Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2013

5 Akhlak rai tetamu

Posted by epondok di Ogos 31, 2013

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Pelbagai amalan sunnah boleh dilaksana sepanjang Syawal

Syawal yang mulia ini dengan budaya masyarakat kita yang masih berhari raya, banyak sunnah nabi boleh disuburkan, termasuklah amalan memuliakan tetamu. Sepanjang Syawal, ramai yang mengambil kesempatan berkunjung ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Malah, budaya ini dimeriahkan lagi dengan jemputan ke rumah terbuka, pejabat terbuka dan tidak kurang juga restoran terbuka bertujuan menghargai pelanggan. Amalan yang dapat menghimpunkan ramai tetamu ini dapat mengeratkan hubungan, melatih serta menyuburkan kehidupan beradab.
Masyarakat beradab adalah masyarakat yang berdaya maju dan berakhlak. Masyarakat maju tetapi tidak berakhlak, tidak menjadi masyarakat beradab dan bertamadun dalam Islam.

Tambahan dalam suasana kehidupan dunia hari ini yang semakin muflis nilai, berlaku pelbagai ‘jenayah kemanusiaan’.

Justeru, nilai hormat menghormati, memuliakan orang lain, berbaik sangka, bersopan santun, berhemah, berbudi bahasa, beramanah, jujur dan sabar wajib dibangunkan bagi mengelakkan ia semakin terhakis sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun organisasi.

Muliakan tetamu

Memuliakan tetamu membawa pelbagai maksud tingkah laku yang menyebabkan tetamu berasa selesa, gembira dan dihargai. Ini termasuklah bermanis muka, berbudi bahasa, memberi layanan baik dan mesra bertujuan untuk saling mengenali.
Mengeratkan silaturahim, menziarahi, menjamu, melembutkan hati dengan mengikis sifat sombong, kikir serta bersedekah dan memberi hadiah. Semua amalan ini mengukuhkan nilai akhlak sekali gus menyempurnakan iman.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Memuliakan tetamu telah menjadi darah daging bagi masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW. Layanan dan kasih sayang golongan Ansar kepada Muhajirin membuktikan amalan bagi sifat terpuji ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Profesor Dr Hamka dalam tafsir al-Azhar menyenaraikan lima nilai akhlak dalam memuliakan tetamu berdasarkan amalan sahabat yang dipelopori oleh Rasulullah SAW iaitu mereka menunggu kehadiran kaum Muhajirin di Madinah, menzahirkan kasih sayang kepada mereka.

Lenyap perasaan dengki

Ketiga, mereka telah mengutamakan kaum Muhajirin daripada diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri memerlukan apa yang dihulur, mereka melenyapkan perasaan dengki dan tanpa keberatan membenarkan kaum Muhajirin diberi lebih harta rampasan Bani Nadhir daripada mereka.

Kelima, mereka sanggup mengalahkan sifat kikir sehingga mencapai kemenangan akhlak. Akhlak terpuji ini telah menjadi perhatian serta ikutan kepada golongan selepas sahabat dengan doa mereka di akhir ayat 10, surah al-Hasyr.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.”

Nilai ini menjadi imej golongan yang menolong (Ansar) serta hamba Allah yang dikasihi (ibad al-Rahman). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati; dan apabila orang jahil menyapa mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.”

Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghi dalam tafsirnya, perkataan al-Haun dalam ayat ini bermaksud halus, lembut. Maksudnya, mereka berjalan dengan tenang dan sopan, bukan dengan kesombongan.

Justeru, dua imej iaitu imej golongan Ansar dan Ibad al-Rahman jika dipadukan dalam memuliakan tetamu serta memberikan perkhidmatan sudah tentu akan memberikan kepuasan kepada pelanggan, meningkatkan kualiti hubungan, kemahiran komunikasi, mengawal sifat sombong dan ego.

Kesombongan boleh menyebabkan pekerja cenderung untuk tidak mempedulikan dan menghargai orang lain, sebaliknya lebih mengutamakan diri sendiri. Mereka yang memiliki sifat ini akan terdorong untuk tidak mengendahkan pertanyaan, aduan dan keperluan pelanggan.

Malah, tidak kurang juga yang akan lebih mudah beremosi apabila berhadapan kerenah pelanggan daripada bersabar. Dalam ilmu perkhidmatan pelanggan, menunggu pelanggan, memberi layanan dengan mesra, mengutamakan mereka adalah tanda aras kualiti terhimpun dalam slogan ‘mesra pelanggan’.

Besarnya manfaat memuliakan tetamu yang juga menjadi latihan tidak formal bagi pekerja dapat difahami daripada kitab sahih Muslim, bab keutamaan bersifat lembut.

Daripada Saidatina Aishah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya lemah lembut dalam segala sesuatu akan dikira sebagai amal baik oleh Allah dan orang yang tidak berlemah lembut akan dicerca.” (Riwayat Imam Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jakim bantah konsert kumpulan heavy metal ‘Lamb of God’

Posted by epondok di Ogos 31, 2013

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)membantah kehadiran kumpulan heavy metal ‘Lamb Of God’ yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur, pada 28 September depan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, bantahan berikutan

genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

“Kumpulan itu juga pernah mengundang kontroversi sebagai sebuah kumpulan yang memuatkan unsur spiritual jahat dan anti ketuhanan oleh masyarakat Kristian sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Gopoh itu kerja syaitan

Posted by epondok di Ogos 29, 2013

BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti’jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai ‘terburu nafsu.’

Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan ‘tindakan syaitan’ jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa.” (riwayat Muslim)

Di manakah bahayanya tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat tertinggi dalam tempoh cepat.

Individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada syariat.

Individu berkenaan juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah menggelincirkan akidahnya.

Dalam hal ini, akhlak lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW patut dijadikan teladan.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)

Individu yang mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah kerana mahu mencapai martabat tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan beribadat.

Orang yang bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.

Selain itu, individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan mudah ‘luntur’ dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang dijangka atau diharapkan.

Akhirnya, individu berkenaan ‘terkulai layu’ meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.

Tindakan tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.

Ini bertepatan firman Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah. (al-Isra’: 11).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Perubatan Islam rawat Endometriosis

Posted by epondok di Ogos 28, 2013

ASSALAMUALAIKUM. Saya berumur 28 tahun, disahkan mempunyai endometriosis. Setiap kali haid saya mengalami kesakitan amat sangat. Kesakitan selalunya di bahagian perut dan pinggang. Kini, saya mengalami pendarahan di antara haid. Bolehkah perubatan Islam merawat endometriosis?

* Cik Shiela, Segambut

Jawapan

Penyakit endometriosis biasa berlaku di seluruh dunia. Dianggarkan seorang daripada setiap 100 orang wanita disah menghadapi endometriosis. Penyakit ini boleh terjadi dari saat seseorang mula mengalami haid sehingga proses menopaus bermula.

Lapisan dinding dalaman rahim dipanggil endometrium. Hormon wanita akan menyebabkan dinding endometrium menebal dan diselaputi saluran darah supaya seseorang itu bersedia untuk hamil.

Jika tiada persenyawaan berlaku di dalam rahim, kadar hormon akan jatuh dan menyebabkan endometrium luruh dan menjadi darah haid.

Pada sesetengah wanita, terdapat cebisan tisu seperti endometrium tumbuh di luar rahim, di bahagian ovari, usus atau pundi kencing. Tisu endometrium asing yang tumbuh di luar rahim dipanggil endometriosis.

Perubahan hormon pada setiap bulan menyebabkan tisu endometrium asing turut membesar seperti tisu endometrium di dalam rahim. Apabila lapisan endometrium di dalam rahim luruh sebagai darah haid, tisu endometriosis turut luruh tetapi pendarahan tersebut di dalam kawasan tertutup.

Maka, pendarahan menyebabkan keradangan di endometriosis dan menyebabkan kesakitan.

Simptom

Sebahagian pesakit endometriosis tidak mempunyai sebarang simptom tetapi ramai mempunyai satu atau lebih simptom berikut:

* Sakit teruk di bahagian pinggul (pelvik)

* Kesakitan semasa atau selepas hubungan kelamin

* Sakit semasa qada’ hajat dan/atau semasa haid

* Selalunya pendarahan haid yang banyak

* Pendarahan sedikit (spotting) di antara tempoh haid atau beberapa hari sebelum haid

* Kemandulan yang menyebabkan pesakit sukar mengandung secara semulajadi. Endometriosis merupakan faktor ketiga tertinggi menyebabkan kemandulan.

Diagnosis

Untuk mendiagnosis endometriosis, terdapat beberapa prosedur yang akan dilakukan oleh doktor. Antaranya pemeriksaan fizikal dan pinggul (pelvik) akan dilakukan untuk mencari punca lain yang memberikan kesakitan dan masalah.

Kemudian, laparoskopi mungkin dicadangkan untuk meneliti dan membantu dalam penyelesaian endometriosis.

Melalui laparoskopi, tisu-tisu endometriosis boleh disingkirkan. Tisu yang diambil akan dihantar ke makmal untuk kajian selanjutnya.

Laparoskopi adalah satu prosedur di mana doktor akan memasukkan alat kamera ke dalam tubuh pesakit melalui lubang yang dibuat di bahagian abdomen pesakit. Jika bahagian itu ada endometriosis, maka melalui alat laparoskopi, doktor akan memotong dan membuang tisu endometriosis tersebut.

Rawatan moden

Mengikut teori, endometriosis tidak dapat dihilangkan terus dari badan. Namun, simptomnya boleh dikawal. Kesakitan daripada endometriosis selalunya akan berkurangan semasa kehamilan dan selepas menopaus.

Jadi, bagi wanita yang tidak mahu hamil dalam jangka masa terdekat, rawatan akan difokuskan untuk mengurangkan keradangan atau memperkenalkan hormon memberhentikan seketika pengeluaran hormon wanita oleh ovari.

Ubat penahan sakit – seperti ibuprofen, naproxen atau asid mefenamic memberi kelegaan kepada lapan daripada 10 orang pesakit yang mengalami kesakitan abdomen.

Jika anda tahu haid akan bermula, ambil ubat penahan sakit sebelum haid atau apabila sakit abdomen baru bermula.

Pil Perancang Keluarga – Hormon daripada pil perancang keluarga akan menipiskan lapisan endometrium dan mengelakkan endometriosis daripada bengkak. Pil ini boleh digunakan secara berterusan agar tidak mendapat haid langsung.

Gonadotropin-releasing Hormone Agonists (GnRH) – GnRH adalah hormon yang membantu kitaran haid. Agonis GnRH yang digunakan lebih kuat daripada GnRH semula jadi di dalam badan. Ia mengurangkan paras hormon estrogen dengan memberhentikan fungsi ovari. Akibatnya, wanita mengalami menopaus. Ini hanya untuk sementara. Kesan sampingan seperti panas badan, sakit kepala, kekeringan faraj dan kerapuhan tulang.

Pembedahan – Untuk membuang tisu endometriosis, pembedahan mungkin dicadangkan. Pembedahan boleh dilakukan secara terbuka ataupun melalui laparoskopi. Bagi wanita yang mengalami endometriosis teruk dan sudah tidak mahu hamil lagi, pembedahan membuang rahim (histerektomi) boleh dilakukan.

Endometriosis

dan mandul

Sehingga kini, belum ada penjelasan sebenar kenapa endometriosis boleh menyebabkan kemandulan.

Kemungkinan, endometriosis mengubah lapisan endometrium di dalam rahim hingga menyebabkan embrio tidak boleh melekat ke dinding rahim atau endometriosis mungkin menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat dan menghalang telur tersenyawa daripada sampai ke dinding rahim.

Pembedahan membuang ketumbuhan endometriosis selalunya sangat membantu untuk pesakit hamil. Bagi mereka yang masih belum hamil selepas rawatan endometriosis, rawatan kesuburan in-vitro fertilization atau IVF boleh dicadangkan.

Rawatan al-Quran

Ramai pesakit endometriosis yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat suci al-Quran. Mereka mengamalkan bacaan al-Quran secara konsisten setiap hari dan turut yakin akan keberkesanan rawatan menggunakan ayat al-Quran.

Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah berfirman;“Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.“

Setiap pesakit endometriosis yang datang berubat, akan diperiksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus.

Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan membuang gangguan tersebut sekiranya ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat yang selalu diamalkan untuk endometriosis adalah:

Surah Maryam ayat 77 hingga 98

Surah Ibrahim ayat 32 hingga 43

Cara amalan ayat al-Quran, pesakit membaca surah pertama iaitu surah Maryam tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ibrahim tiga kali pada waktu siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa untuk penyembuhan.

Pesakit haruslah ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanyalah dengan izin Allah.

Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

Endmetriosis satu penyakit yang biasa berlaku di kalangan wanita Malaysia. Ramai pesakit menderita dalam diam sebab tidak tahu bahawa simptom yang mereka alami untuk sekian lama adalah tanda awal endometriosis. Saya menyeru kepada mereka yang mempunyai simptom seperti di atas, agar menjalani ujian endometriosis.

Jangan tunggu hingga endometriosis tambah teruk sehingga mengganggu ikhtiar mendapatkan zuriat. Buat pesakit endometriosis yang susah untuk baik daripada endometriosis, carilah bantuan dan ingatlah akan firman Allah swt dalam surah Al-Imran ayat 139:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”

bersama Haji Lokman Abdul Hamid

TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke lokman.alhidayah@gmail.com http://www.alhidayah-medic.com

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kemanusiaan hilang tanpa belas kasihan

Posted by epondok di Ogos 27, 2013

Nik Salida Suhaila

Penganiayaan, pembunuhan tidak selari dengan misi keamanan Islam

Jenayah dan pembunuhan yang semakin meruncing mutakhir ini cukup membimbangkan serta menggambarkan segelintir masyarakat kini semakin hilang kemanusiaan disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.
Bagi umat Islam, perbuatan penganiayaan dan pembunuhan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara yang sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat. Ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah Al-Anbia’, ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah, sebab itulah Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan yang baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu serta disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Islam membawa misi keamanan
Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam merupakan satu-satunya agama yang membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan kepada sahabat terdekat saja tetapi kepada alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan yang menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Riwayat Bukhari)

Walaupun masyarakat di negara Barat lebih berbudi bahasa dan bersopan dalam muamalah sesama insan, penulis tidak menafikan di negara kita masih ramai yang utuh dengan budaya hidup serta pekerti lemah lembut.

Keadaan ini menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Malangnya adab dan santun yang sudah bersisa semakin terhakis dengan pelbagai masalah sosial yang mengaibkan.

Di alam maya, ramai yang diberi kunci kebebasan untuk meneroka dunia dan melakukan apa yang mereka suka. Laman sosial juga menjadi bukti ada segolongan yang sering kali tersasar daripada pedoman agama.

Pembulian mental sesama rakan sebaya atau daripada golongan lebih dewasa boleh mengakibatkan risiko kepada mereka yang masih belum cukup matang mengurus tekanan.

Sudahnya berlakulah perubahan sikap secara tiba-tiba, berkasar dengan ibu bapa atau orang yang lebih tua hatta membunuh diri. Mereka yang mengalami tekanan juga akan menjadi risiko kepada orang lain kerana ketidakstabilan mental boleh mengakibatkan kejadian jenayah tidak dirancang.

Masyarakat tak boleh terima kezaliman

Dalam masyarakat kita yang masih mempunyai kasih sayang sesama insan yang tinggi, perbuatan membunuh, menikam, menyembelih dan mencincang manusia adalah satu kezaliman yang tidak dapat diterima sama sekali.

Mujurlah budaya dan cara hidup yang masih menghormati hak manusia lain masih menebal, bukan saja kerana dilindungi undang-undang, tetapi juga kerana nilai murni yang ada. Walau bagaimanapun, setiap ibu bapa tidak boleh berlepas tangan dalam memastikan anak terbiasa dengan keharmonian.

Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan atau sehingga mencederakan.

Tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Kekerasan juga menjadikan mereka mudah menzalimi orang lain disebabkan ‘kebiasaan’.

Perlu diingat juga hilangnya kemanusiaan yang semakin membarah dalam dunia ini berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Bukannya bermula daripada masalah sosial yang mereka lalui setelah besar panjang. Hakikat ini penting kerana kita tidak mahu generasi baru berasa lali dengan kekerasan dan penganiayaan.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam

Posted by epondok di Ogos 26, 2013

Oleh Lokman Ismail

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertujuan memberi kesusahan kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah. Setiap perintah berkaitan ibadah berdasarkan apa yang termampu dilakukan. Ini kerana konsep ibadah bukan satu hukuman atau satu bentuk penyeksaan.

Dalam Islam menekankan perkara yang mudah dan mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik.” (Surah al-Araf, ayat 199).
Kemudahan, kelonggaran dalam beribadah

“Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya perintah Allah SWT dalam semua suruhan memperlihatkan kemudahan dan kelonggaran. Tidak ada satu pun ibadah yang boleh dikategorikan sebagai sukar untuk dilakukan. Jauh sama sekali perintah melakukan ibadat yang boleh mendatangkan bahaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Ibadah puasa pada Ramadan umpamanya mempunyai kelonggaran yang diberikan kepada mereka menghadapi kesukaran atau keperluan yang diharuskan, meninggalkan ibadah yang diwajibkan itu.

Ini membuktikan Islam tidak mahu mendatangkan kemudaratan dalam melaksanakan ibadah. Sebab itu, dalam keadaan yang boleh menimbulkan mudarat, maka wajib seseorang tidak berpuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (boleh berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Kelonggaran itu jelas memberi kemudahan dalam pelaksanaan ibadah puasa. Islam mementingkan keselesaan kepada umatnya untuk melakukan ibadah dengan tenang, selesa, ikhlas dan selamat.

Justeru, sesiapa melihat pelaksanaan ibadah dalam Islam dari sudut yang sukar sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh. Amalan wasatiyyah dan istiqamah adalah lebih penting berbanding sikap ekstrem dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuklah dalam seruan dakwah.

Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asyari ke Yamam, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: “Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Beri alternatif mudahkan ibadah

Konsep mudah dan memudahkan memberi alternatif untuk membolehkan sesuatu maksud dilaksanakan biarpun dalam keadaan ketiadaan sumber asal.

Sebagai contohnya, dalam soal menyucikan diri, ketika ketiadaan air atau air yang ada lebih penting untuk kegunaan lain, penyucian boleh dilakukan dengan tanah atau debu secara tayamum.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu jika tiada air, hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih, iaitu sapu mukamu dan tanganmu dengan (tanah itu). Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6).

Jelaslah tidak ada perkara sukar untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam dalam apa hal sekalipun. Sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan melakukan perkara mudah yang mampu dilakukan tanpa berlebih-lebih.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: “Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah.”

Mengambil perkara mudah bukan pula bermakna tidak mempedulikan atau mempermainkan hukum agama. Sesuatu ketetapan hukum perlu dilaksanakan dengan sempurna dan ikut keperluan.

Perkara ini diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Aisyah: “Apabila Rasulullah SAW diberi pilihan, maka Baginda akan memilih perkara lebih mudah selama mana bukan perkara dosa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentunya kita dapat perhatikan amalan dalam Islam tidak ada yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap ibadah yang diperintahkan mempunyai banyak kebaikan yang memberi kebaikan kepada manusia sendiri.

Maka, tidak ada alasan untuk manusia ingkar daripada melaksanakan setiap ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui mengenai keupayaan manusia dan tentunya tidak akan menyusahkan hamba-Nya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan.

Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 28 bermaksud: “Allah sentiasa hendak meringankan bebanan hukum-Nya daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa Dia ingin memberi kemudahan dan bukannya kesukaran kepada manusia. Maksud firman Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, ayat 185)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan

Posted by epondok di Ogos 25, 2013

Ahmad Shukri Yusoff

Seseorang perlu seimbangkan hak diri dan tunduk terhadap tuntutan al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” (Surah Al-Hadiid, ayat 25)
Syeikh Mustafa Al-Maraghi ketika membuat huraian di atas menyebut manusia terbahagi kepada dua golongan, satu golongan dapat diatur dengan ilmu dan hikmat. Satu golongan lagi hanya boleh diatur dengan pedang dan tongkat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Mereka yang tunduk kepada kekuasaan adalah lebih ramai berbanding yang tunduk kepada al-Quran. Sementara itu keadilan dan undang-undang harus ada pelindungnya. Kenyataan Al-Maraghi membayangkan kepentingan keadilan yang mesti ditegakkan sama ada melalui al-Quran atau undang-undang.

Antara nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menegakkan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka Rasul-rasul kerana faktor menegak keadilan dibangunkan langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

Maksud keadilan
Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak sama ada individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

Begitu juga Islam telah memerintahkan supaya berlaku adil pada keluarga, suami, isteri dan anak-anak.

Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian itu kepada sebahagian anak-anaknya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini? Basyir menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: “Carilah penyaksian ke atas pemberian itu selain dariku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan.” (Riwayat Nasaie)

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan kepada yang disayanginya atau tidak supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan. Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta berlaku adil walaupun terhadap orang dimusuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

Bentuk keadilan

Antara bentuk keadilan paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang luas antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya dan mengangkat taraf hidup orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahim; selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah al-Haaqqah, ayat 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong untuk berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

Begitu juga Islam memerintahkan kita berlaku adil dalam penyaksian. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan dalam perkara yang kita tahu, tidak boleh berlebih, tidak boleh berkurang, tidak boleh mengubah dan tidak boleh menggantikan dengan yang palsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata).” (Surah at-Talaaq, ayat 2)

Tegak keadilan

Menegakkan keadilan antara seruan utama al-Quran kepada manusia, justeru menjadi kewajipan kepada kita memastikan diri termasuk dalam kalangan mencintai keadilan dan menegakkannya dalam seluruh sistem kehidupan.

Pengabaian terhadap nilai keadilan sebenarnya adalah pengabaian terhadap nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan juga Rasul sebelum Baginda.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ilmu dorong beribadat hindari sifat malas

Posted by epondok di Ogos 24, 2013

Oleh Nurul Afiah Ab Shukor

Malas sikap negatif yang wajib dihindari bagi mengelakkan daripada kemunduran diri. Namun, ada antara kita mungkin tidak dapat melepaskan diri daripada sikap malas yang keterlaluan. Hakikatnya, malas bukan ajaran islam sebaliknya ia adalah sikap orang munafik.

Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan yang berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batinnya dan Allah tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan diri mereka dalam munafik.
Mereka ini apabila menunaikan solat, berdiri dengan malas, hanya berniat riak untuk menunjukkan perbuatan mereka kepada manusia lain sedangkan tidak mengingati Allah sewaktu mengerjakan solat.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Menurut Ibn Kathir, amalan paling baik dan paling mulia orang munafik ialah solat. Apabila mereka solat, mereka solat dengan malas kerana tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak khusyuk dan tidak memahami maksud solat.

Doa hindari sifat malas

Oleh itu, untuk menghindari sikap malas umat Islam hendaklah menggunakan senjata orang Mukmin iaitu doa. Doa ialah ubat yang paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian serta penyakit.

Nabi ada mengajarkan doa yang berbunyi: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, lawanlah syaitan dan nafsu yang juga musuh manusia. Syaitan melatih nafsu manusia supaya menjadi malas sama ada malas beribadat atau melakukan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Sabda Nabi SAW: “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan sambil syaitan berkata pada setiap ikatan: Malam masih panjang maka tidurlah. Apabila seseorang terjaga dari tidur, menyebut nama Allah, nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan jika ia solat nescaya terlerai semua ikatan. Maka ia bangun pada waktu pagi dalam keadaan rajin dan cergas serta baik keadaannya. Dan sebaliknya jika tidak dilakukan sedemikian untuk melerai ikatan syaitan itu. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah.”

Ilmu dorong semangat beribadat

Selain itu, timbalah ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu mendorong seseorang rajin dan bersemangat dalam hidupnya. Contohnya, ilmu mengenai fadilat dan kelebihan ibadat menjadikan seseorang itu rajin menunaikan ibadat.

Begitu juga bagi yang mengetahui ilmu fadilat serta kelebihan solat sunat yang juga sunnah Nabi Muhammad akan bersungguh melaksanakannya dengan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Melihat pada ganjaran yang dimaksudkan dalam sabda Baginda menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai pendorong untuk melakukan kebaikan dengan keyakinan bakal mendapat ganjaran baik.

Islam itu indah apabila umat Islam menjadikan iman untuk memandu diri serta mencari ilmu pengetahuan untuk memajukan diri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Beribadah tanpa mengira musim

Posted by epondok di Ogos 23, 2013

Oleh Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan

Teruskan puasa sunat, solat witir secara konsisten walaupun di luar Ramadan

Ramadan baru saja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada Ramadan mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan takwanya di sisi Allah SWT berbanding sebelumnya.
Amat rugi jika proses didikan hati dan juga roh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadan yang ditunaikan hanya memperoleh rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam Ramadan, tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam Ramadan. Malah, solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada Ramadan, tetapi turut sama dilakukan di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada qiamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Tanda amalan Ramadan diberkati

Antara tanda sesuatu amalan semasa Ramadan itu diterima oleh Allah SWT dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada Ramadan. Alangkah sedihnya apabila seseorang hamba Allah yang melalui didikan dalam bulan Ramadan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya pada bulan lain.

Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah SWT perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim tertentu saja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah hanya pada Ramadan saja, tetapi jadilah hamba Allah pada setiap masa dan ketika.
Semasa Ramadan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar Ramadan sewajarnya ibadah puasa itu diteruskan iaitu dengan melakukan puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang Muslim ialah amalan puasa sunat enam hari dalam Syawal.

Rasulullah SAW menerangkan ganjarannya dengan sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sepanjang Ramadan yang lalu umat Islam menghidupkan malamnya dengan ibadah solat sunat Terawih dan solat sunat yang lain. Selepas keluar daripada Ramadan, seseorang Muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat fardu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajud iaitu solat pada tengah malam.

Qiamullail latih jiwa kental, sabar

Sesungguhnya qiamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang Muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi SAW akan menghidupkan malam dengan ibadat solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 3).

Kesabaran Nabi Muhammad SAW dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda SAW adalah manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka Aisyah ra bertanya kepada Baginda mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah SWT? Maka jawab Rasulullah SAW: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam Ramadan, tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam Ramadan. Malah, solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada Ramadan, tetapi turut sama dilakukan di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran bukan hanya dalam Ramadan, tetapi juga bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada Ramadan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada Ramadan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan lain.

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadan yang kita lalui, tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah di luar daripada Ramadan. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Soal jawab antara Rasulullah s.a.w dengan Jibril

Posted by epondok di Ogos 22, 2013

Umar bin Khattab meriwayatkan, “Pada suatu hari ketika kami sedang duduk dengan Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda dia baru datang dari jauh. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenali orang itu.

Duduk bertemu lutut
Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di depan Nabi Muhammad SAW sehingga kedua-dua lutut lelaki itu bersentuhan dengan lutut Nabi Muhammad SAW.

Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas pahanya lalu bertanya: Terangkan apa itu Islam. Jawab Nabi Muhammad SAW: Islam adalah kamu mengakui yang tiada Tuhan lain kecuali Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, kamu bersembahyang, kamu membayar zakat, kamu berpuasa sepanjang Ramadan dan kamu menunaikan haji apabila mampu.

‘Betul’, kata lelaki itu. Kami semua berasa hairan bagaimana pula dia yang bertanya dan kemudian dia pula yang menyatakan jawapan itu betul. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Terangkan apa itu iman? Jawab Nabi Muhammad SAW: Kamu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat-Nya, percaya kepada kitab-kitab suci yang diterima oleh pesuruh Allah, percaya adanya akhirat dan kamu percaya kepada takdir Allah, sama ada yang baik atau buruk.

‘Betul’, kata lelaki itu. Kemudian dia bertanya lagi: Terangkan apa itu ihsan? Jawab Nabi Muhammad SAW: Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu nampak Dia, dan apabila kamu tidak nampak Dia, kamu yakin Dia nampak kamu. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Terangkan bilakah kiamat akan terjadi. Nabi Muhammad SAW menjawab: Yang ditanya dan yang bertanya sama-sama tidak tahu.

Tanda hari akhirat
Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Terangkan apa tanda-tanda hari akan kiamat? Jawab Nabi Muhammad SAW: Apabila perempuan hamba melahirkan majikan mereka sendiri. Apabila orang yang tidak berkasut, orang yang telanjang, orang miskin dan penternak kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi.

Selepas mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, lelaki itu pun pergi. Saya terdiam beberapa waktu sehingga Nabi Muhammad SAW menjelaskan: Umar, tahulah saudara siapa lelaki tadi? Saya menjawab: Allah dan pesuruh-Nya yang lebih tahu. Kata Nabi Muhammad: Lelaki tadi adalah malaikat Jibrail. Dia datang bagi menerangkan kepada saudara sekalian berkenaan agama saudara.” (Riwayat Muslim)

Sumber: Riyadus Solihin Taman Orang Soleh

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »