Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 Julai 2013

Istiqamah amal kebaikan inti pati ajaran Islam

Posted by epondok di Julai 23, 2013

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, dan kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Jangan kamu bimbang dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. Sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Fussilat, ayat 30-32)

Daripada Abu Amru atau Abu Amrah, nama sebenarnya Sufyan bin Abdullah: “Saya berkata: Wahai utusan Allah, ajarkan saya satu ucapan berkenaan Islam yang tidak perlu saya bertanya kepada orang lain lagi. Nabi Muhammad menjawab: Saudara ucapkan, saya percaya kepada Allah. Kemudian saudara berikan komitmen saudara pada ucapan itu.” (Riwayat Muslim)
Amalan dilakukan berterusan

Nabi Muhammad bersabda: “Dekatkan diri saudara kepada Allah dengan melakukan amalan secara sederhana, kemudian saudara berikan komitmen saudara pada amalan itu dengan melakukannya secara berterusan.

Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad bersabda: “Dekatkan diri saudara kepada Allah dengan melakukan amalan secara sederhana, kemudian saudara berikan komitmen saudara pada amalan itu dengan melakukannya secara berterusan.

Ketahuilah tidak ada seorang pun yang dapat diselamatkan oleh amalannya itu. Sahabat bertanya: Bagaimana pula dengan tuan wahai utusan Allah? Saya pun begitu juga melainkan sekiranya Allah melindungi saya dengan rahmat-Nya dan kebaikan-Nya, jawab Nabi Muhammad.” (Riwayat Muslim)

Ulama berpendapat makna komited atau istiqamah ialah sentiasa melazimkan diri mentaati Allah. Istiqamah adalah inti pati ajaran Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu, hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu.” (Surah Hud, ayat 112)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

3 Tips terus semangat hidupkan Ramadhan

Posted by epondok di Julai 23, 2013

Sharir Akram Hassan

Semangat luntur di pertengahan Ramadan Berdoa mohon diberi kekuatan perbanyak lakukan ibadah sepanjang Ramadan. – Gambar hiasan
Doa, jaga pancaindera, berusaha sepenuh hati kaedah kekalkan ibadah

Ramadan, bulan rahmat dan pengampunan adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap amalan sunat akan diberi ganjaran seperti amalan fardu. Setiap amalan fardu pula akan diberi ganjaran 70 kali ganda.

Syaitan juga dibelenggu sepanjang Ramadan ini. Pendek kata, Ramadan membuka peluang amat besar untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mementingkan amalan sunat tanpa mengabaikan amalan fardu.
Peluang inilah yang diambil oleh sebahagian besar umat Islam. Masjid dan surau mula melimpah dengan jemaah hingga al-Quran di rak-rak tidak cukup. Suara merdu alunan al-Quran umpama bunyi tebuan. Tasbih pula kelihatan kilat bersinar dek kerana sentiasa dikira.

Fenomena awal Ramadan

Tua, muda, lelaki dan wanita penuh semangat mengimarahkan Ramadan seumpama mendapat semangat baru. Itulah gambaran suasana dan fenomena pada awal Ramadan. Masing-masing berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah.

Namun, semangat itu semakin hari semakin berkurangan. Entah di mana silapnya, keletihan mula mencengkam selepas tujuh hingga 10 hari. Daripada 20 rakaat bertarawih, terhenti pada rakaat kelapan.

Al-Quran yang dulunya sentiasa dibelek, kini tersusun rapi di rak-rak. Tasbih juga sudah hilang, tidak lagi dibilang-bilang. Semangat dan kekuatan melakukan ketaatan semakin berkurang. Inilah masalah yang sentiasa menghantui umat Islam dalam menghadapi Ramadan mendatang.
Bagaimanakah untuk mengekalkan istiqamah dan konsisten melakukan ketaatan sepanjang Ramadan. Menurut Syeikh Habib Ali Al-Jufri Hafizahullah, terdapat tiga kaedah boleh diamalkan untuk mendapat kekuatan kekal istiqamah menjalankan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan.

Pertama ialah banyak berdoa serta berharap dengan Allah, mohon diberi kekuatan untuk memperbanyakkan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan. Sebagai hamba dan makhluk Allah SWT, kita sebenarnya langsung tiada kekuatan.

Kekuatan dan daya upaya itu datang daripada Allah SWT. Hatta untuk mengerlipkan kelopak mata pun, ia adalah taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Apatah lagi untuk berdiri 23 rakaat solat Tarawih serta witir. Membaca satu juz al-Quran, berzikir, selawat, istighfar dan ibadat lain. Semuanya hanya dapat dilakukan jika diizinkan dan diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Antara doa diajarkan Nabi SAW ialah seperti diajarkan kepada Mu‘az bin Jabal ra. Mu‘az bin Jabal menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu‘az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu. Lalu Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepadamu hai Mu‘az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali pada akhir solat hendaknya kamu berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim)

Kedua, menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Sememangnya sepanjang berpuasa kita dituntut menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan berkurangnya pahala.

Namun tanpa disedari, pandangan, pendengaran pertuturan dan semua anggota umumnya akan mempengaruhi kekuatan seseorang untuk melakukan ibadah dengan istiqamah. Jika tersilap memakan makan yang syubhah atau tidak suci ia boleh menyebabkan berat untuk melakukan solat Tarawih atau bangun sahur.

Apatah lagi amalan sunat lain. Oleh itu, seseorang mestilah berhati-hati terhadap apa yang dilihat, didengar serta diucapkan. Bukan setakat itu saja, tangan, kaki dan hati juga perlu dijaga untuk memastikan tubuh sentiasa ringan melakukan ibadat serta merasa kemanisan beribadat.

Sepenuh hati lakukan ibadah

Kaedah ketiga ialah berusaha sepenuh hati untuk menghadirkan Allah SWT dalam setiap amal ibadah. Memang setiap amalan seseorang itu mestilah ada niat dan kerana Allah SWT, tetapi adakah kita menghadirkan Allah SWT dalam setiap amalan dan ibadat kita.

Apakah yang datang ketika bertakbir untuk solat Tarawih? Adakah kita bayangkan yang solat ini ingin dipersembahkan sebaik-baiknya kepada Allah SWT atau sekadar membilang rakaat, dua, empat, enam dan habis lapan?

Itu masih belum ingatan terhadap juadah enak yang masih belum sempat dimakan ketika berbuka, jualan murah dan perkara lain melalaikan. Begitu juga ketika membaca al-Quran, adakah kita membaca al-Quran dengan sepenuh hati.

Berbeza dengan sahabat dan tabiin, apabila mereka ingin membaca al-Quran, hati mereka berasa kebesaran, keagungan dan rasa takut timbul sejak mula memegang al-Quran lagi. Sebelum membaca al-Quran mereka mengatakan kepada diri, “ini kalam Allah”, “aku ingin bercakap dengan Allah”.

Ikrimah contohnya, apabila beliau ingin membaca al-Quran, bermula sejak beliau melihat huruf dalam al-Quran, dari situ telah timbul rasa kebesaran Allah SWT dalam hatinya. Maka sebelum sempat membaca ayat al-Quran, air mata sudah menitis merasakan kehadiran, keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Sesiapa yang melakukan ketiga-tiga perkara ini, insya-Allah akan dapat merasakan kemanisan dalam beribadat dan melakukan ketaatan, seterusnya meningkatkan tahap amalan serta istiqamah melakukan ketaatan sepanjang Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »