Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Disember 2013

Gajet pemangkin remaja antisosial

Posted by epondok di Disember 18, 2013

Oleh Mohd Hasan Adli Yahya

Jika ditanya pelajar apakah saat paling dinanti, pasti tanpa berfikir panjang mereka akan menjawab musim cuti persekolahan. Apatah lagi cuti akhir tahun, menyebabkan ramai pelajar tersenyum sampai ke telinga.

Hampir dua minggu lagi cuti sekolah bakal berakhir.

Yang menjadi persoalan, bagaimana pelajar di luar sana memanfaatkan masa lapang di waktu terluang ini? Adakah ia memberi manfaat atau mengundang mudarat? Alhamdulillah, ramai ibu bapa mengambil pelbagai langkah untuk memanfaatkan masa lapang anak mereka dengan aktiviti berfaedah.

Tidak kira sama ada melancong bersama keluarga ke pelbagai destinasi dalam atau luar negara, selain ada juga memasukkan anak ke pelbagai kem motivasi dan agama.

Pasti akan ada pelajar mengambil masa terluang ini mencari wang saku dengan membantu ibu bapa berniaga atau membuat perniagaan sendiri secara kecil-kecilan.

Namun, tidak kurang juga pelajar mendapat mudarat kesan cuti sekolah yang panjang ini.

Mengapa dikatakan mudarat? Kerana masa lapang yang terluang tidak dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah, sebaliknya dipenuhi dengan aktiviti yang tidak memberi apa-apa kepada diri mereka.

Sejak tiga hingga empat tahun lalu iaitu apabila pelbagai gajet canggih diperkenalkan dalam pasaran, tidak dapat dinafikan masyarakat pelbagai peringkat usia mendapat manfaat daripadanya.

Semuanya umpama di hujung jari, tekan saja pasti bakal ketemu apa yang dicari.

Namun, tidak dapat dinafikan gajet ini sebenarnya banyak meragut nilai positif dalam diri manusia.

Di mana saja kita melihat orang sibuk dengan gajet canggih mereka, termasuk di kalangan pelajar.

Namun mengecewakan apabila pelbagai perisian dalam gajet melalaikan mereka dengan aktiviti tidak berfaedah.

Dewasa ini, kanak-kanak seawal umur dua tahun sudah mengenal gajet canggih ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, ramai kanak-kanak mengenal pelbagai ‘game’ di dalam gajet ini berbanding mengenal huruf di dalam al-Quran.

Malah, kebanyakan kanak-kanak dan remaja sekarang dilihat terlalu asyik dengan gajet mereka.

Bermula daripada celik mata hinggalah sebelum mata terlena, mata asyik tertumpu dengan gajet bagai tidak mengenal erti jemu.

Lebih menyedihkan apabila sifat fanatik dengan gajet ini akhirnya mengundang gejala kurang sihat yang dikenali sebagai ‘antisosial’.

Jika dulu, antisosial dikenali sebagai ‘kera sumbang’ kerana hanya terperuk di dalam rumah dan tidak bergaul dengan orang lain.

Namun kini, ia berulang kembali, tetapi dengan sedikit penambahan konsep baru iaitu terperuk dengan gajet siang dan malam.

Panggilan ibu tidak lagi diendahkan, apatah lagi jika ada tetamu hadir ke rumah, kadangkala langsung tidak disapa kerana terlalu asyik bermain dengan gajet.

Tidak mustahil satu hari nanti anak atau remaja masa akan datang ini bersikap ‘antisosial’.

Lebih membimbangkan kita atau ibu bapa tidak tahu apa yang mereka simpan di dalam gajet mereka.

Dengan pelbagai aplikasi yang canggih, tidak mustahil sesuatu yang tidak bermoral mungkin disimpan secara rapi tanpa dapat dikesan dengan mudah.

Tidak hairan jika sebilangan remaja umpama tidak mengenal erti segan silu.

Natijahnya dapat dilihat lambakan video remaja bersama pasangan kekasih yang merakam video mesra mereka dan tanpa segan silu memuat naik di Internet yang membolehkan jutaan manusia menontonnya.

Sesuatu yang baik itu kadangkala boleh juga mengundang pelbagai aspek negatif jika tiada pemantauan orang dewasa serta disiplin yang diterapkan terhadap kanak-kanak dan remaja ini.

Jangan sehingga sudah terpalit malu, baru kita sibuk nak memantau aktiviti anak kita.

Insya-Allah, sama-sama saling ingat mengingatkan.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Maklumat Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Disember 18, 2013

Sejarah Ringkas

Pondok ini dinamakan Madrasah Diniah Bakriah yang juga dikenali dengan nama Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh.

Ia terletak kira-kira 11 km dari Bandar Kota Bharu dan jaraknya dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh pula ialah sebanyak 1 km. Pondok ini juga berdekatan dengan perumahan Desa Darulnaim dan juga mini MRSM Pasir Tumboh.

 Ia ditubuhkan pada 1954M oleh 2 orang adik beradik iaitu Tuan Guru Hj Mustafa b. Abu Bakar dan adiknya Tuan Guru Hj Abdul Aziz. Penubuhannya merupakan rentetan pengajaran yang telah dilakukan oleh ayahandanya tuan Haji Abu Bakar.

Pengajaran di balaisah (surau ) ini disambung oleh Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan abangnya Tuang Guru Haji Mustafa sehinggalah tertegaknya sebuah madrasah yang serba sederhana dengan bantuan tenaga setempat pada tarikh itu.

 Pada peringkat awal penubuhannya, bilangan pelajar(lelaki) hanya 50 orang sahaja. Pengajian dijalankan disebuah madrasah kayu yang berukuran 40×30 kaki sahaja.

Sebelum tertegaknya madrasah ini, terdapat enam orang pelajar sulung yang datang meminta kepada tuan Guru Haji Abdul Aziz supaya membacakan kepada mereka kitab turath.Sehingga mereka berjaya menguasai bidang ilmu dan seterusnya menjadi tenaga pengajar di sini. Antara mereka ialah al-fadhil ustaz Abdullah bin Ali.

Generasi demi generasi yang silih berganti, hinggalah ke hari ini, madrasah ini terus meniti di bibiran pencinta ilmu agama.

 

Perkembangan seterusnya

       Setelah tertegaknya madrasah yang menjadi gedung pengentahuan, selangkah maju kehadapan untuk meniti arus pembangunan yang menjadi kemudahan dan asas kehidupan seharian pelajar pondok.

      Ini dilihat pada infrastrukturnya yang telah dibangunkan bagi tujuan tersebut. Yang mana ia sememangnya merupakan keperluan asasi ke arah terbentuknya madrasah yang sempurna.

Pada tahun 1959, Sebuah masjid didirikan dengan menelan belanja RM45 ribu. Ianya mendapat kelulusan Majlis Ugama Kelantan sebagai masjid mendirikan sembahyang Jumaat. Di samping itu, masjid ini juga dijadikan tempat belajar. Pelajar semakin bertambah kepada 700 orang yang terdiri daripada pelajar dalam dan luar negeri seperti Thailand dan Singapura. Masjid ini telah diperbesarkan dengan pembinaan bangunan 4 tingkat yang siap pada awal 1990 yang dirasmikan oleh KDYM Sultan Kelantan. Kemudian mula membina bangunan tambahan 3 tingkat pada 2005

Madrasah al-Bakriah maju selangkah lagi. Pada tahun 1969, Sebuah lagi madrasah baru 2 tingkat berukuran 40×60 kaki dibina dengan belanja RM35 ribu. Ia dinamakan Madrasah Tuan Guru Hj Mustafa. Ianya dijadikan tempat pengajian dan sebagai menampung tempat pengajian yang sedia ada.

      Permintaan terhadap pembangunan terjadi lagi. Pada tahun 1984, Sebuah bangunan 2 tingkat dibina berhadapan dengan masjid yang mana dijadikan pejabat Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) di sebelah bawah mula 1997 hingga 2003 sebelum dijadikan pejabat rasmi pondok disamping perpustakaan serta bilik pameran di sebelah atasnya.Pada awal pembinaannya ia merupakan tempat belajar dan juga tempat latihan syarahan kepada pelajar.

      Bangunan pembelajaran dibina lagi kali ini. Pada tahun 1988, Sebuah bangunan 2 tingkat dibina lagi berukuran 40×60 kaki sebagai tempat belajar dan juga berlatih syarahan bagi pelajar. Ia dinamakan Madrasah Tuan Guru Hj Abdul Aziz.

     2001 – Mula membina sebuah bangunan 5 tingkat yang dinamakan Rumah Wakaf Guru & Pelajar. Bahagian bawah dijadikan dewan serbaguna termasuk untuk pengajian dan latihan syarahan bagi pelajar manakala sebelah atas dijadikan tempat penginapan pelajar di mana telah guna mulai tahun 2004 walau pun belum siap sepenuhnya lagi

 

 

PERKEMBANGAN SEMASA

Perkembangan utama yang dapat dilihat ialah dari segi pertambahan pelajar iaitu sehingga sekarang ia mempunyai hampir 1000 orang pelajar disamping penduduk asal dan wargatua. Pada asalnya ia hanya menerima pelajar lelaki sahaja tetapi disebabkan desakan orang ramai maka dibuka kepada pelajar perempuan untuk turut belajar sama. Bilangan guru dewasa ini 35 orang tidak termasuk kepala mutalaah.

      Institusi pondok semenjak dahulu merupakan milik persendirian di mana ia hanya bergantung kepada sumbangan dan derma orang ramai, yuran pendaftaran/bulanan dan juga amalan jimat cermat pihak pentadbir disamping tenaga pengajarnya mengajar ilmu secara sukarela tanpa menerima gaji walau sedikit pun.

Cuma buat masa sekarang bagi membantu dari sudut pembangunan dan juga ke arah membantu tenaga pengajar pondok maka satu badan khas telah ditubuhkan dengan namanya Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB). Ia disertai oleh kebanyakan pondok yang masih berfungsi di Kelantan ini dan ditunjangi oleh 3 pondok besar iaitu Pondok Pasir Tumboh, Pondok Lubuk Tapah dan Pondok Sungai Durian.

 

MATLAMAT PENGAJIAN PONDOK

1. Menjadikan pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal

2. Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak

3. Melahirkan generasi berilmu beramal, berani dan bertaqwa

4. Melahirkan pelajar mahir serta memahami  secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup

LOKASI

 

 

 

Ia terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu dan 1 kilometer dari jalan utama Kota Bharu – Pasir Puteh disamping ia terletak berhampiran dengan kawasan perumahan Desa Darul Naim, Pasir Tumboh serta beberapa pusat pengajian yang lain seperti SMU Taqaddum al-Maarif dan mini MRSM Pasir Tumboh.

 

 

KELUASAN DAN PENEMPATAN

 

 

 

Ia  merangkumi kawasan seluas 40 ekar dengan tanah wakaf milik madrasah seluas ¾  ekar manakala selebihnya milik persendirian. Ia menampung lebih kurang 800 unit rumah dan pondok di mana ia terbahagi kepada beberapa kawasan yang merangkumi :

  • Rumah Tuan Guru, tenaga pengajar dan keluarga
  • Pondok orang-orang tua
  • Pondok pelajar lelaki
  • Pondok pelajar perempuan
  • Pondok keluarga
  • Pejabat pentadbiran 
  • Masjid dan surau-surau untuk pengajian
  • Tanah perkuburan Islam

 

 

 

KOMUNITI PENDUDUK

 

 

 

Madrasah ini mempunyai jumlah bilangan penduduknya seramai 1300 orang sebagaimana maklumat di bawah :

  • 700 orang penduduk termasuk guru dan keluarga serta orang tua dan kelamin
  • 500 orang pelajar lelaki
  • 100 orang pelajar perempuan

 

 

 

AHLI JAWATANKUASA MADRASAH

 

 

 

JEMAAH PENGUASA

Penguasa 1                 :           Tuan Guru Hj Hashim b Hj Abu Bakar

Penguasa 2                 :           Ustaz Hj Wan Muhammad b Wan Othman

Penguasa 3                 :           Ustaz Hj Salleh b Ismail

Setiausaha Agong     :           Ustaz Hj Ahmad Shairazi b Hj Atiqullah

Timb Setiausaha       :           Ustaz Hj Syuib b Omar

Bendahari Agong       :           Ustaz Hj Abdul Rahim b Hj Hamzah

 

JEMAAH TADBIR

Pengerusi                    :           Ustaz Hj Abdul Halim b Abdul Ghani

Timb Pengerusi          :           Ustaz Hj Muhamed b Talib

Setiausaha                 :           Ustaz Hj Syuib b Omar

Timb Setiausaha       :           Ustaz Hj Mohd Zaini b Mustafa

Bendahari                   :           Ustaz Hj Abu Bakar b Osman

 

Lajnah Pelajaran                               :           Ustaz Hj Abu Bakar b Osman

Lajnah Keamanan & Keselamatan   :           Ustaz Hj Abdul Halim b Abdul Ghani

Lajnah Akhlak & Ibadat                  :           Ustaz Hj Ahmad Naim Muhammad

Lajnah Penerangan & Perhubungan            :           Ustaz Hj Nurussobah b Hj Mustafa

Lajnah Perancangan & Pembangunan:        Ustaz Hj Nik Zulkifli b Nik Yaacob

Lajnah Kebersihan & Keceriaan      :           Ustaz Hj Suhaimi b Ismail

Lajnah Kewangan & Ekonomi                       :           Ustaz Hj Abdul Rahim b Hj Hamzah

 

 

 

  • Setiap jawatankuasa kecil lajnah terdiri daripada kalangan guru dan pelajar

 

AHLI JAWATANKUASA PELAJAR

 

 

 

  1. Majlis Syura Pelajar di bawah penyeliaan Lajnah Pelajaran dan Lajnah Keamanan
  2. Ahli jawatankuasa kawasan muslimin & muslimat
  3. Persatuan anak negeri yang ditubuh

 

 

PUSAT PENTADBIRAN

 

 

 

Madrasah ini mempunyai sebuah pejabat di mana ia digunakan untuk pentadbiran madrasah, pendaftaran pelajar, mesyuarat, menyambut tetamu dan beberapa tugas berkaitan. Ia dikendali oleh petugas tetap dibantu oleh Lajnah Penerangan & Penerangan, Lajnah Pelajaran dan ahli jawatankuasa Majlis Syura Pelajar

 

 

TEMPAT BELAJAR

 

 

 

Madrasah mempunyai beberapa bangunan khas untuk pengajian iaitu seperti berikut :

  • Masjid 4 tingkat
  • 5 buah madrasah
  • Dewan Hj Abu Bakar

  

 

AKTIVITI/ KO-KURIKULUM

 

 

 

  1. Majlis Muhadhorah Setiap malam Selasa di bawah penyeliaan Lajnah Penerangan & Perhubungan yang melibatkan latihan syarahan, khutbah, nasyid dan lain-lain serta diadakan pertandingan peringkat pondok setiap tahun
  2. Mengadakan program mukhayyam, rehlah, seminar, kursus, lawatan sambil belajar dan sebagainya samada di bawah penyeliaan Lajnah Penerangan & Perhubungan, Majlis Syura Pelajar atau jawatankuasa kawasan
  3. Menyertai pertandingan Syarahan & nasyid peringkat Pondok-pondok Kelantan setahun sekali
  4. Mengadakan gotong-royong bagi setiap kawasan dan juga peringkat umum di bawah penyeliaan Lajnah Kebersihan & Keceriaan

 

AKTIVITI KEMASYARAKATAN

 

 

 

  1. Menganjurkan majlis bagi hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan Hijraturrasul, Maulidurrasul untuk masyarakat pondok dan umum
  2. Menganjurkan majlis diskusi dan ilmu dengan para ulama’ dari dalam dan luar negara
  3. Menghadiri majlis tahlil, solat hajat, solat jenazah atas jemputan masyarakat

 

 

KEBAJIKAN GURU, PELAJAR & PENDUDUK

 

 

 

  1. Telah menubuhkan jawatankuasa khas di bawah Lajnah Pelajaran bagi menguruskan Tabung Kebajikan Guru dan Pelajar di mana setakat ini telah menyalurkan bantuan kewangan dan makanan kepada pelajar yang layak
  2. Mulai tahun 2006 telah mengutip yuran kecemasan sebanyak RM 10.00 setahun bagi menjaga kebajikan guru dan pelajar
  3. Tabung Khairat Kematian di mana warga pondok digalakkan menjadi ahli tabung khairat Masjid Mukim Terusan

  

 

SUMBER KEWANGAN

 

 

 

  • Yuran pendaftaran sebanyak RM 10.00 dan bulanan RM 5.00
  • Sumbangan derma dan zakat orang ramai
  • Sumbangan daripada Pusat Pembangunan Pondok Berhad

 

 

PRASARANA YANG SEDIA ADA

 

 

 

  1. Masjid untuk ibadat dan pengajian
  2. 5 buah madrasah tempat pengajian
  3. Pejabat
  4. 2 buah perpustakaan iaitu Maktabah Bakriah dan Maktabah Masjid Mukim
  5. Bilik pameran
  6. Bilik kegiatan Majlis Syura Pelajar
  7. Rumah tetamu
  8. Kantin/ kedai makan
  9. Kedai runcit dan kitab
  10. Dewan serbaguna
  11. Tandas awam

 

 

PRASARANA YANG BELUM SIAP/PERANCANGAN

 

 

 

 

 

  1. Rumah Wakaf Guru & Pelajar setinggi 5 tingkat yang telah diguna sebahagiannya pada awal bulan Mac 2004
  2. Sedang membesarkan masjid 3 tingkat
  3. Sedang siapkan pembinaan pagar bagi keselamatan

 

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Malaysia, Pondok Pasir Tumboh | 9 Comments »