Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 Disember 2013

Perselisihan boleh dielak jika ada sikap berlapang dada

Posted by epondok di Disember 20, 2013

Abu Umamah al-Bahili berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saya seorang yang memberi jaminan bahawa sesiapa yang menghindarkan diri daripada suka membantah-bantah, walaupun dia rasa dirinya benar, dia mendapat sebuah rumah dalam kawasan halaman syurga. Sesiapa yang menghindarkan dirinya daripada berdusta, walaupun bagi tujuan bergurau, dia mendapat sebuah rumah di tengah syurga. Sesiapa yang memperbaiki budi pekertinya, dia mendapat rumah di tanah tinggi syurga.” (Riwayat Abu Daud)

Sering berlaku hari ini, perkara kecil diperbesar-besarkan, menyebabkan timbul perbahasan yang jika dibiarkan boleh berlarutan tanpa kesudahan. Islam tidak menghalang perselisihan pandangan tetapi kita diingatkan supaya berlapang dada dengan pendapat orang lain.
Biarpun kita merasakan apa yang dikemukakan itu betul, namun ada kalanya mengalah lebih baik kerana berundur tidak bermakna kalah sebaliknya kita berjaya mengelak berlaku pergaduhan yang membawa kepada perpecahan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pada hari kiamat nanti, amalan yang paling besar pahalanya adalah budi pekerti yang baik. Percayalah, Allah benci kepada orang yang percakapannya tidak bersih.” (Riwayat Tirmizi)

Berbantah-bantah perkara remeh

Bagaimanapun, perkara yang diperdebatkan adalah perkara cabang bukan hukum-hakam yang sudah jelas kerana dalam menegakkan kebenaran Islam, kita bertanggungjawab mempertahankan kesucian ajaran Islam.

Apa yang berlaku hari ini, umat Islam suka berbantah-bantah dalam perkara remeh yang boleh diselesaikan secara baik jika kita menghormati pendirian pihak lain. Bukannya terus ingin menegakkan kebenaran sedangkan tahu bahawa kedua-dua pandangan boleh diterima.

Lebih mendukacitakan, kecenderungan bergaduh bukan dalam perkara wajib, tetapi amalan yang sudah menjadi budaya kehidupan. Sepatutnya, pendekatan terbaik ialah memberi nasihat tetapi jika tidak diterima, itu terserah kepada pihak berkenaan.
Abu Darda’ berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pada hari kiamat nanti, amalan yang paling besar pahalanya adalah budi pekerti yang baik. Percayalah, Allah benci kepada orang yang percakapannya tidak bersih.” (Riwayat Tirmizi)

Kita biasa mendengar nasihat, dia itu lebih baik. Maknanya, jika tiada benda atau perkara untuk diperkatakan, adalah lebih baik berdiam diri. Ada kala, niat kita menyampuk untuk bergurau, tetapi disebabkan tersalah pilih perkataan, menyebabkan berlaku perbalahan.

Hakikatnya sukar untuk mengawal perkataan, tetapi itu perlu dilakukan supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah SWT disebabkan percakapan yang sering menyakitkan hati orang lain. Percakapan yang baik boleh melahirkan perasaan kasih orang kepada kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »