Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Ogos 2013

Cara terbaik Khatam al-Quran

Posted by epondok di Ogos 9, 2013

khatam al-Quran mempunyai banyak kelebihan, apatah lagi pada bulan Ramadan. – Gambar hiasan

HARI berlalu dengan pantas. Ramadan berbaki sehari sahaja lagi. Banyak masjid dan surau telah mengadakan majlis berbuka puasa sekali gus melakukan majlis khatam al-Quran.

Persoalannya apakah fadilat yang perlu direbut kepada mereka yang khatam al-Quran. Secara khususnya al-Quran amat dihormati bermula daripada menyentuhnya yang memerlukan suci daripada hadas atau mestilah berwuduk, dibaca dengan bertajwid tidak seperti membaca akhbar mengikut selera dan khatamnya juga diadakan satu majlis.

Qatadah pernah berkata apabila Anas Ibnu Malik hendak khatamkan al-Quran, beliau akan memanggil ahli keluarganya dan berdoa (riwayat al-Darimi).

Atas asas inilah kebanyakan daripada masyarakat kita mengadakan majlis sempena khatam al-Quran.

Para ulama di zaman dahulu mempunyai jadual yang rapi membaca al-Quran. Bermula membacanya pada malam jumaat dan khatamnya pada malam khamis. Ini bagi mereka yang mengamalkan bacaan al-Quran dan khatamnya seminggu sekali.

Imam al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ Ulumiddin menyatakan paling afdal khatam al-Quran sama ada malam atau siang hari ialah jika di waktu siang, afdalnya pada hari Isnin di dua rakaat solat fajar atau selepasnya dan pada waktu malam pula ialah malam Jumaat pada solat Maghrib atau selepasnya. Ini bermaksud kedua-dua keadaan tersebut ialah bermulanya waktu malam atau bermulanya waktu siang.

Amalan ulama dahulu apabila hendak khatam al-Quran mereka akan mencari waktu yang sesuai bukan khatam ikut suka sahaja. Seorang tabie Talhah ibnu Masraf ra berkata, barang siapa khatam al-Quran di siang hari pada masa mana sekalipun, malaikat berdoa untuknya sehingga petang. Dan jika khatam pada waktu malam, malaikat berdoa untuknya sehingga waktu pagi.

Amat beruntunglah mereka yang khatam al-Quran di permulaan pagi dan permulaan malam kerana tempoh doa malaikat untuknya adalah panjang.

Hakikatnya khatam al-Quran mempunyai banyak kelebihan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Amalan yang dilakukan bersempena khatam al-Quran ialah berdoa dan istighfar. Selain itu hendaklah menyaksikan kebesaran Allah SWT dan merenung kelemahan diri sebagai hamba Allah.

Betapa manusia perlu kepada kuasa Allah dan betapa rahmatnya Allah memberi banyak nikmat kepada hamba sama ada yang melakukan kebaikan atau kejahatan.

Perkara penting yang ditekankan ulama ialah sejurus khatam surah al-Nas dibaca selepasnya dengan surah al-Fatihah dan lima ayat surah al-Baqarah. Amalan ini diriwayat daripada Ibnu Abbas daripada Ubai Ibnu Ka’ab ra daripada Rasulullah SAW.

Apabila Baginda SAW membaca surah al-Nas dibacakan bersama surah al-Fatihah dan permulaan surah al-Baqarah sehingga ayat kelima. Kemudian Baginda berdoa dan beredar.

Ibnu al-Jazari ketika mengulas hadis ini berkata, amalan tersebut diamalkan seluruh daerah Islam dan dinamakan al-Hal al-Murtahil yang bermaksud selesai membaca hingga akhir al-Quran dan berusaha untuk khatam kali berikutnya. Bermaksud pembaca sentiasa berjalan menuju kepada Allah.

Setiap tahun siaran langsung solat terawih dari Mekah telah menyaksikan ramai umat Islam berterawih di sana. Pada malam khatam al-Quran, jumlah yang hadir boleh dikatakan menyamai jumlah musim haji. Imamnya akan membaca doa khatam al-Quran dalam tempoh tidak kurang setengah jam memohon kesejahteraan umat Islam dan kejayaan Islam.

Akhirnya, rebutlah peluang sempena majlis khatam al-Quran yang diadakan di tempat tuan-tuan. Banyak rahmat Allah dan kelebihan yang diturunkan semoga rahmatnya berkekalan bersama kita. Perlu juga diingatkan khatam al-Quran bukan bermaksud sudah cukup membaca al-Quran untuk tahun ini tetapi teruskan membaca al-Quran. Amalkan yang dibuat oleh Rasulullah al-Hal al-Murtahil.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »