Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Ogos 2013

Rumah terbuka kena ikut bajet bukan untuk bermegah

Posted by epondok di Ogos 19, 2013

Dr. Mohd Shukri Hanapi

Dalam mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri, tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Ada yang mengambil kesempatan untuk mempamerkan perabot-perabot baru, pakaian yang mewah-mewah, dan barang perhiasan yang mahal-mahal untuk tatapan para tetamu yang hadir.

Apabila para tetamu yang hadir memuji kemewahan dan kecantikan perhiasan yang dimiliki oleh seseorang penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri itu, dia akan mula merasa megah dan tinggi diri dengan pujian tetamu yang hadir sehinggakan lupa untuk mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t.
Adakan rumah terbuka untuk bermegah

Hendaklah mempunyai niat yang murni iaitu untuk bersedekah, mengeratkan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai; dan untuk menghubungkan kembali talian persaudaraan yang mungkin telah lama terhakis atau renggang.

Mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri dengan tujuan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga diri adalah jelas dilarang oleh Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)” (Surah al-Qasas ayat 76).

Oleh itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, setiap umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah s.w.t. seperti bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.

Bagi golongan yang berkeinginan untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi tujuan meraikan sanak saudara dan sahabat handai, tetapi bajetnya tidak seberapa, mereka bolehlah mengadakannya mengikut kemampuan yang ada atau secara sederhana.
Islam tidak menolak apa-apa saja yang dianggap baik, asalkan tidak bertentangan dengan syarak. Dalam hal ini, janganlah kerana terlalu ingin bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, seseorang yang kurang bajet itu sanggup berhutang.

Jangan sampai berhutang adakan rumah terbuka

Dalam hal ini, kita tidak perlu malu dan segan kerana tidak mampu untuk menyediakan juadah setanding seperti orang lain. Janganlah sampai ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang akhirnya mencipta hutang baru sedangkan hutang lapuk masih belum dilangsaikan.

Sebaik-baiknya majlis rumah terbuka Aidilfitri hendaklah dianjurkan mengikut kemampuan masing-masing, besederhana dan tidak membazir. Untuk mengelakkan pembaziran, penyediaan juadah makanan perlu disesuaikan dengan jumlah tetamu yang dijemput.

Sebagai nasihat kepada para penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, mereka hendaklah mempunyai niat yang murni iaitu untuk bersedekah, mengeratkan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai; dan untuk menghubungkan kembali talian persaudaraan yang mungkin telah lama terhakis atau renggang.

Di samping itu, janganlah sama sekali lupa menjemput golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah kebakaran, kehilangan orang tersayang. Kadangkala dalam kerancakan dan keghairahan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, kita terlupa menjemput jiran tetangga dan orang miskin yang tinggal di sekeliling kita.

Carilah rahmat dan keberkatan Allah s.w.t sepanjang Syawal ini. Hindarilah daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang boleh merosakkan harmoninya sesuatu penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri ini. Bukan kekenyangan dan kemegahan yang didambakan melainkan lindungan dan syafaat Allah s.w.t yang berkekalan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kekalkan amalan soleh di luar Ramadhan

Posted by epondok di Ogos 19, 2013

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan,

Bulan Ramadhan bagi tahun 1434 Hijrah baru sahaja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada bulan Ramadhan yang lepas mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan taqwanya di sisi Allah SWT berbanding sebelumnya. Amat rugi jika proses didikan hati dan juga ruh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari  manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadhan yang telah ditunaikan hanya memperolehi rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa medapat rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT. Sabda Nabi SAW : “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada qiyamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Antara tanda-tanda sesuatu amalan dalam bulan Ramadhan itu diterima oleh Allah SWT dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada bulan Ramadhan. Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila seseorang hamba Allah yang telah melalui didikan dalam bulan Ramadhan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya di bulan-bulan lain. Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah SWT perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim tertentu sahaja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah SWT hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi jadilah hamba Allah SWT pada setiap masa dan ketika.

Pada bulan Ramadhan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar bulan Ramadhan sewajarnya ibadah puasa ini perlulah terus dilaksanakan iaitu dengan melakukan puasa-puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah SWT maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang muslim ialah amalan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Dalam hal ini Nabi SAW telah menerangkan ganjaranya dengan sabda Baginda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Sepanjang bulan Ramadhan yang lepas umat Islam telah menghidupkan malam-malamnya dengan ibadah solat sunat terawikh dan solat-solat sunat yang lain. Setelah keluar daripada bulan Ramadhan seseorang muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah-ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat-solat fardhu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajud iaitu solat pada tengah malam.

Sesungguhnya qiyamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Nabi SAW tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi SAW akan menghidupkan malam dengan ibadah solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu. Firman Allah SWT: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil: 1-3).

Kesabaran Nabi SAW dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda SAW merupakan manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka ‘Aisyah RA bertanya kepada Nabi SAW mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah SWT? Maka jawab Nabi SAW: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam-malam Ramadhan sahaja tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam-malam Ramadhan. Malah solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada bulan Ramadhan tetapi turut sama dilakukankan oleh Baginda di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Pada sepuluh malam terakhir Ramadhan Allah SWT menyediakan malam-malam keampunan kepada para hamba-Nya. Malam-malam tersebut merupakan malam-malam yang paling mulia berbanding malam-malam lain. Walaupun begitu Allah SWT menghadiahkannya 10 waktu siang yang mulia di luar bulan Ramadhan iaitu pada sepuluh awal Zulhijjah. Sabda Nabi SAW: “Tidaklah sesuatu amalan soleh itu lebih disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari ini (sepuluh akhir Zulhijjah).” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan-bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan-bulan lain. Walaupun seseorang itu membaca dan menghayati kandungan al-Quran di luar bulan Ramadhan secara sedikit demi sedikit namun ialah lebih bermakna daripada tergesa-gesa menghabiskan keseluruhan al-Quran tanpa memahaminya hanya pada bulan Ramadhan. Biarlah sesuatu amalan kebaikan dilakukan secara sedikit namun ianya perlulah berterusan. Sabda Nabhi SAW: “Lakukanlah sesuatu amalan itu dengan kemampuan kamu, sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang sahih).

Begitulah juga dengan ibadah sedekah dan infaq di jalan Allah SWT. Walaupun kita disunatkan untuk bersedekah pada bulan Ramadhan, namun sifat mulia dan terpuji ini perlulah diteruskan di luar daripada bulan Ramadhan. Bantulah saudara-saudara seagama dengan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban dan kesusahan hidup mereka. Sesungguhnya orang-orang muslim itu hidup bersaudara ibarat anggota-anggota badan yang berada pada satu jasad. Maka berilah bantuan dalam apa jua bentuk kepada saudara-saudara seagama terutamanya mereka yang ditindas seperti di Palestin, Syiria, Myanmar dan sebagainya. Sesungguhnya terdapat keberkatan pada harta-harta yang kita infaqkan di atas jalan kebaikan. Satu sedekah yang diberikan di jalan Allah melahirkan tujuh ratus balasan ganjarannya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT: “Perumpamaan mereka yang mengeluarkan harta di jalan Allah seperti sebutir benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengandungi seratus biji, dan Allah melipat gandakan (rezeki-Nya) bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah yang Maha Luas (rahmat kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261).

Sesungguhnya rahmat dan pengampunan Allah SWT itu sentiasa terbuka bagi seluruh umat Islam. Pada bulan Ramadhan setiap hamba Allah mengharapkan rahmat dan pengampunan daripada-Nya melalui doa yang dipenuhi dengan seribu satu permintaan dan pengampunan. Namun rahmat dan pengampunan Allah SWT tidak hanya ada pada bulan Ramadhan malah pada setiap ketika dalam kehidupan manusia. Jika doa seseorang muslim yang berpuasa pada bulan Ramadhan itu diterima permintaannya sehingga beliau berbuka namun permintaannya masih tetap dimakbulkan pada setiap hari di waktu yang cukup mustajab doa iaitu sepertiga malam yang terakhir. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah SWT itu turun ke langit dunia  pada sepertiga malam yang terakhir lantas bersabda: Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka akan Aku berikan, sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka akan Aku makbulkan dan sesiapa yang memohon keampunan dari-Ku maka akan Aku ampunkan.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih).

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadhan yang telah kita lalui tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah (komited) di luar daripada bulan Ramadhan. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »