Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ikhlas puncak kelazatan Ramadan

Posted by epondok di Julai 27, 2013


Zamanuddin Jusoh

Muslim yang beriman sudah pasti akan merasai kelazatan dan kenikmatan Ramadan. Hati mereka sentiasa cenderung untuk melakukan kebajikan berdasarkan ganjaran dijanjikan bersempena Ramadan yang mulia.
Mereka juga mampu untuk menjalankan kegiatan harian seperti biasa, malah dapat meningkatkan produktiviti pada Ramadan. Namun, melihat di alam nyata, kekuatan yang disemaikan oleh Ramadan tidak dapat diterjemahkan pada wajah dan suasana kehidupan umat Islam.

Mereka menjadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan aktiviti kehidupan, malah ada yang terus membekukan aktiviti mereka kerana baginya kekuatan hanya ada pada jasad yang zahir semata-mata. Keikhlasan yang wujud dalam puasa Ramadan akan dapat melahirkan benih ketakwaan sebenar kerana golongan Muslimin mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah SWT melalui puasa Ramadan.

Oleh itu kita dapati banyak peristiwa penting dalam Islam ditentukan Allah SWT pada Ramadan dan golongan Muslimin mencapai kejayaan cemerlang. Ini menunjukkan kekuatan yang dihasilkan oleh tarbiah Ramadan tidak dapat disangkal sesiapa.

Allah SWT membuktikan kekuatan tersebut melalui peristiwa bersejarah yang hebat antaranya Perang Badar al-Kubra (17 Ramadan tahun kedua hijrah) yang menampilkan kejayaan cemerlang baginda Nabi SAW ketika berdepan kekuatan Musyrikin yang lebih dari segi fizikal dan material.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu dalam keadaan lemah dari segenap segi. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan?” (Surah Al-Imran, ayat 123)
Baginda terus berdoa sehingga selendang beliau jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar Al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, kamu bersungguh-sungguh dalam mengucapkan doamu itu kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Kemudian, turun firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang secara berduyun-duyun.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peranan doa dalam kehidupan

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif.

Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Baginda SAW bersabda: “Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” (Riwayat Abu Ya’la)

Peristiwa ini menggambarkan kekuatan mental umat Islam terserlah di mana keputusan yang diambil berkaitan tawanan perang adalah bertepatan dengan kehendak umat seluruhnya. Tawanan tidak dikenakan bayaran wang ringgit sebaliknya ditugaskan mengajar anak golongan Muslimin sehingga dapat menulis serta membaca.

Ketinggian ilmu

Di sinilah letaknya ketinggian dan kehormatan ilmu pengetahuan berbanding harta kekayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta dan anak hanyalah perhiasan hidup di dunia, manakala yang lebih baik di sisi Allah SWT adalah pahala ganjaran dan sebaik-baik cita-cita.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Peperangan Khandak atau Ahzab (Ramadan tahun kelima hijrah) juga mencabar kekuatan fizikal umat Islam di mana Baginda SAW menerima pendapat Salman al-Farisi untuk menggali parit. Ada berpendapat, peperangan Khandak akhirnya terjadi pada Syawal dan berakhir pada Zulkaedah.

Di sini juga berlaku mukjizat ketika Jabir bin Abdullah mengundang Baginda SAW untuk makan di rumahnya di mana makanan yang sedikit dapat menampung 1,000 tentera Islam.

Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 10 Ramadan tahun 8 Hijrah dan baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid. Makkah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Peristiwa penting ini menyaksikan ramai sahabat khasnya golongan Muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan menawan kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Ia adalah kejayaan terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Makkah dan Madinah sekali gus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.
Kejayaan umat Islam waktu itu bukan saja dapat menakluki Makkah, bahkan hasil penaklukan kota Makkah itu menyebabkan penduduknya yang dulu kafir memasuki agama Allah SWT.

Ini terkandung di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat.” (Surah an-Nasr, ayat 1-3)

Satu Respons kepada “Ikhlas puncak kelazatan Ramadan”

  1. SERIAU@ said

    Reblogged this on SERIAU.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: