Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Lalai dalam ibadat

Posted by epondok di Mei 31, 2014


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

 

Sesuatu yang sangat mempengaruhi hidup kita sebagai umat Islam adalah amalan solat. Pada hari akhirat nanti, antara soalan utama yang bakal ditanya terlebih dulu oleh Allah adalah bagaimana dengan solat kita ketika hayat di dunia.

Memang menyedihkan apabila mengetahui fakta yang ramai umat Islam sekadar mengaku Islam tetapi meninggalkan solat fardu yang diwajibkan ke atas kita lima kali sehari.
Jika tidak percaya, cuba berjalan di kawasan beli-belah pada Jumaat dan kita akan melihat ramai lelaki Muslim yang tanpa segan silu bersiar-siar di situ ketika waktu solat Jumaat.

Begitu juga kawasan tempat tinggal saya dulu. Ketika orang lain bergegas ke masjid, ada sekumpulan lelaki pelbagai peringkat usia makan dan bersembang di kedai kopi tanpa segan silu dan rasa bersalah.
Namun bukan itu sebenarnya yang ingin saya bicarakan dalam artikel kali ini. Saya berasa lebih terpanggil untuk mengingatkan diri saya dan rakan lain mengenai solat yang tidak sempurna.
Solat lima kali sehari semalam tanpa pernah tinggal namun sayang, solatnya mungkin cacat pada mata Allah SWT.

Ketika di sekolah dulu, saya mengaku keliru apabila terbaca tafsir al-Quran bahasa Melayu, Surah al-Ma’un, ayat 4 dan 5 yang bermaksud: “Celakalah bagi orang yang menunaikan solat iaitu orang yang lalai terhadap solatnya.”

Bagaimana Allah boleh menempelak orang yang menunaikan solat? Bagaimana pula orang yang melakukan solat itu boleh dipanggil lalai, sedangkan dia menunaikan solat?

Persoalan itu membuatkan saya tertanya-tanya mengapa solat salah, tidak solat pun salah. Apabila usia meningkat dewasa, saya menemui jawapan dan maksud sebenar apa yang cuba disampaikan Allah dalam wahyu-Nya.

Tidak dinafikan, memang ramai umat Islam meninggalkan solat tetapi masih ramai juga yang menunaikan solat. Namun persoalannya, sejauh mana kualiti ‘persembahan’ solat kita pada Allah setiap waktu dan hari?

Secara puratanya, jika me-ngambil kira lima minit untuk setiap solat, kita hanya perlu melapangkan masa sebanyak 25 minit saja daripada 1,440 minit yang diperuntukkan kepada kita setiap hari.

Namun, kadangkala mungkin kita berasakan begitu berat untuk melepaskan 25 minit itu bagi meluangkan masa berkualiti bersama Allah kerana sibuk dengan pelbagai urusan.

Mungkin juga kadangkala kita tidak berasa solat itu sebagai ‘sesi perjumpaan’ kita bersama Allah, sebaliknya berasa terpaksa kerana ia sesuatu yang diwajibkan.

Jadi kita melakukannya sambil lewa. Surah al-Fatihah dan bacaan lain dalam solat dibaca selaju mungkin, rukun solat tidak dilakukan dengan sempurna. Ada kala solat boleh dilakukan dalam masa dua minit saja.

Malah, tidak kurang juga ada yang menjadi makmum tetapi malangnya lebih cepat daripada imam. Belum pun sempat imam bangun daripada sujud, dia sudah berdiri tegak. Imam baru memberi salam pertama, dia sudah selesai memberi salam kedua.

Maka hilanglah tajwid, tamakninah dan lain-lain. Hilanglah juga tujuan pensyariatan solat ke atas umat Islam. Solat hanya dilakukan untuk memenuhi syarat. Justeru, bagaimana solat kita mahu dipandang Allah.

Jika kita dapat melihat betapa pentingnya solat itu, pasti kita akan memandang dunia ini sekecil-kecilnya.

Solat adalah penghubung kita dengan Allah, solat juga sesi terbaik untuk kita mengadu apa yang kita rasakan tidak sempurna dalam hidup kita.

Perbaiki solat, insya-Allah hidup lebih bahagia. Utamakan Allah, insya-Allah dunia akan mengikuti kita.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: