Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 Ogos 2013

Perkukuh akhlak generasi muda

Posted by epondok di Ogos 1, 2013

Oleh Dr Burhanuddin Jalal

Masyarakat Islam perlu terap nilai mulia untuk mencari keredaan

Ulama bersepakat menyatakan asas penghayatan Islam perlu bermula daripada penghayatan tauhid, ibadah, akhlak dan syariat dalam kehidupan Muslim. Berleluasanya gejala keruntuhan akhlak, moral dan tingkah laku berpunca daripada rendahnya tahap keimanan dan penghayatan Islam.
Menyedari hakikat ini, setiap Muslim perlu mengetahui dengan baik perkara berhubung akidah dan ibadat. Menurut al-Sawi dalam kitabnya Ma la yasuhu al-Muslim jahluhumenyatakan, ada beberapa perkara yang tidak diberi kelonggaran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahuinya, khususnya berkaitan akidah, ibadah dan akhlak.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan bergerak kaki seorang hamba dari sisi Tuhannya sehingga ia ditanya lima perkara, umurnya ke mana ia habiskan, masa mudanya ke mana ia habiskan, hartanya dari mana ia dapat dan ke mana dibelanjakan dan ilmu ke mana digunakan.” (Riwayat Tirmizi)

Ini seperti yang telah difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mematuhi segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).

Rapuh akidah

Berdasarkan beberapa kajian dan pengamatan oleh cendekiawan Muslim menyebut ada sebahagian kecil generasi muda hari ini yang begitu rapuh kekuatan akidah mereka, khusus yang berhubung dengan perkara ghaib dan sam’iyyat seperti azab kubur, dosa serta pahala.

Selain itu, dalam aspek penghayatan ibadah juga masih kurang dari segi tasawwur, perasaan dan amalan. Ini menunjukkan generasi muda hari ini masih belum menguasai sepenuhnya kefahaman mengenai pelaksanaan ibadah yang benar dan betul.
Ini merangkumi ibadat khusus seperti solat atau ibadah yang tidak khusus seperti muamalat, hubungan silaturahim, menuntut ilmu serta kefahaman pelaksanaannya yang merangkumi sifat ikhlas selaras tuntutan sunnah.

Selain itu dapat diperhatikan juga fenomena yang menunjukkan kefahaman berhubung aspek penutupan aurat masih rendah kerana masih ramai yang beranggapan menutup aurat hanya wajib ketika hendak menunaikan solat.

Ramai yang tidak menutup aurat secara sempurna. Kefahaman mengenai konsep ibadah perlu difahami secara lengkap dan menyeluruh. Sesungguhnya skop ibadah merangkumi aspek amal zahir dan batin, perkataan atau perbuatan yang diredai Allah SWT.

Begitu juga berhubung aspek akhlak. Perkara ini perlu diperbetulkan kerana Islam tidak hanya menyentuhi aspek akidah dan ibadah saja tetapi Islam juga mengatur adab hubungan sesama manusia.

Dalam aspek penjagaan fizikal tubuh badan, umumnya ramai yang prihatin namun ada yang masih mengambil ringan seperti merokok, minum minuman keras, dadah, judi, nombor ekor atau amalan boleh merosakkan akal.

Muslim kuat lebih dicintai

Sesungguhnya Muslim yang memiliki fizikal yang kuat lebih dicintai oleh Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.”

Jika seseorang itu memahami dengan baik persoalan dosa dan pahala iaitu dosa akan dicatat sebagai satu kesalahan. Ini berbeza dengan konsep kebaikan, dengan melakukan niat saja untuk melakukan kebaikan ia sudah dicatat sebagai satu kebaikan.

Jika ini dapat difahami oleh semua betapa besarnya rahmat Allah kepada seluruh hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (balasan) 10 kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).” (Surah al-An‘am, ayat 160)

Penting kawal hawa nafsu

Selain itu kawalan terhadap hawa nafsu juga penting. Hawa nafsu anugerah Allah yang amat besar dan dengan adanya hawa nafsu hidup ini akan teras indah sebagai hiasan untuk manusia keseluruhannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Umumnya, generasi muda dalam lingkungan 40-an gagal memanfaatkan usia muda untuk mencari keredaan Allah. Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum masa tua, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa hidupmu sebelum masa matimu.” (Riwayat Ibn ‘Abbas)

Generasi muda perlu memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada untuk membetulkan keadaan dengan pencarian ilmu khususnya ilmu berhubung ajaran agama Islam. Jika tidak, mereka telah mensia-siakan nikmat dan ruang yang Allah berikan.

Sesungguhnya masa muda adalah satu bentuk amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan bergerak kaki seorang hamba dari sisi Tuhannya sehingga ia ditanya lima perkara, umurnya ke mana ia habiskan, masa mudanya ke mana ia habiskan, hartanya dari mana ia dapat dan ke mana dibelanjakan dan ilmu ke mana digunakan.” (Riwayat Tirmizi)

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Puasa baik untuk kesihatan

Posted by epondok di Ogos 1, 2013

TIDAK seorang pun ahli perubatan daripada kalangan Muslim mahupun bukan Muslim meragukan mengenai manfaat berpuasa bagi kesihatan manusia.

Menurut buku berjudul Pemeliharaan Kesihatan dalam Islam karya Mahmud Ahmad Najib (Pensyarah Fakulti Kedoktoran Universiti Ain Syams Mesir), ditegaskan bahawa berpuasa sangat berguna dan bermanfaat bagi kesihatan.

Di antara manfaat tersebut, berpuasa dapat memperkecil peredaran darah sebagai perimbangan untuk mencegah keluarnya keringat dan wap melalui pori-pori kulit serta saluran kencing tanpa perlu menggantikannya.

Menurut beliau, curah jantung yang mengagihkan darah ke seluruh pembuluh darah akan membuat peredaran darah menurun. Dengan itu memberi kesempatan otot jantung masa untuk rehat setelah bekerja keras setahun lamanya.

Berpuasa memberi kesempatan kepada organ jantung untuk memperbaiki tenaga dan kekuatan sel seseorang.

Selain itu, menurutnya lagi, berpuasa memberi kesempatan kepada alat-alat pencernaan untuk beristirehat kerana ketika seseorang berpuasa, perut dan ususnya berehat selama beberapa jam daripada kegiatannya.

Proses penyerapan makanan juga berhenti sehingga asam amoniak, glukos dan garam tidak masuk ke usus. Dengan itu sel-sel usus tidak mampu menghasilkan komposisi glikogen, protein dan kolestrol.

Sementara itu, seorang pakar dari Amerika Syarikat, Allan Cott, M.D. telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan pelbagai negara dalam buku berjudul Why Fast? yang memaparkan sejumlah hikmah puasa.

Antara lain memunculkan perasaan lebih baik secara fizikal dan mental, membersihkan tubuh, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, menjadikan badan sihat dengan sendirinya, menumbuhkan kemampuan mengendalikan diri sendiri dan melambatkan proses penuaan.

Lebih jauh, dunia ilmiah telah membuktikan bahawa proses detoksifikasi ketika berpuasa, seperti dipaparkan praktis dan pengkajian kedoktoran nabi, Dr. Mohammad Ali Toha Assegaf, dalam buku berjudul, 365 Tips Sihat ala Rasulullah, menuliskan, pada kekotoran (feces) dan air seni orang yang berpuasa ditemukan racun organophosphat. Bahan racun tersebut disimpan dalam sel-sel adipose (lemak) dalam tubuh yang mengalami pembongkaran dengan cepat ketika seseorang berpuasa.

Diceritakan kisah seorang tabib yang diutus oleh Raja Mesir, Muqauqis kepada Rasulullah SAW sebagai bentuk solidariti sosial untuk mengubati penduduk Madinah secara percuma. Namun ternyata tidak seorang pun pesakit datang berubat kepadanya setelah tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah.

Setelah melakukan peninjauan terhadap penduduk Madinah, ia tidak menemukan seorang pun penduduk yang tidak sihat. Akhirnya tabib itu memutuskan untuk meninggalkan Madinah kerana ia merasa tak ada yang perlu diubati di sana.

Ketika meminta izin kepada Rasulullah SAW, ia mengutarakan kekagumannya pada pola hidup kaum Muslimin, sambil berkata, “Tuan, izinkan kami mengetahui rahsia apakah yang menyebabkan tidak seorang pun mengeluh sakit di sini?”

Rasulullah SAW menjawab: “Kami kaum yang tidak makan hingga kami merasa lapar dan ketika makan kami tidak (makan sampai) kenyang.” (riwayat Abu Daud).

Kesihatan berkait rapat dengan pola makanan. Melalui hadis di atas, kita diajarkan untuk tidak berlebihan memasukkan makanan ke dalam sistem cernanya.

Lebih-lebih lagi al-Quran memerintahkan hal yang sama dengan firman-Nya bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-‘Araf: 31)

Sebuah hadis daripada Miqdam bin Ma’dikariba menegaskan hal itu. Ia berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya memakan beberapa suap untuk sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak dapat demikian, maka hendaklah ia menjadikan sepertiga lambungnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk udara (pernafasan).” (riwayat at-Tirmizi)

Nyata sekali di sini bahawa hakikat puasa semakin terbuka rahsianya sebagai suatu mukjizat ilmiah dan keperluan kemanusiaan.

Fakta kebenaran ini akan terus tersingkap lebih banyak lagi seiring dengan peningkatan pengetahuan, sains dan teknologi manusia mengenai hukum-hukum penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »