Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Julai 2013

Bahaya syirik

Posted by epondok di Julai 26, 2013

MENYEKUTUKAN Allah SWT dengan tuhan lain sebagai sembahan, objek pemujaan dan tempat menggantungkan harapan dinamakan syirik.

Kata syirik berasal daripada bahasa Arab syarika-yusyriku-syirik, yang bermaksud ‘sekutu’ atau ‘persekutuan’.

Syirik digolongkan dalam kategori kufur kerana perbuatan itu mengingkari keesaan Allah, yang bermaksud mengingkari kemahakuasaan dan kemahasempurnaan-Nya.

Dalam al-Quran, istilah ‘kafir’ kadang-kadang digunakan untuk orang musyrik (pelaku syirik) di samping istilah ‘musyrik’.

Riak dan berhala

Syirik kecil (al-syirk al- asghar) disebut juga riak (riya). Riak dikategorikan sebagai syirik berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa syirik tersembunyi (al-syirik al-kahfi) ialah melakukan pekerjaan supaya dilihat atau dipuji orang.

Asas adanya syirik kecil dalam erti riak terdapat dalam surah al-kahfi ayat 10. Menurut para musafir, istilah ‘syirik’ dalam ayat tersebut merujuk kepada erti syirik dalam bentuk riak.

Yang banyak disoroti dalam al-Quran ialah syirik besar (al-syirik al-akbar) khususnya penyembahan berhala yang disebut juga syirik terang-terangan (al-syirik al-jail).

Daripada al-Quran diketahui bahawa lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, manusia telah menganut fahaman berhala. Para rasul yang diutuskan ke dunia, daripada Nabi Nuh AS hingga Nabi Muhammad SAW umumnya berhadapan dengan masyarakat penyembah berhala.

Orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa sembahan patung berhala itu memiliki ciri ketuhanan.

Tuhan kecil

Kemusyrikan dalam bentuk berhala merupakan ciri masyarakat tradisi, seperti halnya masyarakat pada zaman para nabi. Berhala, baik dalam bentuk patung mahupun bentuk lain dijadikan objek sembahan kerana dianggap dapat mendatangkan manfaat serta menolak bahaya.

Berhala itu berfungsi sebagai Tuhan kecil (alihan) kerana disembah dan dipuja. Orang musyrik menjadikan Tuhan kecil ini sekutu dan tandingan bagi Allah SWT.

Kaum musyrik

Pada era pertama kerasulan baginda SAW hingga lebih separuh tempoh perjuangannya, Nabi Muhammad SAW sendiri menghadapi kaum penyembah berhala, bahkan setelah berhijrah ke Madinah.

Kaum musyrikin merupakan musuh utama yang dihadapinya. Penentangan mereka dapat dipadamkan ketika umat Islam berjaya membebaskan Mekah pada tahun 8 Hijrah serta menghancurkan patung berhala di sekitar Kaabah.

Sejak itu, berakhirlah era pemujaan berhala di tempat suci itu.

Dakwah nabi

Dakwah utama para rasul adalah untuk menanam akidah tauhid dan mengikis fahaman keberhalaan. Umat Nabi Nuh AS memuja berhala. Dalam al-Quran disebut nama berhala, antaranya Wadd, Suwaa, Yaghuth, Y’uuqdan Nasr (rujuk Nuh: 23)

Nabi Hud AS pula mendapati bahawa kaumnya (‘Ad) menyembah banyak tuhan. Ketika Nabi Hud AS menyeru kepada tauhid, mereka menjawab: Wahai Hud, engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! (Hud: 53 )

Dosa terbesar

Berhala sembahan dianggap sebagai tandingan bagi Allah SWT kerana orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa sembahan patung itu memiliki ciri ketuhanan.

Dosa syirik ini sangat dilarang dan tidak akan diampuni Allah SWT.

Justeru inilah yang sangat dilarang oleh Allah SWT. Maka sangat wajarlah jika syirik merupakan dosa paling berat antara semua dosa dan kejahatan.

Al-Quran menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik dan perbuatan syirik ialah dosa yang sangat besar.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Rahsia didik anak berpuasa

Posted by epondok di Julai 26, 2013

MENDIDIK dan menggalakkan anak berpuasa sangat penting sebagai pendidikan awal kepada mereka tentang kepentingan ibadah puasa. Lebih-lebih lagi bagi yang baharu hendak mula berpuasa. Seperti kata peribahasa, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ yang membawa maksud untuk mendidik dan mengajar anak biarlah sejak dari awal lagi atau dari kecil.

Sebagai ibu bapa, pendidikan mentaati Allah SWT dan rasul-Nya mestilah bermula dengan pendidikan iman, akhlak dan adab. Anak-anak dalam lingkungan empat atau tujuh tahun yang pertama kali menunaikan ibadah puasa hendaklah diberikan rangsangan dan motivasi bahawa pahala berpuasa sangat besar ganjarannya.

Justeru, jelaskan kepada anak-anak berkaitan firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak yang baharu pertama kali berpuasa. Nabi SAW pernah bersabda: “Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengetahui segala batas-batasnya serta memelihara diri daripada segala yang baik, nescaya dipelihara diri daripadanya, nescaya dosa itu menutup segala dosa yang lalu.” (riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Pendidikan keimanan itu mestilah tersemat di hati dan dibuktikan dengan amal serta yakin dengan ajaran-Nya. Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak terpisah walaupun berbeza dari segi takrif. Ini kerana amal itu adalah hasil iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal.

Teknik Rasulullah

Kaedah dan teknik pendidikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sangat berkesan boleh dijadikan contoh dan panduan iaitu menjelaskan kepada mereka bahawa ibadah puasa dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan akan mendapat balasan pahala di sisi-Nya.

Sebagai ibu bapa kaedah dan teknik pendidikan secara berhikmah, lemah-lembut, penuh rasa kasih sayang menyatakan semua oran Islam diwajibkan berpuasa dan mereka akan beroleh ganjaran pahala yang besar.

Jelaskan juga kepada anak-anak yang baru pertama kali hendak memulakan ibadah puasa akan keseronokan berpuasa iaitu orang yang berpuasa akan menikmati ibadah berbuka serta terangkan ibadah puasa dapat menghapuskan segala dosa yang lalu serta dijauhkan daripada neraka selama 70 tahun. Selain itu orang yang berpuasa juga diberikan hadiah syurga melalui pintu Ar-Rayyan daripada Allah SWT.

Beritahu anak-anak yang baharu hendak mula berpuasa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Daripada Abu Umamah katanya: “Ya, Rasulullah tunjukkanlah kepadaku amal yang dengannya aku boleh masuk syurga.” Rasulullah SAW menjawab: “Berpuasalah kerana tiada (ibadah) yang menandinginya.” (riwayat Ibnu Majah)

Memotivasi anak-anak

Sebagai ibu bapa mestilah memahami kemampuan anak-anaknya untuk berpuasa. Bagi anak yang pertama kali hendak berpuasa boleh digalakkan berpuasa sebagai permulaan separuh hari. Kemudian diikuti dengan satu hari. Jika mereka masih bertahan, maka bolehlah diteruskan puasa tersebut.

Di samping itu, adalah lebih berhikmah sekira diberikan kata pujian kerana dengan cara itu semacam memberi rangsangan buat mereka.

Kajian psikologi Islam menyatakan, rangsangan kepada kanak-kanak yang berusia empat atau tujh tahun adalah melalui contoh teladan daripada kawan-kawannya yang berpuasa.

Mereka juga boleh digalakkan melalui pemberian hadiah sebagai permulaan. Biasanya hadiah yang menarik itu adalah apa yang mereka mahu yang berpatutan dan mampu dilakukan oleh ibu bapa sebagai motivasi anak-anak berpuasa.

Kanak-kanak lebih terpengaruh dengan kawan sebaya. Ada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak berpuasa dan jika berpuasa mereka akan dibawa ke masjid untuk solat terawih bersama kawan-kawannya.

Berkaitan dengan iman, Imam al-Ghazali menghuraikan pengertian iman dengan katanya: “Pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota).”

Hal ini harus difahami oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak berpuasa. Justeru, ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak kepentingan bersahur supaya anak-anak tidak berasa letih dan lapar semasa berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahur itu berkat, sebab itu janganlah kamu tinggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang yang bersahur.” (riwayat Ahmad)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »