Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 Julai 2013

10 malam terakhir Ramadan kemuncak ibadah

Posted by epondok di Julai 30, 2013

Muhammad Asyraf

10 malam terakhir Ramadan kemuncak ibadah
Perbanyak beriktikaf dalam masjid mencari lailatulqadar

Ramadan adalah antara rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang beriman. Malah, Allah menyediakan malam-malam kemuncak yang disebut al-‘Asyar al-Awahir iaitu 10 malam terakhir Ramadan.

Malam ini untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan qiyam Ramadan. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka telah diampunkan baginya dosa-dosa yang lampau.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)
Teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah dengan menjadikan 10 malam terakhir Ramadan sebagai kemuncak ibadah berbanding malam lain. Nabi SAW akan menghidupkan malam itu dengan ibadah iktikaf, solat dan berzikir kepada Allah SWT.

Saidatina ‘Aisyah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tibanya 10 Ramadan terakhir Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikatan kainnya.” (Riwayat Muslim)

Ketatkan ikatan kain

Maksud mengetatkan ikatan kain pada pandangan ulama ialah meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama isteri-isteri Baginda. Manakala pandangan yang lain menyatakan, Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadah dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.

Hadis ini juga jelas menceritakan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan. Nabi SAW bukan saja menghidupkan malamnya secara berseorangan, tetapi Baginda mengajak ahli keluarga untuk tidak terlepas mengecapi kemanisan ibadah pada malam itu.
Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan adalah malam mulia, manakala sepuluh hari terawal Zulhijjah adalah sepuluh waktu siang termulia bagi umat Islam.

10 malam terakhir Ramadan dianggap mulia kerana dua sebab, Nabi SAW akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan.
Nabi SAW bersabda: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada pengakhirannya, sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hari apabila aku bertemu dengan-Mu.” (Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid)

Pengajaran daripada hadis ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga ibadah dilakukan pada malam Ramadan terutama apabila telah memasuki 10 malam terakhir.

Adalah sedikit mendukacitakan apabila seorang hamba memulakan ibadah hanya pada malam awal dan pertengahan Ramadan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam 10 terakhir.

Kemuncak ibadah waktu malam

Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Adakah kamu mengetahui apakah malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam lailatulqadar) sehingga terbitnya fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Bukhari)

Ulama termasuk salaf al-soleh berbeza pendapat dalam meletakkan malam tertentu bagi lailatulqadar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menjelaskan dalam karyanya Fath al-Bari bahawa terdapat 39 pandangan dalam memperkatakan penetapan malam lailatulqadar.

Sebahagian kecil ulama berpendapat malam lailatulqadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan. Namun jumhur ulama Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat, malam lailatulqadar berlaku pada salah satu malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Carilah ia (malam lailatulqadar) pada sepuluh terakhir Ramadan.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya malam lailatulqadar itu terdapat pada mana-mana malam pada sepuluh terakhir yang tidak jelas waktunya bagi kita. Walaupun begitu ia berada hanya pada satu malam tertentu saja yang telah ditetapkan sehinggalah ke hari Kiamat. Namun malam-malam ganjil adalah yang paling diutamakan dan yang paling hampir dalam malam-malam ganjil itu pada pandangan Imam al-Syafi’i ialah pada malam ke-21.” (Dinukilkan dalam kitab al-Majmu’)

Sebahagian besar ulama berpendapat malam lailatulqadar berlaku pada malam ke-27. Pandangan ini dinyatakan oleh Ibn Abbas dan sebahagian besar sahabat bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufya, Nabi SAW bersabda mengenai malam lailatulqadar: “Ianya pada malam ke-27 (Ramadan).” (Riwayat Abu Daud)

Namun terdapat hadis lain juga menerangkan malam lailatulqadar berlaku pada malam ganjil iaitu malam 23, 25 dan 29.

Kesimpulannya malam lailatulqadar tidaklah diketahui bilakah waktunya namun kita disuruh oleh Nabi SAW untuk mencarinya dengan melakukan ibadah pada 10 malam yang terakhir Ramadan. Hal ini bertepatan sunnah Nabi SAW yang memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Nikmat hidup sentiasa ingatkan Allah

Posted by epondok di Julai 30, 2013

Oleh DR. AZAHAR YAAKUB

PADA juzuk dan surah ke-12, merupakan lokasi tertera surah Yusof di dalam al-Quran. Pengkaji al-Quran bersetuju bahawa surah ini memiliki keunikannya yang tersendiri berbanding dengan surah-surah lain di dalam al-Quran. Antara keunikannya ialah cerita pakej kehidupan Nabi Yusof yang terperinci, mencakupi pelbagai dimensi dan lapangan kehidupan termasuk aspek sosial, politik, ekonomi, pendidikan, kekeluargaan dan kemanusiaan.

Pada ayat 23 dan 24 surah Yusof, Allah SWT menceritakan perihal Nabi Yusof yang digoda oleh Zulaikha. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: Marilah ke sini. Yusuf berkata: Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku Telah memperlakukan Aku dengan baik. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung. (Yusof: 23)

Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu Andai kata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba kami yang terpilih. (Yusof: 24)

1Allah menganugerahkan kepada Nabi Yusof paras rupa yang sangat cantik. Ketika Rasulullah SAW bertemu Nabi Yusof dalam perjalanan Israk dan Mikraj, baginda menggambarkan kecantikan paras rupa Nabi Yusof sebagaimana berikut: “Tiba-tiba aku mendapati bahawa beliau (Nabi Yusuf) dikurniakan separuh kecantikan berbanding dengan seluruh manusia yang lain.” (riwayat Muslim)

Justeru tidak pelik sekiranya isteri raja Mesir yang bernama Zulaikha tergila-gilakan Nabi Yusof sehingga sanggup menawarkan diri agar berzina dengannya.

Lebih menjengkelkan apabila Zulaikha tergamak menceroboh bilik Nabi Yusof dan secara agresif menutup semua tingkap dan pintu bilik bertujuan mengajak Nabi Yusof melakukan perbuatan terkutuk itu.

2Mengimbas respons Nabi Yusof terhadap pujukan Zulaikha, sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT pada ayat 24 bahawa Nabi Yusof pada peringkat awal juga tergoda dengan pujukan dan godaan Zulaikha.

Di sini tanpa dinafikan kelihatan beberapa pentafsir al-Quran cuba mentakwil daripada menerima ayat tersebut secara zahir, demi menjaga kesucian Nabi Yusof yang dilihat secara zahirnya seakan-akan turut tergoda dengan pujukan Zulaikha.

Persoalannya, apakah respons awal Nabi Yusof terhadap Zulaikha itu dilihat mencalar imej dan reputasi Nabi Yusof?

Profesor Dr. Ahmad Naufal, seorang profesor dalam bidang al-Quran dari Universiti of Jordan, bahkan tesis doktor falsafah (Phd.) beliau secara khusus mengkaji surah Yusof, menjelaskan bahawa ayat ke-24 surah ini bukan untuk mencalar imej Nabi Yusof, sebaliknya mengangkat martabat dan reputasi Nabi Yusof ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidakkah kita pernah mendengar satu hadis yang masyhur tentang tujuh kumpulan VIP akhirat kelak yang mendapat penghormatan dan kemuliaan daripada Allah, dapat bernaung di bawah naungan Arsh-Nya di saat orang lain berpanasan.

Di antara salah satu daripada tujuh kumpulan VIP itu ialah;

“Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan agar berzina dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Itulah hakikat yang berlaku pada Nabi Yusof yang digoda oleh Zulaikha, seorang isteri raja yang berpengaruh, muda, kaya dan terkenal cantiknya dan di kalangan bangsawan telah secara terang-terangan menggoda Nabi Yusof agar berzina dengannya.

Walau bagaimanapun berakhir dengan Nabi Yusof menolaknya semata-mata takutkan kepada murka dan azab Allah SWT.

3Ya benar! Nabi Yusof sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran pada permulaannya terpengaruh dengan pujukan Zulaikha, akan tetapi sejurus itu terus berpaling hingga melarikan diri meninggalkan Zulaikha bersendirian.

Persoalannya kenapa? Jawapannya tiada lain dan tiada bukannya melainkan Nabi Yusof pantas membuat recall, nikmat hidup bertuhan, dengan mengingati Allah SWT.

Baginda Nabi Yusof pantas mengimport ke dalam lubuk hatinya kekentalan jiwa agama, perasaan pemantauan Allah terhadap dirinya, Raqib dan Atiq yang tidak pernah lalai daripada mencatat setiap perilaku baik dan buruk seseorang hamba, serta mengimbas balasan syurga dan neraka, bahkan Nabi Yusof terus memupuk semangat ehsan.

“Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu nampak Allah atau yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kamu, Allah mendengar kata-kata kamu!, Allah memerhati setiap gerak geri kamu!, Allah Maha Mengetahui setiap yang terpapar dalam sekeping hati kamu!”

Sesungguhnya sensitiviti ini rupa-rupanya telah menjadi motivasi paling besar pada diri Nabi Yusof untuk baginda menolak ajakan dan pujukan liar godaan Zulaikha

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »