat Allah SWT dan tidak disukai oleh-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan). Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh. Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih disukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil.” (Riwayat Tabrani)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keadilan pengampunan sentiasa mengimbangi

Posted by epondok di Jun 23, 2014

Oleh Prof Mohammad Hashim Kamali

Menghukum pesalah normal dalam perundangan syariah, beri kemaafan ada kala digalak

Kemaafan adalah elemen dalam perbincangan akidah dan perundangan Islam. Ia berperanan melepaskan seseorang daripada hukuman, liabiliti sivil, serta kesalahan dalam neraca agama.
Al-Quran menjelaskan bahawa Allah SWT bersifat Maha Pengasih serta Maha Adil. Persoalannya, bagaimanakah syarak mengimbangi antara kedua-dua objektif ini? Bagaimanakah juga masyarakat boleh bersikap belas kasihan dan memberi kemaafan apabila jenayah diperlakukan kepada mereka?

Firman Allah dalam Surah an-Nahl menyatakan: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat,”
Afwa (kemaafan) adalah tema di dalam al-Quran yang mempunyai kedudukan istimewa. Kitab suci ini memuji pihak yang sentiasa memberikan kemaafan, serta menyatakan bahawa `Afwa adalah manifestasi kepada ihsan seperti yang diutarakan dalam surah al Baqarah, ayat 178.

Di sini, Allah SWT, menyatakan kasih sayang-Nya terhadap pihak yang memberikan kemaafan, khususnya mereka yang ingin membalas dendam.

Bagaimanapun, Islam turut meletakkan keadilan pada kedudukan yang tinggi serta memerlukan ketegasan dalam pelaksanaannya.

Jelaslah bahawa keadilan dan pengampunan sentiasa mengimbangi antara satu sama lain.
Firman Allah dalam Surah an-Nahl menyatakan: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat,”

Lengkap nilai ihsan

Ayat ini menunjukkan bahawa keadilan semata-mata tidak semestinya wajar pada semua keadaan. Ia hendaklah dilengkapi dengan nilai ihsan dalam situasi tertentu, dalam konteks ini iaitu kemaafan.

Menghukum pesalah adalah sesuatu yang normal dalam perundangan syariah. Namun memberi kemaafan ada kalanya lebih digalakkan.

Prinsip Islam ini mampu berperanan dalam situasi pasca-konflik seperti di Iraq, Afghanistan, serta di negara Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat. Penyelesaian konflik menitikberatkan kepentingan menggabungkan pelaksanaan keadilan bersama elemen afwa dan ihsan. Firman Allah dalam surah al Imran ayat 34 menyebut, “orang-orang yang menahan kemarahannya, serta yang memaafkan kesalahan orang,”

Al-Quran juga menyentuh mengenai kesamarataan dalam hukuman, namun turut menggandingkannya dengan elemen kemaafan.

Firman Allah dalam surah Asy Syuura ayat 40 menyebut, “Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”

Keampunan, kebaikan saling melengkapi

Justeru, jelaslah walaupun al-Quran prihatin terhadap aspek kewajaran hukuman, ia lebih cenderung kepada kemaafan. Malah, dalam surah yang sama turut menyebut mengenai keutamaan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan pihak lain terhadap diri sendiri.

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan,”. (Surah Asy Syuura ayat 43).
Namun, jika seseorang memilih untuk bertindak balas, tindakannya haruslah setara dengan kemudaratan yang telah dikenakan ke atasnya.

Allah memerintahkan Rasulullah SAW: “terimalah kemaafan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil” (Surah al-A’raaf ayat 199).

Keampunan, kebaikan saling melengkapi

Justeru, keampunan dan kebaikan saling lengkap-melengkapi. Seseorang individu disarankan berpaling daripada provokasi golongan jahil yang melakukan kesalahan ke atasnya. Rasulullah SAW sendiri memuji sikap memberi kemaafan:

“Kemaafan tidak pernah gagal membawa kehormatan kepada seorang hamba Allah apabila dia melakukannya (demi mendapat keredaan-Nya),”

Rasulullah SAW sendiri, ketika pembukaan Makkah mengampunkan kesemua penduduk Makkah termasuk musuh Baginda yang pernah menzaliminya dan ahli keluarganya.

`Afuww (Maha Pemurah) juga adalah Nama Allah Yang Agong (Asma` al-Husna):
”Atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa,” (Surah al-Nisaa’ ayat 149).

Memberi kemaafan juga keistimewaan para rasul. Jabir bin` Abd Allah meriwayatkan seorang wanita Yahudi Khaibar menghidangkan daging beracun kepada Nabi SAW.

Baginda memakan sedikit daripadanya, manakala selebihnya dimakan oleh para sahabat, sehingga mereka jatuh sakit. Nabi SAW bertanya perempuan tersebut “Adakah kamu meletakkan racun ke dalam daging itu?” dia menjawab: “Ya”.

Para sahabat yang hadir bertanya kepada Nabi : “Tidakkah sewajarnya dia dibunuh?” Nabi SAW melarang, malah memaafkan perempuan tersebut. Dua peristiwa seterusnya juga amat menarik perhatian saya.

Jabir bin Abd Allah meriwayatkan ketika pulang dari peperangan, Baginda SAW berehat di bawah sebuah pokok dengan menggantungkan pedang pada dahannya.

“Dan kami semua tertidur. Kemudian Nabi SAW mengejutkan kami apabila Baginda menangkap seorang Badawi yang mengambil pedang Baginda dan mahu menyerangnya. Nabi SAW bangun menyoal siasat lelaki itu, kemudian Baginda memaafkan dan melepaskannya.

Diriwayatkan daripada `Abd Allah ibn Mas`ud, Nabi SAW tercedera di dalam peperangan Uhud. Sambil menyapu darah pada wajahnya, Baginda bersabda : “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui,” iaitu perkataan yang pernah diucapkan Nabi Nuh a.s.

Penelitian menyeluruh terhadap mesej ini memberikan kefahaman berbeza terhadap imej Islam yang sering digambarkan sebagai keras dan penuh dengan hukuman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Akademi Ramadhan 1435H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Jun 22, 2014

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1435H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-6 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan terutama siswa/wi yang sedang cuti semester.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga Kitab Mukhtasor Mubatdi Edisi jawi / Rumi RM 8.00 ( 1 buah )
  • Harga kitab Hidayah Salikin edisi jawi RM4.00
  • Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00.
  • Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang)
  • Bagi muslimat yang ingin tinggal kawasan pondok sila hubungi Ustazah Fadhilah (0145429086)

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 2 Ramadhan 1435H bersamaan 30 Jun 2014M (Isnin)
jam 8.30 pagi

JADUAL AKADEMI PONDOK 1434H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.30 am Kitab : Mukhtasor Mubtadi

30 Jun 2014M

2 Ramadhan 1435H

hingga 23 Julai 2014M bersamaan 25 Ramadhan 1435H 3.00 – 4.00 pm Kitab : Hidayah Salikin

Setiap Jumaat cuti

# Kitab Mukhtasor Mubtadi melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah

# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir 
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786 H/P :019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Takwa perlukan pembuktian bukan sekadar bercakap

Posted by epondok di Jun 22, 2014

Oleh Lokman Ismail

“Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ketakwaan bererti takut kepada Allah SWT, iaitu melakukan apa disuruh dan menjauhkan perbuatan yang dilarang.
Tahap ketakwaan menjadi penentu sama ada seseorang mampu menempuh kehidupan berdasarkan apa ditetapkan syariat atau terjerumus ke dalam kehidupan yang dipengaruhi oleh syaitan.
Dengan kata lain, kekuatan ketakwaan akan mempengaruhi corak kehidupan manusia dalam melaksanakan tuntutan agama seperti terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis.

Kekuatan takwa dari dalam diri mendorong kekuatan fizikal untuk menempuh kesukaran melaksanakan perintah Allah SWT.

Ia juga menjadi penentu nilai kehidupan manusia di sisi Allah SWT sentiasa diingatkan kepada setiap Muslim agar sentiasa menjaga iman masing-masing.

Memang sikap manusia perlu diingatkan mengenai perkara itu agar tidak mudah dilalaikan oleh hasutan syaitan daripada melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Syaitan sentiasa mendorong manusia melakukan dosa dan kejahatan agar bersama-sama mereka mendiami neraka di akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka itu, musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6) Manusia yang tidak bertakwa akan terikut-ikut dengan ajakan syaitan.

Mereka tidak takut melakukan perkara ditegah dan penderhakaan terhadap Allah SWT. Syaitan menjadi tuan kepada mereka yang tidak bertakwa.

Takwa perlukan pembuktian

Sesungguhnya soal takwa bukan perkara kecil dan sekadar ucapan di mulut. Takwa memerlukan pembuktian melalui tindakan, pelaksanaan dan rasa di dalam hati dengan bersungguh-sungguh.

Imam Ghazali berkata tiga elemen takwa ialah takut, taat dan hati yang bersih. Ketiga-tiga asas itu membantu Muslim memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Mereka takut melakukan perbuatan ditegah, taat melakukan perkara disuruh dan hati yang bersih daripada sifat buruk.

Ada juga orang mengaku bertakwa dan beriman, tetapi masih melakukan dosa. Perkara ini berlaku disebabkan apa yang diucapkan tidak dengan kesungguhan hati.

Mereka tidak bertakwa dan beriman seperti maksud yang sebenarnya.

Sebab itu, jangan mudah mengaku diri sudah termasuk golongan orang yang benar-benar bertakwa sedangkan sifat dan perlakuan membuktikan sebaliknya.

Maka itu, Allah SWT menegaskan agar pengakuan itu dibuktikan dengan sepenuhnya. Ia hendaklah dilakukan dengan sebenar-benarnya mengikut apa yang ditetapkan. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa”. (Surah Ali Imran, ayat 102).

Untuk mendapat kejayaan hidup di dunia dan akhirat perlu berdasarkan kepada konsep ketakwaan.

Sesungguhnya, mereka yang mengikut jalan ditentukan oleh agama tidak akan sesat sepanjang perjalanan hidup di dunia ini kerana peraturan agama adalah petunjuk terbaik untuk panduan hidup seluruh manusia.

Sesungguhnya, ketakwaan memberi keyakinan bahawa apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah SWT.

Capai kejayaan hidup

Pengabdian diri kepada Allah SWT memberi kelebihan mencapai kejayaan hidup. Perjalanan hidup dipenuhi kedamaian, kejayaan dan diredai kerana segala tindakan baik secara rohani dan fizikal berdasarkan kehendak takwa.

Manusia sukar memberi tumpuan kepada perintah Allah SWT disebabkan sentiasa diuji dengan hasutan syaitan. Ganjaran besar diberikan kepada sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripada hasutan syaitan.

Kemuncak kejayaan insan bertakwa ialah mereka dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan oleh Allah SWT. Inilah matlamat terakhir yang diidam-idamkan oleh setiap manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Syurga) itu disediakan untuk orang bertakwa”. (Surah Ali Imran, ayat 133).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tentera-tentera Allah

Posted by epondok di Jun 21, 2014

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 133 yang bermaksud: Lalu kami lepaskan banjir besar, angkatan belalang, kutu-kutu, katak-katak dan darah menyerang mereka sebagai bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tetap berlagak angkuh dan mereka adalah kaum yang berdosa.

Al-Sobuni berkata dalam tafsirnya Sofwah al-Tafasir: “Kami utuskan ke atas mereka hujan yang lebat sehingga membutakan mereka dan hampir-hampir binasa.”

Sayyid Qutub berkata: “Kami telah diceritakan oleh Ibnu Humaid, katanya: “Kami telah diceritakan oleh Ya’qub al-Qummi daripada Ja’far Ibnu al-Mughirah, daripada Sa’id Ibnu Jubair katanya: “Apabila Musa mengadap Firaun, beliau berkata kepada Baginda: “Bebaskan kaum Bani Israel, keluar dari negeri bersama saya.”

Firaun menolak permintaan itu, lalu Allah SWT menimpakan bencana banjir yang besar dengan menurunkan hujan yang lebat ke atas mereka, lalu mereka berkata kepada Musa: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghentikan hujan yang lebat itu. Kami berjanji akan beriman kepada engkau dan akan membebaskan kaum Bani Israel keluar bersama engkau.”

Lalu Musa a.s berdoa kepada Allah SWT, tetapi mereka tidak jaga beriman kepada-Nya dan tidak pula membebaskan kaum Bani Israel keluar bersamanya.

Tanaman

Kemudian pada tahun itu juga Allah SWT menumbuhkan tanam-tanaman, pokok-pokok buah-buahan dan rumput-rampai yang amat subur, yang belum pernah berlaku sebelum ini. Lalu mereka berkata: “Inilah yang menjadi angan-angan kami.”

Lalu Allah melepaskan angkatan belalang memakan rumput-rampai yang subur itu. Apabila mereka melihat kesan-kesan serangan belalang ke atas rumput-rampai itu, mereka yakin tanaman mereka akan musnah, lalu mereka berkata kepada Musa: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghapuskan serangan belalang daripada kami dan kami berjanji akan beriman kepada engkau dan membebaskan kaum Bani Israel pergi bersama engkau.

Lalu Musa pun berdoa kepada Allah SWT, lalu Dia telah menghapuskan bencana serangan belalang daripada mereka, tetapi mereka tidak juga beriman dan tidak pula membebaskan kaum Bani Israel.

Kemudian mereka melakukan kerja memukul pokok-pokok gandum dan menyimpannya di rumah-rumah mereka, lalu mereka berkata dengan bangga: “Semua hasil tanaman kami selamat disimpan.” Tidak lama kemudian Allah SWT menghantar pula angkatan kutu iaitu serangan bubuk yang keluar daripada biji-biji gandum, lalu merosakkan gandum mereka sehingga jika seorang membawa 10 gantang untuk dikisar, maka hanya tiga cupak sahaja yang dapat diambil (iaitu kira-kira tiga persepuluh sahaja daripada biji-biji gandum yang dirosakkan oleh bubuk itu dapat diambil apabila dikisar!).

Lalu mereka merayu kepada Musa dan berkata: “Wahai Musa! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya menghapuskan bencana bubuk daripada kami. Dan kami berjanji akan beriman kepada engkau dan membebaskan kaum Bani Israel pergi bersama engkau.”

Musa sekali lagi berdoa kepada Allah, lalu Allah pun menghapuskan bencana itu daripada mereka, tetapi mereka tetap enggan membebaskan kaum bani Israel.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »