Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2013

Ibadat haji wajib sekali seumur hidup

Posted by epondok di September 30, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

Menanamkan keazaman serta merancang ibadah haji agar dapat direalisasikan adalah kemestian setiap umat Islam. – Gambar hiasan

HAJI dan umrah ialah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang cukup syarat dan berkemampuan. Ibadat ini wajib dilaksanakan hanya sekali dalam hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah) kepada sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. (Ali-Imran: 97)

Maksud mampu dalam menunaikan haji ialah mempunyai kenderaan yang membawa pergi dan balik atau cukup tambangnya. Cukup perbelanjaan ketika di Tanah Suci dan apabila balik kelak. Cukup perbelanjaan tanggungan di rumah sepanjang berada di Mekah dan selamat pergi dan pulang.

Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 196, iaitu yang bermaksud: Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah…

Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah berazam dan merancang untuk menunaikan ibadat haji.

Bagi mereka yang dapat melaksanakan pada tahun ini dan sebelumnya hendaklah bersyukur kepada-Nya atas panggilan dan lambaian Kaabah itu.

Berhutang dan bergadai harta benda untuk menunaikan ibadat haji ialah perbuatan yang tidak menepati kehendak Allah SWT. Perbandingan antara haji dan umrah. Haji dan umrah ialah ibadat yang memerlukan wang, tenaga, dan pengorbanan yang besar.

Oleh sebab itu, Islam hanya mewajibkan sekali sahaja seumur hidup. Kewajipan itu juga bersyarat, iaitu mampu, merdeka, Islam, berakal dan baligh.

Haji dari segi bahasanya adalah mengunjungi tempat yang mulia. Daripada segi istilah syarak pula haji adalah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat tertentu, pada masa tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Nabi SAW menyambut orang yang pergi haji dengan kata-kata baginda SAW: Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu dan mengganti perjalananmu. (Riwayat Ad Dainuri).

Sementara umrah pula daripada segi bahasanya ialah ziarah. Manakala menurut istilah syarak adalah menziarahi Baitullah al-Haram untuk melakukan ibadat tertentu pada bila-bila masa mengikut syarat-syarat tertentu.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa melaksanakan haji di rumah ini (Baitullah Al-Haram), tidak rafats (tidak mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan berahi atau tidak senonoh) dan tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti pada hari dilahirkan ibunya.” (riwayat Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rindu kemakmuran, ketenangan bumi Madinah

Posted by epondok di September 28, 2013

Rasulullah SAW pernah berdoa yang maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah seperti mana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih daripada itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya sejarah yang jelas terkandung dalam al-Quran. Sebelum Rasulullah SAW memasuki Madinah, ia negeri bersarangnya penyakit.
Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah buminya yang subur dan makmur. Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat terdapat pada tamar lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pada waktu pagi makan tujuh biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”

Masjid Nabawi terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua anak yatim iaitu Suhail dan Sahl.

Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama kaum Ansar dan Muhajirin.

Pahala solat di Masjid Nabawi

Sabda Rasulullah SAW: “Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti Makkah, Madinah juga adalah tanah haram. Ia menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana.

Rasulullah SAW bersabda: “Madinah adalah tanah haram, letaknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur, sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT, malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itu antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Baitullah sumber ketenangan

Posted by epondok di September 27, 2013

Ahmad Shukri Yusoff

Baitullah sumber ketenangan

Setiap Muslim impi untuk berada di hadapan Kaabah walaupun sekali

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

Allah SWT mengumpamakan Kaabah itu sebagai (al-bait) atau rumah dan tempat berehat seseorang. Perkataan (mathaabatan) memberi maksud tempat kembali. Justeru, seseorang yang pernah mengunjungi Baitullah akan merasa ketenangan luar biasa dan pasti merindui untuk kembali.
Tidak ada seorang pun yang apabila berada di hadapan Kaabah ingatannya akan tersasar jauh daripada mengingati Allah SWT. Seseorang itu juga apabila memandang Kaabah akan hilang rasa kesedihan dan rasa kesempitan daripada dadanya.

Inilah satu perasaan bagi mereka yang pernah berkunjung ke Baitullah. Ia sesuatu yang tersirat di dalam doa Nabi Ibrahim seperti firman-Nya yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37)

Kedamaian berada di Baitullah

Syeikh Ahmad Qutubuddin Shah Waliullah Abdurrahim Al Dahlawi ketika menghuraikan keindahan dan kedamaian berada di Baitullah mengatakan, “kami menyaksikan sendiri dengan jelas seolah-olah Baitullah itu dipenuhi dengan kekuatan sifat malaikat.”

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tawaf di rumah ini dalam masa genap seminggu dan bersembahyang dua rakaat, maka mereka ini boleh disamakan dengan memerdekakan seorang hamba. Dan sesungguhnya seseorang yang tidak meletakkan kaki dan tidak mengangkatnya melainkan ditulis oleh Allah SWT, maka satu kebaikan untuknya dan Tuhan menghapuskan satu kesalahan serta mengangkatnya satu darjat.” (Kitab Kanzu Ummal)
Kelebihan tawaf mempunyai dua rahsia. Pertama, kelebihan ini seperti mengharungi dalam rahmat Allah SWT dan belas kasihan malaikat serta tanggapan kepada-Nya. Sifat khusus yang terhampir adalah mengingati-Nya.

Kedua, seseorang yang melaksanakan suruhan Allah SWT dengan penuh keimanan dan mengiktiraf janji-Nya dengan cara menyatakan serta menerangkan keimanannya kepada Allah SWT.

Sehubungan itu, antara hikmah yang diraikan dalam ibadat haji ialah mengagungkan Baitullah sebagai salah satu syiar Allah SWT. Mengagungkan Baitullah bererti mengagungkan Allah SWT.

Kedua, manifestasi perpaduan daripada perhimpunan umat Islam yang datang dari jauh dan dekat supaya mereka dapat berkenalan, mengambil faedah dari hukum Allah serta menzahirkan kekuatan umat Islam.

Ketiga, menzahirkan persamaan agama Tauhid pada perkara yang diwarisi oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai pemimpin agama untuk bangsa Arab dan Rasulullah SAW diutuskan bagi menzahirkan agama Islam ini serta meninggikan kalimah-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim.” (Surah Al-Hajj, ayat 78)

Perkara ibadah daripada dua nabi ini banyak diwarisi seperti dalam amalan ibadah haji. Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu berhenti di tempat ibadah kamu (saie). Maka sesungguhnya kamu mewarisi daripada warisan bapa kamu, Ibrahim.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Orang Jahiliah mengerjakan haji tetapi amalan haji itu ditambah dengan amalan yang bukan berasal daripada Nabi Ibrahim. Amalan haji itu mengandungi perbuatan dan perkataan syirik seperti mengagungkan berhala Isaf dan Nailah.

Talbiah lambang ketauhidan

Mereka memuja dan menyembelih untuk berhala mereka. Kata-kata syirik terdapat dalam talbiah mereka sedangkan lafaz talbiah itu melambangkan ketauhidan, ketaatan dan ingatan kepada Allah SWT.

Oleh sebab orang Jahiliah mengagungkan berhala, maka Nabi Muhammad SAW memasukkan kalimah ‘lasyarikalahu’ yang bermaksud tiada sekutu bagi-Mu ke dalam lafaz itu untuk menolak dan membezakan antara orang Islam dengan orang Jahiliah.

Orang Islam digalakkan memohon keredaan Allah SWT, syurga, meminta perlindungan daripada azab neraka.

Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana orang Islam yang mengucapkan talbiah melainkan mengucap juga talbiah apa yang berada di kanan dan di kiri termasuklah batu, kayu atau tanah sehingga dia meninggalkan tempat itu.” (Riwayat Tarmizi)

Golongan Jahiliah pada masa dulu tidak gemar berniaga pada musim haji kerana menganggap perniagaan itu akan mencacatkan keikhlasan amalan mereka. Maka, turunlah firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) daripada Tuhanmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 198)

Mereka menganggap mengerjakan haji tanpa membawa apa-apa bekalan adalah sesuatu yang dituntut dan mendakwa mereka adalah orang yang bertawakal.
Hakikatnya, mereka sangat melampau dan menyusahkan orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berbekallah, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kebaikan Sujud mengikut kajian Sains

Posted by epondok di September 26, 2013

SYAHIDATUL AKMA L DUNYA

SUJUD adalah salah satu rukun solat dan amalan yang paling disukai ALLAH sebagaimana dalam satu hadis daripada Huzaifah bahawa Rasulullah SAW telah berkata, “Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh ALLAH daripada Dia melihat hambaNya itu dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah.” (Riwayat Tabrani)

Mulianya sujud di sisi ALLAH

Sujud, menundukkan kepala kepada ALLAH dengan meletakkan kepala di bumi dan menganggap diri hina.

Penulis buku keagamaan Karya Bestari, Dr Yazid Abdul Manap menjelaskan, dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW berkata,

“Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi SAW menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung jari.

“Dalam satu riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW berkata, “Seorang hamba yang paling dekat dengan ALLAH iaitu ketika sedang sujud. Kerana itu, perbanyakanlah berdoa ketika anda sujud.” Dalam satu riwayat ada mengatakan bahawa ALLAH mengangkat Nabi Ibrahim ke maqam yang tinggi dan menjadikan beliau ‘kawan karib ALLAH’ kerana Nabi Ibrahim lama dalam bersujud.

“ALLAH telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam yang dalamnya terkandung 17 rakaat dan 34 kali sujud. Setiap rakaat solat mengandungi dua kali sujud,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, ketika Nabi SAW sampai ke langit ketiga sewaktu Israk dan Mikraj, Baginda SAW melihat para malaikat sedang bersujud selama-lamanya. Apabila Baginda SAW memberi salam kepada malaikat tersebut, semua malaikat bangun daripada sujud dan menjawab salam Baginda SAW.

Ini menunjukkan kemuliaan sujud di sisi ALLAH kerana para malaikat dan para Nabi turut bersujud.

Sujud bantu jantung rehat

Sesungguhnya sujud mempunyai 1001 hikmah yang menakjubkan. Dalam solat, cara bersujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu semua anggota sujud menyentuh bumi dan jari kaki dibengkokkan.

Yazid berkata, keadaan ini memanjangkan umur jantung dan mengelakkan pengecutan salur-salur darah yang membawa kepada penyakit arteriosklerosis. Kadar denyutan yang paling rendah berlaku disebabkan kedudukan kepala yang lebih rendah daripada jantung ketika sujud.

“Pada keadaan ini jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah ke bahagian otak di kepala kerana aliran darah dipengaruhi oleh daya tarikan graviti semula jadi.

Ketika ini lebih banyak darah mengalir ke otak dan menyebabkan otak menerima bekalan oksigen yang dibawa melalui darah.

“Otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas kerana mendapat bekalan oksigen yang banyak.

Peter Russell dalam bukunya The Brain Book mengatakan kedudukan kepala di bawah meningkatkan kemampuan otak sebanyak 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat. Dalam buku How to Increase Your Intelligence, Winger mengatakan kemampuan otak bertambah pada kedudukan kepala di bawah kerana peningkatan oksigen,” katanya.

Dalam satu hadis daripada Wail Ibnu Hajar dia berkata, “Aku melihat jika Rasulullah SAW sujud, Baginda SAW meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.

Jika bangun, Baginda SAW mengangkat kedua tangan sebelum kedua lutut.”

Menurutnya, apabila seseorang menjatuhkan diri untuk sujud dengan kedua lututnya maka dia sebenarnya menjaga keseimbangan belakang badan dan tulang belakang serta menjaga lengkungannya.

Ini melindungi diri dari kemungkinan berlaku penyakit tergelincir tulang rawan.

Perbanyakanlah sujud

Memanjangkan masa sujud mampu mengembangkan unsur daya tahan otot terutama bagi otot-otot lengan dan leher. Ketika sujud dan bangun daripada sujud bahu, dada, leher, perut dan punggung.

Pergerakan otot ini akan menjadikan otot lebih kuat dan elastik dan akan memastikan kelancaran perjalanan darah. Inilah hikmah mengapa Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya untuk memperbanyakkan sujud dan memperbanyakkan doa dalam sujud.

Ketika turun bersujud tulang dada kita terangkat dan mara ke hadapan menyebabkan rongga dada kita membesar dan paru-paru akan mengembang bagi menghirup udara bersih.

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Otot dan kumpulan urat juga turut membesar dan kuat bagi membantu pengaliran darah untuk memberi tenaga ke seluruh tubuh badan.

Hikmah sujud untuk wanita hamil

Ketika sujud wanita meletakkan perutnya pada kedua pahanya. Keadaan ini tidak menghasilkan penguatan pada otot-otot perut wanita. Syaikh Jalal Muhammad Syafi’i mengatakan wanita memerlukan otot-otot yang lentur dan mudah memanjang pada bahagian perut.

Ini supaya otot-otot memanjang ketika hamil terutama pada bulan-bulan terakhir sebelum bersalin. Wanita tidak memerlukan penguatan otot-otot perut seperti lelaki.

“Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.

“Banyak kajian perubatan moden membuktikan bahawa gerakan badan semasa solat banyak memberikan manfaat bagi ibu hamil. Ketika wanita bersolat, gerakan sujud dan rukuk secara semula jadi akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini kerana keperluan sel-sel rahim dan ovari seperti sel-sel limpa yang menyedut banyak darah,” kata Yazid lagi. Menurutnya, bagi wanita yang hamil, rahim memerlukan darah yang cukup agar janin mendapatkan gizi yang cukup dan seimbang.

Jika seorang wanita hamil sujud ketika solat, akan membantunya membawa darah yang cukup ke janin. Keadaan ini amat baik bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan. Setiap yang ALLAH perintahkan atau larang pasti terdapat hikmah atasnya.

Solat adalah kewajipan ke atas mukmin lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun bagi wanita yang haid diharamkan mengerjakan solat.

Kajian pakar perubatan membuktikan gerak badan dan otot dalam solat berbahaya bagi wanita haid. Bagi wanita yang bersolat, posisi ketika sujud dan rukuk akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini mengakibatkan kehilangan darah bersih bersama darah haid secara terus menerus selama waktu haid. Kehilangan darah secara terus menerus ini mengakibatkan wanita lebih mudah terkena lelah, kadar emosi yang turun naik serta terkena penyakit anemia (kurang darah) kerana kehilangan mineral zat besi.

Jika wanita haid menunaikan solat, zat ketahanan tubuh akan hancur. Seseorang wanita yang bersolat ketika haid akan kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan mengakibatkan kehilangan sel darah putih.

Keadaan ini mengakibatkan seluruh organ tubuhnya seperti limpa dan otak akan mudah diserang penyakit. Mungkin inilah sebab wanita dalam haid dilarang bersolat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

5 cara berfikir yang bermanfaat

Posted by epondok di September 25, 2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, penulis ingin mengajak perbincangan berkenaan dengan galakkan untuk sama-sama kita menjana akal, untuk berfikir. Inilah yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Adapun memikirkan ayat-ayat tentang kekuasaan Allah, dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya malam dan siang serta kejadian manusia itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di bumi bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat? (al-Zariyat: 20-21)

Keistimewaan ciptaan Allah SWT yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akal yang membolehkan manusia berfikir dan mendapat hidayah ke arah yang benar dan betul dengan taufik Allah SWT.

Berfikir adalah aktiviti menggunakan maklumat yang sedia ada dan diketahui untuk mengenali hakikat sesuatu yang belum diketahui.

Selagi maklumat tersebut menepati syarat yang benar, selagi itulah ia menghasilkan natijah yang baik.

Adapun maklumat dan pengetahuan itu benar dan tepat, ia akan mendorong seseorang ke arah keperibadian yang mulia dan beramal soleh yang membawa mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Manusia ialah makhluk yang tidak boleh dikuasai dengan paksaan semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh dibentuk dan dipimpin melalui pemikiran dan prinsip nilai dan harga diri.

Justeru, apabila manusia mengamalkan nilai-nilai tersebut maka seluruh tingkah laku dan akhlak mereka menjadi cemerlang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berfikir ialah menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu mempertimbangkan baik-baik dan sebagainya.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan akal fikiran untuk mencapai kepada matlamat kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan fikiran yang bernas bersumberkan wahyu Ilahi dan petunjuk Nabi. Begitu juga pengalaman orang-orang soleh sudah tentu dapat menyelesaikan banyak kemelut kehidupan.

Bukan sekadar itu sahaja, tetapi ia boleh melonjakkan seseorang untuk merentasi masa dan kemajuan tamadun dengan pantas. Ini bermula dengan fikiran dan langkah yang pertama akan dapat melahirkan dan merealisasikan perkara yang dianggap mustahil pada hukum adat. Itulah kekuatan fikiran.

Abu Laith berkata: Jika seseorang ingin mencapai fadilat tafakur, maka hendaklah berfikir dalam lima cara.

1. Memikirkan ayat-ayat yang membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah.

2. Memikirkan nikmat pemberian Allah.

3. Memikirkan pahala yang dijanjikan oleh Allah.

4. Memikirkan seksaan hukuman Allah.

5.  Memikirkan apa yang diredai dan dimurkai oleh Allah.

Ada juga pendapat: Ala’ itu tibanya nikmat, dan na’ma itu terhindarnya bala. Firman Allah yang bermaksud: Jika kamu akan menghitung nikmat Allah nescaya tidak terhitung. Maka apabila seorang memikirkan nikmat-nikmat Allah akan timbul rasa cinta kepada para walinya, maka memikirkan yang demikian menambah kerajinan, ketangkasan beribadat dan taat.

Malah apabila memikirkan azab yang telah diperingatkan Allah pada orang-orang yang kafir, maka itu akan menimbulkan rasa takut sehingga lebih ringan untuk meninggalkan segala larangan Allah.

Adapun kebaikan Allah ketika menutupi dosa-dosanya dan tidak terburu-buru menyeksa, bahkan masih tetap dipanggil supaya bertaubat, maka memikirkan yang demikian ini menimbulkan rasa malu pada Allah SWT.

Apabila seorang memikirkan yang lima ini, maka ia termasuk dalam golongan orang yang disebut dalam hadis Nabi SAW: “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadat satu tahun. Dan jangan berfikir selain yang tersebut itu, kerana timbulnya fikiran pada yang lain-lain itu hanya berupa was-was belaka.”

Apabila fikiran manusia berkembang, ia menyebabkan daya tafakur manusia berkembang sama. Oleh itu, wujud kepelbagaian dalam kejadian dan kehidupan. Manusia cenderung mengambil perspektif dalam berfikir.

Daya tafakur menyebabkan manusia bersikap kreatif dan kreativiti manusia melakukan rekaan dan gubahan menyebabkan fikirannya berkembang dan memberi manfaat kepada yang lain. Sekiranya fikiran manusia membeku tidak akan ada kemajuan dan perubahan dan ia menyebabkan pemikiran menjadi beku dan kadang-kadang jumud.

Semoga Allah memberi kepada kita kelapangan dalam hidup, untuk menjadi hamba Allah yang soleh, yang sentiasa menjana akal fikiran kearah kebaikan. Amin

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

7 tanda taubat diterima

Posted by epondok di September 24, 2013

Taubat yang benar dan diterima Allah SWT itu ada tanda-tandanya yang dapat dilihat.

Pertama, selepas bertaubat, dia lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Selalu menyesal

Kedua, hatinya selalu dihiasi rasa takut kepada Allah SWT, tidak pernah berpisah dengan-Nya siang dan malam sehingga ia mendengar malaikat berbicara pada ketika mencabut nyawanya seperti firman

Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Ketiga, selalu menyesal kepada Allah SWT, penyesalan yang datangnya dari lubuk hati, menghadap Allah SWT dengan rasa malu, takut dan hina.

Keempat, merasa dan menyedari buruknya perbuatan dosa dan bahayanya.

Bahayanya perbuatan dosa antaranya ialah menyempitkan hati, wajah menjadi suram, urusan menjadi sulit, malas beribadat, dibenci oleh ramai manusia, badan menjadi lemah, terbiasa melakukan perbuatan dosa, hilangnya rasa malu, berkurangnya nikmat hidup, hidup sengsara, mati su’ul khatimah dan mendapat seksa di akhirat.

Kelima, menjauhi dan meninggalkan kawan-kawan yang berperangai buruk kerana seseorang akan selalu mengikuti kebiasaan temannya. Allah SWT mengingatkan akibat berkawan dengan mereka.

Firman Allah SWT: “Dan Allah ingin menerima taubatmu, sedangkan orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran).” (Surah an-Nisa’, ayat 27)

Justeru, berhati-hatilah dengan kawan-kawan yang berperangai buruk, berpalinglah dari mereka dan ikutilah selalu jalan orang soleh. Ibn Atha’illah berkata: “Janganlah kamu berteman dengan seseorang yang keadaannya tidak membuatmu terdorong untuk berbuat baik dan ucapannya tidak membimbingmu menuju Allah.”

Elak dosa kecil

Keenam, tidak menganggap remeh dosa-dosa kecil seperti melihat perempuan yang bukan mahram dan bersalaman dengannya. Bilal bin Sa’ad berkata: “Jangan kamu melihat kecilnya dosa yang kamu lakukan tetapi lihatlah pada besarnya yang kamu langgar perintah-Nya.”

Ketujuh, melenyapkan segala sesuatu yang menjadi sebab berlakunya maksiat seperti majalah lucah dan sebagainya. Jika tanda-tanda itu ada dalam diri saudara, Insya Allah taubat saudara diterima Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah tidak ikhlas jika niat mahu dipuji

Posted by epondok di September 23, 2013

Oleh Dr Burhanuddin Jalal

Penghayatan Islam secara keseluruhannya hanya dapat dibentuk apabila terdapat kesatuan dalam penghayatan akidah, ibadah dan akhlak. Aspek ini penting kerana seseorang itu akan berubah kefahaman, perasaan dan tingkah lakunya ke arah yang lebih baik apabila mendalami ilmu.

Ini selaras saranan al-Quran dan hadis supaya setiap individu Muslim meningkatkan ilmu pengetahuan. Aspek akidah memang mempunyai hubungan yang kuat dengan aspek ibadah kerana seseorang yang beribadah kepada Allah SWT wajib mengakui keesaan Allah SWT pada zat serta sifat-Nya.
Ibadat yang disertai dan dicampur dengan syirik kepada Allah SWT, tidak akan diterima berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga.” (Surah al-Nisa’, ayat 36)

Begitu juga hubungan antara akidah dengan akhlak, yang saling berhubung kait antara satu sama lain bagi membentuk peribadi Muslim. Sifat ikhlas dalam beribadah iaitu suci hati melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan menjauhkan segala syirik.

Beribadah hendak dipuji

Orang yang beribadah kerana hendak dipuji atau takut dicela orang, maka ibadahnya tidak ikhlas kerana Allah SWT dan orang seperti ini termasuk dalam golongan yang tidak beradab kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Jika terabai aspek akidah, ibadah dan akhlak yang disebut sebagai nilai kerohanian, bererti terabai satu faktor kekuatan serta ketahanan dalam diri umat. Sejarah kalah menang umat Islam terdahulu dalam peperangan mengesahkan pentingnya iman dan kerohanian.

Kekuatan inilah yang melayakkan tentera Islam mendapat pertolongan Ilahi (bantuan malaikat) dalam Perang Badar. Namun, Allah SWT tidak menurunkan tentera bantuannya dalam Peperangan Uhud akibat penyelewengan rohaniah dalam kalangan sekumpulan tentera Islam.

Ketika umat Islam tertanya-tanya punca kekalahan di Uhud itu, Allah SWT memberikan jawapannya melalui firman yang bermaksud: “(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudian) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (Wahai Muhammad): (Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran, ayat 165)

Amirul Mukminin Umar al-Khattab dalam amanatnya kepada Panglima Saad Ibn Waqas yang sedang berhadapan tentera Kisra: “Kita tidak akan dapat mengalahkan musuh hanya dengan kekuatan bilangan dan kekuatan kita, tetapi kita hanya mungkin akan menang kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh dan ketaatan kita kepada-Nya, andainya kita juga sama seperti mereka, sama bergelumang maksiat, merekalah yang akan menang kerana kekuatan mereka memang mengatasi kekuatan kita.”

Kemerosotan rohaniah

Sejarah membuktikan unsur kerohanian telah merosot dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam akibat serangan tamadun Barat yang lebih bersifat materialistik. Malah, dalam tamadun Islam sendiri wujud masalah kemerosotan rohaniah, pemusnahan tasauf dari fiqh, pemisahan tazkiyah dari tarbiyyah dan pemisahan hakikat dari syariat.

Akibatnya, ada yang mengamalkan fikah yang sudah kehilangan makna kerohaniannya, di samping wujudnya kalangan mengamalkan tasauf menyimpang daripada fikah. Sesungguhnya pendidikan rohani bagi generasi kini memerlukan pendekatan bersepadu, mengintegrasikan rohani, ilmu dan amali.

Pembinaan watak insan Muslim perlu meliputi pembinaan jasmani dan rohani untuk memberikan ketahanan mengharungi kesusahan manakala pembinaan akliah pula bagi memberikan kecekapan merencana kehidupan.

Pembinaan rohaniah untuk mengeratkan hubungan dengan Allah SWT bertujuan memurnikan niat dan matlamat segala amal demi mencari keredaan Allah. Perkara ini bertujuan menambahkan tawakal dan rasa kebergantungan kepada Allah SWT.

Perkara ini turut diperkukuhkan oleh tokoh ulama Profesor Dr Yusof al-Qardhawi yang menyatakan bahawa ajaran Islam itu saling berkaitan dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Akidah membuahkan ibadat dan ibadat membuahkan akhlak.

Oleh itu, jika terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan dalam sistem pembinaan diri umat Islam, ia perlu diperkukuh, diperbaiki serta bimbingan yang berterusan daripada ulama serta pendakwah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cara kembali pada kebenaran

Posted by epondok di September 22, 2013

Daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dengan kamu sekalian ialah bagaikan orang yang menyalakan api. Maka serangga-serangga berterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu.

Pada hal orang itu telah berusaha menghalaunya. Dan aku telah mencegah kamu semua supaya tidak jatuh ke dalam api, tetapi kamu meloloskan (melepaskan) diri daripada tanganku.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW telah ditugaskan membawa petunjuk daripada Allah SWT dan kita selaku umatnya hendaklah menurut segala ajaran yang telah disampaikan itu kerana itulah satu-satunya jaminan kita akan terlepas daripada azab Allah di akhirat kelak dan juga mendapat keselamatan hidup di dunia.

Sesungguhnya tiada jaminan yang lebih besar selain daripada mendapat perlindungan daripada Allah yang Maha Berkuasa.

Meskipun dikatakan bahawa manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, namun tentu ada caranya supaya kita tidak terus bergelumang dengan perkara itu iaitu segera kembali kepada kebenaran dan meninggalkan kebiasaan buruk sebelumnya.

Wajib guna akal nilai baik, buruk

Ini disertai dengan meminta keampunan daripada Allah dan bertaubat. Oleh itu, setiap manusia wajib menggunakan akal fikirannya untuk menilai manakah yang baik dan buruk serta sentiasa memohon hidayah daripada-Nya supaya ditetapkan hati di atas jalan kebenaran.
Justeru, hendaklah kita sentiasa melakukan kebenaran serta mengikut jalan yang benar seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Cabaran umat akhir zaman, suka mempertikai apa yang diperintahkan kepada mereka dengan hujah yang mengikut hawa nafsu sendiri.

Daripada Ibnu Mas’ud (Abdullah), Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan (taat) dan kebaikan itu pula membawa ke syurga.
Seseorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Dan bahawa kedustaan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga ditulis (dihukum) di sisi Allah sebagai orang yang bersifat dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebenaran boleh diukur dengan kata-kata yang menepati realiti yang berlaku dan boleh diukur dengan tindakan atau pelaksanaan. Kesudahan bagi orang yang bersikap benar adalah syurga, dan kesudahan bagi pendusta adalah neraka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jahil agama punca ajaran sesat

Posted by epondok di September 21, 2013

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

AJARAN sesat didefinisikan sebagai sesuatu ajaran atau amalan dibawa oleh seseorang sama ada beragama Islam atau sebaliknya dan mendakwa ajaran tersebut adalah bersumberkan bukan ajaran Islam.

Ia bertentangan dengan al-Quran dan hadis serta bercanggah landasan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagi mengetahui perbezaan ajaran sesat, berikut adalah beberapa ciri berkaitannya:

1Kepercayaan iman atau asas akidah yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara kita seperti mempercayai wujud kitab suci lain selain al-Quran dan menafikan mukjizatnnya atau mempercayai ada kiblat selain kaabah dan lain-lain lagi.

2Mempertikaikan kebenaran al-Quran dan menolak hadis.

3Mendakwa diri sebagai nabi terakhir atau sebagai Nabi Isa serta Imam Mahadi dan sebagainya.

4Percaya bahawa agama yang harus dianuti oleh manusia adalah hasil gabungan semua ajaran agama terdapat pada hari ini.

5Mendewakan diri sendiri, ketua atau kumpulan sebagai memiliki kelebihan seperti ahli syurga, boleh menebus dosa, boleh berkahwin lebih dari empat orang wanita dan sebagainya.

6Mengadakan perkara bidaah dan pendapat baru yang bercanggah dengan dalil dalam al-Quran yang menjadi pegangan seperti mengatakan bahawa solat tidak wajib, sembahyang jumaat tidak diwajibkan, tiada puasa pada bulan Ramadan dan tidak menunaikan haji di Mekah.

7Mentafsir dan menghuraikan al-Quran atau hadis sesuka hati tanpa sebarang ilmu.

Punca ajaran sesat

Punca kepada terjebak manusia ke dalam ajaran sesat adalah kejahilan individu itu sendiri dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Kejahilan ini ditambah pula dengan wujudnya anasir-anasir perosak akidah yang mungkin berselindung di sebalik imej Islam dengan tujuan menimbulkan perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat Islam itu sendiri.

Matlamat golongan ini hanya satu, iaitu melemahkan akidah dan mengajak mereka menyertai ajaran baru yang didakwa mereka lebih sistematik dan mudah tanpa melakukan pelbagai ibadat wajib yang dituntut oleh Allah Taala sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sebagai umat Islam, apabila timbul sebarang khilaf atau kekeliruan khususnya membabitkan akidah dan kefahaman Islam, segeralah merujuk kepada pihak berkemampuan untuk menghuraikan segala kekusutan yang timbul.

Kesedaran yang tinggi dalam agama adakalanya diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan fenomena baru dalam hidup beragama menurut kesesuaian ajaran yang diperkenalkan.

Usahlah kita mudah tertipu dengan sebarang ajaran sesat atau penyelewengan agama yang seringkali muncul dalam kehidupan hari ini.

Rebut kesempatan sementara masih hidup ini dengan memperbanyakkan usaha mendalami ajaran Islam sebenar termasuk mempelajari ilmu agama dengan mereka yang bertauliah dan benar-benar berilmu.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jauhi azab muflis di akhirat

Posted by epondok di September 20, 2013

Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bertanya: “Tahukah kamu siapakah sebenarnya orang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki wang dan harta.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang nanti pada hari kiamat datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Di samping itu, dia juga pernah mencaci maki si polan ini, menuduh si polan,  memakan harta si polan ini, menumpahkan darah si polan ini dan memukul si polan ini. Maka si polan ini akan diberinya pahala kebaikan orang itu. Kemudian jika pahala kebaikannya itu habis sebelum mencukupi apa yang menjadi tanggungannya, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diambilnya untuk dipikul kepada orang yang menzaliminya, kemudian sesudah itu barulah dia dilemparkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)
Demikianlah dialog menarik antara Rasulullah SAW dengan sahabat yang diriwayatkan Imam Muslim mengenai orang yang muflis. Sahabat menjawab pertanyaan Rasulullah SAW mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan orang muflis itu. Mereka berkata, “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta.”

Orang yang rugi

Itu adalah persepsi umum, iaitu orang muflis itu, orang yang kerugian sehingga kehabisan wang dan hartanya. Namun ia berbeza dengan sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas. Dosa orang muflis itu dianggap perbuatan mazmumah dan Rasulullah SAW menjelaskan seperti berikut:

Pertama, mencaci maki orang lain. Bila seseorang mencaci-maki orang lain, biasanya akan keluarlah kata-kata yang tidak senonoh dari mulutnya sehingga mengakibatkan hilangnya harga diri orang itu.

Padahal, harga diri seseorang manusia dalam Islam sangat dimuliakan. Apabila seseorang manusia merendahkan dan melecehkan harga diri seseorang yang lain, dia pada hakikatnya melampaui kekuasaan Allah SWT.
Hal ini kerana Allahlah saja yang paling berhak merendahkan manusia yang menyekutukan-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan ketika hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 19)

Kedua, menuduh orang lain. Fitnah adalah amalan paling keji kerana fitnah lebih kejam daripada membunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana saja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang yang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Memakan harta orang lain

Ketiga, memakan harta orang lain. Perbuatan ini menimbulkan banyak mudarat kepada pihak lain, apatah lagi harta itu diambil dengan cara kasar, tidak benar dan tanpa berperasaan, termasuk amalan rasuah, lebih-lebih lagi merampas harta anak yatim adalah perbuatan yang amat dimurkai Allah SWT.

Ini adalah satu peringatan kepada pemegang amanah dana atau harta umat Islam terutama harta anak yatim, seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala”. (Surah al-Nisa’, ayat 10)

Keempat, membunuh orang lain. Islam sangat memuliakan manusia sehingga nilai nyawa seseorang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Membunuh seorang manusia adalah sama dengan membunuh semua manusia di seluruh alam semesta ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Kelima, memukul atau menganiayai orang lain. Islam sangat menjunjung tinggi jalinan persahabatan dan ikatan persaudaraan antara sesama manusia. Islam menolak permusuhan dan perbalahan sehingga terjadinya penganiayaan baik menghina mahupun memukul seseorang.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »