Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 Disember 2013

Musibah uji kesabaran, ketakwaan ummah

Posted by epondok di Disember 23, 2013

Oleh Dr Mohd Shukri Hanapi

Ganjaran pahala, kehidupan lebih baik jika berjaya tempuhi dugaan

Ketika ini, penduduk di beberapa daerah di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir besar sejak beberapa hari lalu.
Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir demi keselamatan. Di pusat penempatan banjir itu, sudah tentu mereka merasai kurang selesa jika dibandingkan keselesaan di kediaman masing-masing sebelum ini.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik

Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Dimaksudkan dengan perkataan musibah ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.

Musibah ujian Tuhan

Meskipun begitu, Allah SWT menjadikan musibah ini sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155)
Kemudian Allah SWT jelaskan lagi tentang orang yang sabar itu di dalam firman-Nya yang bermaksud, “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jualah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 156)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah SWT itu berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan.

Bukti penyabar

Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya.

Jadi jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azab-Nya.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat tersebut (ayat 156 daripada Surah al-Baqarah) beliau menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal ra yang bermaksud, Abu Sinan berkata: “Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakan?”

Jawab Abu Sinan: “Baiklah”. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib telah menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman (yang bermaksud): “Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya.”

Jawab Malaikat Maut: “Ya! Lalu Allah SWT berfirman, apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)?” Jawabnya: “Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan.” Maka Allah SWT berfirman: “Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.” (Ibn Kathir)

Hadis ini menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah SWT walaupun anak kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya di dalam syurga.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah SWT itu bukanlah sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan di dalam hadis di atas.

Mereka yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa disaring oleh zaman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Maklumat Pondok Bukit Gading

Posted by epondok di Disember 23, 2013

Sejarah Penubuhan

Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Pondok Darul Ilmi (PDI) telah ditubuhkan pada tahun 1985 oleh al-Marhum Tuan Guru Hj Mohammad bin Che Long ( 1924 – 31.1.1998 ) dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas

Dengan tertubuhnya Pondok Darul Ilmi (PDI) yang merupakan pondok tunggal di Daerah Tanah Merah ketika itu maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah setelah sekian lama daerah ini ketandusan pusat pengajian agama seumpama ini

Meski pun Allah lebih menyayangi al-Marhum Tuan Guru Hj Mohammad yang meninggal dunia pada 31 Januari 1998 namun roh jihad yang dirintis oleh beliau tidak dibiarkan pupus dan mati sebaliknya diteruskan oleh menantunya Ustaz Hj Mohamad bin Awang yang mengambil alih pentadbiran

  Objektif Penubuhan

  1. Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
  2. Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
  3. Melahirkan pelajar cemerlang dalam menguasai bahasa-bahasa utama selain Melayu iaitu Arab dan Inggeris
  4. Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
  5. Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan diri dan emosi
  6. Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
  7. Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
  8. Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
  9. Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan

Lokasi

  Pondok Darul Ilmi (PDI) terletak di Kg Bukit Gading, 17500 Tanah Merah, Kelantan kira-kira 8 km dari Pusat Bandar Tanah Merah di atas sebidang tanah seluas 5 ekar persegi.

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Bukit Gading, Pondok Malaysia | Leave a Comment »