Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 November 2013

Hijrahkan diri di tahun baharu

Posted by epondok di November 8, 2013

SEDAR tidak sedar, kita telah memasuki lembaran tahun hijrah yang baharu. Semoga pada tahun baharu ini, hidup kita menjadi lebih makmur dengan kejayaan, keimanan dan kemakmuran.

Bukan satu kebetulan peralihan tahun baharu Islam ditandai dengan peringatan peristiwa Hijrah. Selain mengingatkan kita pengorbanan Rasulullah SAW dalam berdakwah, hijrah juga mengingatkan kita untuk terus menghijrahkan diri menuju Allah.

Secara bahasa, hijrah bermakna berpindah. Seseorang disebut muhajir (orang yang berhijrah) apabila ia melakukan perpindahan dari suatu tempat kepada tempat yang lain.

Berkata Imam Ibnu Al-Manzur dalam Lisanul Arab, “Setiap orang yang meninggalkan negerinya sama ada kampung ataupun bandar, lalu beralih ke negeri yang baharu, maka ia adalah seorang muhajir.”

Apabila kita amati penggunaan kalimat hijrah dalam hadis-hadis Nabi, rupanya makna hijrah lebih luas lagi. Hijrah meliputi upaya untuk berpindah daripada keburukan kepada kebaikan, daripada kejahilan kepada ilmu pengetahuan, daripada cara hidup yang jauh daripada Islam kepada cara hidup yang selari dengan al-Quran dan sunnah.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Seorang Muslim adalah orang yang menjaga lidah dan tangannya daripada mengganggu kaum muslimin yang lain. Dan muhajir (orang yang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan semua larangan Allah. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Suatu hari seorang sahabat bernama Fudaik mendatangi Nabi SAW. Beliau baru sahaja memeluk Islam dan hendak mengajukan satu soalan kepada baginda.

Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, orang-orang di negeriku berkata bahawa sesiapa yang tidak berhijrah dan meninggalkan kampung halamannya, maka Islamnya tidak sempurna.”

Baginda bersabda: “Wahai Fudaik, dirikanlah solat, bayarlah zakat dan jauhilah keburukan dan menetaplah di negeri kaummu di mana sahaja yang engkau suka.” (Ibnu Hibban)

Jelaslah, keutamaan hijrah boleh didapati tanpa harus meninggalkan tempat kediaman kita. Sebab hakikat hijrah ialah meninggalkan semua maksiat dan larangan Allah.

Hijrahkan diri

Bersamaan dengan tahun baharu ini, mari kita kuatkan azam untuk lebih dekat kepada Allah, lebih dekat kepada sunnah Nabi dan lebih dekat kepada ajaran Islam.

Jika selama ini kita mengamalkan cara hidup bebas tanpa mengendahkan batasan syariat, saatnya kita menghijrahkan diri. Cara hidup Islami akan menjauhkan kita daripada pelbagai gejala sosial yang akan mencoreng wajah kita dan keluarga.

Jika selama ini kita tidak memperhatikan hukum halal-haram dalam mencari nafkah, saatnya untuk menghijrahkan diri. Pastikan keluarga kita hanya memakan yang halal sahaja.

Boleh jadi permasalahan rumah tangga yang kita hadapi saat ini berpunca daripada suapan haram yang kita berikan kepada anak-isteri kita.

Siapa yang berhijrah kepada Allah, maka Allah berjanji akan melapangkan hidupnya, memurahkan rezekinya dan memenuhi hatinya dengan kebahagiaan.

Allah berfirman: Barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini keluasan dan rezeki yang banyak. (al-Nisa: 100)

Semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua untuk menghijrahkan diri dan keluarga kita kepada keadaan yang diredai Allah SWT.

Dan semoga Allah SWT menjadikan tahun ini tahun yang penuh kebahagiaan dan ketenteraman untuk kita dan orang-orang yang kita cintai. Amin ya rabbal álamin

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »