Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Disember 2013

Muhasabah, sedia terima teguran amalan baik

Posted by epondok di Disember 5, 2013

MOHD ADID AB RAHMAN

Seseorang Muslim yang mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT akan berusaha meluangkan waktu untuk menilai apakah hari dilalui sudah memenuhi setiap tuntutan serta suruhan diwajibkan terhadap dirinya.

Begitu juga jika ada tindakan melampaui batas, kelalaian atau kesilapan, sudahkah diinsafi dan memohon keampunan dengan bertaubat kepada Allah SWT? Semua ini perlu diberi perhatian kerana melalui pemeriksaan berkala itu kita dapat mengetahui di mana kedudukan diri.

Ulama’ terkenal  memberi nasihat setiap Muslim perlu meluangkan waktu pada pagi dan petang untuk bermuhasabah diri seperti peniaga yang mengira keuntungan mereka selepas selesai urusan perniagaan harian mereka.

Justeru, sebelum tiba detik segala amalan manusia dihitung pada hari kiamat nanti, sebaiknya kita mengambil tindakan yang bijaksana iaitu bermuhasabah diri sepanjang masa.

Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang pandai adalah orang yang menghisab (menyelidiki) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta beranganangan terhadap Allah SWT.” (Riwayat Imam Tirmizi)

Sedia terima teguran

Selain menilai sendiri, kita juga boleh meminta sahabat karib yang soleh untuk menegur serta memberi peringatan supaya terhindar daripada perkara menyalahi ajaran agama. Rasulullah SAW sendiri meminta dirinya ditegur jika melakukan kesilapan.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia seperti kamu, aku boleh lupa seperti mana kamu lupa, jika aku lupa maka ingatkanlah aku.” (Riwayat Bukhari)

Lantaran itu manusia tidak boleh menafikan keperluan kepada rakan yang sentiasa bersedia memberi kemudahan, pertolongan dan bantuan ke arah kebaikan sesuai sabda Nabi SAW: “Perumpamaan dua orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.” (Riwayat Ad-Dailami)

Kiranya kita mahu berubah dan menjadi insan yang baik haruslah menerima baik teguran itu dengan lapang dada serta menginsafi diri bahawa manusia tidak maksum. Setelah itu terus memperbaiki diri supaya menjadi hamba Allah SWT yang disayangi-Nya.

Mahmud Ghazin dalam bukunya ‘Bila Pertolongan Allah Datang’ berkata, maka berbahagialah orang yang dirinya kembali kepada sunnah, peninjauannya kepada kebenaran dan perbaikannya untuk mencapai reda Allah SWT, kerana kembali kepada kebenaran adalah perilaku orang yang bertaubat.

Posted in Amalan Pilihan | 3 Comments »