Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 November 2013

Fadhilat orang berhijrah

Posted by epondok di November 25, 2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALLAH telah berfirman yang bermaksud: Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur syahid dalam Perang Sabil) – Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh). (Ali Imran: 195)

Ibnu Jarir berkata: “Mereka yang berhijrah daripada kaumnya di kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah SWT menuju kepada saudaranya dalam kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan dari kampung halaman maka Allah SWT menjanjikan balasan di sisinya.”

Ibnu Kathir berkata: “Ini kerana mereka meninggalkan negeri syirik dan datang ke negeri iman.”

Sayyid Quthub: “Dahulu inilah gambaran para pendakwah yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka bagi pertama kalinya, iaitu mereka yang berhijrah dari Mekah, mereka yang diusir dari kampung halaman mereka kerana akidah, mereka yang ditindas kerana agama Allah SWT dan bukannya kerana sesuatu sebab yang lain. Dan mereka yang berperang dan yang gugur dalam peperangan.”

Tetapi sebenarnya itulah gambaran para pejuang dakwah di mana-mana pun di atas muka bumi ini serta di mana-mana zaman. Itulah gambaran akidah yang tumbuh di dalam jahiliah. Apa sahaja bentuk jahiliah yang tumbuh di bumi yang menentangnya, sama ada yang wujud di tengah-tengah kaum yang berseteru dengannya, tidak kira kaum apapun, lalu mereka merasa tidak senang dan bosan terhadapnya, kerana tamak haloba dan nafsu keinginan mereka tergugat akibat akidah itu dan dari sinilah akidah mulai ditindas dan diburu, sedangkan para pejuangnya pada permulaan perkembangannya itu hanya merupakan satu kumpulan yang lemah.

Kemudian pokok akidah yang subur itu terus berkembang walaupun ditindas dan diburu. Selepas itu ia mendapat kekuatan untuk melawan dan mempertahankan diri lalu terjadilah peperangan dan berlakulah pembunuhan di medan perang. Oleh kerana perjuangan yang gigih dan pahit, ia telah menghapuskan dosa dan dikurniakan balasan dan pahala.

Inilah jalan yang ditempuh oleh sistem hidup rabbani yang telah diputuskan Allah SWT agar ia diterapkan dalam realiti hidup manusia dengan usaha perjuangan manusia sendiri, iaitu ia harus dikukuhkan melalui usaha perjuangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang fisabilillah demi mencari keredaan Allah SWT.

Inilah tabiat sistem hidup Ilahi, nilai-nilainya dan tugas-tugasnya, kemudian inilah juga methodologi atau kaedah didikan dan bimbingan untuk beralih dari peringkat keinsafan setelah memikirkan kejadian-kejadian Allah SWT kepada peringkat tindakan yang positif untuk melaksanakan sistem yang dikehendaki oleh Allah SWT itu.”

Nikmat Allah

Betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka yang berhijrah dengan keampunan dan dikurniakan syurga di samping pahala yang dikurniakan-Nya. Penulis mengakhiri perbincangan ini dengan sebuah hadis sabda Rasulullah SAW kepada Amru bin al-‘As r.a yang bermaksud: Apakah kamu tahu bahawa Islam boleh menghapuskan dosa sebelumnya, hijrah boleh menghapus dosa semuanya dan haji boleh menghapus dosa sebelumnya. (riwayat Muslim)

Imam Nawawi berkata: Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Dan dalam setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya. (rujuk syarah Muslim 2/497)

Semoga Alllah kurniakan kepada kita pelbagai kebaikan dalam kehidupan dan menjadikan kita orang yang berhijrah kepada-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »