Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2014

Jiwa individu bertaubat diteduhi ketenangan

Posted by epondok di April 30, 2014

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Dosa ialah balasan buruk disediakan oleh Allah SWT untuk sesiapa yang mengingkari dan melanggar perintah-Nya.

Tidak nafikan sebagai manusia biasa (selain para Rasul yang bersifat maksum) kita kerap kali terbabit dengan kesilapan disebabkan kelalaian diri sendiri.
Akan tetapi itu bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha membersihkan diri daripada calitan dosa. Malah, kita sangat dituntut untuk segera berusaha memohon keampunan kepada Allah sepanjang masa dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan tanpa bertangguh.
Hal ini sejajar dengan kehendak Allah SWT yang memerintahkan agar kita bersegera bertaubat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Tindakan bersegera memohon agar dosa diampunkan oleh Allah SWT adalah sangat tepat sekali, kerana yang demikian itu mencerminkan seorang insan yang berakal waras dan ada wawasan.

Lantaran kematian tidak pernah diketahui bila dan di mana? Jika berlengah-lengah dikhuatiri ajal datang sebelum sempat bertaubat. Maka pasti insan yang malang itu akan dicengkam sengsara serta menanggung kerugian yang besar.
Lagi pun orang yang tidak suka membuang masa dan segera menuju keampunan Allah SWT menunjukkan jiwanya tidaklah menganggap dosa itu perkara yang ringan dan remeh.

Malah, memandang dosa adalah suatu perkara besar dan berat yang cukup merosakkan. Amat perlu dielakkan sejauh-jauhnya.

Sesuai dengan penjelasan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita harus sentiasa bertindak menjauhi perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Di antara jalan yang boleh dijejaki ialah dengan menyedari diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Percayalah, perasaan ini menjadi tembok kukuh yang menghalang seseorang mencipta dosa.

Lantaran itu, tatkala seseorang cenderung untuk melakukan perbuatan buruk maka segeralah ingat kepada-Nya.

Pasti, hasrat tadi membeku tiba-tiba. Begitulah juga ketika melakukan sesuatu ibadat atau perintah agama, ingatan kepada-Nya janganlah dipadamkan serta berasa selalu dilihat oleh-Nya pasti seseorang itu akan melakukannya dengan teliti, bersungguh-sungguh dan yang terbaik.

Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sembahlah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Allah melihatmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demi merebut reda Allah SWT, perlulah kita membersihkan diri daripada dosa. Allah menyukai orang yang bertaubat dan pasti mendapat ganjaran yang setimpal daripada-Nya.

Di antaranya jiwa kita diteduhi ketenangan seperti pernah diungkapkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani: “Apabila kamu sudah bertaubat dari semua dosa dan bertakwa kepada-Nya, maka Dia akan menjadikan bagimu kelapangan dari setiap kegelisahan dan memberi jalan keluar dari segala kesempitan”.

Inilah sebenarnya mutiara hikmat dari taubat yang dilakukan, di samping itu dapat meningkatkan tahap ketakwaan serta terhalang dari sebarang tipu daya syaitan dan hawa nafsu.

Orang yang suka bertaubat kerana takut kepada-Nya dan menahan diri daripada perbuatan dosa maka Allah SWT tetap memberi kemuliaan di dunia dan juga di akhirat Firman Allah SWT bermaksud:

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya) serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya” (Surah an-Nazi’at, ayat 40 hingga 41)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Usah tunggu usia senja untuk bertaubat’

Posted by epondok di April 29, 2014

Pengampunan Tuhan sentiasa terbuka untuk kembali ke jalan yang benar

Sedarkah kita betapa rahmat dan maghfirah Allah amat luas kepada semua makhluk-Nya. Malah, ketika mula menciptakan sekalian makhluk, Allah SWT menyediakan limpahan rahmat yang meliputi semua makhluk-Nya.
Rahmat-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Inilah yang dinyatakan dalam hadis riwayat Imam al Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala Allah SWT mentakdirkan penciptaan makhluk-Nya, Dia telah mencatatkan di dalam kitab-Nya yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: Bahawa sesungguhnya Rahmat-Ku meliputi kemurkaan-Ku.”
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah az-Zumar, ayat 53)

Subhanallah, lihatlah betapa besarnya kasih Allah SWT sehingga Dia memperuntukkan rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Semua ini diperuntukkan supaya ruang keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat terbuka luas untuk kita.

Ini membolehkan hamba-Nya yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat dapat membersihkan dirinya semula dengan bertaubat serta beristighfar. Sesungguhnya semua perlakuan dosa pastinya akan mengundang rasa resah dan gelisah dalam jiwa, hilang ketenangan akibat setiap titik hitam yang memalit noda.

Maka dengan rahmat-Nya juga, Allah SWT menjanjikan pengampunan segala jenis dosa bertujuan untuk mengembalikan kebahagiaan hamba-Nya di dunia dan kesejahteraan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).
Di sebalik rahmat dan pengampunan Allah SWT yang luas ini apakah pasti termasuk dalam kalangan hamba yang mendapat rahmat-Nya. Ramai yang gagal menghayati kurniaan ini menyebabkan mereka terus melakukan dosa di samping mengharapkan keampunan.

Taubat sering ditangguh dan akhirnya dilupakan terus. Ada beranggapan taubat hanya perlu dilakukan apabila menjelang usia senja. Persoalannya, apakah ada jaminan setiap kita hanya akan mati setelah menjangkau tua? Bukankah saban hari kita mendapat berita tentang kematian?

Ingatlah, tanggapan sebeginilah pasti mengundang kecelakaan. Kelalaian dan maksiat dilakukan secara berterusan sepanjang hidup dan akhirnya mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan tanpa sempat bertaubat.

Tambah malang tidak mendapat pengampunan-Nya. Bayangkanlah, apakah akibat yang akan ditanggung oleh seseorang itu jika menemui ajal dalam keadaan begini?

Sebenarnya luas pengampunan dan rahmat Allah ini bertujuan memberi peluang kepada kita untuk selalu kembali kepada-Nya dengan bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan. Dia juga melarang kita berputus asa daripada rahmat-Nya.

Apa juga dosa dan maksiat yang kita lakukan, Allah sudi memberikan pengampunan. Ingatlah, selagi kita masih bernafas, peluang dan pilihan sentiasa berada di tangan kita. Hargailah kurniaan Allah yang Maha Pengasih ini.

Bersegeralah bertaubat daripada segala dosa tanpa bertangguh. Meskipun ruang pengampunan ini luas namun ia tetap ada hadnya. Gunakanlah kesempatan masa yang ada ini dengan sebaiknya.

Imam Al-Tirmizi meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah masih menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di kerongkong.”

Kita harus memenuhi semua syarat taubat iaitu tinggalkan segera perbuatan dosa, menyesali kesilapan lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya. Jika berkaitan dengan hak manusia, kembalikan hak mereka.

Semua ini perlu dilakukan untuk menjamin keampunan Allah SWT dan memberikan ketenangan di jiwa kita.

Haruslah yakin dengan rahmat keampunan yang Allah SWT janjikan. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah kerana ia adalah pintu utama syaitan membisikkan kekecewaan yang mendorong manusia terus kekal bergelumang dengan dosa tanpa bertaubat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Golongan kufur menentang kebenaran

Posted by epondok di April 28, 2014

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Kafir terbahagi dua, beriman selepas dapat petunjuk, ingkar peringatan demi kuasa

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang yang berjaya. Sesungguhnya orang kafir (yang tidak akan beriman), sama saja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 5-7)

Pada ayat kelima surah al-Baqarah ini, Allah SWT menjelaskan, orang yang mempunyai sifat takwa seperti beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat, menafkahkan harta ke jalan-Nya, beriman dengan apa yang diturunkan ke atas rasul, percaya hari akhirat, mereka sentiasa mendapat petunjuk atau cahaya daripada Allah SWT dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.
Dalam tafsir Jalallain, maksud orang yang berjaya itu ialah orang yang berjaya mendapatkan syurga dan terlepas daripada seksaan api neraka. Ungkapan ‘mereka itulah’ disebut dua kali dalam ayat bermaksud sama iaitu merangkumi orang Mukmin daripada golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab.
Gambaran orang kafir

Pengulangan itu menunjukkan orang beriman yang berasal daripada kedua-dua golongan itu sama-sama memperoleh petunjuk di sisi Allah SWT. Setelah Allah SWT menceritakan sifat orang Mukmin dan pembalasan bakal diperoleh di akhirat, ayat berikutnya memberi gambaran sebaliknya bagi orang kafir.

