Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Oktober 2013

Sunat sembelih sendiri ternakan korban

Posted by epondok di Oktober 16, 2013

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Allah SWT menganugerahkan umat Islam dua hari untuk mereka makan dan minum serta bergembira iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Umat Islam diharamkan berpuasa pada kedua-dua hari perayaan besar itu.

Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan dan kejayaan selepas berpuasa sebulan Ramadan, sementara Aidiladha diraikan sebagai simbol salah satu syiar Islam teragung yang cukup sinonim dengan ibadah haji.
Aidiladha yang juga dikenali sebagai hari raya korban adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim menunaikan perintah Allah SWT dan kesabaran anaknya Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi.

Ia termaktub dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya), Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar.”

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menunaikan perintah Ilahi. Allah SWT telah mengirimkan seekor kibasy untuk menggantikan Nabi Ismail.

Peringatan laksana rukun Islam kelima

Aidiladha diraikan pada bulan haji mengingatkan umat Islam kepada rukun Islam kelima supaya yang berkemampuan menunaikan ibadah haji di Baitullah. Ibadah haji membawa bersama seribu satu unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat.
Ibadat haji mendidik pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT kerana keredaan serta pengampunan Ilahi bukan satu perkara yang mudah dan murah. Sebaliknya, ia menuntut satu pengorbanan juga iltizam yang tinggi.

Ibadah korban mempunyai nilai yang tinggi serta hikmah cukup besar dari sudut ibadah dan kemasyarakatan. Ibadah korban ini satu penyaksian terhadap ketakwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan kepada takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Jalinan kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat dapat dipereratkan melalui ibadah korban. Mereka yang berkemampuan melakukan ibadah korban akan mengagih-agihkan sebahagian daging kepada golongan kurang bernasib baik. Ini manifestasi makna kesyukuran kepada Allah SWT untuk nikmat tiada terhitung kepada manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj, ayat 36)

Sunat ambil sepertiga daging korban

Disunatkan kepada sesiapa yang menjalankan ibadahkorban supaya mengambil sepertiga daripada daging korban itu untuk keluarga sendiri dan memberikan selebihnya kepada orang miskin dan orang yang meminta. Jika diberikan keseluruhan daging korban kepada fakir miskin, itu sebaiknya.

Sesiapa yang menjalankan ibadah korban disunatkan menyembelih sendiri binatang korban itu dan jika tidak mampu, hendaklah menyaksikan upacara korban terutama apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana pada waktu itulah Allah SWT mengampuni dosa telah lalu orang berkorban.

Rasulullah SAW telah menyuruh puterinya Saidatina Fatimah menyaksikan sendiri upacara ibadah korban dijalankan atas namanya. Sabda Rasulullah SAW: “Bangunlah dan pergilah saksikan ibadah korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan darah pertama yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah ia khusus kepada ahli keluarga atau umum kepada umat Islam? Jawab Baginda: Bahkan kepada seluruh umat Islam.” (Riwayat Al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Ibadah korban bertindak sebagai wahana pembersihan harta dan jiwa Muslim. Mudah-mudahan ibadah korban yang dilakukan Aidiladha ini diterima Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »