Oleh Lokman Ismail
Kesalahan sesama manusia boleh ditebus dengan mohon maaf, bertaubat
Setiap perbuatan dosa dilakukan perlu melalui proses taubat yang betul untuk membersihkannya. Kategori dosa membabitkan keingkaran terhadap perintah Allah SWT, seperti minum arak dan meninggalkan sembahyang, cara taubat ialah memohon terus kepada Allah SWT.
Taubat dalam kategori itu perlu dilakukan dengan menyesal atas perbuatan dan tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” Surah al-Fajr (ayat 28)
Sebesar mana sekalipun dosa tetap akan diampunkan oleh Allah SWT, kecuali dosa syirik yang hanya terhapus secara memperbaharui syahadat dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Ini ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memberi ampun terhadap orang yang mempersekutukan-Nya (syirik) dan Allah sanggup memberi ampun dosa yang lain bagi orang yang dikehendaki-Nya. Sesiapa syirik, sesungguhnya sesat dia sejauh-jauh sesat.” (Surah an-Nisa, ayat 116)
Dosa sesama manusia
Sebaliknya, dosa hubungan sesama manusia seperti menipu dan mengumpat perlu memohon keampunan daripada orang berkenaan. Kita perlu bersemuka menyatakan kesalahan yang telah dilakukan dan memohon dimaafkan kesalahan itu.
Bagaimanapun, jika tidak ada keyakinan dan berasa akan timbul kesan buruk seperti balas dendam atau perbalahan, maka tidak harus memohon maaf secara bersemuka. Islam menegah melakukan sesuatu yang dikhuatiri mendatangkan keburukan biarpun atas niat yang baik.
Dalam keadaan itu memadai taubat itu dipohon kepada Allah SWT dan sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Mengetahui apa dilakukan hamba-Nya.
Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka dan tidak ada waktu khusus untuk bertaubat, tidak bermakna peluang itu terus terbuka. Pintu taubat akan tertutup ketika nyawa sudah hampir ajal, maka oleh sebab itu jangan sekali-kali bertangguh untuk bertaubat.
Rasulullah SAW menjelaskan batasan waktu Allah SWT menerima taubat setiap hamba-Nya dalam sabda baginda: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal).” (Riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya taubat membersihkan diri daripada kekotoran dosa dan apabila diri dalam keadaan bersih maka mudah mendapat rahmat serta pertolongan Allah SWT. Kehidupan dilalui dengan tenang, ceria, yakin, berserah dan hanya mengharapkan keredaan Allah SWT.
Cuba kita fahami maksud hadis diriwayatkan Bukhari: “Tiga perkara yang apabila ada pada seseorang, maka dia akan merasai kemanisan iman. Hendaklah menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dia cintai daripada mencintai perkara lain. Hendaklah dia mengasihi seseorang itu, tidak dikasihinya melainkan kerana Allah. Hendaklah dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci (takut) dicampakkan ke dalam api neraka.”
Orang berdosa sentiasa resah
Sebaliknya, orang yang dipenuhi dosa merasakan diri sentiasa resah, tidak mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksiat dan benci melakukan kebaikan, serta doanya sukar dimakbulkan oleh Allah SWT.
Oleh itu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya banyak beristighfar yang bermaksud memohon keampunan daripada-Nya. Mengikut satu riwayat, Rasulullah SAW sendiri beristighfar setiap hari tidak kurang daripada 70 kali dan ada mengatakan 100 kali biarpun baginda tidak melakukan dosa.
Istighfar bukan saja membersihkan dosa dan memohon keampunan, tetapi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beristighfar akan merasakan diri sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT dan tidak ada peluang untuk melakukan sesuatu ditegah oleh-Nya.
Maka itu amat layaklah orang yang selalu beristighfar mendapat kurniaan dan pertolongan Allah SWT. Hal ini dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa membanyakkan istighfar, nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang datangnya tanpa diduganya.” (Riwayat Ahmad)
Amalan sentiasa membersihkan diri daripada dosa dan memperbanyakkan ibadat adalah jalan sebaik-baik yang perlu diikuti oleh semua Muslim. Allah SWT sentiasa merahmati mereka yang bertaubat dan menyucikan diri.
Sesiapa berjaya menjaga dirinya dengan cara sentiasa bertaubat dan melakukan segala kebaikan semata-mata kerana Allah SWT, kehidupannya di dunia ini penuh ketenangan dan reda, sehingga kembali menemui-Nya.
Firman Allah SWT pula bermaksud: “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Fajr, ayat 28)