Ungkapan orang kafir dalam ayat itu bermaksud orang yang mempunyai sifat kafir yang sebati dalam dirinya sehingga tidak mahu menerima keimanan. Justeru, mereka mengingkari segala ajaran dibawa oleh Nabi SAW meskipun mereka telah diberi penjelasan berdasarkan dalil yang rasional.
Malah, mereka menghadapi semua perdebatan itu dengan keingkaran dan penghinaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Begitulah persoalan yang dilontarkan Allah SWT dan mereka tidak mampu memberi jawapan kerana Dialah Allah yang mencipta dan menjadikan manusia. Tiada manusia yang boleh mendakwa dia boleh mencipta dirinya dan mencipta orang lain.
Dua golongan kafir

Mereka yang dikatakan kafir ini terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang kufur kepada Allah, tetapi apabila datang petunjuk, dia menggunakan pemikirannya dan mengetahui itu adalah kebenaran, lalu dia beriman.

Golongan kedua pula ialah yang mendapat faedah keduniaan daripada kekufurannya. Justeru, apa saja peringatan, dalil dan bukti yang jelas nyata, dia tetap berdegil untuk terus mengingkarinya kerana ingin menjaga kuasa, kedudukan serta pengaruh yang dibina atas kezaliman dan keangkuhan.

Mereka kufur bukan kerana dakwah tidak sampai atau rasul dan nabi tidak memimpin mereka ke jalan yang lurus, tetapi mereka menjadikan kekufuran sebagai manhaj kehidupan. Mereka inilah yang mendapat faedah daripada kekufuran yang menjadikan mereka pemimpin.

Bagi orang kufur, jika mereka menerima dakwah Rasul, sudah tentu mereka akan menjadi manusia biasa kerana Islam tidak membezakan manusia melainkan dengan takwa dan amal soleh. Lantaran itu, sama ada Rasulullah SAW mengingatkan ancaman seksa atau tidak, ia sama saja.

Sudah menjadi Sunnatullah, mereka yang terjebak dalam kekafiran, pasti hati, penglihatan dan pendengaran akan tertutup mati, sehingga tidak lagi mahu menerima keimanan. Justeru, Allah SWT telah menetapkan seksaan yang pedih bagi mereka pada hari pembalasan.

Sementara itu, di dunia ini pula mereka menerima penghinaan dan kelemahan seperti disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Apabila hati seseorang sudah menjadi buta untuk melihat keperluan beriman kepada Allah dan Rasul, maka tidak ada lagi mata yang boleh melihat ayat-ayat keimanan, tidak ada lagi telinga yang mampu mendengar ayat-ayat Allah SWT.

Antara faktor menyebabkan mereka kufur ialah menentang kebenaran walaupun mereka mengetahui.
Golongan dikategorikan dalam golongan ini ialah orang musyrik dan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Alwalid Ibnu Al-Mughirah dan pendeta Yahudi.
Bersikap sombong, abai kebenaran

Mereka bersikap sombong serta mengabaikan kebenaran, golongan ini sebenarnya terdapat di setiap tempat dan zaman. Antara keagungan Allah SWT ialah Dia Maha Mengetahui siapa yang beriman dan siapa sebaliknya tanpa Allah SWT masuk campur dalam pilihan mereka.

Ketika Allah SWT mengutus Nabi Nuh selama 950 tahun, sebelum datangnya taufan dan banjir besar, Allah SWT mengetahui tidak ramai akan beriman. Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera bagi menyelamatkan orang Mukmin daripada banjir besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita mengenai apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya).” (Surah Hud, ayat 36-37)

Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang akan mati dalam keadaan kekufuran, tetapi mengapa Allah SWT meminta daripada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan Islam kepada mereka?

Jawapannya ialah supaya manusia yang enggan beriman itu tidak boleh berhujah di akhirat bahawa sewaktu mereka di dunia dulu, mereka tidak didatangi oleh Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Golongan yang kena azab kubur

Posted by epondok di April 27, 2014

Seksaan kubur bukan sekadar omong kosong. Sebaliknya seksaan kubur itu amat pasti wujud. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada waktu orang zalim (berada) dalam tekanan Sakaratulmaut, sedang malaikat memukul dengan tangannya (sambil berkata) “Keluarkanlah nyawamu.” Di hari ini kamu dibalas dengan seksaan yang amat hina kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.” (Surah al-An’am, ayat 93).
Alam barzakh membataskan manusia antara dunia dengan akhirat.

Mereka yang diseksa di dalam kubur adalah berpunca daripada kebodohan mereka kepada Allah, mensia-siakan perintah-Nya dan membuat maksiat.

Allah tidak akan menyeksa mereka yang mencintai-Nya, menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Seksaan kubur adalah kemurkaan Allah. Sesiapa yang dimurkai dan dibenci Allah tetapi tidak bertaubat dan mati dalam keadaan itu, pasti akan menerima seksaan kubur.

Rasulullah SAW pernah melihat dua lelaki diseksa di alam barzakh. Yang pertama kerana lelaki itu gemar mengadu domba, manakala yang kedua adalah kerana tidak bersuci selepas buang air kecil.

Golongan dapat seksaan kubur
Mereka yang akan turut diseksa ialah pendusta, gemar menyebut keburukan orang lain, bersaksi palsu, melemparkan tuduhan ke atas wanita suci, mengajak manusia melakukan perbuatan bidaah, mengatakan atas nama Allah dan Rasulullah SAW mengenai apa yang sebenarnya tidak diketahuinya, memakan riba, memakan harta anak yatim, minum arak, berzina, meliwat, penipu, memakan riba dan seumpamanya.

Selain itu, mereka yang sengaja melewat-lewatkan solat, tidak menunaikan haji sedangkan berkemampuan, tidak menjaga dirinya melalui ucapan, makanan dan langkahan kaki dan memperoleh harta melalui jalan haram akan turut diseksa.

Turut diseksa adalah mereka yang takbur, gemar memfitnah, mengumpat dan mencela ulama salaf, mendapatkan perkhidmatan perubatan dukun dan tukang tilik.

Walaupun dari segi luaran, kubur itu hanyalah tanah, di dalamnya ada pelbagai seksaan yang amat dahsyat.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Niat tentukan amalan ikhlas atau tidak

Posted by epondok di April 26, 2014

Persoalan pendidikan ialah persoalan mendidik hati manusia. Hati yang sejahtera melahirkan perbuatan mulia. Perbuatan yang sejahtera melahirkan pula masyarakat berakhlak, penyayang dan bertamadun.

Koleksi hati yang sejahtera menjadi lambang umat sejahtera dalam semua aktiviti kehidupan. Dalam pendidikan, perhatikan beberapa inti sari nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya.
Keikhlasan menjadi lambang awal hati yang sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang terkenal dalam bab keikhlasan niat perlu direnungi secara mendalam. Sabda Baginda: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.”

Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya bagi Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau wanita yang akan dinikahinya maka hijrahnya bagi niat hijrahnya.
Sukatan keikhlasan

Menurut an-Nawawi, itu adalah paksi Islam. Ilmuwan Islam dulu dan kini, menjadikan ia sebagai pendahuluan dalam tulisan masing-masing. Hadis ini menjadi timbang tara sukatan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu perbuatan.
Seseorang mendapat perlindungan serta pertolongan Ilahi bergantung pada nilai niatnya. Beriman dengan hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang kesyirikan menjadi nasihat utama Luqman kepada anaknya.

Syirik bukan saja berlaku kepada aspek keimanan, syirik amalan boleh berlaku dalam perbuatan seseorang. Perasaan riak, menunjuk-nunjuk kepada manusia, berbangga dengan tindak-tanduknya menjadi sebahagian syirik amalan mengikut an-Nawawi.

Antara tanda ikhlas seseorang ialah perbuatannya semata-mata kerana Allah SWT, dia tidak menyukai orang mengetahui sedikit pun daripada amalan baiknya. Mereka yang ikhlas tidak mengambil kira sama ada perbuatannya mendapat pujian asalkan mendapat keredaan Ilahi.

Perbuatan zahir dan batin bagi orang yang ikhlas adalah bersamaan. Amalan sukakan pujian manusia menunjukkan pengamalnya tidak ikhlas melakukan sesuatu apatah lagi dia sendiri yang memuji perbuatannya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Keperluan beragama

Posted by epondok di April 25, 2014

KEPERCAYAAN kepada Tuhan yang disertai dengan ajaran, ibadat dan kewajipan yang bertalian dengan kepercayaan itu disebut agama. Agama merupakan gejala universal dalam kehidupan manusia.

Sebahagian besar umat manusia di bumi ini, dengan pelbagai latar belakang etnik, geografi, iklim dan budaya menganut salah satu agama. Agama telah ada sejak manusia ada dan menjadi bahagian tidak terpisah daripada kehidupan manusia.

Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi mengalami kemajuan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan tentang erti dan tujuan hidup manusia yang hanya dapat dijawab oleh agama.

Pada masa ini, kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan tinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap diperlukan oleh manusia sepanjang masa.

Motivasi beragama

Ada pelbagai jenis motivasi yang membuat manusia memeluk sesuatu agama. Manusia memerlukan agama untuk meminta perlindungan daripada Tuhan atas ketidakpastian yang dihadapinya dalam mengharungi kehidupan ini.

Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan tentang erti, asal

dan tujuan hidup. Jawapan kepada

semua itu hanya boleh didapati daripada agama.

Selain itu, manusia beragama untuk memperoleh pembenaran praktik hidup yang baik dan berguna daripada agama. Dorongan untuk hidup secara baik dikuatkan oleh adanya motivasi beragama.

Motivasi untuk beragama ialah untuk memperoleh peneguhan tata nilai etika dan moral melalui agama. Dengan agama, manusia mendapat dorongan dan kekuatan dalam melaksanakan nilai moral yang baik dan menjauhi nilai buruk dalam kehidupan.

Din

Agama dalam bahasa Arab disebut din. Selain bererti agama, kata din juga mempunyai erti lain, iaitu “kekuasaan”, “ketundukan”, “kepatuhan”, “balasan”, “peraturan” dan “nasihat”. Agama memang mengandungi peraturan

dan hukum yang harus dipatuhi manusia.

Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tunduk dan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Allah SWT.

Al-Quran menggunakan kata din bukan hanya untuk Islam, tetapi juga untuk agama lain. Hal ini antara lain dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain walaupun orang- orang musyrik tidak menyukainya. (al-Saff: 9)

Kata “segala agama” (al- din kullih) dalam ayat ini adalah semua agama selain Islam. Jadi tidak benar bahawa din selalu merujuk kepada Islam. Kata din digunakan juga untuk agama lain.

Salah satu alasan manusia memeluk agama adalah untuk mendapatkan rasa aman. Dalam menghadapi pelbagai malapetaka dan berbahaya, ia merasa tidak berdaya, lalu memohon perlindungan kepada Tuhan. Ayat terakhir daripada surah al-Kafirun ayat keenam yang bermaksud: Bagi kamu agama kamu, bagi ku agamaku.

Teori agama

Secara garis besar, teori tentang bentuk agama tertua dapat dibahagi kepada dua. Teori pertama berpendapat bahawa agama tertua berbentuk paling sederhana, seperti dinamisme, animism, totemisme, kemudian politeisme dan terakhir monoteisme yang merupakan bentuk paling sempurna.

Menurut teori ini, agama adalah hasil pemikiran manusia, bukan berasal daripada Tuhan. Teori ini dianut oleh para sarjana sekular yang dipengaruhi teori evolusi.

Adapun teori lain mengatakan bahawa bentuk agama asli dan tertua adalah monotiesme yang berasal daripada

wahyu Tuhan. Sejak zaman Nabi

Adam a.s, manusia telah menganut monotiesme.

Dinamisme, animism, totemisme, politeisme dan bentuk lainnya

adalah penyelewengan daripada monotiesme.

Teori monotiesme ini dianut oleh umat Yahudi, Kristian dan Islam. Umat Yahudi ortodoks beribadat di hadapan Tembok Ratapan, yang menurut kisahnya merupakan sisa daripada kuil yang didirikan oleh Herodus (Pemerintah Baitul Maqdis pada zaman Nabi Isa a.s). Agama Yahudi merupakan salah satu agama monoteisme, yang mengakui hanya ada satu Tuhan.

Hanya Islam adalah agama yang benar dan sesiapa yang memilih agama lain maka mereka rugi di dunia dan akhirat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berinteraksi dengan al-Quran

Posted by epondok di April 24, 2014

AL-QURAN merupakan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman. Ia menjadi mukjizat teragung kepada Rasulullah SAW dan ia terus menjadi mukjizat terhebat di sepanjang sejarah kehidupan manusia sehinggalah berlakunya kiamat.

Kalam suci ini merupakan mukjizat yang sangat berbeza daripada mukjizat nabi-nabi terdahulu yang terhad pada zaman itu sahaja, contohnya tongkat Nabi Musa a.s menjadi ular atau Nabi Isa a.s menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah dan semua itu dapat disaksikan pada zaman dan umat tertentu sahaja.

Satu fakta yang menarik mengenai al-Quran ialah apabila Allah SWT membawa kisah-kisah berkenaan dengan manusia, sama ada yang mukmin atau kafir, Dia tidak menjelaskan siapakah nama sebenar manusia tersebut seperti apabila disebut Firaun iaitu pemerintah tertinggi di Mesir ketika itu. Begitu juga apabila disebut tentang kisah Zulqarnain, kisah Ashabul Kahfi, kisah Ashabul Ukhdud dan lain-lainnya.

Al-Quran tidak menerangkan siapakah nama mereka. Ini bertujuan supaya manusia tidak menyibukkan diri dan menghabiskan masa mereka dengan mengkaji tokoh-tokoh tersebut dan lupa tujuan sebenar yang lebih penting iaitu untuk mengambil iktibar daripada kisah tersebut.

Beriman

Kisah keangkuhan manusia turut dipaparkan di dalam al-Quran, antaranya ialah pembesar-pembesar daripada kaum Aad pernah berkata dengan angkuh, siapakah yang lebih kuat daripada mereka? Ini adalah kerana mereka mampu memperlihatkan keupayaan dalam pembinaan istana yang tinggi dengan benteng yang kukuh sebagai lambang kemegahan, kesenian, keindahan dan kekuatan mereka.

Isyarat jawapan al-Quran adalah jelas iaitu Allah SWT memudahkan untuk

orang yang beriman segala apa yang ada di bumi. Mereka tidak ditegah membina bangunan sebanyak dan setinggi mana, tetapi apa yang penting ialah bangunan tersebut mesti dibina atas ketakwaan

dan keimanan kepada Allah SWT dan bukan atas kesombongan dan

pengabdian diri kepada kehidupan dunia serta mengambil hak orang lain secara batil.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku. Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberinya kamu binatang-binatang ternakan (yang biak) serta anak-pinak (yang ramai), Dan taman-taman (yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir). Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya). (as-Syuara’: 131-135)

Begitu juga sikap orang-orang yang beriman apabila mendengar al-Quran maka gementar hati mereka, khusyuk jiwa mereka dan bergenang air mata di kelopak mata mereka.

Sempurna

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (al-Anfal: 2)

Sesungguhnya seseorang mukmin itu hendaklah sentiasa berinteraksi dengan al-Quran, hatinya, telinganya dan akalnya sentiasa menadah al-Quran di samping istiqamah membacanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. (riwayat Muslim)

Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Justeru, bacalah al-Quran dengan membuka mata, telinga dan hati di samping membacanya dengan tartil serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT.

Semoga dengan itu Allah akan membuka hikmah dan rahsia-rahsia al-Quran kepada sesiapa yang membacanya dan menghayatinya.

Di samping itu, setiap manusia hendaklah berusaha mentadabburkan ayat-ayat Allah dengan penuh kesungguhan tanpa putus asa atau merasa lemah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kuasai nafsu taatkan Allah

Posted by epondok di April 23, 2014

AL-FARUQ merupakan gelaran untuk Umar bin al-Khattab. Maknanya orang yang sangat pandai membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Gelaran ini memang sangat sesuai untuk menggambarkan sifat-sifat yang terdapat dalam diri beliau.

Pada suatu hari, Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah di tengah jalan. Beliau melihat Jabir pulang dari pasar dengan membawa sesuatu.

Umar bertanya: “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?”

Jabir menjawab: “Ini sepotong daging. Aku membelinya sebab tengah teringin memakan daging.”

Daging makanan yang halal dan baik. Namun berbelanja kerana motif keinginan tidak disukai oleh Umar. Beliau menegur Jabir dengan berkata: “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau terus membelinya?”

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd.

Ucapan Umar bin al-Khattab ini patut menjadi panduan hidup Muslim moden. Beliau mengajar kita untuk tidak menjadikan keinginan sebagai motif perbelanjaan. Akan tetapi perbelanjaan itu mestilah berasaskan keperluan.

Keinginan tidak selalu selari dengan keperluan. Sering kali seseorang membeli sesuatu barang bukan karena ia memerlukannya. Ia membelinya hanya karena barangan itu pernah dilihatnya dalam sebuah iklan yang sangat menarik.

Jika kita menginginkan sesuatu yang tidak diperlukan, maka itu petanda kuasa nafsu yang sangat besar di dalam hati. Kita perlu ingat bahawa hawa nafsu selalu menyuruh kepada keburukan. (rujuk Yusuf: 53)

Nafsu tidak pernah mengenal had batasan. Setiap kali diberi, ia akan meminta yang lain. Jika terus diperturutkan, nafsu akan menjerumuskan kita ke jurang pembaziran. Dan pembaziran akan membawa kita kepada situasi kegawatan kewangan suatu hari nanti.

Cara Muslim

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fikah Umar. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mencela sikap memperturutkan hawa nafsu. Sikap ini merupakan salah satu cara hidup orang kafir yang mesti dijauhi.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. (al-Najm: 23)

Muslim mesti memperlihatkan cara hidup yang berbeza. Kita berbelanja kerana keperluan, bukan setakat kerana keinginan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meninggalkan sebuah pakaian kerana tawaduk kepada Allah SWT, padahal ia mampu memakainya, maka pada hari kiamat nanti Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk, lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang ia kehendaki.” (riwayat Imam Ahmad)

Sungguh besar balasan orang yang meninggalkan nafsu dan keinginannya kerana Allah SWT.

Pembaziran

Pada kesempatan yang lain, Umar berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Setibanya di rumah Abdullah, beliau melihat sepotong daging. Umar lalu bertanya: “Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab: “Aku sedang teringin memakan daging, jadi aku membelinya.”

Umar berkata: “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu ia lalu memakannya.”

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tawakal suatu sifat terpuji

Posted by epondok di April 21, 2014

Oleh FARISHA HUSSIN

BERSERAH diri atau tawakal dengan sepenuhnya kepada ALLAH SWT dalam sesuatu kesusahan, merupakan satu ibadah yang terpuji. Dalam menyelusuri kehidupan, hidup kita tidak sunyi dari berdepan dengan masalah.

Namun sebagai seorang mukmin yang beriman,kita hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar dalam mencari jalan penyelesaian kerana masalah tidak akan selesai jika kita hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh.

Dalam Islam, tawakal membabitkan dua proses yang saling berkait, iaitu penyerahan nasib diri kepada ALLAH dari satu sudut dan penggunaan seluruh tenaga fizikal, mental dan rohani untuk mengubah keadaan diri sendiri dari sudut yang lain.

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada ALLAH. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah.

Mereka juga tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Tawakal juga merupakan satu ibadah hati yang paling utama dan akhlak iman yang paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada ALLAH dan hanya kepada DIAlah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.

Teringat sebuah kisah yang berlaku di antara seekor semut di zaman Nabi Sulaiman yang merupakan satu-satunya nabi yang memperolehi keistemewaan dari ALLAH SWT sehingga boleh memahami bahasa binatang.

Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman AS berkata, kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari ALLAH dalam waktu satu tahun?

“Sebesar biji gandum,” jawabnya. Kemudian Nabi Sulaiman memberi sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, baginda membuka botol tersebut untuk melihat nasib si semut.

Namun, didapati si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.

“ Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.

“Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada ALLAH,” jawab si semut.

“Dengan tawakal kepada-NYA aku yakin bahawa DIA tidak akan melupakanku. Ketika aku pasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga memperolehi sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku.

“Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikunya,” katanya.

Melalui kisah di atas, dapat kita simpulkan betapa semut itu lebih yakin kepada jaminan ALLAH ketika di luar botol berbanding “jaminan” manusia ketika berada berada di dalam botol.

Untuk menghadapi kemungkinan itulah,semut tersebut mengambil langkah berjimat-cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukan dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan,ia mampu bertahan kerana masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Kesimpulannya,inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang boleh kita ambil sebagai panduan dan pengajaran yang sangat bermanfaat melalui kisah Nabi Sulaiman dan semut.

Dalam al-Quran ALLAH berfirman bermaksud: Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada ALLAH, jika kamu betul-betul beriman. (Surah al-Maidah ayat 23).

Maka dengan itu, bergantung dan bertawakallah hanya kepada ALLAH dengan keupayaan sendiri dan jangan sesekali bergantung harap kepada sesama makhluk

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

‘Berpakaian tetapi telanjang’

Posted by epondok di April 20, 2014

Aishah Ibrahim

Ini yang dikatakan dunia akhir zaman. Seperti yang kita lihat pada zaman sekarang perempuan tidak lagi menitikberatkan aurat.

Aurat wanita adalah dari hujung rambut sehingga hujung kaki kecuali telapak tangan dan muka, manakala aurat bagi lelaki pula dari pusat sehingga lutut.
Wanita hendaklah menutup kepala dan belahan dada mereka dengan sempurna seperti firman Allah: “Katakan kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya…” (Surah an-Nuur, ayat 31)
Ramai wanita zaman sekarang yang berpakaian, tetapi bertelanjang. Maksudnya, mereka berpakaian, tetapi pakaian itu ketat dan nipis seperti tidak berpakaian kerana terserlah susuk tubuh dan warna kulit kepada bukan muhrim.

Islam tidak mengharamkan fesyen seperti selendang asalkan ia labuh menutupi dada dan tidak nipis sehingga menampakkan bayangan rambut serta telinga.

Tak tutup kaki

Bertudung bulat ataupun sebaliknya, tidak penting asalkan menutup aurat mengikut syariat Islam.
Kebanyakan wanita memakai tudung yang singkat dan jarang sehingga menampakkan rambut dan telinga. Mereka menganggap pemakaian tudung hanya trend tanpa memikir dosa membuka aurat.

Ramai wanita menganggap kaki bukan aurat kerana menutup anggota lain dengan sempurna, tetapi tidak memakai sarung kaki atau stokin.

Fesyen terbaharu sekarang adalah pemakaian sanggul tinggi. Mereka walaupun kelihatan memakai tudung, tetapi sebenarnya memberi helah bagi membuktikan rambut panjang dan hendak menarik pandangan lelaki.

Mereka bukan ikhlas bertudung bagi memenuhi suruhan Allah dan ibadat, tetapi sebaliknya.

Seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita berpakaian, tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya iaitu bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.” (Syarh Shahih Muslim)

Sanggul bonggol unta

Hadis ini dikemukakan Imam an-Nawawi dalam kitab Sahih Muslim. beliau menyebut:

“Makna bonggol unta itu ialah wanita yang membesarkan kepala dengan tudung. Mereka meletakkan apa saja bagi membesarkan kepala sehingga seolah-olah kelihatan kepala mereka bagaikan bonggol di atas unta.”

Namun, jika rambut memang panjang lalu diikat sehingga kelihatan sanggul, maka ia dimaafkan syarak.

Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »