Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 Ogos 2013

Perisai daripada api neraka

Posted by epondok di Ogos 7, 2013

KEHIDUPAN begitu singkat sekali. Hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun ke tahun silih berganti. Namun sesekali kita harus bertanya kepada diri kita sebanyak mana bekalan yang telah diisi dan akan dibawa ke negeri akhirat? Adakah dosa-dosa kita telah diampunkan oleh Allah? Jika kita memohon keampunan dengan benar-benar dan penuh tawaduk, insya-Allah dosa kita akan diampunkan-Nya kerana Allah itu Maha Pengampun.

Dengan Ramadan yang masih berbaki ini, jadikanlah puasa kali ini sebagai perisai kepada api neraka, sebagaimana perisai kita sewaktu bertempur dengan musuh. Perisai diibaratkan sebagai pertahanan diri bagi menghadapi segala ancaman dan juga cubaan pada masa depan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu adalah benteng yang akan dibentengkan oleh hamba-Ku dan api neraka.” (riwayat Tabrani)

Sebagai pertahanan ketika berpuasa elak daripada berdusta, mengata, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Hati, lidah, mulut, mata dan telinga serta pancaindera yang lain juga menjadi pertahanan daripada godaan syahwat yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Jika tidak dikawal segala perbuatan ini, Nabi SAW mengingatkan: “Mungkin hasil yang diraih seseorang yang berpuasa hanya lapar dan dahaga dan mungkin hasil yang dicapai seseorang yang solat malam (qiamullail) hanyalah berjaga.” (riwayat Ahmad dan Al Hakim).

Hindari perbuatan dosa walaupun sekecil mana sekalipun, kerana di sebelah kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang sentiasa mencatat segala amalan dan perbuatan kita. Ingatlah dunia ini apabila dibandingkan dengan akhirat adalah bagaikan seseorang di kalangan kamu yang mencelupkan jarinya ke air laut, lalu diangkatnya, kemudian lihatlah apa yang tinggal.

Berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan, mengharap pahala kerelaan Allah, semoga diampuni dosa-dosa yang telah lalu. Inilah pertahanan dan perisai yang harus ada dalam diri dan jiwa setiap umat Islam.

Manusia yang beriman tetap berkeadaan baik selama mana mereka berpuasa. Tinggalkan ucapan sia-sia dan perbuatan dusta waktu berpuasa.

Jadikan puasa perisai kepada segala kejahatan, kemungkaran, perkara yang sia-sia, ucapan dan syarahan yang boleh menyakiti orang lain.

Dengan berpuasa kita dapat merasakan haus dan lapar serta dapat menghayati kesusahan, kelaparan dan kemiskinan orang lain. Puasa dan solat mendidik hati dan jiwa ke arah menjadi insan Muslim yang benar-benar soleh dan bertakwa.

Cari dan dapatkan rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka sempena Ramadan ini. Hidupkan malam Ramadan dengan solat, memperbanyak istighfar, solat terawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan amal dan sedekah, melipatgandakan ibadah pada 10 malah akhir Ramadan, memperbanyakkan amal sedekah ketika bertemu Lailatulqadar.

Jadikan amalan di bulan Ramadan perisai daripada api neraka. Sesungguhnya, di dalam syurga terdapat pintu Al-Rayyan, dari pintu inilah orang yang berpuasa akan masuk ke syurga pada hari kiamat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuaskan dahaga). Maka pada hari kiamat akan dipanggil: Hai! Mana orang yang berpuasa? Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada mereka ditutuplah pintu syurga itu. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jadikan idaman balasan syurga sebagai usaha meningkatkan ibadah dalam bulan Ramadan terutama sepuluh hari terakhir Ramadan. Selain menghidupkan malam-malam Ramadan dengan membangunkan keluarga untuk melakukan pelbagai ibadat solat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, dan sebagainya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Ramadan afdal mohon keampunan

Posted by epondok di Ogos 7, 2013

Organisasi adalah institusi yang didukung oleh pekerja dan majikan untuk mencapai matlamat berasaskan pengurusan kasih sayang. Ia ibarat rumah kedua bagi pekerja yang perlu dipelihara kesejahteraannya.

Justeru, pada Ramadan ini, setiap amalan juga perlu dihasratkan untuk mencapai kesejahteraan, kejayaan dan keberkatan termasuk kerja. Antaranya melalui amalan berdoa, munajat dan pengharapan.
Ibadat kita kepada Allah SWT dan hanya Dialah memakbulkan segala hasrat serta impian. Malah yang tidak berdoa kepadaNya adalah hamba yang sombong, rugi dan hina.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina. (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Tuntutan berdoa seperti sabda Rasulullah SAW: Keadaan seseorang paling dekat dengan Allah adalah ketika sujud maka perbanyakkanlah doa. (Riwayat Muslim)

Doa adalah senjata bagi orang beriman yang menjadi sumber kekuatan. Dalam bekerja, manusia amat memerlukan kekuatan sama ada jasmani, rohani mahupun mental. Kekuatan bertapak dalam jiwa menyuburkan hati supaya bersih, luhur, ikhlas, cekal, bersemangat dan baik.

Pelihara silaturahim
Majikan dan pekerja yang memiliki kekuatan ini akan berjaya memelihara hubungan silaturahim dengan berkesan iaitu majikan menghargai pekerja, pekerja menghormati majikan, merasa bangga dengan organisasi dan melahirkan semangat, kesungguhan bekerja serta ketaatan kepada Allah SWT.

Namun, kesilapan dan perselisihan juga berlaku di tempat kerja, tempat kita luangkan banyak masa serta tenaga itu sudah tentu banyak kekhilafannya.

Berlaku suasana kerja tidak harmoni disebabkan hubungan antara majikan dengan pekerja seperti kurang bertimbang rasa, tidak bertanggungjawab, panas baran, khianat, hasad, sombong, buruk sangka dan kesalahan lidah seperti mengata, memfitnah dan mengadu domba.

Justeru, wajarnya kita saling berdoa, mendoakan dan bermaafan supaya mendapat keampunan. Dalam banyak perkara yang boleh kita mohon, memohon keampunan paling afdal pada Ramadan.

Saidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang akan baginda pohon sekiranya mendapat malam Lailatul Qadar. Lalu jawab baginda: Aku akan berdoa: Ya Allah Engkaulah Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunilah aku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, selain berdoa untuk keampunan diri sendiri, doakan juga keampunan untuk pekerja dan majikan. Selain itu, ajaran Islam menggalakkan kita saling mendoakan kesejahteraan dan kebaikan antara satu sama lain serta dijauhkan daripada segala keburukan atau kemudaratan.

Sifat majikan dan pekerja saling mendoakan ini perlulah dihebahkan kerana ia akhlak terpuji dan perlu menjadi budaya dalam organisasi.

Doa majikan kepada pekerja dan pekerja kepada majikan adalah suatu ibadat dan pengerat silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya doa itu adalah ibadat. (Riwayat Imam Ahmad)

Terfikirkah jika kita boleh mendoakan saudara Islam yang tertindas, dalam kesusahan dan bergolak di negara lain yang jauh dan tidak dikenali, tetapi mengapa tidak juga mendoakan mereka yang berada di sekeliling lingkungan hidup walaupun mereka dalam keadaan sejahtera.

Justeru, status orang yang berpuasa ditingkatkan Allah SWT darjatnya dan dimakbulkan doanya serta lebih afdal, maka sebaik-baiknya kita merebut peluang ini dengan saling mendoakan kejayaan bersama majikan dan pekerja dalam bulan mulia ini.

Doa tak ditolak

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak. (Riwayat Ibnu Majah)

Ini adalah sunnah Rasulullah SAW mendoakan kaum lain dan sahabat, sahabat juga mendoakan baginda.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Kaum Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan kaum Ghifar semoga Allah memberikan keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu.

Rasulullah SAW juga berpesan supaya Saidina Umar al-Khattab mendoakan baginda apabila ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Saidina Umar juga memohon Uwais al-Qarni seorang tabiin mendoakannya.

Amalan ini walaupun dilakukan secara senyap dan tidak diketahui pekerja, rakan dan majikan adalah sangat mulia dan daripada apa yang dikisahkan Rasulullah SAW, boleh menjadi penyebab seseorang masuk syurga.

Inilah juga menjadi tanda bagi pengurusan berasaskan kasih sayang yang sangat dianjurkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: Tiga orang yang doanya tidak tertolak, orang yang berpuasa sampai dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang dizalimi. (Riwayat al-Tirmidzi)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Adab anjur dan hadiri Rumah Terbuka

Posted by epondok di Ogos 7, 2013

Nik Salida Suhaila
Rumah terbuka bukan saja diadakan untuk menjemput tetamu bertandang ke rumah menikmati juadah hari raya semata-mata, tetapi juga bagi memanjangkan silaturahim sesama kerabat dan sahabat.

Menjemput mereka ke rumah atau majlis yang diadakan tidak bermakna kita tidak akan meraikan mereka pada hari atau masa lain. Ironinya, hari ini, rumah terbuka sudah menjadi satu kemestian, terutama kepada mereka yang tinggal di bandar yang pulang beraya di kampung.
Oleh kerana mereka tiada di rumah pada minggu pertama hari raya, maka mereka akan menjemput tetamu bertandang pada masa lain.

Mengadakan rumah terbuka adalah antara amalan sinonim dengan Syawal. Ia amat bererti demi silaturahim serta hubungan baik sesama manusia, bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.

Amalan berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai adalah sebahagian daripada usaha mengeratkan tali persaudaraan dan persahabatan sedia terjalin. Tetapi ada yang segan silu mengunjungi rumah sahabat handai, melainkan dijemput sewaktu mengadakan rumah terbuka.

Menjemput tetamu ke majlis yang diadakan adalah sunnah Rasulullah SAW, begitu juga memenuhi undangan. Malah, sahabat digalakkan mengadakan kenduri dengan menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat taulan untuk menyambung silaturahim.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)
Rumah terbuka banyak dianjurkan hingga ada kala lebih lima jemputan kenduri harus dihadiri dalam sehari. Melainkan ada halangan besar, undangan sudah tentu tidak akan dihampakan walaupun penat tidak terkata.

Makan dan minum hanyalah sampingan sebaliknya yang paling bermakna ialah menggembirakan tuan rumah dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan majlis mereka.

Hari ini, ada rumah terbuka dianjurkan dengan menjemput orang kaya saja. Majlis pula diadakan di hotel mewah yang menghidangkan juadah mahal dan eksklusif. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan, kerana belanja yang besar tidak menyukarkan mereka.

Namun, Islam menegaskan tidak wajar membezakan antara tetamu kaya dengan miskin, sehingga mereka diundang ke majlis berbeza, bahkan diberi layanan berkasta juga.

Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang kaya saja dan ditinggalkan orang miskin.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ada juga jemputan hanya dilakukan dengan mengirim khidmat pesanan ringkas ataupun mesej pendek melalui laman sosial ditujukan secara umum. Mala, orang yang menerima jemputan pula langsung tidak mengenali pihak menjemput.

Santunnya tentunya berlainan jika tuan rumah menjemput setiap tetamu secara lebih terhormat, berbahasa dan menjemput orang yang dikenalinya saja.

Tetamu yang menerima undangan pula harus menghadiri majlis diadakan tanpa membezakan sama ada jemputan itu datangnya dari orang yang kaya atau miskin. Dengan memahami tujuan jemputan untuk memanjangkan silaturahim, tidak sepatutnya tetamu memilih undangan.

Bahkan untuk menyenangkan hati tuan rumah juga, tetamu tidak boleh sesekali menguzurkan diri disebabkan berpuasa kerana menghadiri majlis rumah terbuka bukanlah semata-mata untuk menikmati juadah.

Jika berpuasa sunat, kita dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala sekiranya niat berbuka puasa untuk menggembirakan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan hidangan.

Sebaik-baiknya ialah merancang untuk tidak berpuasa jika menerima jemputan, melainkan puasa qada’ yang tidak boleh dilakukan pada hari lain lagi.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Sebaliknya, jika rumah terbuka diadakan di tempat yang menyediakan makanan tidak halal atau terdapat kemungkaran mengundang maksiat dan kejahatan, tidak menjadi kesalahan kita tidak memenuhi jemputan. Ia adalah lebih baik demi menjaga thiqah sebagai seorang Muslim yang hidup berlandaskan hukum dan syariat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Adab kunjungi rumah terbuka

Posted by epondok di Ogos 7, 2013

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ENAK...menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik antara amalan Rasul.
ENAK…menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik antara amalan Rasul.

SETIAP kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara ‘eksklusif’.

Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu jemputan.

Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.

Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan. Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia.

Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.

Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.

Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali

rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan persaudaraan.

Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.

Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak bermakna kita boleh ‘menyerbu’ rumah jiran kita sesuka hati.

Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan rumah dan waktunya pula sesuai.

Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.

Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak pulang, ja ngan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima kasih kepadanya atas jemputan itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antaramu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat ayat 13).

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat terserlah.

Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentang kan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya.

Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati memeluk Islam.

Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau bangsa.

“Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.

“Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.

“Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu yang hadir.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga hingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)” (Hadis Riwayat Muslim).

“Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul. Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapat kannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.

“Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi peluang kepada kita bertemu,” katanya.

Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan hubu ngan baik dengan masyarakat bukan Islam.

“Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.

“Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.

“Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir.

“Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.

“Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan, pe nganjur tidak boleh ‘memilih bulu’ dengan menjemput tetamu di kalangan yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »