Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Disember 2013

Pelantikan pemimpin menurut Islam

Posted by epondok di Disember 16, 2013

Oleh Ibrahim Abdullah

DARIPADA Abu Musa r.a katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah.

Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu Baginda bersabda : “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Hadis di atas menjelaskan satu kaedah yang penting dalam pelantikan sesuatu jawatan kepimpinan atau kuasa tidak boleh diberikan kuasa atau jawatan daripada yang memintanya atau tamakkan kuasa.

Ini kerana jawatan dalam Islam adalah amanah dan ia diterima dengan tanggungjawab serta perasaan takutkan ALLAH SWT, sedangkan mereka yang meminta atau tamakkannya adalah tanda golongan yang berasa besarnya tanggungjawab di hadapan ALLAH.

Oleh itu menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang mempunyai kuasa menentu dan memilih untuk tidak memilih mereka yang tamak akan kuasa.

Al-Qadhi al-Baidawi dalam menghuraikan persoalan meminta jawatan kepimpinan berkata: “Tidak sewajarnya bagi yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan diikuti dengan penyesalan.”

Berkata al-Muhallab pula: Keinginan untuk memperoleh kuasa adalah sebab berlaku peperangan di kalangan manusia kerananya sehingga ditumpahkan darah, dicemari harta dan maruah.

Dengan demikian, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamak kuasa dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka ia tidak dilantik.

Ini dapat menyelamatkan dua perkara bahaya: Amanah kepimpinan jatuh ke tangan mereka yang tidak takut akan ALLAH dan tidak memahami bahawa kepimpinan akan dipersoalkan di akhirat. Juga berlakunya perebutan kuasa di kalangan umat yang akhirnya membawa kehancuran.

Persoalan kepimpinan dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran tetapi juga membabitkan persoalan keberkatan dan pertolongan ALLAH yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertakwa.

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Baginda SAW menasihati sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah yang bermaksud: “Wahai Abdul Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul al-Bari menyatakan: “Maksud hadis di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya, maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya.”

Katanya lagi: “Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada ALLAH terhadap pekerjaannya, maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sewajarnya diterima permintaannya (untuk menjadi pemimpin).

Dengan lain kata, sesiapa yang meminta jawatan, maka ALLAH tidak akan menolongnya jika dia memerintah atau berkuasa. Sesiapa yang tidak ditolong ALLAH tentu dia gagal melaksanakan amanah seperti yang dikehendaki ALLAH, sama ada yang kecil ataupun besar dan dalam apa jua urusan sekalipun.

Orang telah dipastikan dia tidak dibantu ALLAH adalah nyata kegagalannya dari awal lagi, maka wajar dia dihalang dari diberikan jawatan berkenaan. Namun ini bukanlah bererti mustahil untuk dia melakukan kebaikan dan keadilan pada orang di bawahnya.

Ada pemimpin yang bukan Islam tetapi dapat melakukan kebaikan dan keadilan. Ini adalah hasil daripada usahanya bersama dengan keizinan ALLAH. Namun pertolongan ALLAH dengan keberkatan dan rahmat-Nya tidak akan diperoleh jika seseorang tamak akan kuasa.

Dari dimensi yang lain, mereka yang menuntut jawatan sebenarnya telah meletak keistimewaan atau kelayakan pada diri sendiri. Ini adalah lambang keegoan, sedangkan ALLAH telah berfirman yang bermaksud: “Jangan kamu menyatakan diri kamu suci.” (An-Najm : 32).

Meminta jawatan adalah suatu bentuk menuntut diiktiraf kelebihan di hadapan orang lain. Sedangkan Islam mahu supaya jawatan dipikul oleh mereka yang dibantu dirinya dengan tanggungjawab, kesedaran dan penuh rendah diri di hadapan ALLAH dan memahami benar-benar ia merupakan amanah dan beban yang berat, bukan tempat kemegahan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »