Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2013

Doa agar dapat tidur malam

Posted by epondok di November 30, 2013

MAKSUDNYA:Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia dan Engkau Maha Berkuasa, Wahai Yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini.€ (riwayat al-Tabrani dan Ibnu Sunni no 749 tahqiq Ahmad Tahir)

Keterangan dan petua beramal

Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan Ibnu al-Sunni daripada Hajjaj bin Imran al-Sadusiy, daripada Amru bin al-Husain, daripada Muhammad bin Abdillah, daripada Thaur bin Yazid, daripada Khalid bin Ma’dan, daripada Abdul Malik bin marwan bahawa bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi SAW tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya, lalu baginda SAW mengajarnya doa di atas.

Menurut hadis riwayat Ibnu Sunni, Zaid bin Thabit r.a yang mengalami masalah sukar untuk tidur (insomnia) akhirnya dapat tidur dengan nyenyaknya berkat beramal dengan doa yang diajar oleh Nabi SAW itu. (rujuk al-Azkar: Bacaan apabila gelisah tidak dapat tidur)

Menurut pengarang buku, Doa dan Rawatan Penyakit, dia ini boleh dibacakan kepada pesakit dan air. Caranya ialah dengan meletakkan tangan kanan pada dahi pesakit semasa membaca doa, lalu tiup kedua-dua belah matanya. Air yang telah dibacakan doa itu tadi boleh digunakan untuk minum dan mandi. (rujuk buku karangan Prof. Dr. Harun Din, Doa & Rawatan Pesakit, bab masalah tidak dapat tidur malam)

Menurut Tiki Kustenmacher terdapat beberapa petua untuk mudah tidur, iaitu: (rujuk buku beliau bertajuk, How To Simplify Your Life hlm. 152-154. Walaupun artikel difokuskan pada tidur sebentar (nap) tetapi penulis mendapati ada fakta yang sesuai untuk tidur yang lain)

– Berfikir positif terhadap tidur itu sendiri,

tanpa rasa bersalah melakukannya. Kajian yang dilakukan di Madical School, University of Athens menunjukkan mereka yang tidur pada waktu tengah hari dapat mengurangkan kebarangkalian ditimpa sakit jantung sebanyak 30 peratus.

– Biasakan tidur mengikut jadual.

– Buat satu peraturan yang tetap, contohnya tidur di tempat yang sama, biasakan menutup televisyen, telefon, gosok gigi dan lain-lain. (dicadangkan supaya melakukan adab-adab yang dianjurkan dalam Islam sebelum tidur.)

– Tidurlah dalam suasana yang tenang dengan kadar kegelapan yang sesuai, suhu yang selesa supaya tidak terlalu panas.

– Tidur yang berkualiti lebih baik daripada tidur yang panjang tetapi tidak menghilangkan rasa penat.

– Dengan kepada sesuatu hingga ada rasa penat.

– Makan makanan yang tinggi karbohidrat agar anda dapat tidur yang lebih berkualiti. Kurangkan minum air yang boleh mengganggu tidur.

– Bangun tidur dengan beransur-ansur, tarik dan hembus nafas.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pembunuhan berleluasa pada akhir zaman

Posted by epondok di November 29, 2013

Oleh Zamanuddin Jusoh

Manusia hilang rasa kasih sayang, iri hati

Kita dapat melihat sejak kebelakangan ini, berita sensasi seperti pembunuhan sering dipaparkan dalam laporan media arus perdana. Kadangkala terdetik dalam fikiran bagaimana keadaan ini boleh berlaku adakah zaman sudah berubah dan dunia menghadapi zaman gelap ketika di penghujungnya. Saban hari berlaku saja kes pembunuhan seolah-olah nyawa manusia sudah tidak bernilai lagi.

Sebenarnya, apa yang berlaku ini sudah digambarkan Baginda SAW apabila tibanya masanya ketika dunia menghampiri hari kiamat yang tanda-tandanya adalah seperti berleluasa kes pembunuhan. Selepas berlalu masa yang panjang sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini, nyawa dan darah manusia kini bagaikan tidak berharga lagi.
Boleh dilihat pada hari ini berlaku perang saudara dan krisis perkauman di banyak tempat di seluruh negara yang mana ini adalah kenyataan tidak dapat dinafikan lagi. Amat malang lagi apabila pembunuhan ini berlaku sesama saudara seagama dan sebangsa. Selepas kedatangan Islam, kedudukan manusia dimuliakan Allah SWT dan mengubah bentuk pengabdian mereka kepada Tuhan yang satu.

Kedudukan manusia yang mulia di sisi Allah SWT menyebabkan darah mereka haram ditumpahkan walaupun terhadap golongan kafir yang tidak memerangi Islam (kafir zimmi). Ini kerana perbuatan membunuh adalah kesalahan besar di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah An-Nisa: Ayat 32).

Hilang rasa kasih sayang

Keadaan ini juga adalah disebabkan oleh rasa permusuhan yang tumbuh dalam hati manusia lalu mengakibatkan hilangnya rasa kasih sayang dalam kalangan manusia.
Akhirnya, keseimbangan dalam masyarakat akan hilang. Dengan berbekalkan moral yang sedikit itu, maka dorongan ke arah perbuatan dosa kecil akan berlaku dan akhirnya dapat mengarah kepada dosa besar yang mengakibatkan turunnya kemurkaan Allah SWT. Maka, kemurkaan ini akan dihukum Allah SWT melalui turunnya bencana alam, masalah moral dan kes pembunuhan.

Islam menganggap membunuh adalah antara dosa besar kerana nyawa dan roh seseorang adalah milik Allah SWT dan manusia tiada hak untuk mengambil tempat Allah SWT untuk membunuh manusia.

Baginda Nabi SAW memberi ancaman kepada mereka yang membunuh dengan sabda yang bermaksud: “Membunuh seorang yang beriman adalah perkara yang paling hina di sisi Allah SWT.” (Riwayat Tirmizi dan Nasai).

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya dengan kemurkaan Allah serta laknat terhadap mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 93)

Kemurkaan Allah

Ini menunjukkan betapa besarnya kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang membunuh manusia lain. Walaupun hanya satu nyawa melayang, tetapi ia sangat besar di sisi Allah SWT sehingga dianggap pembunuh itu telah membunuh manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang membunuh satu jiwa, atau melakukan kerosakan di bumi seolah-olah dia membunuh seluruh manusia dan sesiapa yang menyelamatkan satu jiwa, seolah-olah dia menyelamatkan seluruh jiwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 32).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Semua dosa akan diampunkan Allah kecuali mereka yang mati dalam kufur atau membunuh seorang mukmin dengan sengaja.” (Riwayat Abu Daud dan Nasai’).

Berlakunya pembunuhan yang dimaksudkan Baginda SAW pada hari ini adalah fenomena kepada krisis kefahaman terhadap agama Islam. Pegangan serta keimanan mereka menjadi semakin longgar sehingga membunuh menjadi perkara biasa dalam kehidupan mereka.

Malah, ada yang menjadi pembunuh sebagai kerjaya dan mendapat upah. Senjata dan peralatan boleh didapati dengan mudah. Terkadang, mereka yang dibunuh tidak mengetahui sebab mengapa mereka dibunuh.

Si pembunuh juga tidak mengetahui mengapa dia membunuh. Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, dunia tidak akan musnah sebelum datang kepada manusia suatu masa yang mana seorang pembunuh tidak mengerti untuk apa dia membunuh, orang yang dibunuh pun tidak tahu mengapa dia dibunuh.” (Riwayat Muslim)

Antara faktor menyumbang kepada gejala ini adalah kerana janji Allah SWT yang mana pada akhir zaman, dunia akan mengalami krisis global yang meliputi ekonomi, politik, kemanusiaan dan akhlak. Sistem keamanan sejagat menjadi semakin longgar dan krisis moral amat tinggi dalam kalangan masyarakat.

Baginda SAW menggambarkan masa itu sebagai ‘harj’. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Menjelang tiba hari kiamat akan berlaku peristiwa ‘harj’. Sahabat bertanya: “Apakah harj itu?” Baginda SAW bersabda: “Pembunuhan.”

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Kerapuhan iman remaja

Posted by epondok di November 28, 2013

Rumah adalah tempat pertama untuk mendidik anak-anak. Rumah tangga yang tidak selesa penuh dengan kebencian dan ketidakselesaan akan menyebabkan penghuninya, terutamanya anak-anak remajanya mengambil tindakan suka berfoya-foya di luar rumah.

Kes anak remaja lari dari rumah sering berlaku seperti yang dipaparkan melalui media massa.

Jika seseorang remaja itu lemah imannya, terutama bagi remaja perempuan dia akan mudah terjebak dengan gejala lari dari rumah iaitu mengikut kawan-kawan atau kekasihnya yang belum tentu boleh menjamin masa depan mereka. Bagi remaja lelaki pula mereka lebih cenderung terlibat dengan gejala merokok, lumba haram, penagihan dadah dan kes ragut.

Ibu bapa mestilah mendidik anak supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa takut kepada Allah, maka Allah menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Barang siapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikannya takut kepada segala sesuatu.”(riwayat Al-Baihaqi)

Oleh itu, melalui pendidikan yang berkesan dalam rumah tangga, ibu bapa dapat menerapkan hala tuju remaja dalam kehidupan mereka. Ibu bapa boleh menjelaskan bagaimana untuk menjadi remaja yang berjaya iaitu melalui ilmu, pelajaran, kemahiran dan akhlak yang baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW menjelaskan yang bermaksud, “Puncak kebijaksanaan ialah takut kepada Allah. Sebaik-baik yang tertanam dalam hati adalah keyakinan. Keraguan (dalam beriman) termasuk kekufuran. Keremajaan (remaja) termasuk kelompok kegilaan (radikal).

Orang bahagia adalah yang dapat mengambil pelajaran daripada (peristiwa) orang lain dan orang yang sengsara ialah yang sengsara sejak dalam kandungan ibunya. Tiap perkara yang akan datang adalah dekat.”(riwayat Al-Baihaqi)

Ingin mencuba

Beberapa faktor yang menyebabkan remaja terlibat dengan gejala lari dari rumah antaranya, remaja memiliki sikap ingin mencuba. Oleh itu, remaja mestilah dipupuk dengan nilai positif, sekali gus bakal mencorakkan dan mewarnai masa depan negara.

Tanpa pasakan nilai positif ini, akhirnya remaja mudah terjerumus dalam anasir gengsterisme, hedonisme dan lari dari rumah. Lebih membimbangkan, remaja yang bermasalah ini juga mudah terjebak dengan gejala penagihan dadah, seks bebas dan mengandung anak luar nikah.

Kelemahan dan kerapuhan iman remaja adalah disebabkan kurangnya didikan agama dan asuhan moral. Ini berpunca daripada pengabaian ibu bapa terhadap remaja. Akhirnya memesongkan minda remaja dan menanamkan unsur negatif dalam pemikiran mereka.

Pengaruh luar yang negatif menyebabkan ibu bapa yang terlalu mengongkong kebebasan, keadaan rumah yang sempit dan serba kekurangan.

Akhirnya anak yang sudah meningkat remaja mengambil tindakan lari dari rumah mengikut kawan-kawan.

Pengaruh rakan sebaya meracuni minda remaja. Tawaran kehidupan yang bebas di luar berbanding dengan di rumah. Remaja yang tersilap langkah dan terpesona dengan janji manis rakan di luar mudah meninggalkan atau lari dari rumah.

Krisis antara anggota ahli keluarga serta krisis kewangan juga menyebabkan kemahuan remaja mendapat tentangan daripada ibu bapa. Lantaran itu, mereka lebih mudah terpedaya dengan pujukan teman lelaki yang kononnya menjanjikan pelbagai kehidupan mewah yang mempesonakan. Namun realitinya kosong belaka.

Motivasi

Remaja yang bermasalah perlu diberikan motivasi dan bimbingan. Malahan keluhan remaja terbabit perlu didengar dan diambil cakna oleh ibu bapa.

Di pihak ibu bapa pula, mereka perlulah mendidik anak-anak secara lembut, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Kejatuhan atau kemunduran sesuatu ummah antara lain adalah disebabkan pendidikan ummah itu dalam melahirkan masyarakat madani dan pemimpin akan datang tidak dipedulikan. Oleh itu, didiklah anak-anak dengan pergaulan yang baik di rumah.

Justeru, Sayidina Umar bin al-Khattab pernah menyatakan: “Sewaktu bergaul di rumah, seseorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah-lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak cucu di rumah, di mana akan muncullah tokoh dalam sebuah keluarga itu.”

PENDIDIKAN anak cemerlang mestilah dilakukan menurut acuan al-Quran dan sunnah. Anak-anak mestilah dididik sejak kecil lagi melaksanakan solat, membaca al-Quran dan melaksanakan ibadah lain bagi mengukuhkan iman dan memupuk ketakwaan.

Sebagai ibu bapa melalui pengalaman hidupnya yang luas seharusnya menceritakan kepada anak-anak kesan buruk akibat daripada perlakuan tidak elok anak-anak seperti lari dari rumah, akan mendatangkan bahawa bukan sahaja kepada diri para remaja tetapi juga boleh mengancam maruah serta nyawa mereka. Natijah yang tidak diingini ini boleh diperkukuhkan dengan cara ibu bapa membuktikannya melalui paparan akhbar atau kisah benar daripada sanak saudara dan jiran tetanga.

Kehebatan ibu bapa banyak terletak pada cara dan gaya mendidik iaitu lembut dalam memberikan nasihat dan tegas dalam melarang perkara mungkar. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu membiarkan anak-anak keluar dari rumah pada waktu senja, disebabkan pada waktu itu syaitan sangat suka berkeliaran (mencari mangsanya). (riwayat A-Hakim)

Islam mendidik dan menghendaki anak-anak berada di dalam rumah pada waktu senja. Tetapi pada waktu inilah paling ramai kelihatan anak-anak dara dan teruna Islam berkeliaran di padang permainan, di tasik, dan taman serta di pasar raya-pasar raya dan di perhentian bas dengan melepak dan memadu kasih.

Memantau

Ibu bapa juga perlu meneliti dan memantau sebahagian permainan di Internet yang bercorak ilmiah yang boleh membantu memperkembangkan mental dan mengasuh bakat anak di mana mereka dapat bermain-main di rumah dan memperoleh kebaikan daripada permainan tersebut.Selain itu ibu bapa jangan membenarkan orang lain campur tangan dalam mendidik anak-anak. Anak-anak sendiri adalah tanggungjawab ibu bapa dan guru di sekolah mendidiknya. Pendidikan yang berkesan akan dapat membentuk dan membangun akal budi seseorang individu, ahli keluarga, masyarakat dan negara.

Bidang pendidikan terutama pendidikan anak-anak remaja antara program yang paling penting diberikan perhatian oleh ibu bapa dan masyarakat Islam dalam menangani apa juga masalah berkaitan anak-anak remaja Islam, terutama kes anak lari dari rumah yang boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Anggap kerja sebagai sedekah suntik semangat

Posted by epondok di November 27, 2013

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Perkhidmatan cemerlang lagi berkualiti adalah matlamat umum yang perlu dicapai setiap organisasi. Tidak syak lagi matlamat ini akan tercapai hanya jika setiap warganya turut mempunyai matlamat yang sama khasnya dengan kedatangan tahun baru hijrah.

Namun, dalam melaksanakan tugas seharian sebagai pekerja kita juga tidak dapat lari daripada berhadapan dengan emosi diri yang lemah dan motivasi yang rendah walaupun berada dalam suasana kerja yang baik dengan imbuhan memuaskan.
Kajian semasa menunjukkan pelbagai faktor dalaman dan luaran boleh menyumbang kepada timbulnya sifat negatif di tempat kerja. Ini termasuk faktor kesihatan, interaksi, komunikasi, persekitaran, kemudahan pejabat dan faktor sikap. Adakalanya pekerja berasa malas dan kurang bersemangat untuk menunaikan amanahnya.

Justeru, satu daripada kaedah dan pendekatan Islam untuk mengatasinya ialah dengan menghayati kerja atau perkhidmatan itu sebagai suatu sedekah.

Kefahaman yang jelas serta penghayatan mendalam terhadap ‘sedekah perkhidmatan’ ini mampu menyuntik malah mengembalikan semangat bekerja dalam diri agar memberi perkhidmatan terbaik.

Balasan infak keringat
Kefahaman ini adalah bertitik-tolak daripada Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh biji benih, pada tiap-tiap satunya seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

Walaupun ayat ini menunjukkan balasan Allah SWT kepada mereka yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT, namun ulama juga mengaitkan balasan ini dengan apa juga bentuk harta termasuk harta badaniyyah daripada usaha dan keringat.

Bentuk sedekah dalam Islam bukan semata-mata pada harta dan wang ringgit, tetapi meliputi pelbagai tindakan bermanfaat. Ini termasuk usaha daripada titik peluh sendiri, menyampaikan kata-kata yang baik termasuklah ucapan salam, memberi nasihat, penghargaan dan pujian, menyampaikan teguran dengan berhikmah, mendoakan orang lain, membuat kebaikan dengan mententeramkan orang lain, membawa berita menggembirakan, memudahkan sesuatu urusan, tolong- menolong, memberikan pandangan, membantu dengan memberikan jalan penyelesaian serta menampilkan wajah yang manis dengan senyuman.

Dari Abu Zar al-Ghifari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan seseorang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, dengan memahami bahawa semua amal kebaikan sebagai sedekah akan menambah lagi motivasi diri. Tetapi dengan syarat piawaian bahawa ia tidak dirosakkan nilainya dan menghilangkan ganjarannya di sisi Allah SWT iaitu dengan mengungkit, menyakiti hati dengan kata-kata kasar atau kesat, merendah rendahkan penerima atau pelanggan atau kerja dan perkhidmatan yang dilakukan tanpa keikhlasan iaitu untuk kemegahan dan kesombongan.

Keredaan Allah

Sebaliknya, hendaklah apa yang diusahakan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT seperti yang digambarkan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Secara mudahnya juga, piawaian bagi perkhidmatan terbaik itu boleh direnungi melalui Athar yang menyebutkan bahawa “berkhidmatlah untuk manusia sebagai mana kamu suka orang berkhidmat ke atas kamu”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengenalan Pondok Lepan Bola

Posted by epondok di November 27, 2013

Alamat
 

 

Madrasah Darul Muttaqin,

Pondok Lepan Bola, Lawang, Batu Gajah,
17510 Tanah Merah, Kelantan
Mudir : Ustaz Tuan Mahmud bin Tuan Yusuf  ( 013-9225461)
Timbalan Mudir : Ustaz Nuh bin Sulaiman (013-9817321)

 

 
Sejarah Penubuhan
 

 

 Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Pondok Lepan Bola telah ditubuhkan pada tahun 1997 oleh  Ustaz Hj Tuan Mahmud bin Tuan Soh dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas

Dengan tertubuhnya Pondok Lepan Bola maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah dan menambahkan lagi kemeriahan pusat pengajian agama di daerah ini 

 

Objektif Penubuhan

 

  1. Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
  2. Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
  3. Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
  4. Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan
  5. Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
  6. Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
  7. Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
  8. Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan

 

Lokasi

 

 

 

Pondok Lepan Bola terletak di Kg Lawang, Tanah Merah, Kelantan kira-kira 15 km dari Pusat Bandar Tanah di atas tanah yang asalnya bekas rizab haiwan yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan

 

Posted in Pondok Ahli PPPB, Pondok Lepan Bola, Pondok Malaysia | 2 Comments »

Krisis akhlak remaja

Posted by epondok di November 26, 2013

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki yang dikatakan hilang selepas memasuki banglo terbiar dikenali sebagai Villa Nabila di Johor Bahru.

Namun sehari kemudian, remaja lelaki itu ditemui selepas dia dikatakan tidur di rumah rakan sepanjang tempoh berita kehilangannya.

Sedangkan satu negara kecoh mengenai berita kehilangannya itu dan kononnya telah mencetuskan seribu satu misteri sehingga menyebabkan timbul pelbagai dakwaan termasuk gangguan makhluk halus.

Kisah remaja itu merupakan antara puluhan kes pernah dilaporkan di muka dada akhbar, akhirnya menjadi kebimbangan kepada ibubapa dalam mendepani anak-anak mereka berusia muda.

Mengapa isu remaja lari dari rumah, mengikut kekasih dan seumpamanya berleluasa sejak kebelakangan ini? Adakah berpunca daripada kurangnya didikan dan kasih sayang oleh ibu bapa?

Menurut pembimbing motivasi, Fatimah Syarha Mohd. Noordin remaja merupakan kelompok yang kompleks apabila aktiviti hormon selalu berubah menyebabkan mereka kadang-kala berasa kurang tenteram, bergolak, tidak teratur dan kusut.

Terang Fatimah Syarha, ada kalanya mereka mudah difahami, tetapi kalang-kala tingkah laku mereka sukar difahami. Malah terdapat juga menjadi sukar diramal dan suka berahsia, pergi ke tempat sunyi sebegitu merupakan salah satu tingkah laku mereka sukar diramal.

Beliau berkata, tingkah laku itu mungkin menggambarkan wujud hasrat yang tersimpan seperti:

Mahu dirinya diterima rakan sebaya.

Memerlukan disayangi dan dihargai.

Sukakan suasana tersendiri.

“Oleh demikian, sikap ibubapa sangat penting dalam fasa remaja ini. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata menyebabkan remaja berasakan dirinya tidak berguna, dihalau pergi dan dikatakan `menyemakkan’ mata ibubapa andai dia berada di rumah.

“Ibu bapa juga perlu membuatkan diri anaknya berasa diambil berat. Ditanya ke mana perginya, makan minumnya, atau tempat tidurnya. Apatah lagi ini zaman gajet. Proses pemantauan sepatutnya menjadi lebih mudah,” ujar Fatimah Syarha.

Fahami Remaja

Perubahan sikap remaja bukan sahaja dipengaruhi oleh peralihan hormon mendadak, tetapi juga memberi kesan kepada perkembangan yang berlaku terhadap otak mereka kerana pemikiran diuruskan oleh bahagian itu berasaskan emosi.

Manakala bahagian otak berasaskan pemikiran rasional dan praktikal adalah proses terakhir sekali dibentuk, lengkap dan sempurna. Bahagian otak ini dinamakan prefrontal cortex.

Sehubungan itu, Fatimah Syarha mengatakan pada bahagian itu sering berlakunya pertimbangan dan penilaian yang bagus seperti mengurus, mengatur, membuat keputusan tepat dan mengawal kehendak hati.

Fatimah Syarha menambah, bahagian otak berkenaan menjadi lengkap dan berkesan apabila remaja menjangkaui usia 25 tahun. Pada saat itu pemikiran mereka menjadi lebih stabil, tenteram, teratur, dan rasional.

“Dalam fasa prefrontal cortex ini belum lengkap, ibu bapalah yang perlu bertindak sebagai kawalan kepada remaja, khususnya mereka dalam fasa ini sangat suka meniru. Ibu bapa seharusnya berkawan dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak yang akhirnya akan meniru kewibawaan ibu bapanya.

“Remaja sangat perlukan nasihat dan bimbingan ibu bapa dalam aspek kehidupan. Sebab itu, ibu bapa sepatutnya mengambil peluang bagi mempengaruhi remaja daripada segi nilai-nilai murni, keagamaan, isu moral serta keputusan mereka pada jangka masa panjang.

“Golongan berkenaan perlukan pertalian erat dengan ibu bapa. Dalam masa yang sama, mereka mahu diberi kepercayaan untuk membuat keputusan, bahkan memerlukan tempat dan situasi tersendiri,” jelas Fatimah Syarha.

Beliau sempat memberi satu kajian membuktikan remaja yang rapat dan mesra dengan ibubapa kurang menghadapi masalah sosial dan sukar terjerumus ke dalam aktiviti negatif.

Hal ini kerana jelas beliau, perkembangan otak yang lebih sihat dan mampu mencapai potensi sepenuhnya apabila anak-anak diajar berinteraksi dan diberi lebih ransangan seperti dipeluk, selalu bercakap, bergurau senda dan diceritakan dengan pelbagai pengalaman menyeronokkan.

“Pengalaman begini diperlukan bagi merangsang penyambungan dari satu urat saraf otak ke otot dan ke tisu lain bagi membina litaran yang berjuta-juta.

“Pokok pangkalnya ibubapa perlu muhasabah diri, bilakah kali terakhir kita memeluk anak meskipun dia sudah remaja? Pernahkah kita berkawan dan bercakap penuh minat dengannya? Jika kita tidak berubah, bagaimana mahukan sikapnya berubah.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Fadhilat orang berhijrah

Posted by epondok di November 25, 2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALLAH telah berfirman yang bermaksud: Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur syahid dalam Perang Sabil) – Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh). (Ali Imran: 195)

Ibnu Jarir berkata: “Mereka yang berhijrah daripada kaumnya di kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah SWT menuju kepada saudaranya dalam kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan dari kampung halaman maka Allah SWT menjanjikan balasan di sisinya.”

Ibnu Kathir berkata: “Ini kerana mereka meninggalkan negeri syirik dan datang ke negeri iman.”

Sayyid Quthub: “Dahulu inilah gambaran para pendakwah yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka bagi pertama kalinya, iaitu mereka yang berhijrah dari Mekah, mereka yang diusir dari kampung halaman mereka kerana akidah, mereka yang ditindas kerana agama Allah SWT dan bukannya kerana sesuatu sebab yang lain. Dan mereka yang berperang dan yang gugur dalam peperangan.”

Tetapi sebenarnya itulah gambaran para pejuang dakwah di mana-mana pun di atas muka bumi ini serta di mana-mana zaman. Itulah gambaran akidah yang tumbuh di dalam jahiliah. Apa sahaja bentuk jahiliah yang tumbuh di bumi yang menentangnya, sama ada yang wujud di tengah-tengah kaum yang berseteru dengannya, tidak kira kaum apapun, lalu mereka merasa tidak senang dan bosan terhadapnya, kerana tamak haloba dan nafsu keinginan mereka tergugat akibat akidah itu dan dari sinilah akidah mulai ditindas dan diburu, sedangkan para pejuangnya pada permulaan perkembangannya itu hanya merupakan satu kumpulan yang lemah.

Kemudian pokok akidah yang subur itu terus berkembang walaupun ditindas dan diburu. Selepas itu ia mendapat kekuatan untuk melawan dan mempertahankan diri lalu terjadilah peperangan dan berlakulah pembunuhan di medan perang. Oleh kerana perjuangan yang gigih dan pahit, ia telah menghapuskan dosa dan dikurniakan balasan dan pahala.

Inilah jalan yang ditempuh oleh sistem hidup rabbani yang telah diputuskan Allah SWT agar ia diterapkan dalam realiti hidup manusia dengan usaha perjuangan manusia sendiri, iaitu ia harus dikukuhkan melalui usaha perjuangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang fisabilillah demi mencari keredaan Allah SWT.

Inilah tabiat sistem hidup Ilahi, nilai-nilainya dan tugas-tugasnya, kemudian inilah juga methodologi atau kaedah didikan dan bimbingan untuk beralih dari peringkat keinsafan setelah memikirkan kejadian-kejadian Allah SWT kepada peringkat tindakan yang positif untuk melaksanakan sistem yang dikehendaki oleh Allah SWT itu.”

Nikmat Allah

Betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka yang berhijrah dengan keampunan dan dikurniakan syurga di samping pahala yang dikurniakan-Nya. Penulis mengakhiri perbincangan ini dengan sebuah hadis sabda Rasulullah SAW kepada Amru bin al-‘As r.a yang bermaksud: Apakah kamu tahu bahawa Islam boleh menghapuskan dosa sebelumnya, hijrah boleh menghapus dosa semuanya dan haji boleh menghapus dosa sebelumnya. (riwayat Muslim)

Imam Nawawi berkata: Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Dan dalam setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya. (rujuk syarah Muslim 2/497)

Semoga Alllah kurniakan kepada kita pelbagai kebaikan dalam kehidupan dan menjadikan kita orang yang berhijrah kepada-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Pondok Intensif 2013 Sesi 2 (Sempena cuti sekolah/IPT)

Posted by epondok di November 24, 2013

Istimewa Musim Cuti Sekolah/IPT

Sesi Kedua

Tarikh : 14 – 23 Disember 2013

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki dan perempuan berumur 11 – 24 tahun (terhad 120 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

a. Sesi pertama : 23 November 2013 (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

b. Sesi kedua : 14 Disember 2013 (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Pengajian Fardhu ain
  • Program berkumpulan
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban
  • Sukan

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Tuan Hj Mohamad Daud 0199815656 / Us Nasharudin 0199859887

Facebook : epondok

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Pondok Tunjung, Program Terbaru | 2 Comments »

Anak perisai api neraka

Posted by epondok di November 24, 2013

DARIPADA Aisyah r.ha katanya: “Datang ke rumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (dari rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda: “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik, adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian

Orang Islam disuruh memenuhi hajat orang yang meminta sekali pun dengan pertolongan yang sedikit.

Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya.

Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anaknya dengan sempurna dijamin bebas daripada api neraka.

Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Ia akan menjadi perisai daripada api neraka jika dilakukan seperti yang diperintah Allah SWT dan rasul-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Minyak kitar semula dikhuatiri ada lemak babi

Posted by epondok di November 23, 2013

Oleh Halina Mohd Noor
Mudah proses produk terpakai untuk masak daripada jadi bahan biodiesel

Kuala Lumpur: Proses menjernihkan minyak masak terpakai yang terlalu mudah dan murah mendorong pengusaha menukarkannya kepada minyak masak kitar semula berbanding biodiesel.
Dengan hanya menggunakan asam keping atau asam jawa, minyak masak terpakai yang hitam pekat bertukar lebih jernih dengan tekstur lebih ringan dalam beberapa minit saja.

Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya hubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat“ Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

Pengeluar biodiesel berasaskan minyak masak terpakai, Jaafar Abdullah (gambar), berkata minyak masak terpakai terlebih dulu dimasak dengan asam keping selama beberapa saat pada suhu 60 hingga 70 darjah Celsius sehingga berbuih dan dibiarkan sejuk serta sisa di dalamnya mendap.

Katanya, bahagian permukaan minyak kemudian ditapis dengan sejenis karbon yang diaktifkan bagi mendapatkan minyak lebih jernih atau sekurang-kurangnya 60 peratus jernih.

“Minyak sudah jernih itu kemudian dicampur dengan minyak masak baru sebanyak 20 peratus, bergantung kepada jumlah minyak yang ditapis tadi,” katanya.

Sukar kesan lemak babi
Beliau juga mendakwa agak sukar untuk mengesan lemak babi atau nama saintifiknya, Trans C161 dalam minyak masak kitar semula berbanding lemak haiwan lain selepas ia bercampur dengan minyak baru.

“Proses menjernihkan minyak masak juga boleh dilakukan dengan menggunakan bahan lain seperti kulit telur atau cengkerang. Bagi industri lebih besar, ia dijernihkan menggunakan sejenis serbuk dikenali sebagai ‘bleaching earth’ yang diperoleh dari China atau Thailand,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada bukti menunjukkan minyak masak dalam paket adalah minyak masak kitar semula seperti didakwa, berdasarkan pemeriksaan ke atas 149 premis yang membungkus semula minyak masak.

Guna minyak masak jenama

Katanya, pemeriksaan ke atas 305 premis makanan pula didapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai label atau jenama.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 iaitu mana-mana orang yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula boleh memudaratkan kesihatan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Maklumat juga boleh disalurkan terus dengan menelefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung minyak masak terpakai di pasaran yang memetik Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang sudah digunakan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »