Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Disember 2013

Maklumat Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Disember 29, 2013

Pondok Lubuk Tapah atau nama rasminya Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah adalah sebuah institusi pengajian islam yang berkonsep tradisional dan merupakan antara pondok yang tertua di Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah mula diasaskan oleh AllahyarhamTuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan  pada tahun 1931 setelah kembalinya beliau daripada belajar di Mekah.Bertempat di Kampung Lubuk Tapah,Lemal Pasir Mas, dengan jarak kira-kira 4 km dari Bandar Pasir Mas dan 16 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, keluasan kawasan Pondok Lubuk Tapah adalah kira-kira dalam lingkungan 6 ekar.

Pada peringkat awal penubuhannya,kegiatan pondok ini adalah agak terhad   dengan bilangan pelajarnya yang tidak ramai manakala kemudahan-kemudahan asasnya pula tidak lengkap dan kurang memuaskan.Pada masa itu pondok-pondok pelajar terdiri daripada pondok sebuah-sebuah yang dibina sendiri oleh pelajar atau ibu bapa yang menghantar anak-anaknya memondok disini.Pondok-pondok dibina diatas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pelajar-pelajar yang datang menuntut di Pondok Lubuk Tapah datang dari seluruh negeri di Malaysia dan ada juga pelajar yang datang dari negara-negara jiran

seperti Thailand,Indonesia,Singapura dan kemboja.

Sehingga kini Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ribuan pelajar dimana ada dikalangan bekas-bekas pelajar pondok ini pulang menyebarkan ilmu dan memberi khidmat kepada masyarakat samada mengajar dengan membuka pondok atau sekolah agama,mengajar di masjid dan madrasah,menjadi imam masjid,bilal dan sebagainya. Bagi menambahkan lagi kefahaman dalam ilmu pengetahuan agama,terdapat juga bekas-bekas pelajar yang melanjutkan pengajian mereka ke negara-negara timur tengah seperti ke Mesir dan Syria.

Pondok Lubuk Tapah mengalami perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa dan perubahan itu semakin ketara apabila Tuan Guru Haji Abdullah pulang dari Mekah pada Disember 1966 setelah berkelana menuntut ilmu di sana selama 14 tahun semenjak tahun 1953.Beliau yang merupakan anak  kedua kepada pasangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Hajah Nik Zainab binti Nik Mud membantu ayahnya mengajar dan mentadbir pondok hinggalah akhirnya beliau mengambil tempat ayahnya menjadi mudir  pondok.Dibawah pentadbiran beliau Pondok Lubuk Tapah semakin berkembang pesat dan semakin dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia.Bilangan pelajarnya semakin bertambah manakala infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asasnya juga semakin baik dan lengkap.Sehingga kini terdapat kira-kira 400 orang pelajar yang menghuni di Pondok Lubuk Tapah termasuk dari kalangan warga tua dan mereka yang sudah berkeluarga.

 

 

SISTEM PENGAJIAN

 

 

Sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah masih mengekalkan sistem pengajian pondok tradisional dalam bentuk yang asal berdasarkan metode halakah dan kuliah. Berdasarkan metode ini pelajar akan membuka kitab menghadap kepada guru yang membaca dan membuat huraian bagi setiap kandungan kitab tersebut didalam majlis kuliah yang diadakan.Pengajaran dan huraian secara teliti dan mendalam oleh guru bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas dan luas kepada pelajar.

Mata pelajaran yang dipelajari di sini pula meliputi hampir semua bidang asas pengajian islam seperti al-Quran, Tauhid, Fiqh, Usul Fiqh, Tasawuf, Tafsir, Hadis, Mustalah Hadis, Sirah, Nahu, Saraf, Balaghah dan lain-lain lagi. 

Kitab-kitab yang dipelajari di Pondok ini pula terdiri daripada kitab-kitab turath yang muktabar karangan ulama-ulama mujtahidin dan lain-lainnya dalam bahasa Arab dan Melayu bertulisan jawi.

Tenaga-tenaga pengajarnya pula selain daripada tuan guru sebagai guru utama beliau turut dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar yang lain yang terdiri daripada pelajar-pelajar lama.

Secara umumnya sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah terbahagi kepada empat tahap mengikut kepada kemampuan pelajar iaitu kelas rendah bagi pelajar yang baru hendak belajar menulis dan membaca jawi.Tahap dua pula adalah kelas peralihan untuk pelajar yang baru pandai membaca dan menulis jawi dan mereka biasanya mempelajari kitab-kitab jawi yang rendah dan mudah difahami.Tahap tiga pula adalah kelas menengah yang menyediakan kelas-kelas untuk pelajar yang sudah pandai dan lancar membaca jawi. Mereka mengikuti kelas pengajian kitab-kitab jawi yang agak tinggi serta turut diajarkan ilmu nahu  ( tatabahasa arab ) dan sorof.Tahap empat pula adalah untuk pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian kitab-kitab arab yang dipanggil kelas tinggi/arab. Kebanyakan kitab-kitab arab diajar oleh tuan guru sendiri.

Kelas-kelas pengajian diadakan hampir tiap-tiap hari dan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pagi,petang ( bermula selepas zohor hingga selepas asar ) dan malam. Walaupun hari jumaat dan sabtu diletakkan sebagai cuti mingguan pondok namun kelas tuan guru bagi sesi malam masih berjalan seperti biasa.Tuan guru juga mengajar di Madrasah Pondok Kubang Bemban ( Pondok ayah mertua beliau;Allahyarham Tuan Guru Haji Ghani ) pada tiap-tiap hari sabtu mulai sebelas pagi hingga zohor.

 

 

 

INFRASTRUKTUR

 

Infrastruktur di Pondok Lubuk Tapah terdiri daripada tiga bangunan utama dengan pecahan di lokasi-lokasi yang tertentu iaitu Masjid,Madrasah dan Asrama pelajar.

 

1. Masjid

Masjid Pondok Lubuk Tapah terletak bertentangan dengan rumah tuan guru dan merupakan pusat bagi aktiviti ilmu dan ibadat dimana sebahagian besar daripada kelas-kelas pengajian diadakan di Masjid ini.Kelas pengajian tuan guru sendiri semuanya diadakan di Masjid ini.

Disamping menjadi tempat perhimpunan pelajar-pelajar pondok dan penduduk mukim Lubuk Tapah mengerjakan solat berjemaah dan jumaat,pelbagai program sambutan hari-hari kebesaran islam seperti Maulidur Rasul dan Isra’ mikraj turut diadakan disini.

 

2. Madrasah

 

Terdapat tiga buah Madrasah yang dijadikan tempat kuliah-kuliah pengajian kitab oleh tenaga-tenaga pengajar.Madrasah Al-Rahmaniah yang merupakan madrasah utama terletak disebelah Masjid berhadapan dengan Rumah Tuan Guru.Tapak Madrasah ini adalah tempat asal mula-mula kegiatan pengajian kitab dan solat berjemaah dibuat sejak dari awal penubuhan Pondok Lubuk Tapah,sebelum  Masjid Lubuk tapah dibina.

Sekarang ini Madrasah Al-Rahmaniah merupakan bangunan kuliah kedua terpenting selepas masjid dengan kebanyakan kelas-kelas pengajian tenaga pengajar pondok diadakan disini.Disamping itu ianya turut dijadikan tempat pelajar-pelajar pondok berkumpul untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dalaman dan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti majlis meraikan tetamu dari luar dan majlis usrah yang diadakan pada tiap-tiap hari rabu malam khamis.Di tingkat atas madrasah ini dijadikan pejabat untuk urusan pentadbiran pondok.

Madrasah dua dan tiga pula terletak didalam kawasan asrama pelajar lelaki dan turut dijadikan tempat untuk mengadakan kelas-kelas pengajian dan aktivi pondok.

 

3. Asrama Pelajar

 

Asrama pelajar atau lebih sinonim dengan panggilan pondok sahaja terbahagi kepada tiga iaitu asrama pelajar lelaki,asrama pelajar wanita serta warga emas dan asrama serta rumah-rumah bagi pelajar yang sudah berkeluarga (pondok kelamin).

Asrama pelajar lelaki terletak di kawasan hadapan pondok iaitu disebelah jalan masuk ke kawasan pondok.Terdapat 4 blok asrama pelajar lelaki iaitu blok A,B,C dan D.Hanya asrama Blok A sahaja yang dibina satu tingkat manakala blok asrama yang lainnya adalah bangunan 2 tingkat yang mana kesemuanya boleh menempatkan lebih daripada 200 orang pelajar dalam satu-satu masa.Sebuah blok asrama berkembar 3 tingkat masih didalam pembinaan dan sekiranya siap dijangka boleh dihuni lebih 100 orang pelajar.

Asrama pelajar wanita pula terletak bersebelahan dengan rumah tuan guru.Terdiri daripada satu blok asrama  tiga tingkat dengan tingkat pertama dan kedua didiami oleh orang-orang tua wanita (warga emas).

Manakala asrama rumah kelamin juga terdiri daripada satu blok bangunan 3 tingkat dengan 12 belas buah rumah dihuni oleh tenaga-tenaga pengajar pondok yang sudah berkeluarga pada 2 tingkat yang diatas sementara tingkat bawah pula dihuni oleh warga  emas wanita.Selain itu terdapat juga rumah-rumah kayu yang terletak berselerakan di sekitar rumah tuan guru yang didiami oleh pelajar yang sudah berkahwin dan juga warga emas lelaki dan wanita.

 

ORGANISASI 

 

Bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan pondok berjalan dengan lancar dan terurus maka satu organisasi telah dibentuk yang mana terdiri daripada jawatan kuasa pentadbir yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Abdullah dengan dibantu oleh dua orang anak lelakinya.Segala urusan yang berkaitan dengan sistem pentadbiran dan pengajian pondok adalah di bawah arahan atau persetujuan beliau.

Bagi melancarkan lagi urusan pentadbiran dan pengurusan pondok dan pelajar maka Majlis Hal Ehwal Pelajar Pondok Lubuk Tapah ( M.H.E.P.P ) telah ditubuhkan oleh pelajar-pelajar pondok.Ahli majlis ini dianggotai oleh pelajar-pelajar lama dan baru.Beberapa lajnah telah dibentuk di bawah M.H.E.P.P bagi melancarkan lagi perjalanan organisasi iaitu :

 

1. Lajnah Tarbiah dan Dakwah :

   – Menjaga dan memantau displin dan tatatertib pelajar.

   – Mentarbiyah atau melaksanakan tindakan displin keatas pelajar yang bermasalah.

 

2. Lajnah Pelajaran :

   – Menyusun dan mengatur kelas serta sukatan pengajian terutama bagi kelas-kelas 

     rendah,peralihan dan menengah.

   – Memantau dan menilai kemampuan dan peningkatan pelajaran dikalangan pelajar.

 

3. Lajnah Pendaftaran :

   – Menguruskan urusan kemasukan dan pendaftaran pelajar baru.

   – Mengurus dan mengatur penempatan pelajar.

  

 

4. Lajnah Perhubungan :

   – Berperanan dalam urusan hubungan luar pondok seperti menguruskan kehadiran  

     pelawat dan tetamu yang datang membuat lawatan dan menziarahi pondok.

 

5. Lajnah Kebersihan :

   – Menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan kebersihan kawasan pondok.

 

6. Lajnah Usrah :

   – Menguruskan program usrah mingguan yang diadakan pada tiap-tiap hari rabu  

     malam khamis.

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Malaysia | 6 Comments »

Hak persaudaraan wajib ditunai umat Islam

Posted by epondok di Disember 29, 2013

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Sifat tolong-menolong dapat pelihara ummah daripada ditimpa malang, bahaya

Salah satu sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati, di samping memperkukuhkan tali persaudaraan sesama Islam ialah tolong-menolong. Allah SWT sendiri amat menganjurkan umat Islam menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Sepanjang kehidupan manusia, terhampar pelbagai kesulitan dan kesukaran yang menguji ketahanan serta keperibadian diri. Walaupun begitu, seorang manusia selamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya.

Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan rakannya. Maka, benarlah pepatah Arab yang menyatakan: “Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan, dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudaranya.”

Tak mengira masa

Hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah, pada setiap saat dan ketika. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan Rasulullah SAW dalam sabda: “Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari)
Justeru, persaudaraan Islam yang tulen adalah satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai. Sehubungan itu, seorang Muslim wajib bersama saudaranya untuk mempertahankan kebenaran Islam dalam apa juga keadaan, menunjuk jalan kepadanya jika dia tersesat dan mencegahnya jika dia terlajak.

Sabda Rasulullah SAW: “Tolonglah saudaramu sama ada dia seorang penganiaya ataupun yang kena aniaya! Jawab sahabat: Menolongnya sewaktu dia teraniaya, fahamlah kami, maka bagaimana mungkin pula menolongnya bila dia yang menganiayai? Ujar Rasulullah: Kamu mencegahnya daripada perbuatan aniaya itulah erti kamu telah menolongnya.” (Riwayat Bukhari)

Peranan Muslim

Selain itu, setiap Muslim wajib menolong saudara semuslim berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Jika dia seorang pemimpin yang berkuasa, maka dia berkewajipan menolong rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan menyediakan keperluan asas kehidupan rakyatnya.

Kuasa adalah satu amanah Allah SWT yang cukup berat pada bahu seseorang pemimpin. Jika dia melaksanakan amanah dengan ikhlas dan baik, insya Allah dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya jika dia cuai memikul amanah itu dan dijadikan alat untuk mencari kekayaan serta menambah koleksi harta peribadinya, bukannya untuk menolong rakyat, maka dia hanya menempah tempat dalam api neraka.

Seorang Muslim yang berada dan kaya pula, maka dia berkewajipan membantu saudaranya dari sudut kewangan. Sudah menjadi sunnatullah ada yang kaya dan ada pula yang miskin.

Alangkah baiknya harta orang kaya dinafkahkan kepada orang memerlukan terutama fakir miskin, pesakit kronik yang memerlukan dana perbelanjaan untuk menanggung kos pembedahan, ibu tunggal, anak yatim dan mangsa musibah.

Perlu ditegaskan bahawa amalan menafkahkan harta pada jalan Allah SWT bukan hanya terhad kepada membelanjakan hartanya pada jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma dan menumbang untuk maslahah umum.

Berdasar kemampuan, daya

Selain itu, ulama atau guru pula boleh membantu umatnya dengan sumbangan ilmu yang berharga. Seorang yang sihat dan gagah perkasa boleh menolong saudaranya dengan meringankan beban yang ditanggungnya.

Pendek kata, setiap Muslim boleh menolong saudara berdasarkan kemampuan dan daya upaya yang ada padanya. Sifat tolong-menolong inilah yang menjadi asas keperibadian Muslim sebenar dan tonggak utama yang menegakkan binaan persaudaraan Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Budi kebajikan (tolong menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan, dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong menolong) akan melanjutkan usia seseorang.” (Riwayat Tabrani)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »