Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mengislahkan ummah

Posted by epondok di Mei 24, 2014


ABU Laith al-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih al-Ghafilin berkata: “Seorang yang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar harus melengkapi lima syarat iaitu;

Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak memahami amar makruf dan nahi mungkar.

Ikhlas kerana Allah SWT dan menegakkan agama. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali r.a: “Bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya supaya setiap amalannya diterima oleh Allah SWT.”

-Kasih dan sayang

-Ramah mesra

-Jangan menggunakan kekerasan sebab Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Luqman: 17)

Sayyid Qutub dalam fi zilal al-Quran berkata: “Inilah jalan akidah yang tersusun iaitu mentauhidkan Allah SWT, menyedari wujudnya pengawasan Allah SWT, meletakkan harapan pada balasan yang disediakan di sisi-Nya, percaya kepada keadilan Allah SWT dan takut kepada balasan-Nya.

“Kemudian berpindah pula kepada kegiatan berdakwah, iaitu menyeru manusia memperbaiki keadaan diri mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan dan melarang mereka berbuat kemungkaran.

“Dan sebelum menghadapi perjuangan menentang kejahatan itu, seseorang harus berbekal dengan bekalan utama iaitu, bekalan ibadat kepada Allah SWT, bertawajjuhlah kepada-Nya dengan solat dan sabar menanggung kesulitan yang dialami oleh setiap pendakwah kepada agama Allah SWT, iaitu kesulitan akibat daripada kedegilan dan penyelewengan hati manusia, kesulitan akibat daripada kelancangan lidah dan daripada kejahatan tindak tanduk manusia, juga kesulitan akibat daripada kesukaran kewangan dan pengorbanan jiwa ketika diperlukan.”

Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sehingga tidak termasuk dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. (al-Baqarah: 44)

Prinsip al-Nahy ‘an al-Mungkar dapat dilihat dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan seperti yang dijelaskan menjadi satu bentuk pencegahan. Terutamanya dalam konteks menjenayahkan perkara-perkara yang boleh mendorong atau menjadi faktor kepada pelaku jenayah.

Falsafah ini penting kerana apa juga perkara yang akan membawa atau boleh mendorong kepada jenayah perlu disekat terlebih dahulu sebelum jenayah lebih serius atau ancaman jenayah menjadi bertambah kronik.

Prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubat diterima pakai dalam falsafah undang-undang jenayah Islam dan juga dalam proses mengislahkan ummah. Semoga kita diberi kefahaman dalam melaksanakan segala perintah Allah Yang Maha Esa.

Syarat berdakwah

Al-Sohanji dalam tafsirnya Abr al-Athir berkata: “Golongan yang menjalankan dakwah tersebut hendaklah mempunyai syarat-syarat yang lengkap agar seruan atau dakwahnya itu dapat dijalankan dengan sebaik-baik sehingga menghasilkan contoh yang mudah untuk diteladani. Antaranya:

Hendaklah mengetahui kandungan al-Quran dan al-sunnah perjalanan Nabi SAW serta perjalanan al-Khulafa’ al-Rasyidin.

Hendaklah mengetahui keadaan orang yang diserunya, persediaan, tabiatnya dan pekertinya, iaitu yang berhubung dengan pergaulan hidup mereka.

Hendaklah mengetahui bahasa-bahasa yang digunakan oleh golongan atau umat yang diserunya kerana Nabi SAW pernah menyuruh setengah sahabatnya mempelajari bahasa Ibari (bahasa Yahudi) untuk bertutur kata dengan orang-orang Yahudi yang menjadi jiran mereka dan menyuruh mempelajari keadaan mereka.

Hendaklah mengetahui jenis agama-agama dan mazhab-mazhab sesuatu umat atau bangsa, supaya diketahuinya mana-mana yang batil atau yang salah sebab sesuatu yang batil atau salah itu sekiranya tidak dapat diperlihatkan dengan jelas, tidak mudah manusia mahu menoleh kepada yang hak yang dipunyai oleh orang lain – walaupun ia berkali-kali diseru agar mengikutnya.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: