Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amalan ubati Prostat Bengkak

Posted by epondok di Oktober 21, 2013


Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya Mohamad Ali Khairi, 42 tahun mengalami masalah kekerapan membuang air kecil dan tidak lawas.

Saya belum ke klinik tapi ramai kawan-kawan mengatakan mungkin ada masalah prostat bengkak.

Saya berasa hairan kerana setahu saya masalah prostat bengkak hanya berlaku pada pesakit berumur dan tua sedangkan saya belum mencecah 50 tahun.

Saya ingin bertanya pendapat tuan tentang masalah saya ini dan seterusnya berubat dengan cara rawatan Al-Quran?

Jawapan:

Waalaikumsalam. Masalah tidak lawas dan kekerapan buang air kecil boleh disebabkan pelbagai punca dan perlu didiagnos dengan teliti. Kelemahan pundi kencing boleh menyebabkan masalah kekerapan pembuangan air kecil kerana injap pundi kencing lemah.

Simptom prostat kanser juga sama dengan prostat bengkak namun penyakit ini berbeza kerana prostat bengkak (Benign Prostatic Hyperplasia – BPH) tidak merbahaya dan tidak boleh merebak ke tempat lain kerana ia bukan kanser.

Sebaiknya, buatlah pemeriksaan “Prostate Specific Antigen” (PSA) untuk mengenal pasti sama ada ia kanser ataupun tidak.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.

Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Seperti kelenjar lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat .

Penyakit dan masalah yang utama adalah BPH dan kanser prostat. Adakalanya walaupun muda, prostat boleh bengkak oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai prostatitis.

Pengenalan

BPH adalah penyakit lelaki sebab hanya lelaki mempunyai kelenjar prostat. Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing di sekeliling uretra, saluran yang membawa air kencing dari pundi kencing ke zakar.

Fungsi kelenjar prostat ialah untuk membantu sistem reproduksi lelaki dengan menghasilkan cecair untuk membawa sperma dari testis ke zakar ketika ejakulasi.

Bila prostat semakin membengkak, ia boleh menekan dan membuat saluran uretra bertambah sempit dan menyebabkan masalah bila membuang air kecil.

Tanda-tanda

Biasanya terdapat tanda-tanda yang sederhana di peringkat awal. Mungkin aliran air kencing sedikit perlahan atau perlu menunggu beberapa saat untuk mula membuang air kecil.

Semakin berumur ia boleh menjadi lebih bermasalah dan komplikasi. Kira-kira separuh daripada semua lelaki berusia lebih 75 tahun mempunyai beberapa gejala.

Anda mungkin mengalami BPH jika gejala-gejala seperti di bawah berlaku.

1. Kerap kencing, contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam dan selalunya jumlah air kencing adalah sedikit sahaja.

2. Rasa ingin kencing yang datang secara mendadak.

3. Pancutan air kencing tidak kuat walaupun diteran dengan kuat.

3. Sukar untuk memulakan kencing.

4. Kencing tidak tus (masih ada air kencing menitis keluar walaupun anda sudah kencing sehingga habis).

5. Perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing.

5. Perasaan bahawa anda perlu kencing lagi walaupun baru sahaja melakukannya.

Gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpa doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Rawatan moden

Pesakit dengan gejala ringan tidak memerlukan rawatan selain daripada pemerhatian dan pengawasan untuk memastikan keadaan mereka tidak bertambah buruk.

Beberapa pilihan rawatan boleh didapati jika gejala bertambah teruk. Umumnya, cara rawatan adalah berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain kerana ia bergantung kepada keadaan dan tahap saiz prostat yang membengkak.

Ubat-ubatan yang sedia ada berfungsi dengan dengan melonggarkan otot prostat dan leher pundi kencing. Ini boleh meningkatkan aliran air kencing dan merehatkan otot dalam prostat untuk mengurangkan ketegangan pada tiub air kencing.

Pembedahan adalah sebahagian daripada pilihan jika tanda-tanda semakin buruk, atau jika ubat-ubatan tidak membantu.

Rawatan al-Quran

Daripada penerangan di atas, dapatlah kita fahami serba sedikit tentang penyakit prostat bengkak banyak berkaitan dengan hormon dan faktor usia.

Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan adalah sesuatu yang normal dan ia merupakan kitar hidup bagi setiap manusia. Proses penuaan berlaku apabila terdapat pengurangan fungsi organ dan tisu tubuh secara menyeluruh. Oleh itu ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Islam banyak diterangkan dalam al-Quran tentang proses penuaan seperti ayat di bawah:

Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya). [Ghafir 40: 67]

Masalah umum bagi usia lanjut adalah keadaan fizikal yang lemah dan tidak berdaya sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat di bawah:

“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Ar-Rum 30:54):

Sains pula menunjukkan bahawa proses penuaan dipengaruhi oleh enzim yang terdapat di dalam sel badan di mana sel-sel badan kita akan sentiasa membahagi dan setiap kali ia membahagi, ia semakin memendek.

Setiap sel di dalam tubuh kita bergetar di dalam sebuah sistem yang saksama, dan perubahan sekecil apa pun dalam getaran ini boleh menimbulkan penyakit pada beberapa bahagian tubuh.

Dengan membaca ayat suci al-Quran akan menghasilkan frekuensi yang akan menggetarkan sel-sel yang rosak untuk mengembalikan keseimbangan.

Perubahan pada getaran inilah yang dapat menghalang atau melambatkan proses penuaan yang cepat ke atas hormon sel badan. Ini akan dapat mengurangkan bahaya keradangan dalam badan, menseimbangkan hormon dalam badan dan meningkatkan proses metabolisme badan secara keseluruhan.

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama [Allah]; [tetaplah atas] fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. [Itulah] agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Rum 30: 30)

Hasilnya, pengamal al-Quran yang dinyatakan di atas akan kelihatan lebih muda dan lebih bertenaga, dapat memperbaiki tahap kesihatan, kulit tidak cepat berkedut, sistem immuniti yang kuat, kurang risiko kanser dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan penuaan.

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit prostat bengkak akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

1. Surah Mukminun ayat 75 hingga 100.

2.  Surah An-Nahli ayat 90 hingga 110.

3.  Surah Al-Hajj ayat 31 hingga 55.

4. Surah Al-Furqan ayat 16 hingga 31.

5. Surah As-Soffat ayat 66 hingga 140.

6. Surah As-Syu’araa ayat 201 hingga 227.

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Mukminun tiga kali pada waktu malam dan surah kedua surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang.

Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit berjumpa dengan perawat Al-Hidayah supaya dapat kami memeriksa jika ada sebarang penyakit yang lain seperti kanser prostat yang kadang-kadang mempunyai gejala yang sama.

Kepada semua pesakit prostat, jangan berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat penyakit prostat. Jangan menganggap penyakit prostat itu tidak dapat lagi ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d 13: 11)

Satu Respons kepada “Amalan ubati Prostat Bengkak”

  1. Hamdan bin abdul rajid said

    Apa nama pondok tersebut dan lokasi klinik nya dimana

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: