Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tok Kenali pelopor transformasi

Posted by epondok di April 19, 2014


TOK KENALI, atau nama sebenarnya Hj Mohamad Yusof Ahmad, adalah seorang ulama pondok tersohor. Lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kelantan sekitar 1860an, beliau bagaikan magnet yang mampu dekatkan pemerintah istana dengan rakyat, antara ahli agama dengan karyawan, serta membina jambatan antara pemimpin dengan orang biasa.

Berguru dengan ulama pondok hebat Hj Wan Ahmad al-Fatoni, beliau mahir dalam pelbagai cabang ilmu agama. Tok Kenali adalah tokoh rohaniah, malah pemikir, penulis dan guru. Di Malaysia, muridnya ribuan orang, datangnya dari dalam dan luar negara.

Malah ramai di antara mereka yang kemudian membuka pondok di merata tempat. Antara muridnya ialah Hj Nik Mahmud Ismail, yang kemudian menjadi Menteri Besar. Sebagai ahli bahasa, beliau mahir 12 ilmu bahasa Arab.

Selama 22 tahun di luar negara, 12 tahun beliau mengajar tauhid, feqah, nahu, tafsir dan tasauf di Makkah. Antara jasanya ialah idea menubuhkan Majlis Agama Islam dan kemudian menjadi anggotanya, menjadi guru besar di Masjid Muhammadi, ahli Majlis Ulama dan pengarang Majalah Pengasuh.

Tok Kenali juga seorang futurist dan berwawasan. Banyak idea dan pandangannya masih relevan hingga ke hari ini. Beliau menekankan adab dan disiplin kerana inilah faktor yang mengangkat maruah sesuatu bangsa.

Katanya, sesuatu bangsa perlu capai kemajuan dengan mencontohi bangsa yang sudah maju dan berjaya, namun penting bertunjang pada tradisi agar tidak menjadi lalai. Beliau mengajar umat bekerja bersungguh-sungguh dan sabar kerana ini adalah kunci kejayaan.

“Manusia tidak menikmati kesempurnaan dengan mudah untuk mendaki ke puncak, kejayaan menghendaki seseorang itu banyak bersabar, kerana kalau berharap mencapai ketinggian dengan tiada berusaha sama seperti orang menjalankan bahtera di atas darat, sebab bahtera tidak ada yang berlari di atas tanah yang kering.”

Dalam melahirkan kekecewaan tentang tahap kemajuan bangsa Melayu yang rendah, beliau sebenarnya mencabar dan mendorong bangsanya untuk bangun menjadi maju.

“Anak-anak putera saya ini tiada sangat berbeza di antara masa mereka berteduh di bawah telinga gajah (kerajaan Siam) dan masa mereka itu berteduh di bawah dagu Singa (kerajaan British)… Ayuhai ahli Semenanjung Tanah Melayu, marilah kita munafakat menjadi satu kalimah, supaya mudah kita buat kerja tolong menolong…

Puaslah saya menanti dari berdiri hingga duduk, dan dari duduk hingga tidur, orang-orang yang pandai buat kerja. Saya harap daripada mereka yang boleh buat kerja itu berhalus-halus dan perlahan-lahan pada menariknya yang liar pada jinak, jangan penat sahaja maksudnya tiada hasil.

Tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok.” Pada saya, jelas Tok Kenali adalah antara pelopor transformasi yang terawal. Beliau mengambil berat tentang umat Melayu-Islam.

Pernah masyarakat berdebat tentang istilah Melayu pada awal 1920an. Ada yang kata Melayu malas, tak bangga menjadi Melayu, malah ada yang mencadangkan supaya istilah ‘Melayu’ ditukar sebab ada bunyi ‘layu’ padanya.

Tapi dalam bahasa Jawa, ‘layu’ maknanya ‘lari’ – ada konotasi laju dan kuat di situ. Tok Kenali mengkaji perkara ini dari sudut etimologi, antropologi dan tingkah laku bangsanya. Akhirnya, dalam Majalah Al-Hidayah (1923), dia melahirkan bangkangannya terhadap cadangan yang tidak munasabah itu.

Katanya, mengubah nama bangsa tidak boleh mengubah tingkah laku orang Melayu. Yang penting ialah perubahan dari segi pendidikan dan kebijaksanaan. Dia mengambil contoh orang Jepun, yang mampu mencapai kemajuan tinggi namun tetap setia dan bangga dengan cara hidup mereka.

Tok Kenali berkata orang Melayu bukan lemah jika dilihat daripada tanggungjawab dan kerja berat yang mereka buat. Dia menjelaskan, orang Eropah pun mengakui otak orang Melayu sama dengan otak orang Jepun.

Kita ingin melihat adanya jiwa dan semangat Tok Kenali dalam kalangan ulama dan tok guru pondok masa kini. Mari kita hayati kata-kata Tok Kenali ini.

Katanya: “Hendaklah kita berbuat sesuatu yang dapat menunjukkan bahawa kita dapat berbuat baik sekurang-kurangnya jauh berbeza dengan masa yang sudah-sudah, diharapkan kepada Tuhan kita berada dalam perubahan yang baik.”

Satu Respons to “Tok Kenali pelopor transformasi”

  1. Reblogged this on Istighfaar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: