Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Julai 2013

Ikhlas puncak kelazatan Ramadan

Posted by epondok di Julai 27, 2013

Zamanuddin Jusoh

Muslim yang beriman sudah pasti akan merasai kelazatan dan kenikmatan Ramadan. Hati mereka sentiasa cenderung untuk melakukan kebajikan berdasarkan ganjaran dijanjikan bersempena Ramadan yang mulia.
Mereka juga mampu untuk menjalankan kegiatan harian seperti biasa, malah dapat meningkatkan produktiviti pada Ramadan. Namun, melihat di alam nyata, kekuatan yang disemaikan oleh Ramadan tidak dapat diterjemahkan pada wajah dan suasana kehidupan umat Islam.

Mereka menjadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan aktiviti kehidupan, malah ada yang terus membekukan aktiviti mereka kerana baginya kekuatan hanya ada pada jasad yang zahir semata-mata. Keikhlasan yang wujud dalam puasa Ramadan akan dapat melahirkan benih ketakwaan sebenar kerana golongan Muslimin mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah SWT melalui puasa Ramadan.

Oleh itu kita dapati banyak peristiwa penting dalam Islam ditentukan Allah SWT pada Ramadan dan golongan Muslimin mencapai kejayaan cemerlang. Ini menunjukkan kekuatan yang dihasilkan oleh tarbiah Ramadan tidak dapat disangkal sesiapa.

Allah SWT membuktikan kekuatan tersebut melalui peristiwa bersejarah yang hebat antaranya Perang Badar al-Kubra (17 Ramadan tahun kedua hijrah) yang menampilkan kejayaan cemerlang baginda Nabi SAW ketika berdepan kekuatan Musyrikin yang lebih dari segi fizikal dan material.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu dalam keadaan lemah dari segenap segi. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan?” (Surah Al-Imran, ayat 123)
Baginda terus berdoa sehingga selendang beliau jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar Al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, kamu bersungguh-sungguh dalam mengucapkan doamu itu kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Kemudian, turun firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang secara berduyun-duyun.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peranan doa dalam kehidupan

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif.

Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Baginda SAW bersabda: “Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” (Riwayat Abu Ya’la)

Peristiwa ini menggambarkan kekuatan mental umat Islam terserlah di mana keputusan yang diambil berkaitan tawanan perang adalah bertepatan dengan kehendak umat seluruhnya. Tawanan tidak dikenakan bayaran wang ringgit sebaliknya ditugaskan mengajar anak golongan Muslimin sehingga dapat menulis serta membaca.

Ketinggian ilmu

Di sinilah letaknya ketinggian dan kehormatan ilmu pengetahuan berbanding harta kekayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta dan anak hanyalah perhiasan hidup di dunia, manakala yang lebih baik di sisi Allah SWT adalah pahala ganjaran dan sebaik-baik cita-cita.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Peperangan Khandak atau Ahzab (Ramadan tahun kelima hijrah) juga mencabar kekuatan fizikal umat Islam di mana Baginda SAW menerima pendapat Salman al-Farisi untuk menggali parit. Ada berpendapat, peperangan Khandak akhirnya terjadi pada Syawal dan berakhir pada Zulkaedah.

Di sini juga berlaku mukjizat ketika Jabir bin Abdullah mengundang Baginda SAW untuk makan di rumahnya di mana makanan yang sedikit dapat menampung 1,000 tentera Islam.

Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 10 Ramadan tahun 8 Hijrah dan baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid. Makkah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Peristiwa penting ini menyaksikan ramai sahabat khasnya golongan Muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan menawan kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Ia adalah kejayaan terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Makkah dan Madinah sekali gus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.
Kejayaan umat Islam waktu itu bukan saja dapat menakluki Makkah, bahkan hasil penaklukan kota Makkah itu menyebabkan penduduknya yang dulu kafir memasuki agama Allah SWT.

Ini terkandung di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat.” (Surah an-Nasr, ayat 1-3)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Mengurangkan kesibukan dunia

Posted by epondok di Julai 27, 2013

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

umat Islam digalakkan untuk menghidupkan malam Ramadan dengan pelbagai ibadah sunat.
– Gambar hiasan

BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan.

Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:

1Bersahur – termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2Banyakkan bersedekah – Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari)

3Membaca al-Quran – Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.

Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.

4Memberi makan untuk berbuka – Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

5Solat di malam Ramadan – Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »