Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2014

Keutamaan memelihara sifat malu

Posted by epondok di Januari 31, 2014

MALU adalah satu sifat atau perasaan yang boleh menimbulkan keengganan untuk kita melakukan sesuatu  amalan yang tidak baik atau yang rendah nilainya.

Orang yang memilikki sifat malu akan kelihatan gugup atau merah air mukanya apabila melakukan sesuatu yang tidak patut. Sebaliknya, orang yang tidak ada perasaan malu, biasanya akan melakukan sesuatu yang tidak baik dengan tenang, tanpa ada rasa gugup dan takut sedikitpun.

Abu Said al Khudri menceritakan bahawa air muka Rasulullah SAW akan berubah apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Rasulullah SAW adalah lebih pemalu dari gadis-gadis pingitan. Bila melihat sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengetahui dari wajah baginda” (Mutafaqun alaih)

Sifat malu adalah akhlak yang terpuji yang menjadi sesuatu yang istimewa dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak, dan akhlak islam adalah sifat malu”.   (Hads Riwayat:   Imam Malik).

Perasaan malu adalah sumber utama kebaikan dan kemuliaan dalam pekerjaan, dan sekiranya malu berbentuk manusia, dia akan tampil sebagai individu yang soleh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Apabila sifat malu itu diumpamakan menjadi seseorang,  maka ia akan menjadi seorang yang soleh dan sekiranya sifat keji itu diumpamakan seseorang, maka ia akan menjadi orang yang jahat”. (Hadis Riwayat:  At Thabrani).

Sifat malu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

i.   Malu kepada ALLAH SWT

ii.  Malu kepada diri sendiri

iii. Malu kepada orang lain

Seseorang akan merasa malu kepada ALLAH SWT apabila tidak mengerjakan perintahNYA dan tidak menjauhkan laranganNYA. Orang yang malu kepada ALLAH dengan sendirinya akan malu kepada diri sendiri.

Dia juga akan malu untuk mengerjakan perbuatan yang salah sekali pun orang lain tidak melihat perbuatannya atau mendengar perkataannya. Penolakan terhadap perbuatan itu datang dari dirinya sendiri. Dia akan mengawal hawa nafsunya dari keinginan yang tidak baik.

Ketiga-tiga jenis malu ini mestilah tumbuh segera dan sentiasa terpelihara dalam diri seseorang Muslim, lebih-lebih lagi malu terhadap ALLAH SWT kerana malu terhadap ALLAH inilah yang menjadi sumber dari dua jenis yang lain.

Malu kepada ALLAH adalah malu yang bersumberkan keimanan dan keyakinan kepada ALLAH SWT yang bersifat sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa saja yang dilakukan oleh setiap hambaNYA.

Malu juga adalah sebahagian daripada kesempunaan iman. Bahkan, malu dan iman akan selalu hadir bersama-sama. Apabila salah satu hilang, maka yang lain juga akan hilang.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, perasaan malu sudah dilupakan orang. Kebanyakan masyarakat Islam hari ini tidak malu menerima sogokan-sogokan  demi untuk hidup mewah. Selain itu, terdapat pula golongan-golongan tertentu, terutama para remaja, tanpa segan silu lagi berdua-duaan  dengan bukan mahram.

Jelas di sini bahawa apabila budaya malu tidak lagi dihayati oleh masyarakat, maka manusia akan mudah kehilangan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam dirinya serta sanggup menurut hawa nafsu yang tidak terkendali.

Namun, sekiranya setiap orang menjaga penghormatan yang diberikan ALLAH dengan memelihara sifat-sifat terpuji dalam kehidupan, nescaya tidak akan berlaku gejala-gejala atau perkara perkara yang tidak diingini tersebut.

Jelas di sini betapa pentingnya manusia memelihara sifat malu demi menjaga maruah dan harga diri yang dikurniakan ALLAH SWT. Pertahankanlah kualiti diri sebagai insan yang diciptakan oleh ALLAH dengan sebaik-baik kejadian.

Sama-samalah kita menanam dan mengamalkan akhlak-akhlak murni yang menjadi fitrah insan, khususnya bagi diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Dengan itu kita akan menjadi insan bertaqwa disisi ALLAH SWT.

Hayatilah Firman ALLAH SWT bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (Surah at Tin: Ayat 4).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Selawat ke atas Nabi s.a.w hilangkan sifat munafik

Posted by epondok di Januari 30, 2014

RASULULLAH SAW ialah manusia utama yang dimuliakan Allah SWT. Budi pekerti baginda amat luhur dan terpuji. Ini amat sesuai dengan namanya Muhammad yang bererti insan terpuji.

Anas bin Malik pada suatu hari telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Alangkah rindunya aku untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku.”

Seorang sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudara mu, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Benar, kalian adalah sahabat dan saudaraku. Tetapi apa yang aku maksudkan dengan saudara-saudaraku adalah kaum yang datang sesudahku dan beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah berjumpa denganku.”

Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW begitu rindu pada kita (umatnya) yang hidup jauh dari masanya. Rindunya merupakan satu penghargaan untuk kita kerana sampai saat ini kita masih beriman padanya walaupun kita tidak pernah sekalipun berjumpa secara langsung dengan baginda Rasulullah SAW.

Baginda juga sangat peduli pada umatnya. Pada detik-detik terakhir roh kekasih Allah SWT ini akan lepas daripada raga, lisannya berucap: “Ummati, ummati, ummati” (Umatku, umatku).

Baginda masih sempat berfikir akan keadaan umatnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa itu adalah sebuah pemandangan di luar kebiasaan manusia umum, Malah amat mengharukan dalam sejarah hidup kita.

Ketika dalam keadaan sakaratul maut, di saat badan mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak, bibirnya sentiasa basah menyebut asma-Nya. Di saat itu, terucap sebuah permohonan yang amat memilukan hati: “Ya…Allah, dahsyatnya maut ini. Timpakan saja semua maut ini kepadaku, jangan pada umat-ku.” Sungguh terpuji sekali akhlak Rasulullah SAW.

Hubungan kita

Cuba kita bermuhasabah dan bertanyakan diri, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah di saat ini? Sepatutnya, kita pun merasa rindu dan berterima kasih kepada baginda dengan memperbanyakkan berselawat dan selalu berusaha menjalankan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Bayangkan keadaan kita saat ini tanpa Rasulullah hadir di dunia ini. Pasti kita akan hidup dalam kegelapan, tidak jelas arah tujuan hidup dan akhlak kita pun akan jauh daripada nilai-nilai yang mulia.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling mengabaikan aku, adalah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, dia tidak berselawat kepadaku. Selawat kepadaku dan kepada keluargaku menghilangkan kemunafikan.”

Sesungguhnya, banyak berselawat kepada Nabi SAW akan mendatangkan syafaat di akhir. Syafaat adalah pertolongan.

Syafaat Rasulullah SAW dapat membantu di kala amal baik kita kurang kerana kita tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga. Kita akan beruntung kerana syafaat boleh menghindar kita daripada bakaran api neraka yang amat panas itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ilmu itu cahaya, Islam galakan umatnya mencari

Posted by epondok di Januari 29, 2014

MELIHAT bait lirik di atas, pasti semua orang mahu menjadi insan yang berguna. Siapa yang mahu hatinya terus kosong tanpa diisi, terus-terusan dilihat jahil mengenai ilmu agama dan sebagainya. Sudah pasti kita mahu dilihat seorang yang tinggi ilmunya dan mampu berkongsi bersama orang lain.

Terapi jiwa 

Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat ramai dalam kalangan masyarakat kita mula mencari peluang untuk mengikuti kelas pengajian agama. Di mana sahaja ada kuliah, jika ada masa terluang pasti akan diisi oleh mereka yang dahagakan ilmu agama.

Menurut mereka, ia adalah salah satu terapi untuk memenuhi jiwa-jiwa yang kosong setelah seharian bekerja. Ada yang mengikuti secara formal di kelas dan ada juga yang hanya hadir di kuliah anjuran masjid berdekatan.

Dalam kehidupan seharian kita di dunia ini, kita dituntut untuk mempelajari pelbagai ilmu untuk memakmurkan dunia dan dalam masa yang sama kita dituntut untuk meluruskan niat ketika menuntut ilmu hanya kerana ALLAH SWT.

Kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan mampu mengatasi kekuatan lain yang ada pada diri manusia jika ia digunakan dengan betul. Kedua-dua aspek ini perlu diberi keutamaan untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang maju bukan sahaja dari segi intelektual, malah dari sudut akhlak.

Budaya menuntut ilmu ini bermula sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sebuah kesinambungan ilmu yang bermula sejak penciptaan Nabi ALLAH Adam sehingga kerasulan Baginda SAW dan diteruskan hingga kini. Peristiwa bersejarah penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’ juga adalah berkaitan dengan keilmuan.

Firman ALLAH bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena dan tulisan. Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al’Alaq: 1-5)

Ayat di atas menjelaskan Islam menyeru umatnya supaya berilmu dan mementingkan ilmu. Sejarah membuktikan keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulung di mata dunia. Benarlah segala seruan ALLAH dan rasul-Nya ilmu sangat penting dalam kehidupan.

Tuntutlah ilmu

Islam menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Tiada halangan dalam menuntut ilmu. Kebendaan, kewangan, masa ataupun perkara berbentuk fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk terus menuntut ilmu.

Hal ini kerana dalam agama Islam, menuntut ilmu adalah sebuah proses yang berterusan dan berpanjangan. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tertinggi. Ini menunjukkan bahawa ilmu mampu membawa seseorang yang tinggi di sisi ALLAH dan masyarakat.

ALLAH berfirman dalam yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu diminta untuk memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu.

Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalanganmu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu kerjakan.” (Surah al Mujadalah: 11)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keutamaan ikhlas, Allah melihat kepada hati

Posted by epondok di Januari 29, 2014

DALAM menjalani kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan dugaan, sifat ikhlas sangat penting dipraktikkan. Sifat ikhlas mestilah datang dari hati dan jiwa yang mementingkan kualiti kehidupan yang ditempuh.

Sifat ikhlas juga ada kaitannya dengan harga diri, bertanggungjawab, amanah, toleransi, kerajinan dan kasih sayang. Perkaitan sifat dan nilai murni ini sangat rapat dalam melaksanakan ibadah dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sebagai contoh, ikhlas dan kasih sayang terhadap anak dan keluarga, ikhlas terhadap anggota keluarga yang terdekat, mengekalkan tradisi kekeluargaan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Di samping itu, sifat ikhlas juga dapat dipraktikkan dalam menyayangi dan menghargai alam sekitar, peka terhadap isu-isu alam sekitar, ikhlas cintakan negara, sanggup berkorban demi negara. Begitu juga dalam kehidupan, seperti ikhlas dalam melindungi hak kanak-kanak, menghormati hak wanita, menghormati hak golongan kurang upaya dan bekerjasama dalam masyarakat.

Nabi SAW menjelaskan dalam sabdanya: Agama ialah keikhlasan (kesetiaan). Kami lalu bertanya, “Kesetiaan kepada siapa, ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, Kepada Allah, kepada kitab-Nya (al-Quran), kepada rasul-Nya, kepada penguasa Muslimin dan kepada rakyat awam. (riwayat Muslim)

Perasaan jujur

Akal fikiran akan memastikan sesuatu itu dilakukan dengan ikhlas dan jujur. Perasaan jujur dan ikhlas yang terbit dari hati menjurus kepada akal fikiran mengajak melakukan apa yang dianggap baik dan menolak mengerjakan apa yang dianggap buruk iaitu berdusta dan melakukan penyelewengan.

Dalam hal ini Nabi SAW bersabda: “Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan berkahwin kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” (riwayat Abu Daud)

Justeru, apa yang dilakukan untuk mendapat keikhlasan hati mestilah dilakukan kerana Allah SWT. Akhirnya, pastilah keikhlasan itu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah SWT di akhirat nanti. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bersabda: Barang siapa membangun sebuah masjid kerana mencari keredaan Allah, maka Allah membangunkan baginya sebuah rumah di syurga. (riwayat Muttafaq Alaihi)

Manakala dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda: “Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya, maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (riwayat al-Hakim)

Berkaitan dengan melakukan sesuatu dengan rahsia. Nabi SAW bersabda: “Seorang sahabat berkata kepada Rasulullah, “Ya, Rasulullah, seorang melakukan amal (kebaikan) dengan rahsia dan apabila diketahui orang, dia juga menyukainya (merasa senang).” Rasulullah SAW berkata, “Baginya dua pahala iaitu pahala merahsiakannya dan pahala terang-terangan.” (riwayat At Tirmizi).

Oleh itu, kita digalakkan merahsiakan apa yang kita lakukan khususnya berkaitan dengan amal kebaikan dan kebajikan seperti sedekah, memberi hutang tanpa bunga kepada orang lain dan membantu seseorang dalam kesusahan.

Sifat ikhlas juga sebagai buah daripada akidah. Ia adalah amal daripada hati dan berada di hadapan daripada amal-amal hati. Sebab diterimanya berbagai-bagai amal adalah apabila seseorang itu melakukannya dengan ikhlas.

Lantaran itu, ikhlas adalah menghendaki keredaan Allah SWT dengan satu amal yang dilakukan, membersihkan daripada segala noda yang dilakukan oleh individu di dunia untuk mendapat reda Allah SWT. Ini adalah disebabkan asas amal yang ikhlas adalah memurnikan niat kepada Allah semata-mata.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Aturcara Sambutan Maulidurrasul 1435H Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Januari 28, 2014

Tempat : Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas

Tarikh  : 1 Rabiul Akhir 1435H / 1 Februari 2014M (Ahad)

4.00 ptg       Jamuan makan

5.00 ptg

– Ucapan Mudir Pondok Dr Hj Lokman b Hj Abdullah

Tajuk : Ke Arah Memperkasakan Pengajian Pondok

– Ucap Utama Oleh YB Dato’ Husam b Musa (ADUN Salor)

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Ukhuwah biar ikhlas, tiada muslihat

Posted by epondok di Januari 28, 2014

Nik Salida Suhaila

Membina silaturahim bukan sekadar mengucap salam kepada sesiapa yang ditemui dan tidak semudah berkirim salam melalui teman. Kemanisan ukhuwah hanya dapat dirasai mereka yang ikhlas melengkapkan kehidupan sesama manusia setelah menyempurnakan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Tidak salah membina ukhuwah dengan sesiapa saja untuk memperteguhkan hubungan dengan Yang Maha Mencipta. Pilihlah sahabat yang mengingatkan kita sewaktu lupa, menjauhkan daripada leka serta mengikat kita kuat pada tali-Nya, kerana itulah sebenarnya hikmah bersaudara.
Hari ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk meneguhkan ikatan silaturahim. Hubungan yang jauh boleh didekatkan dan ini memudahkan kita membina persahabatan.

Firman Allah SWT; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Tanpa memerlukan masa yang panjang dan modal banyak, kita boleh bertanya khabar serta tahu perkembangan taulan yang jauh hanya di hujung jari. Malah, hubungan jauh boleh didekatkan dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan itu.

Lebih daripada itu, ukhuwah berasaskan takwa dan berlandaskan syariat adalah tunjang kekuatan ummah malah, silaturahim menjauhkan manusia daripada hasad dengki serta fitnah. Ukhuwah juga boleh menguatkan hubungan dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak dibolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya pada hari kiamat.”

Perintah membina silaturahim bertujuan melancarkan urusan kehidupan kerana manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya saling bergantungan dan melengkapkan keperluan masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin terhadap orang Mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain.”

Oleh kerana ukhuwah melengkapkan keperluan manusia, ia boleh menjadi asas pembinaan sebuah unit masyarakat harmoni. Alangkah indahnya keluarga yang sarat rasa hormat dan kasih sayang, menjadi tunjang perpaduan yang akhirnya menguatkan kesatuan ummah.

Ukhuwah kerana agama tidak mengenal bangsa dan keturunan. Ia juga tidak terbatas kepada hubungan kerabat semata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Justeru, menjalin hubungan silaturahim haruslah ikhlas kerana Allah SWT. Kita tidak akan merasa cukup dengan nikmat Allah jika sentiasa menyandarkan asbab setiap hubungan persahabatan untuk mendapatkan sesuatu.

Ditakdirkan apa yang diingini itu tidak diperoleh, kita akan berasa marah, menyesal dan berdendam. Sedangkan, jika ia dijalinkan kerana Allah SWT, kita akan sentiasa reda dengan setiap apa yang berlaku.

Ukhuwah yang erat tunjang kekuatan ummah. Ia jugalah yang menguatkan perjuangan Rasulullah SAW di peringkat awal menyebarkan dakwah kepada setiap penduduk Makkah. Kehadiran sahabat yang turut mewakafkan diri kepada Allah SWT dan Rasul-Nya memudahkan urusan dakwah baginda.

Sayang sahabat kepada sahabat yang lain juga tiada taranya. Itulah perbezaan yang nyata dalam persahabatan ikhlas kerana Allah SWT berbanding persahabatan kerana sebab yang lain.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rasuah antara punca merebaknya jenayah maksiat

Posted by epondok di Januari 27, 2014

Oleh Hassan Adli Yahya

Kita sering disajikan dengan pelbagai masalah sosial yang semakin hari kian meruncing dan membimbangkan. Bukan saja masalah sosial, tetapi juga pelbagai gejala kurang sihat yang semakin membelenggu masyarakat.

Jika dibelek kebanyakan akhbar setiap hari, pasti ada saja berita kurang enak yang dilaporkan.

Akhir ini kita disajikan dengan berita serbuan demi serbuan terhadap premis urut atau pusat hiburan yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menjadikan tempat mereka sebagai sarang maksiat.

Peliknya, semakin giat penguat-kuasaan dilakukan, semakin banyak rumah urut dibuka. Malah, rumah urut lebih banyak dibuka berbanding kedai runcit di sesetengah tempat.
Selain itu, penjualan cakera padat (CD) haram semakin meningkat walaupun pihak berkuasa sering mengadakan operasi membanteras penjualan CD cetak rompak dan lucah.
Ketika bersama kenalan makan di sebuah restoran baru-baru ini, meja kami dihampiri seorang lelaki membawa bakul penuh CD pelbagai cerita.

Saya sempat perasan ada tali yang diikat berbentuk riben di penjuru bakul CD yang dibawa. Namun tidaklah saya menyangka sebenarnya tali itu membawa isyarat tertentu.

Rakan saya menjelaskan, riben yang diikat di bakul itu sebenarnya sebagai isyarat kepada pihak berkaitan bahawa tauke CD haram itu membayar ‘yuran’ kepada pihak berkenaan untuk menjual CD haram.

Sekali gus ia menjelaskan tauke itu kebal daripada operasi membanteras CD haram dilakukan pihak berkaitan.

Sejauh mana kebenarannya saya kurang pasti. Namun jika benar, tentu ia menyedihkan kerana ketika kerajaan sibuk melancarkan pelbagai kempen anti rasuah, masih ada pihak tidak bertanggungjawab menyemai benih kerosakan ini dalam masyarakat.

Jadi mungkin ada kebenarannya mengapa gejala tidak sihat ini makin dibanteras, semakin banyak pula ia bercambah. Malah, jika pergi ke sesetengah pasar malam, kita melihat peniaga CD haram dilengkapi ‘walkie talkie’ bagi memudahkan mereka berhubung dengan ‘orang dalam’ jika sesuatu operasi dijalankan.

Akhir zaman ini, ramai kurang sabar diuji dengan godaan harta benda. Lapisan iman dalam diri semakin menipis kerana kerap tergoda dengan wang yang ditawarkan depan mata. Kenaikan pelbagai harga barang dan kos sara hidup kini menjadi alasan popular untuk merasionalkan dosa besar ini.

Rasuah adalah dosa besar

Rasuah adalah satu daripada dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT. Antara dosa besar lain adalah zina, minum arak dan sihir yang mendapat kebencian daripada Allah.  Pengharaman rasuah dijelaskan dalam banyak dalil yang boleh dilihat daripada pelbagai sumber seperti contoh di bawah:

    • Firman Allah dalam Surah al Maidah, ayat 42: “Mereka sangat suka mendengar berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” Al Hassan dan Sa’id bin Jubair RA berkata, ‘segala yang haram’ yang disebut di dalam ayat ini bermaksud rasuah.
    • Firman Allah dalam surah al Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”Dr Wahbah Zuhaili berkata, maksud ‘makan harta dengan jalan yang salah’ ialah melalui apa cara sekalipun. Antaranya riba, rasuah dan menipu dalam perniagaan.
  • Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah, dan penerima rasuah. Justeru, pengisian rohani dan kekuatan iman perlu dipupuk oleh diri sendiri setiap waktu dan ketika supaya tidak mudah kendur dengan godaan daripada dosa besar ini. Setiap wang yang berhasil daripada sumber haram pasti akan menatijahkan kerosakan dalam diri, bangsa dan seterusnya negara.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mencintai dan mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan

Posted by epondok di Januari 26, 2014

Walaupun sedang diuji dengan banyaknya ancaman dari segi akidah, kekurangan sistem syariah dan kebejatan akhlak, namun masih disinari dengan ingatan yang subur kepada Nabi Muhammad SAW.

Itulah kelahiran Baginda SAW yang sentiasa ditunggu dan disambut saban tahun setiap kali tibanya bulan Rabiulawal. Tidak dinafikan, masih ada lagi yang menyambutnya dengan sekadar sambutan.

Sekurang-kurangnya, masih lagi menjadi penyelamat bagi umat Islam di akhir zaman ini. Dengan harapan semakin tahun semakin ramai berpeluang mengingati dirinya adalah hamba ALLAH SWT yang beragama Islam maka sudah semestinya perlu mencintai Rasulullah SAW.

Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat serta dia banyak menyebut ALLAH.” (Surah al-Ahzab: 21)

Mengapa Nabi SAW diutuskan?

Pendakwah bebas dan juga penulis buku berbentuk islamik, Ustaz Amly Asenar menjelaskan, untuk meningkatkan penghayatan dan kefahaman dalam sambutan Maulidur Rasul maka perlu mengetahui mengapakah Rasulullah SAW diutuskan kepada kita?

Memang benar, kita mencintai dan memperlihatkan kecintaan tersebut namun nilai cinta itu akan hambar dan hanya omongan kosong tanpa mengetahui sebab Baginda SAW diutuskan.

“Rasulullah SAW diutuskan sebagai membawa perutusan daripada ALLAH. Apakah perutusan itu? ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dialah (ALLAH) yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah: 2)

“Baginda SAW membawa utusan untuk menyampaikan ayat-ayat ALLAH kepada manusia. Apakah ayat-ayat itu? Syeikh Abdul Halim Mahmud seorang ulama besar Al-Azhar mengatakan, “Ayat-ayat ALLAH ialah segala ajaran-Nya, hukum-Nya dan taklif-Nya kepada semua manusia.

Sesungguhnya ALLAH tidak mahu meninggalkan manusia tanpa pertunjuk dalam urusan menguruskan kehidupan dengan tujuan membina satu masyarakat yang bertunjangkan akidah, akhlak dan syariat. Oleh sebab itu, ALLAH mengutuskan kepada penduduk bumi satu perlembagaan yang perlu diikuti”.

“Lihatlah betapa besar tanggungjawab Baginda SAW! Maka tidak hairan apabila kita membaca riwayat hidupnya, pasti penuh dengan pengorbanan tanpa sedikit pun agenda mengaut keuntungan dunia dan menikmati kemewahan hidup,” katanya kepada Halaqah.

Menurutnya, sewajarnya sambutan ini dimaknakan dengan tranformasi diri seperti yang dikehendaki oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Cari dan galilah setiap sudut kehidupan Baginda SAW yang ada persamaan dengan diri kita nescaya akan ada panduan dan pertunjuk daripada Baginda SAW yang boleh dijadikan manfaat.

Positifnya Baginda SAW

Sebagai contoh, kehidupan Rasulullah SAW yang membesar tanpa kasih sayang daripada ayah dan ibunya. Begitu ramai anak-anak yatim di luar sana yang senasib dengan Baginda SAW. Malangnya, anak-anak yatim ini lebih senang menyalahkan takdir dan orang-orang yang berada di samping mereka. Mereka memberontak, menyalahkan, merosakkan diri.

Jika anak-anak ini membaca catatan hidup Baginda SAW maka sudah pasti hati mereka akan menjadi tenang. Betapa berharganya nilai diri seorang anak yatim walaupun tidak mendapatkan kasih sayang ibu bapa namun mereka mendapat kasih ALLAH dan Rasul sebagai ganti. Andainya mereka tahu!

“Rasulullah SAW membesar menjadi insan yang begitu pengasih kerana Baginda SAW tahu harga dan nilai kasih sayang itu. Sering mengusap kepala anak-anak yatim malah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang mengikut cara Baginda SAW. Peringatan yang berat diberikan kepada mereka yang suka makan harta anak yatim. Semua ini menggambarkan betapa lembutnya hati mereka yang mendapat kasih sayang ALLAH.

“Ketika kecil pula, Baginda SAW tidak menunjukkan sikap yang pasif atau kekurangan kerana tiada ayah dan ibu. Malah Baginda SAW lebih berdikari dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga Baginda SAW seperti pakciknya Abu Talib yang sudi menjaga dan membesarkannya,” katanya.

Ustaz Amly berkata lagi, bagi membahaskan kisah hidup Baginda SAW dalam konteks anak yatim sahaja mampu memberikan pelbagai pengajaran dan petunjuk. Oleh itu, bagi memaknakan sambutan dan selawat maka kenalilah diri dan carilah pertunjuk daripada kehidupan Baginda SAW.

Adakah anda seorang pemimpin? Pendidik? Pekerja? Suami? Isteri? Ibu? Ayah? Apa jua posisi anda maka anda berkewajipan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan.

Kenali Baginda SAW

Generasi hari ini perlu didekatkan dengan Rasulullah SAW dengan cara yang lebih menarik lagi. Bentuk penceritaan dan pembacaan mesti dibantu dengan kecanggihan teknologi yang ada. Dunia filem, kartun dan rancangan televisyen perlu bergerak sepenuhnya ke arah ini.

Dengan inilah anak-anak cucu mampu mengenali sedalamnya siapakah dia Nabi akhir zaman. Alangkah indahnya jika watak upin dan ipin yang begitu diminati kanak-kanak diselitkan sepenuhnya ajaran dan akhlak Rasulullah SAW daripada dimasukkan elemen Melayu sahaja.

Selain itu, membuka ruang yang luas kepada kanak-kanak dan remaja untuk menterjemahkan keperibadian Baginda SAW dalam apa jua bentuk daripada penumpuan diberikan kepada acara tarian dan nyanyian semata-mata. Apa yang disebutkan hanyalah pengamatan peribadi dan saya berkeyakinan apabila peluang diberikan maka ramai akan tampil memberikan idea dan tenaga.

Kemanisan sambutan dan selawat akan lebih dirasai dan bermakna apabila keperibadian Rasulullah SAW berada dalam diri setiap orang Islam. Bermula dengan pemimpin yang takutkan ALLAH dan seterusnya rakyat yang bekerja dengan jati diri seorang Muslim. Buktikan sambutan bukan sekadar berselawat!

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hari kebinasaan seluruh alam

Posted by epondok di Januari 24, 2014

Hari Akhir (al-Yaum al-Akhir) bermaksud sebagai hari kebinasaan seluruh alam dan terhentinya segala kehidupan secara keseluruhannya.

Selain itu, ia juga bermaksud sebagai memasuki kehidupan akhirat bermula dari saat itu. Secara mudah, al-Yaum al-Akhir merujuk kepada hari terakhir kehidupan di dunia, sekali gus hari pertama bermulanya hari penghabisan.
Beriman atau percaya akan al-Yaum al-Akhir adalah satu daripada Rukun Iman. Tidak sempurna iman seseorang Islam jika tidak meyakini atau percaya akan al-Yaum al-Akhir seperti yang dipaparkan melalui firman Allah SWT dalam ayat 13 hingga 18 Surah al-Haqqah:

“Maka apabila sangkakala ditiup sekali tiup dan diangkatlah bumi dan gunung-ganang, lalu dibenturkan keduanya sekali bentur. Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat, dan terbelahlah langit, kerana pada hari itu langit menjadi lemah. Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka. Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun daripada keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah)”.

Sesiapa yang melarikan diri daripada beriman kepada al-Yaum al-Akhir bermakna dia melarikan diri daripada kebajikan dan jadilah ia seburuk-buruk makhluk.

Tanpa beriman kepada al-Yaum al-Akhir, seseorang itu menjadi makhluk yang tidak mempunyai kebaikan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.

Penghisaban
Untuk menghadapi al-Yaum al-Akhir, setiap umat Islam harus melakukan penghisaban ke atas diri sendiri kerana sesiapa yang melakukannya akan memperoleh keringanan penghisaban pada hari akhirat.

Selain itu, umat Islam juga harus membuat persiapan dengan melakukan amal soleh dan membersihkan hati serta perbuatan.

Firman Allah SWT pada ayat 47 Surah al-Anbiya: “Kami akan memasang timbangan tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan”.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapa itu orang yang muflis?” Sahabat menjawab “Orang yang muflis menurut kami itu adalah yang tidak punya dirham dan tidak punya harta benda”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bangkit dari umatku adalah yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun datang juga dengan perbuatan mencela orang, lalu diberikan kepada orang sebahagian kebaikannya.

Jika kebaikannya habis sebelum lunas dosanya, maka akan diambil dari kesalahan mereka, lalu dialihkan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka”.

Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan supaya sentiasa menginsafi bahawa kematian adalah ajalnya, kubur adalah pembaringannya, cacing adalah temannya, Munkar dan Nakir sebagai penunggunya, kubur adalah tempat tinggalnya dan syurga atau neraka adalah muaranya.

Allah SWT berfirman dalam ayat 30 Surah Fushilat: “Sesungguhnya orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah.” Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) “Jangan kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Januari 23, 2014

CINTA, sebuah kata yang mengasyikkan dan menggiurkan. Tidak dapat diungkap dengan sebuah kata, hanya yang pernah menikmati cinta tahu bagaimana indah dan pesona cinta itu.

Sungguh cinta  banyak mengubah watak manusia. Hinggakan pedang dihayun oleh Ibnu Muljam – seorang tokoh al-Quran – bagi membunuh Khalifah Ali sebagai syarat menikahi wanita yang dicintainya. Begitu juga Imran bin Khattan – seorang perekod hadis – mengikuti pemahaman isterinya yang merupakan seorang Khawarij.

Mereka antara tokoh yang tergelincir dalam jurang kesesatan ketika mencari lembah yang subur dengan benih-benih cinta kepada Nabi. Pada sangkaan mereka, kehidupan beragama yang mereka tempuh merupakan jalan meraih cinta Rasulullah SAW. Namun sayangnya, mereka telah menyelisihi ajaran Nabi.

Cinta yang didamba namun murka yang kunjung tiba. Pada hemat mereka, bentuk amalan yang akan merangkul cinta daripada Nabi boleh diilhamkan melalui akal fikiran, sangka-sangkaan, mimpi dan igauan: jika sebuah amal itu dirasakan indah dan molek, nampak padanya kebaikan dan ada unsur Islam, maka wajarlah amalan tersebut dilaksanakan.

Lalu lahirlah pelbagai ragam amalan yang dituju khusus buat Nabi SAW. Tetapi cinta itu bukanlah sebuah perasaan sehala. Cinta harus dibalas oleh yang dicintai agar sang pencinta berasa ‘asyik’.

Persembahan tersebut perlu memenuhi kehendak orang yang dicintai, kerana sering berlaku dalam kehidupan manusia tentang pinangan ditolak, pemberian dipulangkan, serta kasih tidak diterima. Cinta tidak berbalas, ibarat bertepuk sebelah tangan.

Pepatah Arab menyebutkan: “Tidak menghairankan perkataan mereka mencintai-Nya, namun yang dihairankan perkataan Dia mencintai mereka”. Begitulah betapa banyak manusia yang telah mengatakan cintanya kepada Rasulullah SAW, namun Rasulullah tidak menerima cinta yang mereka hulurkan kerana cinta yang mereka persembahkan tidak menepati kehendak Nabi.

Cinta yang berbalas

Sebenarnya jalan untuk melahirkan rasa cinta dan meraih cinta daripada Rasulullah SAW telah dibentangkan oleh Baginda; hingga tidak ada jejak ke syurga melainkan telah dinyatakan dan tidak ada denai ke neraka melainkan telah diperingatkan.

Jelas Rasulullah SAW; tanda cinta seorang manusia kepada dirinya adalah dengan menegakkan sunnahnya, bukan dengan berdansa, bukan juga dengan berarak, bukan juga dengan nyanyian dan bukan dengan temasya keramaian. Semua ini tidak pernah dilakukan oleh sahabat Baginda SAW.

Kata Nabi kepada Anas bin Malik: “Dan barang siapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mencintaiku. Dan barang siapa yang telah mencintaiku, maka aku bersamanya di syurga” (Riwayat Tirmidzi).

Lihatlah apa yang dibicarakan Anas, seorang kanak-kanak yang tumbuh membesar di rumah Nabi, di mana cintanya kepada Baginda tidak dapat dimungkiri lagi. Anas berkata:

“Sungguh aku mencintai ALLAH, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar. Lalu aku berharap mampu bersama mereka walaupun aku belum beramal dengan amalan mereka” (Riwayat Bukhari)
Inilah pemahaman yang diajarkan oleh Rasul kepada muridnya sehinggakan Anas mengerti tanda cinta kepada Rasul adalah dengan melaksanakan ibadah dengan meniru cara amalan Baginda.

Perkara ini diperjelaskan lagi oleh Qadi ‘Iyadh: “Di antara bentuk kecintaan kepada Baginda adalah dengan menolong sunnahnya, membela syariatnya, berangan-angan untuk berjumpa Baginda semasa hidupnya, dan kemudian dia mengorbankan harta dan jiwanya demi membela Baginda ” (Syarh Shahih Muslim)

Sahabat menzahirkan cinta

Apa yang dikatakan oleh Qadi ‘Iyadh itu dijelmakan oleh para sahabat. Mereka mengikut setiap perintah yang diberikan dan menjauhi setiap larangan diingatkan. Mereka beribadah dengan apa Nabi contohkan, kerana pada hati mereka sesungguhnya pada diri Nabi itu telah ada suri tauladan.

Juga mereka beraqidah dengan segala yang diimani oleh Rasulullah SAW, kerana mereka tahu Nabi menerima wahyu dari langit yang ke tujuh. Bukan setakat itu, mereka buktikan kecintaan tersebut dengan air mata dan darah.

Dalam sebuah peperangan yang meragut nyawa Abu Jahal, seorang anak belia yang berumur 14 tahun bernama Muaz bin Amr al-Jamuh telah ditebas tangan kirinya sehingga hampir putus. Dia berlari menuju ke arah Rasulullah dengan dua tujuan; pertama adalah untuk mengkhabarkan di mana tempat Abu Jahal berada dan kedua adalah untuk memeluk Rasulullah buat kali terakhir.

Ada kisah yang menyayat hati tetapi menggambarkan teguhnya iman dan kecintaannya kepada Nabi. Sedang dia berlari, sejenak dia berhenti lalu dia bermonolog: “Wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku untuk menemui Rasulullah”. Pedang ditangan kanannya, dia ambil lalu memotong tangan kirinya yang terbuai-buai hingga gugur ke bumi.

Begitu pula dengan Ibnu Umar, dia pasti akan mengejar ular jika terserempak kerana ingin melaksanakan hadis Nabi mengenai anjuran membunuh haiwan tersebut. Sementara Uthman Al Affan ditertawakan kaum Musyrikin kerana berjubah senteng lalu beliau membalas dengan berkata: “Beginilah sahabat kami berpakaian”.

Agungnya cinta seorang sahabat mengatasi seluruh cinta manusia hari ini. Mereka cinta untuk lakukan apa yang Nabi laksanakan. Dalam hati mereka telah berasa cukup sempurna segala bentuk amalan yang Nabi tunjukkan.

Juga mereka beriman bahawa melaksanakan apa yang dipraktikkan oleh Nabi dalam bentuk yang asli, merupakan makna kepada ‘menegakkan sunnah Nabi’ atau ‘berpegang teguh kepada sunnah’.

Makna pejuang sunnah

Tidak layak untuk menamakan seseorang sebagai ‘Pejuang Sunnah Nabi’ jika amalannya bukan mengikut bentuk asli daripada Rasulullah SAW. Hanya orang yang menjalankan seluruh amalnya mengikut bentuk Nabi ajarkan baharu layak dinobat sebagai ‘berpegang teguh kepada Sunnah’.

Tetapi pada zaman ini manusia menyangka seruan untuk beribadah persis sama dengan bentuk ibadah Nabi sebagai anasir jahat, ejen Yahudi, kelompok sesat dan pemecah belah umat.

Fenomena ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW telah mengkhabarkan awal-awal lagi kepada para pejuang Sunnah: “Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, bagi orang yang berpegang teguh dengan sunnah pada saat itu seperti menggenggam bara api. Pada saat itu akan mendapatkan pahala 50 orang yang beramal seperti kalian.” (Riwayat Tirmizi)

Lihatlah Rasulullah SAW telah nyatakan, pada akhir zaman nanti akan terjadi keadaan di mana amal sunnah menjadi pelik di mata masyarakat kerana tidak diamalkan sehingga usaha mempraktikkan sunnah terasa sangat berat dan menyiksakan, sekali gus orang yang melaksanakan sunnah akan ditentang.

Namun sebagai galang gantinya ALLAH akan memberi pahala 50 orang sahabat kepadanya. Sungguh inilah zamannya. Segugus soal: mengapa kita menganggap seruan untuk menegakkan sunnah Nabi sebagai ajaran yang menyeleweng?

Walhal hadis di atas jelas menunjukkan keutamaan menggenggam sunnah pada zaman ini. Kemudian mengapa kita enggan untuk beramal dengan bentuk ibadah yang Nabi laksanakan? Apakah kita menganggap ibadah yang Nabi ajarkan tidak sesuai atau kurang sempurna? Sehingga meruntun kita ubahsuai amalan tersebut, sambil kita berteriak “inilah  ahlul sunnah”. Terakhir, bagaimana disebut sunni walhal kita tidak pernah beramal dengan sunnah?

Istilah ahl al-sunnah digunakan oleh Ibnu Abbas ketika mentafsir ayat 106 surah Ali ‘Imran. Terdiri dari dua kata iaitu ahli dan al-sunnah. Kata ahli merujuk kepada orang yang menjadi sebahagian daripada sesuatu kelompok atau bidang, atau seseorang yang memiliki ilmu atau mahir dalam sesebuah disiplin.

Justeru ahlul sunnah adalah seseorang yang mengetahui tentang jalan Nabi dan sahabat, lalu mengamalkannya serta berpegang teguh dengan jalan tersebut sehingga dia dianggap bergabung dengan sunnah.

Jelas upaya untuk mencintai Nabi adalah dengan mengikuti sunnah Baginda dan meniti pada mazhab ahlul sunnah, iaitu satu-satunya jalan yang selamat. Ibnu Umar berkata: “Manusia akan senantiasa berada di atas jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi.” (Riwayat al-Baihaqi)

Ingatlah golongan sahabat lebih mencintai Nabi daripada kita dan telah mengikut jejak Nabi secara sempurna. Ikutilah cara para sahabat menzahirkan rasa cinta kepada Baginda. Mereka tertawa, menangis, bersentuhan dan bernafas secara bersama hingga mereka tahu erti cinta.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »