Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2013

Penjelasan secara baik tambat hati orang jahil

Posted by epondok di Oktober 31, 2013

Daripada Abu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya sebelumku mempunyai penyokong-penyokong daripada umatnya dan sahabat yang berpegang dengan sunnahnya dan mereka taat dengan perintahnya. Kemudian selepas mereka, muncullah beberapa penggantinya yang suka berkata tetapi tidak melakukannya dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya maka dia adalah Mukmin. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah Mukmin dan sesiapa yang berjuang menentang dengan hatinya maka dia adalah Mukmin, tetapi jika semua itu tiada maka sama sekali tiada keimanan walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim)

Benci kepada kemungkaran
Menentang orang yang menyalahi syarak dengan perbuatan dan perkataan adalah dituntut. Tidak menolak kemungkaran dengan hati adalah tanda ketiadaan iman. Kata Abdullah ibn Mas’ud: “Binasalah orang yang tidak mengenal yang makruf dan mungkar dengan hatinya.”

Benci kepada kemungkaran adalah dalil kuat iman dan tidak menghiraukan kemungkaran adalah dalil lemahnya iman. Setiap orang wajib menolak atau menghapuskan kemungkaran menurut kemampuannya.

Jauhkan diri daripada tergolong dalam golongan orang yang derhaka terhadap Allah SWT dan rasulnya. Kewajipan bagi mereka yang beriman dan mengetahui ialah memberi penjelasan kepada orang yang jahil dengan ajaran yang baik.

Setiap orang digalakkan melakukan perkara yang baik dan dilarang melakukan perkara yang merosakkan iman.

Reda dengan dosa adalah berdosa dan reda dengan kufur adalah kufur. Selemah-lemah iman seseorang itu ialah mengatasi kemungkaran hanya dengan berdoa saja dan tidak didapati darjat keimanan seseorang yang lebih lemah daripada itu

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

5 kaedah kukuh iman pendakwah

Posted by epondok di Oktober 30, 2013

Oleh Dr Burhanuddin Jalal

Pendakwah sering menjadi contoh teladan serta rujukan. Oleh itu, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalam diri pendakwah untuk melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan.

Tugas berat ini memerlukan pendakwah memiliki kekuatan iman bagi memastikan kejayaan berdakwah dicapai selain mendapat pertolongan serta hidayah daripada Allah SWT.
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah meminta ulama terkenal pada waktu, Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan mengenai iman dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Konsep pengukuhan iman perlu bagi melembutkan hati, mengasah jiwa supaya wujud nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri sensitif terhadap keburukan hingga mampu menjauhkan diri daripada semua perkara itu.

Selain itu, ia juga dapat melatih diri dan memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan serta kemungkaran dari menghampiri.

Pengukuhan iman individu, kumpulan

Pengukuhan iman dapat dilakukan secara individu atau dalam bentuk kumpulan. Peringkat individu ialah dengan melakukan muhasabah supaya dapat meningkatkan diri untuk terus berdakwah meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea baru.
Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan melaksanakan amalan rohaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk lebih produktif lagi.

Selain itu, program pengukuhan iman turut memberi kepentingan untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta mengukuhkan semangat berdakwah selain meningkatkan usaha mendapatkan tenaga baru.

Mengenai kepentingan pengukuhan iman, Abdullah Nasikh Ulwan berkata, ketika jiwa dai penuh dengan ketakwaan kepada Allah, mereka akan merasakan dekatnya diri dengan Allah SWT, kekuatan jiwanya dipenuhi pembacaan ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadat sunnah.

Ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah, akan ternampak pancaran cahaya daripada matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan lenggok tangannya.

Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan.

Begitulah penting dan berkesannya kekuatan iman pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi tugas dakwah tentunya menghadapi pelbagai cabaran serta halangan.

Lima kaedah kukuh iman pendakwah

Terdapat lima kaedah untuk pengukuhan iman pendakwah untuk melaksanakan usaha dakwah Islamiah iaitu sentiasa mengingati perjanjian seorang hamba dengan Rabbnya dan ikrar untuk terus berada dalam dakwah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 91)

Sentiasa merasakan diri dekat dengan Allah SWT (muraqabah). Ini dapat dilaksanakan dengan keyakinan keagungan Allah SWT serta keesaaan-Nya sepanjang waktu sama ada di waktu sunyi atau tidak.

Ketiga, muhasabah diri yang menjadi tuntutan Islam supaya mempunyai daya kawalan diri yang baik serta sentiasa melakukan pembaikan terhadap kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan atau pengukuhan amalan.

Melaksanakan hukuman apabila melakukan kesalahan supaya tidak mengulangi kesalahan sama. Hukuman itu mampu untuk menyedarkan diri sekali gus melatih untuk terus mengikut jalan takwa dan iman.

Kelima, bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dakwah. Mujahadah yang dituntut dalam kalangan pendakwah ialah memaksa diri apabila berlakunya sikap malas atau tidak bersemangat untuk berdakwah atau semangat kian merosot khususnya dalam aspek amalan dan beribadat.

Oleh itu pendakwah disaran terus memperkukuh iltizam dalam melaksanakan usaha dakwah dengan sentiasa memperbaharui tingkatan iman secara berterusan bagi memastikan mereka menjadi dai yang murabbi (mendidik).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cubaan memadam cahaya Allah

Posted by epondok di Oktober 29, 2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH sekali lagi dalam ruangan ini dapat dikemukakan berkaitan dengan cubaan memadam cahaya Allah oleh musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya cubaan mereka berlangsung sejak Allah mengutuskan rasul-Nya sehingga dunia dikiamatkan. Perlawanan antara kebenaran dan kebatilan pasti berlangsung dengan hebatnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka dan Allah menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. (al-Taubah: 32)

Syeikh al-Maraghi berkata: Orang Yahudi dan Nasrani berhasrat memadam cahaya Allah SWT yang dibawa oleh seluruh utusan-Nya yang dilimpahkan kepada manusia melalui Nabi Musa as, Nabi Isa as dan para rasul yang lainnya. Kemudian ia disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW, penutup para nabi.

Mereka memadam cahaya itu dengan mencemuh Islam, menghalang manusia dengan cara yang batil, seperti melontar fitnah terhadap Uzair dan bidaah yang dibuat oleh para pemimpin mereka, seperti membuat syariat, sehingga tauhid menjadi syirik dan marbub (sesuatu yang dimiliki) menjadi rabb (yang memiliki).

Demikianlah, ahli kitab memusuhi Islam sejak perutusan Nabi Muhammad SAW. Mereka sengaja ingin melenyapkan Islam dengan perang di suatu pihak dan merosakkan akidah di pihak yang lain. Kedua-dua usaha ini dimaksudkan untuk memadam cahaya Islam.

Allah SWT berkehendak menyempurnakan cahaya-Nya dengan mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup nabi, yang diutuskan kepada seluruh makhluk dengan menjadikan baginya mukjizat yang paling besar, iaitu al-Quran bersifat ilmiah dan terpelihara hingga ke akhir zaman.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menerangkan segala yang mereka perlukan yang berupa akidah yang dikuatkan oleh keterangan dan membatalkan penyembahan manusia terhadap manusia, lebih-lebih lagi terhadap patung dan berhala.

Allah SWT juga menerangkan ibadah yang dapat menyuci dan membersihkan jiwa daripada segala kotoran. Menjadikan pemberian orang kaya kepada orang miskin sebagai hak Ilahi dan membatalkan pahala pemberian itu kerana menyebut perkataan yang menyakitkan.

Dalam ayat ini juga, digariskan adab yang menyatakan keutamaan dalam jiwa dan tashri’ yang memadukan kasih-sayang, keadilan dan persamaan antara seluruh manusia.

Para ahli tafsir dan ahli sejarah mengatakan: Qarun datang dengan peti yang sangat besar. Lalu dia berkata kepada seorang perempuan penzina: Apabila manusia telah berkumpul dan Nabi Musa as berdiri memberikan ceramah, berdirilah kamu dan menangislah, robek-robeklah pakaianmu, kusut masaikanlah rambutmu dan bersumpahlah bahawa Nabi Musa as telah berzina denganmu.

Cahaya Allah

Manusia pun berkumpul dan Nabi Musa as mulai menyampaikan ceramahnya tentang tauhid dan keimanan. Dan Qarun hendak membenamkan dakwah Nabi Musa as ke dalam bumi hingga manusia tiada yang percaya dengannya lagi dan membenarkannya.

Ini kerana cahaya itu adalah cahaya Allah, ajaran itu adalah ajaran Allah, risalah itu adalah risalah Allah dan Rasul adalah Rasul Allah. Ketika Nabi Musa sedang berpidato, tiba-tiba terdengarlah suara tangisan seorang perempuan sambil mencakar-cakar mukanya.

Maka bermulalah sebuah konspirasi yang sangat jahat dan jijik, iaitu pembohongan yang dibuat oleh mereka yang dengki terhadap Islam, para ulama dan terhadap para daienya.

Nabi Musa as berhenti dan terdiam, lalu Baginda menoleh ke arah perempuan itu, Baginda pun merasa gugup untuk berbicara dan menangis. Nabi Musa as yang diutus oleh Allah dengan risalah-Nya, mungkinkah melakukan perbuatan yang keji itu? Nabi Musa as pun berhenti menangis, tetapi Baginda tetap tabah dan mengetahui bahawa ini semua adalah ujian.

Baginda pun mengangkat tongkatnya dan berdiri di hadapan perempuan tersebut dan bertanya: “Aku ingin bertanya kepadamu dengan nama Zat Allah yang memecah-belahkan laut untukku. Apakah benar aku melakukan perbuatan tersebut (zina)? Perempuan itu menjawab: Tidak. Kemudian perempuan itu menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah. (al-Ahzab: 69)

Maka Nabi Musa as semakin bertambah kekuatan diri dan berkeyakinan terhadap ajaran Allah kerana kejujuran Baginda itu. Sejak awal lagi Baginda telah mengetahui siapa yang berdusta.

Mereka mahu memadamkan cahaya Allah SWT yang telah digariskan untuk membimbing para hamba-Nya dengan mentauhidkan Allah SWT pada sifat rububiyyah dan uluhiyyah. Kemudian mereka berpaling daripada tauhid kepada syirik dan paganisme. Semoga Allah kurniakan kita sifat-sifat yang soleh.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Perubahan zaman kikis budaya tegur menegur

Posted by epondok di Oktober 28, 2013

Abu Wa’il, nama sebenarnya Syaqiq bin Salamah berkata, “Abdullah bin Mas’ud ada memberi nasihat kepada kami pada setiap hari Khamis.” Kemudian seorang lelaki bertanya kepadanya: “Wahai Abu Abdul Rahman. Saya pasti lebih gembira jika saudara dapat memberikan nasihat pada setiap hari.” Mendengar kenyataan itu, Abdullah bin Mas’ud menjawab: “Sebenarnya saya sengaja berbuat seperti ini. Saya tidak suka membuat saudara semua menjadi bosan. Sesungguhnya saya ini menjaga waktu. Ini jugalah yang dilakukan oleh Rasulullah ketika memberi nasihat kepada kami dulu. Baginda menjaga waktu kerana bimbang kami menjadi bosan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berbeza dengan umat hari ini, masyarakat dulu sentiasa mengalu-alukan nasihat terutama daripada golongan berilmu supaya kehidupan mereka sentiasa berada pada landasan yang benar. Ini juga bagi mengelak daripada lupa kerana sifat manusia mudah lupa terutama dalam perkara kebaikan.
Disebabkan itu juga, kehidupan di kampung dulu berjalan dalam suasana harmoni kerana penduduk sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Jika ada yang melakukan kesilapan, akan ada pihak menegur dan lebih indahnya, yang ditegur menerima teguran dengan hati terbuka.

Cara memberi nasihat penting kerana kebanyakan kita terlalu bertegas apabila hendak menegur tanpa memikirkan kedudukan pihak yang hendak ditegur. Ada yang terus meninggikan suara membuatkan yang ditegur terasa diaibkan dan menimbulkan rasa marah dalam hatinya.

Malangnya, perubahan zaman memperlihatkan masyarakat sekarang lebih selesa memikirkan kehidupan sendiri dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling. Malah, ada yang tidak tahu apa berlaku pada jiran sebelah rumah kerana tidak pernah bertegur sapa.

Niat menegur dilupakan

Ada juga yang mempunyai niat untuk menegur saudara yang melakukan kesilapan atau menasihati remaja supaya memelihara tingkah laku, tetapi memikirkan tindakan itu mungkin tidak disukai dan akan menimbulkan masalah lain, niat itu di pendam.

Inilah yang disifatkan Rasulullah SAW sebagai selemah-lemah iman. Justeru, dinasihatkan kepada pihak yang hendak menegur supaya menggunakan perkataan yang baik, cara lemah lembut supaya apa yang disampaikan dapat diterima dengan baik juga.
Cara memberi nasihat penting kerana kebanyakan kita terlalu bertegas apabila hendak menegur tanpa memikirkan kedudukan pihak yang hendak ditegur. Ada yang terus meninggikan suara membuatkan yang ditegur terasa diaibkan dan menimbulkan rasa marah dalam hatinya.

Islam adalah cara hidup hingga kepada memberi nasihat juga diperhalusi pendekatannya. Jika ditanya, tiada siapa yang suka dirinya dileteri, tetapi itulah yang terjadi apabila orang yang hendak menasihat bukannya memberi nasihat sebaliknya berleter.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka menjauhkan diri daripada kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Namun, melihat kepada peperangan komen-komen di internet, adalah menyedihkan kerana kata-kata digunakan tidak menggambarkan sifat sepatutnya dimiliki Muslim yang memberi nasihat atau teguran dengan kata-kata yang baik.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tutur kata yang baik itu pahalanya sama seperti bersedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mawaddah, musyawarah, amanah teras keluarga bahagia

Posted by epondok di Oktober 27, 2013

Nik Salida Suhaila

Suami, isteri patut berkongsi kelemahan dan kekuatan bina kehidupan

Perkahwinan menjadikan manusia semakin dekat dengan kasih sayang Allah SWT kerana ada seorang suami yang sentiasa mendidik dan melindungi isteri. Bagaimanapun, suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah akan merosakkan rumah tangga yang dibina. Malah ia mengakibatkan kemungkinan berlaku perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah SWT. Perceraian bukanlah keseronokan atau penentu kehidupan baru yang lebih baik daripada sebelumnya, tetapi ia jalan keluar daripada kesukaran.
Justeru, tak perlu rasa bersalah jika terpaksa berpisah. Malah, Allah SWT memberi peluang kedua dan ketiga kepada pasangan yang ingin kembali bersama jika mencukupi syarat ditetapkan agama.

Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melalui institusi kekeluargaan, kehidupan manusia boleh dikatakan sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahlinya, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam setiap tindak-tanduk membabitkan ahli keluarga.

Kehidupan berjemaah

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak-anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah serta melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan mana-mana ahli keluarga yang lain.

Tempat tinggal pula ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dan dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga yang bertanggungjawab serta sarat dengan kasih sayang.
Rumah tangga pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin. Objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti dituntut agama tidak tercapai.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju akhirat.

Tujuan perkahwinan untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Lumrah yang berpasangan akan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru, mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah SWT dan bertolak ansur sesama insan.

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, tetapi juga memenuhi keperluan jiwa nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi oleh pasangan. Mawaddah berasaskan nafsu serakah akan menghilangkan rahmah hingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, seterusnya cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak diterapkan dalam rumah tangga.

Ketua keluarga tidak tunai tanggungjawab

Jika ketua keluarga tidak menunaikan tanggungjawab kepada ahli yang dipimpin, penghuni rumah tangga akan kehilangan arah dan pedoman terutama anak yang belum mampu memimpin diri sendiri. Suami dan isteri pula membawa haluan sendiri maka tiada lagi pemimpin dan yang dipimpin.

Sifat amanah menjadikan pasangan suami dan isteri lebih bertakwa kepada Allah SWT. Anak juga amanah kepada ibu bapa dan sejauh mana mereka berjaya memelihara amanah itu juga berdasarkan ketakwaan.

Mudahnya perkahwinan memberi kehidupan yang bahagian, perkahwinan juga boleh menjadi pengalaman buruk apabila objektif perkahwinan gagal dicapai. Tanpa kasih sayang, musyawarah dan amanah, rumah tangga akan runtuh.

Memang benar perceraian adalah perbuatan yang paling dibenci oleh Allah SWT, tetapi ia tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana ia sunnah Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu. Perkahwinan diharamkan jika suami i menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Keistimewaan Kota Mekah

Posted by epondok di Oktober 26, 2013

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Kota suci Mekah tidak pernah sepi daripada menerima kehadiran tetamu Allah. Sama ada atas urusan menunaikan ibadat haji mahupun umrah.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia. (al-Ma’idah: 97)

Angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di bulan, Neil Armstrong telah membuktikan bahawa kota suci Mekah yang terletaknya Kaabah adalah merupakan pusat kepada planet bumi.

Sebenarnya dalam al-Quran telah lebih dahulu membicarakan perkara ini. Maka sebagai hamba Allah yang diberikan akal fikiran, kita perlulah meneliti dan berfikir di sebalik rahsia-rahsia yang terkandung di dalam ayat-ayat suci al-Quran al-Karim itu.

Antara kalam-kalam Allah SWT mengenai Mekah sebagai pusat bumi adalah firman yang bermaksud: Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya (negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syura: 7)

Perkataan Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya. Lebih daripada itu kata ummul (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam.

Sebagaimana seorang ibu adalah sumber daripada keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.

Firman Allah lagi yang bermaksud: Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan). (ar-Rahman: 33)

Perkataan aqthar adalah bentuk jamak daripada perkataan qutr yang bererti diameter dan ia mengacu pada langit dan bumi yang mempunyai banyak diameter.

Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lapisan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan-lapisan langit.

Ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat Kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai orang Mekah, wahai orang Quraisy, sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit.”

Berdasarkan penelitian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah seharunya dijadikan rujukan waktu dunia. Bukannya Greenwich yang sekian lama menjadi rujukan umum. (Mekah sebagai pusat bumi, Dr. Mohamad Daudah).

Suka ditegaskan akan pengakuan yang dibuat oleh Neil Armstrong bahawa kota Mekah yang terletaknya Kaabah adalah pusat kepada planet bumi. Sedangkan al-Quran sejak 1,400 tahun lalu telah membicarakan mengenai kota Mekah dan Kaabah adalah sebagai pusat bumi ini.

Ketika kali pertama Neil Armstrong melakukan perjalanan ke luar angkasa dan mengambil gambar planet bumi, dia berkata: “Planet bumi ternyata bertumpu di kawasan yang sangat gelap, dan di manakah ia berpusat?”

Fakta ini telah diteliti melalui suatu penelitian ilmiah.

Para angkasawan telah menemui bahawa planet bumi mengeluarkan satu radiasi, secara rasmi mereka mengumumkan di Internet tetapi sayangnya 21 hari kemudian, laman sesawang tersebut hilang dan seperti ada alasan tersembunyi di sebalik penghapusan tersebut.

Setelah melakukan penelitian lebih lanjut, ternyatalah radiasi tersebut berpusat di kota Mekah dan tepatnya berasal dari Kaabah. Yang mengejutkan adalah radiasi tersebut bersifat infiniti (tidak berakhir).

Perkara ini terbukti ketika mereka mengambil gambar planet Marikh, radiasi tersebut masih berterusan. Para peneliti Muslim mempercayai bahawa radiasi ini memiliki karakteristik dan menghubungkan antara Kaabah di planet bumi dengan Kaabah di alam akhirat.

Di tengah-tengah antara kutub Utara dan kutub Selatan, terdapat suatu kawasan yang bernama Zero Magnetism Area, di mana apabila kita mengeluarkan kompas di kawasan tersebut, maka jarum kompas tersebut tidak akan bergerak sama sekali kerana daya tarikan yang sama besar antara kedua-dua kutub.

“Itulah sebabnya jika seseorang tinggal di Mekah, maka dia akan hidup lebih lama, lebih sihat dan tidak banyak dipengaruhi oleh kekuatan graviti. Oleh sebab itulah ketika kita mengelilingi Kaabah, maka seakan-akan diri kita dicas oleh suatu tenaga misteri yang menyebabkan kita bertenaga ketika mengelilingi (tawaf) di Kaabah dan ini adalah fakta yang telah dibuktikan secara ilmiah.”

Penelitian lainnya ialah Hajarul Aswad merupakan batu tertua di dunia dan juga boleh terapung di air. Di sebuah muzium di England, terdapat tiga buah potongan batu tersebut (dari Kaabah) dan pihak muzium juga mengatakan bahawa bongkahan batu-batu tersebut bukan berasal dari sistem suria kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam (rujuk Jami’ at-Tirmizi al-Hajj).

Begitu juga hadis yang bermaksud: “Hajar Aswad dari batu-batuan syurga dan tidak ada suatu benda di bumi yang turunnya dari syurga selain batu itu.” (riwayat Tabarani)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Terhakisnya nilai kemanusiaan

Posted by epondok di Oktober 25, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

SEJAK akhir-akhir ini pelbagai gejala yang tidak baik berlaku yang menunjukkan manusia, khususnya kalangan remaja sudah mula terhakis nilai-nilai kemanusiaan. Unsur ganas dan zalim telah memenuhi ruang hati yang mengakibatkan manusia seperti kehilangan rasa kemanusiaan.

Pengaruh unsur keganasan ini berkemungkinan daripada pengaruh filem, aksi-aksi ganas di televisyen, Internet dan juga pengaruh rakan sebaya. Disebabkan terhakisnya nilai kemanusiaan, manusia sanggup memukul, membelasah rakan sebaya dan akhirnya membawa kepada pembunuhan. Iman dan amal perbuatan sangat berkait rapat dalam kehidupan Islam.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman.” (riwayat Ath Thabrani)

Ini fenomena yang sering berlaku dalam kalangan remaja belasan tahun iaitu antara usia 13 hingga 25 tahun yang kurang pengalaman dan kurang mantap akidah, ibadah dan akhlaknya sebagai umat Islam yang sejati. Di sekolah unsur-unsur ini sudah nampak melalui kumpulan-kumpulan tertentu yang terpengaruh dengan unsur keganasan dari luar.

Justeru, melalui anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan, jelas bahawa ia bertujuan untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai-nilai murni yang baik. Antaranya, mengukuhkan pendidikan agama Islam dan pendidikan moral dengan lebih tumpuan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Di samping itu, berusaha membangunkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab, dan 1Badan Beruniform. Melaluinya murid akan dapat memahami erti nilai-nilai murni yang baik dan juga rasa kemanusiaan yang tinggi melalui perhubungan dan komunikasi dengan rakan sebaya.

Pendidikan hati

Selain itu, pendidikan hati juga sangat penting. Ini disebabkan hati adalah tempat pandangan Allah SWT. Hati merupakan tapak semaian iman, wadah fitrah, akal dan hikmah. Hati juga adalah raja bagi seluruh anggota badan.

Apabila hati itu baik, maka akan baiklah seluruh anggota badan dan apabila hati itu rosak, maka akan rosaklah seluruh anggota badan.

Oleh itu, banyak sekali nasihat dan tunjuk ajar yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SWT kepada umatnya untuk mendidik hati.

Hanya melalui pendidikan akan dapat memupuk dan menanam kembali nilai-nilai murni yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan iaitu nilai harga diri, bertanggungjawab, toleransi, kasih sayang, rasional, kesederhanaan, menghormati hak orang lain, hormat dan taat kepada anggota keluarga. Selain itu bertanggungjawab kepada keluarga, menghormati hak golongan kurang upaya, mematuhi peraturan dan undang-undang, hidup bersama secara aman, saling membantu dan bekerjasama ke arah kebaikan.

Oleh itu, sentiasalah mengamalkan sikap toleransi antara satu dengan yang lain dalam kehidupan seharian. Rakyat pelbagai kaum tanpa mengira agama harus bersatu untuk mewujudkan keamanan dan ketenteraman negara. Ini sangat penting dalam sebuah negara yang majmuk.

Setiap orang harus mengadakan perbincangan secara aman jika terdapat sesuatu masalah dalam kehidupan bermasyarakat. Musuh-musuh asing sukar membinasakan bangsa yang bersatu padu, masyarakat yang erat. Nabi SAW bersabda: Amalan yang paling disukai Allah ialah yang mudah meskipun sedikit. (riwayat Bukhari)

Setiap anggota masyarakat juga perlu bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang menghadapi kesusahan agar kenikmatan dan kesenangan dapat dirasai bersama tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Berakhlak

Hidup berbaik-baik antara satu sama lain akan menjuruskan kepada keamanan dan keharmonian. Nabi SAW bersabda: Lakukan apa yang kamu mampu amalkan. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu sendiri jemu. (riwayat Bukhari)

Inilah akhlak yang harus ditunjukkan iaitu akhlak dan budi pekerti yang baik. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (riwayat Ahmad)

Justeru, membentuk Muslim yang terbaik akan menjadi ikutan kepada bangsa dan agama lain. Sebab itu manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendidikan nilai-nilai kemanusiaan ini juga mestilah diterapkan dengan keimanan dan ketakwaan bagi menjadikan manusia sentiasa mempunyai hati yang penyayang dan pengasih kepada orang lain dan juga makhluk Allah SWT lainnya di dunia ini.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

2 bencana ada pada lidah

Posted by epondok di Oktober 24, 2013

Oleh Hashim Ahmad

Bidalan Melayu menyebut ‘lidah tidak bertulang’ bermaksud bebas bercakap jika tidak dikawal. Sebab itu lidah boleh membawa seseorang berada dalam keadaan bahaya dan sebaliknya.

Jika kita mempergunakan lidah untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa kepada Allah, amar makruf dan nahi mungkar, atau melakukan ketaatan kepada Allah, ia adalah bentuk kesyukuran terhadap nikmat pancaindera dikurniakan Allah SWT.
Lidah sebagai alat berbicara umpama senjata bermata dua. Lidah dapat digunakan dalam ketaatan kepada Allah SWT dan juga ketaatan kepada syaitan. Disebabkan kata-kata, seseorang jadi mulia di sisi Allah, tetapi disebabkan kata-kata juga boleh mendapat celaka.

Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu kalimat, dan dia tidak menganggapnya berbahaya, Dengan sebab satu kalimat itu dia terjerumus selama 70 tahun di dalam neraka.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Umumnya, terdapat dua bencana yang ada pada lidah iaitu menyebabkan kerosakan daripada berbicara batil dan mendiamkan diri daripada menyatakan kebenaran sedangkan ia perlu diucapkan demi kepentingan semua.

Orang yang berbicara dengan kebatilan, dia adalah syaitan yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. Orang yang diam daripada kebenaran pula adalah syaitan yang bisu dan dia juga bermaksiat kepada Allah SWT.

Orang yang beruntung adalah yang menahan lidahnya daripada kebatilan dan menggunakannya untuk perkara bermanfaat.

Sukar kawal lidah
Anehnya, seseorang itu mudah menjaga diri daripada makanan yang haram, berbuat zalim kepada orang lain, berzina, mencuri, minum arak, melihat wanita tidak halal dilihat, tetapi sukar untuk mengawal lidah daripada membicarakan perkara sia-sia.

Terkadang kita lihat seseorang yang dikenali kerana agamanya, zuhudnya dan ibadahnya, namun masih mengucapkan kalimat yang menyebabkan kemurkaan Allah. Dia tidak memerhatikan perkataan yang keluar daripada mulutnya.

Satu kalimat saja boleh menyebabkan seseorang tersungkur dalam neraka selama 70 tahun seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu kalimat, dan dia tidak menganggapnya berbahaya, Dengan sebab satu kalimat itu dia terjerumus selama 70 tahun di dalam neraka.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Banyak sekali orang yang menjaga diri daripada perbuatan keji dan maksiat, namun dengan lidahnya mencabul kehormatan orang yang masih hidup atau sudah meninggal.

Rasulullah SAW khuatir terhadap umatnya. Sufyan bin Abdulloh Ats-Tsaqofi berkata: “Aku berkata, wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya! Baginda SAW bersabda: Katakanlah, Rabbku adalah Allah, lalu istiqamahlah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khawatirkan atasku? Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: Ini.” (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Menyedari hakikat ini, maka awasilah pertuturan dan percakapan kita pada setiap masa dan waktu. Jagalah lidah dan berkata yang baik saja. Kita akan dapat mengalahkan syaitan serta menjadi manusia yang senang di dunia dan bahagia di akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

3 sifat reda perlu ada dalam diri Mukmin

Posted by epondok di Oktober 23, 2013

Oleh Muhammad Asyraf
Mengakui Allah pencipta, Islam agama, beriman kepada Rasul dan sunnah

Nikmat dikurniakan Allah SWT tidak mampu dihitung banyaknya dan antara nikmat terbesar ialah perjalanan kehidupan iaitu satu perjalanan panjang yang perlu dilalui setiap hamba. Namun, kehidupan ini juga adalah ujian Allah SWT untuk menilai hamba-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu semua mengira nikmat Allah SWT ke atas kamu sudah tentu kamu tidak mampu menghitung-Nya”. (Surah al-Nahl ayat 18)

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang itu telah merasai kelazatan iman setelah mana dia reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya dan Muhammad sebagai Nabi dan rasul-Nya.” (Riwayat Muslim)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Kehidupan manusia di dunia ini tidak selama-lamanya indah kerana ada kala diuji pelbagai dugaan. Oleh itu, sudah tentu ada rasa suka dan dukanya. Ada kala seseorang manusia itu gembira dan ada kalanya dia diuji oleh Allah SWT dengan perasaan sedih.

Inilah realiti kehidupan yang perlu dilalui setiap manusia. Sesungguhnya kehidupan manusia itu ibarat pusingan roda, ada masa kita berbangga apabila berada di atas puncak dunia dan ada masa kita rebah jatuh ke lembah sengsara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan begitulah hari-hari yang Kami gilirkan (padanya kesenangan dan kesengsaraan) di kalangan manusia untuk Allah menilai siapakah mereka yang beriman kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 140)
Tabah hadapi realiti kehidupan

Kita perlu menghadapi realiti kehidupan dengan rasa tabah dan reda atas setiap ketentuan Allah SWT. Martabat reda yang tertinggi ialah apabila seseorang itu ikhlas memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang itu telah merasai kelazatan iman setelah mana dia reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya dan Muhammad sebagai Nabi dan rasul-Nya.” (Riwayat Muslim)

Tiga perkara yang berkait dengan sifat reda dan perlu ada dalam jiwa seseorang Mukmin ialah mengakui Allah, Tuhan yang mencipta serta mentadbir alam ini. Kedua, reda mengambil Islam sebagai agama dan cara hidup dan menolak ideologi bertentangan dengan syariat Islam.

Reda yang ketiga ialah beriman dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir dan menzahirkan rasa cinta kepadanya, mengikuti sunnah Baginda termasuk mengajak manusia kepada kebaikan serta menegah daripada kemungkaran.

Sesungguhnya sifat reda berkait rapat dengan perasaan sabar dan syukur kepada Allah SWT. Manusia yang kuat imannya akan sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT sama ada gembira mahupun duka.

Jiwa-jiwa yang beriman akan sentiasa yakin dengan ketentuan telah Allah SWT tetapkan dalam kehidupan mereka. Bagi mereka, setiap ketentuan itu pasti ada hikmah yang tidak mampu dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

Hikmah itu bukanlah hak mereka untuk menentukannya, tetapi hak Allah SWT yang lebih tahu keperluan serta kehendak manusia.

Sabda Nabi SAW: “Sungguh mengagumkan kehidupan seseorang Mukmin itu kerana segala urusan hidupnya semuanya adalah baik dan perkara ini tidak berlaku kecuali ke atas orang mukmin. Apabila beliau diuji dengan perkara yang menggembirakan maka beliau akan bersyukur kerana itu adalah yang terbaik baginya, manakala apabila beliau diuji dengan perkara yang menyakitkan (jiwa dan hatinya) maka beliau akan sabar kerana perkara tersebut juga adalah yang terbaik baginya.” (Riwayat Muslim)

Sifat reda dengan ketentuan Allah SWT juga melahirkan rasa ‘husnu al-zhan’ iaitu berbaik sangka dalam setiap takdir daripada Pencipta. Manusia yang beriman akan merasai bahawa semakin dia diuji oleh Allah SWT maka semakin hampir Allah SWT dengannya.

Ujian Tuhan tanda kasih sayang

Ujian daripada Allah SWT ini juga melambangkan tanda kasih sayang-Nya kepada hamba yang bertakwa. Ujian daripada Allah SWT boleh jadi jalan untuk manusia kembali kepada-Nya setelah mereka leka dengan perbuatan dosa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama setiap hamba yang selalu mengharapkan sesuatu daripada-Ku. Apabila dia mengingati-Ku maka aku akan sentiasa bersamanya. Apabila dia mengingati-Ku di dalam jiwanya nescaya Aku turut sama mengingatinya. Apabila dia mengingati-Ku secara beramai-ramai bersama kumpulannya nescaya Aku akan mengingatinya bersama-sama himpunan malaikat yang sudah tentu lebih hebat daripada mereka. Ketika mana dia mendekati-Ku dengan jarak sejengkal maka Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta dan apabila dia mendekatiku sehasta maka aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan maka aku akan pergi kepadanya dalam keadaan berlari.” (Riwayat Muttafaqun ‘Alaih)

Imam al-Nawawi menghuraikan hadis ini dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, menyatakan inilah rahmat Allah SWT kepada hamba yang sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada-Nya. Setiap perkara yang diharapkan oleh hamba pasti Allah SWT akan mengurniakan yang lebih baik.

Sifat reda juga berkait rapat dengan perasaan al-Qana‘ah iaitu berasa cukup dengan pemberian Allah SWT. Manusia yang tidak mempunyai sifat al-Qana’ah ialah manusia yang tidak bersyukur dan juga tidak berasa reda akan nikmat dikurniakan kepadanya.

Malah lebih membimbangkan, apabila jiwa seseorang itu dicemari dengan sifat hasad terhadap nikmat dan kesenangan yang Allah SWT berikan kepada manusia lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sucikanlah nama Tuhanmu yang Maha Tinggi. Dialah yang menciptakan kehidupan dan menjadikannya secara adil dan baik kejadiannya. Dialah juga yang telah menetapkan sesuatu (rezeki) dan memberi petunjuk (kepada manusia).” (Surah al-A’la, ayat 1-3)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Senyum kepada anak berpahala

Posted by epondok di Oktober 22, 2013

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

SEBAGAI seorang ayah, saya sangat terganggu apabila membaca berita jenayah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Hati saya terasa dicarik-carik walaupun mangsa bukan keluarga saya, bahkan tidak saya kenali.

Rasa sayang kepada kanak-kanak adalah fitrah semula jadi manusia. Orang yang tidak beragama sekalipun menyayangi anaknya. Bahkan haiwan yang tidak berakal pun sangat sayang kepada anak dan selalu bersiap sedia melindunginya.

Islam ialah agama fitrah. Maknanya, ajaran-ajaran Islam sejalan dengan fitrah manusia yang cinta dan kasih kepada kanak-kanak. Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa bukan hanya menyediakan nafkah zahir bagi anak-anak, tetapi juga mewajibkan kedua-duanya mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

Perlakuan kita kepada anak-anak menandakan darjat iman kita. Ketinggian iman selalu beriringan dengan sikap lembut kepada anak-anak kecil. Dan kerendahan iman selalu ditunjukkan dengan sikap keras dan kasar kepada anak-anak.

Satu hari Rasulullah mencium cucunya yang bernama Hasan bin Ali. Melihat perlakuan ini, Aqra bin Habis berkata: “Saya memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.”

Rasulullah memandang wajah orang ini. Lalu baginda bersabda: “Siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istimewa

Anak-anak mendapat tempat istimewa dalam Islam. Mereka wajib dilayan dengan baik, didengar keluhan mereka dan dipenuhi keperluannya.

Setiap ibu bapa yang gagal melakukan tugasan ini dikira berdosa.

Rasulullah bersabda: “Cukuplah satu dosa apabila kita mengabaikan orang yang menjadi tanggungan kita.” (riwayat al-Bukhari)

Pada saat yang sama, Islam tidak menyukai kekerasan hati. Islam membenci manusia-manusia yang ramah apabila di pejabat, namun bersikap dingin kepada anak isterinya di rumah.

Allah SWT tidak menyukai kaki pukul walaupun ia selalu hadir dalam solat berjemaah dan sentiasa melakukan puasa sunat.

Pernah satu ketika Rasulullah menjadi imam dalam satu solat berjemaah. Apabila beliau sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya dalam masa yang cukup lama.

Selepas solat, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa tuan memanjangkan sujud? Adakah wahyu telah diturunkan kepada tuan?”

Rasulullah menjawab: “Tidak. Akan tetapi cucuku menaiki bahuku apabila aku tengah sujud. Aku membiarkannya bermain-main hingga ia puas.” (riwayat al-Nasa’i)

Hak mereka

Dalam konteks moden di mana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar, mereka mesti pandai mengatur suasana hatinya.

Mereka kerunsingan dalam pekerjaan dan ini tidak boleh mempengaruhi perilakunya apabila berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

Sepenat mana pun bekerja, kita mesti meluangkan masa untuk mereka bermanja.

Sebab bermanja dan perhatian ialah salah satu hak mereka yang wajib dipenuhi ibu bapa.

Sekali lagi, ibu bapa bukan hanya wajib memberi nafkah zahir, namun juga nafkah batin.

Teladanilah sikap para sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Thabit. Al-Zahabi menceritakan bahawa tokoh sahabat ini sangat berwibawa apabila berada di tengah masyarakat. Namun sangat kelakar apabila bersama keluarganya.

Justeru, senyumlah kepada anak sebab ia berpahala.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »