Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 3 Ogos 2013

Jangan lepaskan Lailatulqadar

Posted by epondok di Ogos 3, 2013

Memasuki fasa ketiga bulan penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran berharga bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Ramadan, al-Quran dan malam al-Qadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain seperti diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Malam lailatulqadar disembunyikan

Ulama menyebut, tarikh malam lailatulqadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT supaya manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya. Ia adalah satu anugerah Allah SWT kepada umat Muhammad SAW yang tidak ternilai fadilatnya.

Rasulullah SAW bersabda: Cari malam lailatulqadar di malam ganjil pada 10 hari terakhir Ramadan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malam lailatulqadar amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehnya dan rugilah siapa melepaskannya.

Pelbagai hikmah daripada anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah, maka dianugerahkan satu peluang ibadah pada malam itu digandakan sehingga seribu bulan.
Beramal seribu bulan

Bermakna jika kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di sepuluh akhir Ramadan, kita berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama seribu bulan iaitu kira-kira 83 tahun 4 bulan.

Menjadikan kita seolah-olah menghabiskan seluruh hidup dan usia dalam ibadah. Selain kelebihan beramal, malam lailatulqadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan lailatulqadar? Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya supaya berusaha sedaya upaya mendapatkan lailatulqadar ini.

Daripada Imam Bukhari dan Muslim, Saidatina Aisyah meriwayatkan: Sesungguhnya, Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah daripada isteri-isterinya.

Orang yang beribadah pada 10 malam terakhir akan bebas daripada api neraka berdasarkan hadis sahih. Walau bagaimanapun umat Islam dituntut melakukan ibadat sepanjang malam Ramadan dengan bermunajat kepada Allah SWT.

Memohon supaya dihapuskan segala dosa, di samping berdoa untuk mendapatkan kesejahteraan hidup, rezeki berkat, ilmu bermanfaat, kesihatan yang baik kerana pada malam lailatulqadar tiada hijab untuk Allah menerimanya.

Perkemas amal ibadah

Ramadan mulia yang masih berbaki enam hari lagi, marilah kita memperkemaskan amal ibadah dan bersungguh-sungguh mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT. Hayati malam-malam terakhir Ramadan dengan beribadah penuh khusyuk

Meninggalkan sementara keseronokan dunia dengan beriktikaf di masjid sambil beribadat sepuas-puasnya. Beriman dan yakin bahawa malam lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah dilaksanakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaan-Nya. Adalah diharapkan sebelum beramal ibadat pada malam al-Qadar, bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan beristiqamah mengerjakan suruhan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Istiqamah, sabar kunci kekuatan iman

Posted by epondok di Ogos 3, 2013

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.” (Riwayat al-Bukhari)

Pertentangan antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia melakukannya sedangkan perkara mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.
Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.

Istiqamah kunci kekuatan iman

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai istiqamah dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka.

Kesabaran adalah ubat yang paling pahit, tetapi paling mujarab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Daripada Ibnu Masu’d, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu lebih dekat kepada setiap kamu daripada tali capalnya. Begitulah juga neraka.” (Riwayat Bukhari)
Taat kepada Allah akan membawa kepada syurga dan maksiat akan membawa kepada neraka. Jalan ke syurga bagi seseorang itu amat mudah hanya dengan mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan. Syurga itu dekat bagi orang soleh dan begitu juga neraka dekat bagi orang yang dimurkai Allah.

Balasan ikhlas berpuasa

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan 70 tahun lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap orang yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia di akhirat kelak.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »