Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

5 Akhlak rai tetamu

Posted by epondok di Ogos 31, 2013


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Pelbagai amalan sunnah boleh dilaksana sepanjang Syawal

Syawal yang mulia ini dengan budaya masyarakat kita yang masih berhari raya, banyak sunnah nabi boleh disuburkan, termasuklah amalan memuliakan tetamu. Sepanjang Syawal, ramai yang mengambil kesempatan berkunjung ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Malah, budaya ini dimeriahkan lagi dengan jemputan ke rumah terbuka, pejabat terbuka dan tidak kurang juga restoran terbuka bertujuan menghargai pelanggan. Amalan yang dapat menghimpunkan ramai tetamu ini dapat mengeratkan hubungan, melatih serta menyuburkan kehidupan beradab.
Masyarakat beradab adalah masyarakat yang berdaya maju dan berakhlak. Masyarakat maju tetapi tidak berakhlak, tidak menjadi masyarakat beradab dan bertamadun dalam Islam.

Tambahan dalam suasana kehidupan dunia hari ini yang semakin muflis nilai, berlaku pelbagai ‘jenayah kemanusiaan’.

Justeru, nilai hormat menghormati, memuliakan orang lain, berbaik sangka, bersopan santun, berhemah, berbudi bahasa, beramanah, jujur dan sabar wajib dibangunkan bagi mengelakkan ia semakin terhakis sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun organisasi.

Muliakan tetamu

Memuliakan tetamu membawa pelbagai maksud tingkah laku yang menyebabkan tetamu berasa selesa, gembira dan dihargai. Ini termasuklah bermanis muka, berbudi bahasa, memberi layanan baik dan mesra bertujuan untuk saling mengenali.
Mengeratkan silaturahim, menziarahi, menjamu, melembutkan hati dengan mengikis sifat sombong, kikir serta bersedekah dan memberi hadiah. Semua amalan ini mengukuhkan nilai akhlak sekali gus menyempurnakan iman.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Memuliakan tetamu telah menjadi darah daging bagi masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW. Layanan dan kasih sayang golongan Ansar kepada Muhajirin membuktikan amalan bagi sifat terpuji ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Profesor Dr Hamka dalam tafsir al-Azhar menyenaraikan lima nilai akhlak dalam memuliakan tetamu berdasarkan amalan sahabat yang dipelopori oleh Rasulullah SAW iaitu mereka menunggu kehadiran kaum Muhajirin di Madinah, menzahirkan kasih sayang kepada mereka.

Lenyap perasaan dengki

Ketiga, mereka telah mengutamakan kaum Muhajirin daripada diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri memerlukan apa yang dihulur, mereka melenyapkan perasaan dengki dan tanpa keberatan membenarkan kaum Muhajirin diberi lebih harta rampasan Bani Nadhir daripada mereka.

Kelima, mereka sanggup mengalahkan sifat kikir sehingga mencapai kemenangan akhlak. Akhlak terpuji ini telah menjadi perhatian serta ikutan kepada golongan selepas sahabat dengan doa mereka di akhir ayat 10, surah al-Hasyr.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.”

Nilai ini menjadi imej golongan yang menolong (Ansar) serta hamba Allah yang dikasihi (ibad al-Rahman). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati; dan apabila orang jahil menyapa mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.”

Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghi dalam tafsirnya, perkataan al-Haun dalam ayat ini bermaksud halus, lembut. Maksudnya, mereka berjalan dengan tenang dan sopan, bukan dengan kesombongan.

Justeru, dua imej iaitu imej golongan Ansar dan Ibad al-Rahman jika dipadukan dalam memuliakan tetamu serta memberikan perkhidmatan sudah tentu akan memberikan kepuasan kepada pelanggan, meningkatkan kualiti hubungan, kemahiran komunikasi, mengawal sifat sombong dan ego.

Kesombongan boleh menyebabkan pekerja cenderung untuk tidak mempedulikan dan menghargai orang lain, sebaliknya lebih mengutamakan diri sendiri. Mereka yang memiliki sifat ini akan terdorong untuk tidak mengendahkan pertanyaan, aduan dan keperluan pelanggan.

Malah, tidak kurang juga yang akan lebih mudah beremosi apabila berhadapan kerenah pelanggan daripada bersabar. Dalam ilmu perkhidmatan pelanggan, menunggu pelanggan, memberi layanan dengan mesra, mengutamakan mereka adalah tanda aras kualiti terhimpun dalam slogan ‘mesra pelanggan’.

Besarnya manfaat memuliakan tetamu yang juga menjadi latihan tidak formal bagi pekerja dapat difahami daripada kitab sahih Muslim, bab keutamaan bersifat lembut.

Daripada Saidatina Aishah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya lemah lembut dalam segala sesuatu akan dikira sebagai amal baik oleh Allah dan orang yang tidak berlemah lembut akan dicerca.” (Riwayat Imam Muslim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: