Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Ogos 2013

Kelebihan bersilaturahim

Posted by epondok di Ogos 18, 2013

ALHAMDULILLAH, pada ruangan kali ini dalam artikel tafsir, penulis ingin mengemukakan berkaitan pentingnya menjaga hubungan silaturahim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’: 1)

Pada hujung ayat ini, seperti yang ditafsirkan oleh Syeikh al-Maraghi: Takutlah kamu kepada Allah SWT yang menjadi tempat kamu meminta iaitu apabila seseorang berdoa. Aku mintakan untukmu kepada Allah SWT supaya kamu dapat memenuhi hajat.

Oleh yang demikian mereka mengharapkan agar Allah SWT mengkabulkan doanya. Maksud “meminta kepada Allah” ialah meminta untuk beriman kepada-Nya dengan dengan mengagungkan-Nya, iaitu dengan sebab seperti itu aku meminta kamu untuk berbuat seperti itu.

Takutlah kamu kerana mensia-siakan hak ahli keluarga. Oleh itu sambungkanlah tali kekeluargaan itu melalui perbuatan yang baik dan janganlah kamu memutuskannya.

Sebagai penguat betapa mulianya hubungan silaturahim, penulis menukilkan daripada Ibnu Abbas R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tertera di dalam kitab Taurat: Siapa yang suka usianya panjang dan rezekinya bertambah, maka hendaklah menyambung silaturahim.” (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/160) dan pada sanadnya daif)

Antara pengajaran dan inti pati yang dapat kita ambil antaranya adalah:

1. Silaturahim adalah satu perkara yang amat dituntut untuk dihubungkan. Tanpanya sudah pasti institusi kekeluargaan akan menjadi pincang dan runtuh seterusnya mengakibatkan tergugatnya keharmonian.

2. Allah SWT memerintahkan kita supaya menghubungkan silaturahim sesama kaum keluarga yang dekat mahupun yang jauh.

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan persoalannya, juga di dalam hadis-hadis Nabi SAW terutama sekali hadis-hadis Qudsinya yang sangat memberikan perhatian terhadap persoalan ini.

Kaum Muslimin sewajarnya mengambil berat terhadapnya, terutama sekali dalam zaman moden ini, masing-masing dengan dirinya sendiri, sehingga ramai daripada kalangan anak buah tidak kenal dengan kalangan anak buah yang lain.

Bagaimana keturunan kaum yang seumpama ini akan menjaga pertalian kerabatnya di masa akan datang nanti?

Antara bentuk menyambung silaturahim ialah:

1. Saling ziarah menziarahi

2.  Bantu-membantu

3.  Menolong tatkala kesempitan

4.  Melawat ketika sakit

5. Mengambil sikap cakna terhadap saudara mara

6. Melaksanakan amar makruf dannahi munkar

7. Mendidik dan mentarbiah mengikut acuan syariat Islam

Penulis menukilkan pesan yang cukup bernilai wasiat ulama dan salafussoleh antaranya adalah:

Ja’far al-Sadiq RA berkata kepada anaknya: Jangan kamu bersama dengan tiga golongan manusia ini, kerana Allah murka terhadap mereka ini, mereka ini adalah:

1. Jangan kamu bergaul dengan orang yang bermaksiat kepada Allah, kerana dia telah memutuskan tali antara dia dengan Allah.

2.  Jangan kamu bergaul dengan orang yang derhaka kepada ibu bapanya, kerana dia orang yang terlaknat.

3.  dan jangan kamu bergaul dengan pendusta, kerana dia akan mendekatkan yang jauh bagimu dan menjauhkan yang dekat daripadamu.

Justeru, marilah sama-sama kita menyambung dan mengikat tali silaturahim agar benar-benar mantap dan mendapat keredaan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa ganti wajar dilaksana segera

Posted by epondok di Ogos 18, 2013

Apakah hukum seseorang yang suka menangguh untuk qada puasa sehingga hampir kepada Ramadan berikutnya. Mohon pencerahan.

Muiz,
Gombak, Selangor.
Dibandingkan dengan bulan lain, pada Syaaban Nabi SAW lebih banyak berpuasa sunat. Aisyah meriwayatkan Nabi SAW tidak pernah melakukan puasa sebulan penuh selain Ramadan.

Rasulullah SAW biasa berpuasa setiap bulan. Aisyah berkata: “Rasulullah SAW pernah berpuasa hingga kami mengira Baginda ini tidak pernah berbuka, dan pernah juga Baginda tidak berpuasa (sunat) hingga kami mengira Baginda tidak pernah berpuasa. Dan kadang-kadang Baginda melakukan puasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang berpuasa selama tiga hari setiap bulan, khususnya pada hari putih (bertarikh 13, 14, 15) setiap bulan Qamariyah, dan kadang-kadang Baginda selang sehari iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka seperti yang dilakukan Nabi Daud.”

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud iaitu Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi SAW juga sering berpuasa pada Syaaban seakan-akan perkara itu persiapan menghadapi Ramadan. Adapun berpuasa selama beberapa hari tertentu tidak terdapat riwayatnya sama sekali.

Seseorang Muslim baik lelaki atau wanita yang tidak dapat menjalankan puasa Ramadan selama beberapa hari kerana sakit, haid atau uzur, wajib mengqada semuanya jika ada kesempatan pada bulan dalam setahun sebelum datangnya Ramadan.
Segera lepas tanggungan

Oleh itu, dalam syarak ada kelapangan untuk mengqada puasa Ramadan yang tidak dapat dikerjakannya itu. Ia boleh qada puasa pada Syawal atau bulan sesudah itu.

Allah SWT berfirman: “Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Disebabkan manusia tidak mengetahui ajalnya maka bersegeralah mengqada puasa adalah sikap berhati-hati bagi dirinya. Di samping itu, kehidupan akhiratnya lebih terjamin dengan bersegera melepaskan tanggungannya.

Jika dia menangguhkannya kerana sesuatu uzur, contohnya cuaca sangat panas, keadaannya lemah atau sangat sibuk sehingga tidak dapat mengqada puasanya, maka ia boleh menqadanya hingga menjelang Ramadan berikutnya.

Apabila datang Syaaban sedangkan dia belum dapat mengqada puasanya maka hendaklah ia mengqadanya pada Syaaban kerana ia adalah peluang terakhir. Mengqada puasa pada Syaaban pernah dilakukan oleh Ummul Mukminin Aisyah.

Meskipun ada kesamaran bagi sebahagian orang mengenai masalah ini, tetapi kesamaran mereka tidak beralasan sama sekali daripada syarak. Kerana semua bulan adalah kesempatan untuk mengqada puasa Ramadan.

Contoh seseorang yang sakit pada Ramadan hingga Ramadan berikutnya. Dalam tempoh itu ia tidak dapat mengqadanya kecuali dengan sangat sukar dan sengsara. Qada puasa baginya boleh ditunda hingga sesudah Ramadan berikutnya apabila kesihatannya telah pulih kembali.

Allah SWT mengakhiri ayat puasa dengan firman-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »