Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2014

Makanan bentuk hati manusia

Posted by epondok di Mei 30, 2014

Oleh UMMU KHAULAH

 

MENURUT Imam  Al-Ghazali, perut yang kenyang walaupun dengan makanan halal adalah satu daripada pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Ini kerana rasa kenyang akan menguatkan dan membangkitkan syahwat sedangkan syahwat adalah senjata utama syaitan untuk berada di hati manusia.

Banyak makan menghilangkan rasa takut kepada ALLAH SWT, menghilangkan kasih sayang sesama makhluk, berat hati untuk melaksanakan ketaatan dan menimbulkan pelbagai penyakit yang boleh menghalang kepada amal ibadah manusia.

Hati adalah raja kepada setiap tindak-tanduk manusia. Jika hati itu baik, baiklah segala tingkah lakunya dan sebaliknya. Hati yang kotor dan mati pula adalah akibat daripada makan secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Sudah semestinya apabila sahabat kita adalah syaitan, maka segala perbuatan dan tingkah laku akan menurut sebagaimana yang dikehendaki syaitan.

Apabila kita terlalu banyak makan, ia menguatkan nafsu dan sentiasa terarah kepada melakukan perkara jahat. Akibatnya kita malas untuk beribadah dan sentiasa berasa resah.

Makanan dimakan itu walaupun lazat tetapi tidak berkhasiat dan mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan menyebabkan kesihatan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit sekali gus, menghalang kepada amal ibadah.

Justeru, menjadi kewajipan kepada kita sebagai umat Islam memilih makanan halal lagi baik, dan sumber kewangan yang diperoleh untuk mendapatkan makanan juga adalah daripada yang halal.


Makanan berkat

Mencari keberkatan dalam soal makan dan minum penting kepada Muslim. Ini kerana keberkatan dalam makanan juga menjadikan hidup kita berkat.

Asas utama dalam soal keberkatan makanan ini semestinya lahir daripada fizikal makanan itu sendiri yang halalan tayyiba (halal lagi suci).

Meninggalkan yang haram adalah tanda takwa, manakala meninggalkan shubhah pula adalah realisasi sifat warak dalam diri Muslim.

Al-Junayd berkata, sucinya makanan, pakaian dan tempat tinggal daripada perkara yang haram akan memperelok lagi seluruh amalan dan perbuatan seseorang.

Berkat juga lahir daripada makanan yang berkhasiat, bernutrien tinggi  dan selamat tanpa mengandungi bahan yang boleh membahayakan kesihatan dan akhirnya memperkuatkan tubuh badan kita untuk mencari rezeki dan melaksanakan pelbagai ketaatan yang lain lagi. Pendek kata, rezeki yang berkat ini sentiasa mengalir pahalanya.

Menurut al-Ghazali, perlu bagi seseorang berniat apa dimakannya itu untuk takwa kepada ALLAH dan melakukan ketaatan kepada-Nya.

Bahkan beliau turut menambah seseorang itu perlu berazam dalam dirinya untuk mengurangkan makan sekiranya mereka makan hanya untuk memberikan kekuatan, maka ia adalah ibadah. Ini kerana kekenyangan akan menghalangnya daripada beribadah dan tidak mampu menguatkan ibadahnya.
 

Adab makan dalam Islam

Kita dilarang  sama sekali mencela setiap makanan yang dihidangkan kerana walau apa bentuk sekalipun makanan tersebut, ia adalah rezeki yang dikurniakan ALLAH.

Seorang sahabat meriwayatkan: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mencela makanan. Jika makanan itu menyelerakan, maka Baginda SAW memakannya, jika tidak menyelerakan, maka Baginda SAW diam”. (Riwayat Muslim)

Keberkatan juga lahir apabila kita menikmati makanan secara berjemaah dan tidak secara sendirian terutamanya untuk menjauhi sifat tamak dan rakus. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berkumpullah kamu untuk makan dan ingatlah nama ALLAH, nescaya kamu akan diberkati”. (Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah)

Secara khususnya, adab makan dimulakan dengan membasuh tangan sebelum makan jika tangan kotor, memulakan makan dengan Basmalah dan niat untuk takwa dan taat kepada ALLAH, makan menggunakan tangan kanan, duduk di atas kaki kiri  dan melipat kaki kanan ke perut, mengurangkan suapan dan memperelok kunyahan,  tidak menyuap suapan yang lain jika makanan dalam mulut belum ditelan, menelan makanan dengan sedikit untuk tidak menampakkan kerakusan, mengucapkan Hamdalah setelah selesai makan, menjilat jari jemari setelah selesai makan lalu membasuhnya, serta makan secara tidak berlebihan dan tidak terlalu sedikit sehingga mengurangkan tenaga dan zat bagi perkembangan tubuh.
 

Berlapar, Tarbiyah jiwa

Islam itu indah. Nafsu manusia diurus dan dididik dengan sempurna. Oleh kerana itulah Islam mensyariatkan kepada umatnya untuk berpuasa bagi mengekang hawa nafsu mereka.

Puasa, langkah utama mengendalikan nafsu manusia bersesuaian sekali dengan maksud puasa itu sendiri untuk menahan diri daripada makan, minum, menjaga penglihatan, memelihara pendengaran, dan menjaga anggota badan daripada berbuat dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan muda, jika antara kalian ada yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah. Kerana itu sangat baik untuk memelihara penglihatan dan kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu merupakan penawar nafsu syahwat”. (Riwayat Bukhari)

Puasa atau berlapar adalah latihan jiwa dan benteng hawa nafsu yang terbaik bagi seseorang Muslim. Makan dan minum sekadar dapat membekali seseorang sehingga mampu menegakkan seluruh kewajipan yang diperintahkan. Makan dengan kadar demikian adalah wajib hukumnya.

Banyak makan selagi tidak terlebih batasan kenyang adalah dibolehkan dan berlebih-lebihan dalam makan adalah haram hukumnya. Berlapar bukan bermaksud tidak makan tetapi dengan mengurangkan kuantiti makanan dan mengurangkan waktu makan sebagaimana kebiasaannya tiga kali sehari.

Al-Ghazali menyatakan terdapat faedah yang besar daripada berlapar ini di mana antaranya ialah memecahkan syahwat dan maksiat serta menahan nafsu daripada melakukan sebarang kejahatan. Ini adalah kerana bermulanya sesuatu maksiat adalah dengan nafsu dan mengurangkan makan akan melemahkan nafsu tersebut.

Dengan berlapar juga dapat mencegah tidur dan meneruskan berjaga malam kerana orang yang banyak makan akan banyaklah tidurnya. Malahan, dengan mengurangkan makan akan menyihatkan badan dan mengelakkan penyakit  daripada menyerang.

Ini kerana punca sesuatu penyakit kebanyakannya  daripada tabiat banyak makan.

Bahkan apabila berlapar, hati juga akan mudah memiliki rasa ingin mengutamakan orang lain dan menghargai anak yatim serta orang miskin yang berada di sekelilingnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sains di sebalik Israk dan Mikraj

Posted by epondok di Mei 29, 2014

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

SABAN tahun tatkala melangkah masuk Rejab, sejarah penting yang berlaku dalam bulan ini antaranya peristiwa pengembaraan dan perjalanan luar biasa Nabi Muhammad SAW untuk menemui ALLAH SWT (Israk dan Mikraj). Terlampau banyak hikmah yang boleh diteladani dalamnya.

Dalam peristiwa yang berlaku usai solat Isyak, Baginda SAW berada di Masjidilharam dibawa ke Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin kemudian menaiki buraq terus ke langit ke tujuh, semuanya berlaku dalam tempoh satu malam. Maha Besar ALLAH, Tuhan sekalian alam!

Tahun kesedihan Baginda SAW

Pendakwah, Ustaz Shahrizan Daud menjelaskan, dalam riwayat dan pengkajian kebanyakan ulama sejarah, antara faktor berlakunya peristiwa Israk Mikraj adalah kerana ALLAH berkehendak memujuk kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana pada tahun berkenaan juga menjadi tahun kesedihan bagi Rasulullah SAW.  Dalam tahun yang dikenali sebagai aamul hazni (tahun kesedihan), Baginda SAW kehilangan dua insan tersayang dan mempunyai peranan sangat penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu pemergian isteri tercinta, Siti Khadijah binti Khuwailid serta bapa saudara yang memeliharanya semenjak kecil lagi iaitu Abu Talib bin Abdul Mutallib.

“Pemergian kedua-dua insan penting ini berlaku dalam keadaan kehidupan Rasulullah SAW dan golongan sahabatnya penuh dengan tekanan, pemboikotan dan banyak menerima ancaman bunuh daripada golongan kafir Quraisy ketika itu.

“Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sahaja sebagai faktor pujukan ALLAH terhadap Rasulullah SAW semata-mata. Sebaliknya, ia juga adalah saat di mana kefarduan ibadat solat lima waktu disuruh ALLAH dan beberapa gambaran simbolik berkaitan azab dan nikmat pada hari akhirat nanti,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, malah peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah satu ujian kepada golongan sahabat yang pernah beriman dan mengikuti Rasulullah SAW.

Dalam riwayat sejarah yang lain ada menyatakan terdapat sebilangan daripada mereka telah murtad dan keluar daripada agama Islam hasil daripada perjalanan Israk dan Mikraj kerana ketidakpercayaan mereka kepada peristiwa luar biasa yang tidak mampu diterima akal.

Keimanan dan logik akal

“Dalam ruangan Halaqah kali ini, saya cuba mengaitkan peristiwa agung ini dengan faktor keimanan dan logik akal menurut perspektif sains melalui perbincangan saya dengan beberapa ahli sains dan astronomi.

“Antaranya penggiat Astronomi Amatur Malaysia dan pengasas http://www.falakonline.net, Shahrin Ahmad.

“Dapat dilihat perkaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini adalah melalui teori kecepatan kelajuan cahaya.

“Dilihat secara umum, teori E=mc² bersumberkan peristiwa Israk dan Mikraj daripada pengkajian pakar fizik iaitu Albert Eistein, beliau mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum.

“Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam. Hampir tiada langsung yang mempercayainya kerana konsep pengiraan: Halaju cahaya = 300,000 km/s. Buktinya sebagai contoh, cahaya tanpa henti untuk sampai ke penghujung alam semesta yang dapat dilihat hari ini melalui teleskop mengambil masa kira-kira 13.1 bilion tahun,” katanya yang turut bertugas sebagai tenaga pengajar di Usrah Fitrah dan perunding latihan ini.

Beliau menambah, dengan alasan inilah mereka (orang bukan Islam) beranggapan adalah mustahil untuk Nabi Muhammad SAW mengembara dalam hanya satu malam.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.” (Surah Al-Isra’: 60)

Teguh mempercayainya

Siapalah kita untuk tidak mempercayai peristiwa agung ini. Ia bukan untuk difikirkan dengan menggunakan akal logik semata-mata, malah paling utama, sebagai seorang yang mengaku beriman, sudah pasti kita akan mempercayainya walaupun ia tidak mampu diterima dek akal.

Inilah bukti iman, iaitu antaranya mempercayai perkara yang ghaib dan tidak boleh dilihat dengan mata.

Inilah bukti yang cuba ditunjukkan oleh sahabat Baginda SAW yang sentiasa membenarkan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq tatkala kafir Quraisy mengatakan Muhammad ke Masjidil Aqsa dalam tempoh satu malam yang diceritakan kepadanya sebagai satu ejekan dan untuk merendahkan Nabi Muhammad SAW .

Namun apa yang dijawab oleh Abu Bakar As Siddiq, dengan lantang beliau berkata: “Kalaulah nabi Muhammad yang menceritakan perkara ini, jangankan ke Masjidil Aqsa, malah jika lebih jauh daripada itu pun, pasti aku akan mempercayainya”.

Sains & kesahihannya

Sementara itu, Shahrin menerangkan mengenai perkaitan ringkas teori dan peristiwa ini dari segi istilah sains dan kesahihannya antara jisim dan tenaga.

Menurutnya, Teori Relativiti Khas E=mc² adalah sesuatu jisim yang bergerak dengan halaju cahaya, ia akan berubah bentuk menjadi tenaga manakala tenaga yang terhasil ini jika dikembalikan kepada jisim asal, akan terdapat ralat atau kecacatan pada jisim tersebut dengan erti kata lain, bukan dalam keadaan asalnya.

“Supaya lebih  mudah difahami, lihat sebuah bantal berisi kekabu separa padat dan lakukan eksperimen ke atasnya. Kemudian ayunkan selaju mungkin dengan memegang pada satu bahagian dan cuba lihat bagaimana keadaan bahagian yang lain?

Sudah pasti keadaannya akan berubah daripada bentuk asalnya.

“Itulah jika diibaratkan dengan badan manusia. apabila kelajuan disentuh pada permukaan kulit, ia akan berubah mengikut bentuk permukaan yang menyentuhnya,” katanya.

Menurutnya, pada fizikal tubuh dan jasad Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat sebarang perubahan walau sedikit pun. Jika dilihat dari segi faktor teori sains fizik, langsung tidak tersenarai faktor lengkap yang menyebabkan kegagalan teori tersebut.

Sebabnya adalah sangat mudah. Ini adalah kerana ALLAH memelihara badan Nabi Muhammad SAW daripada segala kecacatan dan kekurangan.

Persoalan logik ini juga barangkali sesuai jika boleh dikaitkan dengan teori kelajuan cahaya iaitu: With The Speed Of Light, A Person Is No Bound To Time And Space (dengan kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Solat lima waktu anugerah paling berharga untuk mukmin

Posted by epondok di Mei 28, 2014

Israk peristiwa besar dan bersejarah dalam Islam satu bukti kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Sebagai orang beriman, kita wajib meyakini Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari bumi Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin.

Al-Mi’raj pula adalah perjalanan yang dimulakan dari Masjid al-Aqsa ke langit ketujuh ditemani Malaikat Jibril.
Ulama dalam kalangan salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqih dan ulama Islam bersepakat peristiwa agung ini berlaku dengan roh dan jasad dalam keadaan Baginda sedar, bukanlah mimpi.

Bahkan, tidak ada sebarang perselisihan dalam kalangan ulama berhubung peristiwa itu kerana terdapat nas al-Quran yang jelas mengenainya.

Seperti ayat yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Dalil bagi peristiwa mi’raj tidak dapat dipastikan secara jelas daripada al-Quran melainkan terdapat pendapat menyatakan dalil peristiwa itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihatnya (Jibril dalam rupanya yang asal) pada waktu yang lain, di Sidratul Muntaha.” (Surah al-Najm, ayat 13-14)

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj
Hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj ini, Allah SWT mengurniakan satu perkara yang amat bernilai iaitu kewajipan bersolat lima waktu. Percayalah, solat adalah tangga kejayaan seorang Mukmin di dunia mahupun akhirat terutama bagi mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkan khusyuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Inilah kejayaan paling besar bagi seorang Mukmin sejati kerana ia tidak akan dapat dicapai jika kita masih lagi beranggapan solat itu hanya sekadar tuntutan yang wajib ditunaikan walhal Allah SWT telah menjanjikan ganjaran sangat berharga kesan dari solat yang khusyuk.

Sedarlah, amat malang bagi mereka yang mendirikan solat, tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada solatnya bahkan hanya penat lelah semata-mata.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu sekalian perkara yang menghapuskan segala kesalahan yang kamu kerjakan dan mengangkat darjatmu? Mereka berkata: Silakan wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah: Melakukan wuduk dengan sempurna, memperbanyakkan langkah menuju ke masjid, menunggu-nunggu solat fardu yang seterusnya setelah menunaikan solat, maka ini adalah pengikat (yang mengikat dirinya dengan ketaatan).”

Percayalah, solat adalah jalan terbaik bagi orang yang bertakwa mengadu dan menyerah diri kepada ketentuan dan petunjuk Allah SWT. Yakinlah, Allah SWT pasti memberi jalan penyelesaian atau memberi kekuatan dan kesabaran.

Hikmah di sebalik tuntutan solat

Hikmah di sebalik tuntutan solat, hati tenang menghadapi ujian. Solat yang didirikan semata-mata kerana Allah, akan memberi ketenangan. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah ketika berhadapan dengan kegagalan, kesakitan atau kekurangan dalam hidup.

Sesungguhnya hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada hamba-Nya. Rezeki bukan hanya dilihat kepada harta ia merangkumi setiap aspek kehidupan seperti ahli keluarga yang soleh dan solehah, umur panjang, kehidupan bahagia di dunia serta akhirat.

Berdasarkan situasi dan cabaran masa kini, inilah ketikanya kita semua perlu sedar dan jadikanlah solat terutama solat berjemaah sebagai penawar, sumber kekuatan serta jalan keluar bagi sebarang masalah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Dunia penjara bagi Mukmim, ‘syurga’ orang kafir

Posted by epondok di Mei 27, 2014

Memperingati Israk Mikraj, umat Islam mestilah sentiasa memberi perhatian kepada permasalahan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa kerana peristiwa ini menjelaskan tautan rapat antara kedua-dua masjid ini serta kesuciannya kepada masyarakat Islam.

Baitulmaqdis telah dinobatkan sebagai kota suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Pembebasan kota ini menjadi kewajipan kepada umat Islam seluruhnya. Kita juga dapat mengambil seribu pengajaran lain pada peristiwa Israk Mikraj.
Antaranya, kita dilarang meletakkan pergantungan kepada dunia kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dunia ini untuk mereka yang mengharapkan akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim)

Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan dunia adalah penjara bagi Mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan serta ancaman yang mencabar keimanan mereka.

Manfaat dunia secara bijaksana

Justeru, selaku orang Mukmin kita diseru memanfaatkan dunia secara bijaksana dengan menjadikan dunia jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah SWT akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).
Jabir bin Abdullah berkata: “Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW, maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW? Sabda Baginda SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa’ir.”

Kita hendaklah mengembalikan kecintaan kepada Allah SWT kerana kepada-Nya tempat kembalinya kita semua. Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk mendapatkan kecintaan kepada Allah SWT, mestilah membanyakkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan. Sentiasa bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Pelihara solat pintu memperkukuh ummah

Posted by epondok di Mei 26, 2014

Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid
Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab amat berkait rapat dengan solat fardu lima waktu yang dikerjakan mukmin. Fardu solat diterima Nabi SAW secara langsung daripada Allah SWT, sekali gus membuktikan pentingnya solat dalam kehidupan seorang mukmin.

Ibadah solat anugerah terbesar dihadiahkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya untuk dilaksanakan sepanjang hayat di dunia ini. Hadiah inilah juga sebab mengapa Allah SWT menjadikan solat sebagai keutamaan dalam menghisab amal umat Islam pada hari akhirat kelak.
Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari akhirat ialah solat seseorang. Jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terdapat kekurangan dalam solat fardunya, Allah berfirman (kepada Malaikat): Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari solat fardunya?” (Hadis hasan riwayat al-Tirmizi)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Pahala bersamaan 50 waktu

Sungguh berbahagia dan beruntung seorang mukmin yang mendirikan solat seperti diperintahkan Allah SWT, kerana walaupun solat fardu yang pada asalnya 50 waktu hanya tinggal lima fardu saja, namun tetap mendapat ganjaran pahala 50 fardu.

Anas bin Malik berkata, “Diwajibkan solat ke atas Rasulullah SAW pada malam Israk dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan sehingga menjadi lima waktu. Setelah itu Rasulullah SAW diseru: Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu lima waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu.” (Riwayat al-Nasa’ie dan Ahmad)

Apabila seorang mukmin sentiasa mengingat Allah SWT melalui solat yang dilaksanakan dengan baik dan ikhlas, maka pengaruh solat itu akan membekas di jiwanya. Ia akan merasa dirinya sentiasa dalam pengawasan Allah SWT di mana saja, begitu juga sewaktu ia solat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam hari ini berpunca daripada pengabaian solat, selain tidak menjaga kualiti solat sehingga menghilangkan roh solat itu sendiri menyebabkan umat Islam masih tetap terjerumus ke lembah maksiat.

Imam Hasan al-Basri berkata, “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara (iaitu) ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan berzikir. Jika engkau merasakan kemanisan dalam ibadah itu, maka bergembiralah kerana hatimu masih hidup dan sihat. Namun, jika engkau tidak merasakan kemanisan dalam ibadah itu, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah bentuk jati diri Muslim

Posted by epondok di Mei 25, 2014

Oleh Isfadiah Mohd Dasuki
Kewajipan ibu bapa bentuk akhlak anak dengan mengutamakan solat berjemaah

Akhlak anak mudah terarah dan dibentuk melalui penghayatan ibadah mereka. Malah, sabda Nabi Muhammad SAW sewaktu menegaskan tujuan Baginda diutuskan adalah demi membentuk keperibadian akhlak dan personaliti unggul.
Justeru, ibadah yang menjadi kewajipan kepada kita khasnya ibadah khusus adalah titik tolak kepada pembentukan personaliti dan sahsiah murni. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah memahami pembentukan akhlak yang terhasil daripada ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Memanglah ibadah itu perintah Allah SWT, tetapi manfaat daripada seluruh perlakuan ibadah ini akan kembali kepada manusia juga.

Ajak anak lakukan ibadah

Menganjurkan dan mengajak anak melakukan ibadah adalah satu aspek penting selain mendidik mereka menghayati serta mengambil mesej pembentukan personaliti daripada setiap ibadah itu.

Contohnya, solat lima waktu sehari semalam mengajar kita mengenai pengurusan masa.
Waktu solat yang mempunyai tempoh tertentu menjelaskan kepada kita akhlak Muslim adalah menjaga, mengurus serta menghormati waktu dan penuhi hak urusan pada waktunya.

Sebelum solat kita perlu memastikan diri bersih daripada segala najis, ia mengajar menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan sekeliling. Peribadi Muslim sebenar ialah mencintai kebersihan kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Solat setiap hari dan dilakukan secara berulang-ulang memberi mesej kepada kita, latihan yang berulang-ulang adalah tuntutan untuk memahirkan diri dengan sesuatu perkara dan tidak mudah berputus asa.

Solat juga mementingkan kualiti yang menentukan khusyuk, maka peribadi murni akan sentiasa mengutamakan fokus dalam melakukan sesuatu. Niat menunaikan solat menjadikan kita seorang yang mempunyai matlamat serta hala tuju dalam hidup.

Keindahan solat berjemaah

Keindahan solat berjemaah membolehkan kita bersosial dengan ahli masyarakat serta menjalinkan silaturahim. Hubungan sesama manusia perlu dihiasi perasaan saling hormat menghormati serta bekerjasama melakukan sesuatu perkara.

Jemaah juga perlu patuh kepada ketua, tertib dan adil menegur ketua selain memberi contoh yang baik. Sifat saling bekerjasama menjadikan perkara berat jadi ringan dan pada masa sama memperkukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam.

Daripada ibadah solat saja, banyak nilai baik dapat diterapkan untuk membina keperibadian mulia yang seharusnya dimiliki setiap individu Muslim. Sabda Rasulullah SAW, solat mencegah daripada perkara keji dan mungkar.

Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Anak tidak mengendahkan ibu bapa kerana mereka lalai dalam solat, suami isteri tidak aman kerana meninggalkan solat. Maha suci Allah yang telah mengarahkan kita dengan perintah ibadah solat demi memunculkan peribadi mulia maka rugilah kita kerana tidak memahami anugerah hebat Allah SWT ini.

Puasa berkait jati diri Muslim

Ibadah lain seperti puasa juga mempunyai kaitan rapat dengan jati diri Muslim kerana puasa berkait rapat dengan disiplin diri serta pengurusan emosi seperti mengajar erti kesabaran, bersyukur dan bersederhana.

Sementara zakat menumpukan kepada keutuhan masyarakat dan haji adalah pengorbanan serta penyerahan mutlak kepada Allah SWT. Ibadah berkait rapat dengan nilai diri dan semuanya tercermin daripada penampilan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Diriwayatkan oleh Saidatina Aishah: “Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran.” (Riwayat Muslim)

 

 

Ini baru berkisah kepada hikmah diperintahkan Allah SWT untuk menunaikan solat yang disampaikan sendiri kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Sebenarnya, setiap perintah agama, matlamatnya membentuk manusia yang memiliki keperibadian mulia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kementerian Kesihatan sahkan dua produk coklat mengandungi DNA babi

Posted by epondok di Mei 24, 2014

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan keputusan analisis sampel dua produk coklat – Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk dan Coklat Susu dengan Buah Badam dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

 

Bagaimanapun, satu lagi sampel Coklat Susu – Cadbury Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi porcine.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pihak pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta.
Katanya, siasatan dilakukan ke atas tiga sampel coklat Cadbury berkenaan bagi tujuan pemantauan selepas timbul dakwaan dalam media sosial adanya DNA babi dalam produk
Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas dalam rangkaian media sosoal, semalam.

 

“Di dalam media sosial itu telah memaparkan keputusan analisis DNA khinzir (babi)(porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.

 

“Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya,” kata kenyataan itu.
Dua sampel yang disahkan mengandungi DNA Khinzir itu babi ialah Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan satu lagi Coklat Susu dengan Buah Badam – Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

 

“Tindakan berkenaan diambil mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang antara lain bertujuan melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok
(batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

 

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, boleh mengemukakan kepada kementerian melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau http://www.facebook.com/bkkmhq

 

Surat yang tersebar itu menunjukkan tarikh analisis pada 27 Februari 2014 iaitu 3 bulan yang lalu. Namun sumber asal penyebaran ini tidak diketahui dan kepala laporan juga tidak ditunjukkan. Malah terdapat kesalahan pada nama sampel yang tertulis CABBURY dan bukannya CADBURY.

 

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mengislahkan ummah

Posted by epondok di Mei 24, 2014

ABU Laith al-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih al-Ghafilin berkata: “Seorang yang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar harus melengkapi lima syarat iaitu;

Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak memahami amar makruf dan nahi mungkar.

Ikhlas kerana Allah SWT dan menegakkan agama. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali r.a: “Bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya supaya setiap amalannya diterima oleh Allah SWT.”

-Kasih dan sayang

-Ramah mesra

-Jangan menggunakan kekerasan sebab Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Luqman: 17)

Sayyid Qutub dalam fi zilal al-Quran berkata: “Inilah jalan akidah yang tersusun iaitu mentauhidkan Allah SWT, menyedari wujudnya pengawasan Allah SWT, meletakkan harapan pada balasan yang disediakan di sisi-Nya, percaya kepada keadilan Allah SWT dan takut kepada balasan-Nya.

“Kemudian berpindah pula kepada kegiatan berdakwah, iaitu menyeru manusia memperbaiki keadaan diri mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan dan melarang mereka berbuat kemungkaran.

“Dan sebelum menghadapi perjuangan menentang kejahatan itu, seseorang harus berbekal dengan bekalan utama iaitu, bekalan ibadat kepada Allah SWT, bertawajjuhlah kepada-Nya dengan solat dan sabar menanggung kesulitan yang dialami oleh setiap pendakwah kepada agama Allah SWT, iaitu kesulitan akibat daripada kedegilan dan penyelewengan hati manusia, kesulitan akibat daripada kelancangan lidah dan daripada kejahatan tindak tanduk manusia, juga kesulitan akibat daripada kesukaran kewangan dan pengorbanan jiwa ketika diperlukan.”

Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sehingga tidak termasuk dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. (al-Baqarah: 44)

Prinsip al-Nahy ‘an al-Mungkar dapat dilihat dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan seperti yang dijelaskan menjadi satu bentuk pencegahan. Terutamanya dalam konteks menjenayahkan perkara-perkara yang boleh mendorong atau menjadi faktor kepada pelaku jenayah.

Falsafah ini penting kerana apa juga perkara yang akan membawa atau boleh mendorong kepada jenayah perlu disekat terlebih dahulu sebelum jenayah lebih serius atau ancaman jenayah menjadi bertambah kronik.

Prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubat diterima pakai dalam falsafah undang-undang jenayah Islam dan juga dalam proses mengislahkan ummah. Semoga kita diberi kefahaman dalam melaksanakan segala perintah Allah Yang Maha Esa.

Syarat berdakwah

Al-Sohanji dalam tafsirnya Abr al-Athir berkata: “Golongan yang menjalankan dakwah tersebut hendaklah mempunyai syarat-syarat yang lengkap agar seruan atau dakwahnya itu dapat dijalankan dengan sebaik-baik sehingga menghasilkan contoh yang mudah untuk diteladani. Antaranya:

Hendaklah mengetahui kandungan al-Quran dan al-sunnah perjalanan Nabi SAW serta perjalanan al-Khulafa’ al-Rasyidin.

Hendaklah mengetahui keadaan orang yang diserunya, persediaan, tabiatnya dan pekertinya, iaitu yang berhubung dengan pergaulan hidup mereka.

Hendaklah mengetahui bahasa-bahasa yang digunakan oleh golongan atau umat yang diserunya kerana Nabi SAW pernah menyuruh setengah sahabatnya mempelajari bahasa Ibari (bahasa Yahudi) untuk bertutur kata dengan orang-orang Yahudi yang menjadi jiran mereka dan menyuruh mempelajari keadaan mereka.

Hendaklah mengetahui jenis agama-agama dan mazhab-mazhab sesuatu umat atau bangsa, supaya diketahuinya mana-mana yang batil atau yang salah sebab sesuatu yang batil atau salah itu sekiranya tidak dapat diperlihatkan dengan jelas, tidak mudah manusia mahu menoleh kepada yang hak yang dipunyai oleh orang lain – walaupun ia berkali-kali diseru agar mengikutnya.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Aturcara Hari Murabbi & Isra’ Mikraj Pondok Pasir Tumboh 1435H

Posted by epondok di Mei 23, 2014

Tarikh   : 26 Rejab 1435H bersamaan 26 Mei 2014M (Isnin)

Tempat : Masjid Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan

 

8.30 pagi                    Pelajar dan tetamu jemputan mengambil tempat

 

8.50 pagi                    Ketibaan YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan

 

9.00 pagi                    -Ucapan Pengerusi majlis ( Ustaz Hj Ahmed Khairi b Muhamed)

 

– Bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Abdullah Fahmi

(Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 2014)

 

– Ucapan Aluan Oleh Ustaz Hj Abdul Halim b Abdul Ghani

(Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh)

 

–          Ucapan YB Ustaz Hj Abdul Rahman b Yunus

(Adun Pasir Tumboh)

 

–          Ucapan YB Dato’ Hj Hasan bin Mahmud

(Timbalan Exco negeri Kelantan)

 

–          Ucapan Perasmian oleh

YAB Dato’ Ustaz Hj Ahmad bin Yaakob

(Menteri Besar Kelantan )

 

–          Anugerah Tokoh Murabbi Pondok 1435H

 

–          Penyampaian saguhati kepada guru-guru pondok

 

11.00 pagi                  – Motivasi  Oleh YB Ustaz Hj Abdul Halim Abdul Rahman

(ADUN Chetok /Alumni pondok)

 

1.00 tengahari          Jamuan nasi

 

9.00 Malam               Ceramah Perdana Isra’ & Mikraj Oleh

 

YB Ustaz Hj Ahmad Baihaki b Hj Atiqullah

(Ahli Parlimen Kubang Kerian)

 

YBhg Ustaz Hj Mokhtar bin Senik

( Pondok Penor, Pahang / Pengerusi Alumni Pondok)

 

Semua Muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Al-Quran, Sunnah: Kubu pertahanan diri

Posted by epondok di Mei 23, 2014

PADA zaman dahulu, manusia mengerah keringat, darah dan air mata demi membina kubu pertahanan untuk mempertahankan wilayah atau jajahan takluk. Mereka berkorban hampir apa sahaja termasuk harta dan juga nyawa semasa membina simbol kekuasaan, kekayaan dan kebanggaan itu.

Namun sejauh mana manusia, dahulu dan masa kini, berusaha membina “kubu pertahanan” untuk dirinya?  Dan sejauh mana pula tahap kesedaran manusia terhadap peri pentingnya membina dan menjaga kubu ini secara berterusan dengan penuh iltizam seumur hidup?

Manusia tidak tahu, mungkin tiada kesedaran untuk ambil tahu sehingga ALLAH SWT Maha Bijaksana merencanakan petunjuk pertama-Nya kepada manusia yang paling dipelihara hati dan akalnya iaitu Muhammad bin Abdullah.

Rasulullah SAW sebagai penyebar risalah agung terakhir telah menjalankan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dalam usahanya memperbetulkan dan memperkuatkan akidah manusia melalui keimanan kepada ALLAH semata-mata. Tugas yang dilaksanakan Rasulullah SAW selama 23 tahun tanpa henti atau putus asa itulah “jalan lurus” yang terkandung dalam Ayat-ayat al-Quran manakala perbuatan dan perkataan Baginda SAW (sunnah).

 “Jalan lurus” yang dibina daripada ajaran al-Quran dan sunnah itulah kubu pertahanan diri manusia. Di masa senang atau susah, itulah pegangan nombor satu yang memandu sesuatu rancangan dan pelan tindakan. Di situ terdapat nasihat dan panduan yang jelas dan nyata. Tidak ketinggalan seruan kepada perkara kebaikan dan larangan kepada perkara kejahatan.

Berulang-ulang pesan Baginda SAW supaya manusia jangan pernah berpaling daripada ajaran al-Quran dan sunnahnya. Dalam khutbahnya yang terakhir, antara lain Baginda SAW mengingatkan bahawa manusia sama sekali tidak akan sesat selagi mereka berpegang kepada al-Quran dan sunnahnya.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Uthman bin Affan RA dan Saidina Ali bin Abu Talib RA telah membuktikan bahawa ajaran Islam  membangunkan “kubu pertahanan” yang sama sekali tidak akan runtuh apabila dibina mengikut spesifikasi al-Quran dan Sunnah. Antara bukti ketara adalah pembukaan Kota Makkah, peperangan terhadap golongan murtad dan kemenangan umat Islam ke atas wilayah-wilayah besar di bawah jajahan Kerajaan Parsi dan Rom seperti dijanjikan ALLAH sebelumnya.

ALLAH pasti menjaga hak tiap-tiap manusia yang berusaha menjaga hak-Nya. Persoalannya di sini adakah kita menjaga hak Tuhan yang memiliki dan mengawal segala yang ada di langit dan bumi? Walaupun ada, mana keazaman mendahulukannya daripada hal-hal fatamorgana? Sejauh mana pula kita melakukannya? Sekali-sekala bila teringat? Kadang-kadang bila perlu kerana merasa diri telah cukup untung dan mampu terselamat daripada neraka yang pasti rentung?

Jika semua persoalan di atas memberi jawapan “tidak”, ALLAH masih memberi kita masa dan pilihan untuk membina kubu pertahanan kehidupan masing-masing. Pilihlah untuk membinanya sekarang dan binalah strukturnya dengan ilmu yang betul.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »