Norkumala Awang
Ibarat bonus yang datang bersama pakej keistimewaan Ramadan, puasa juga memberi impak kepada kesihatan tubuh badan. Bukan sekadar berlapar dahaga, tetapi tarbiah bulan puasa mampu menyediakan individu Muslim yang peka dan berdisiplin terhadap budaya makan seharian.
Ramadan menjadi madrasah terbaik untuk memulakan langkah menyeimbangkan tubuh badan mencapai kesihatan optimum. Pakar perubatan Arab, Al Harith Ibnu Kaladah pernah mengungkapkan, ‘perut adalah sarang kepada penyakit, menahan diri itu ubat kepada segala penyakit.’
Justeru, puasa mendidik kita mengawal diri daripada mengambil makanan secara berlebihan kerana sikap itu akan mengundang masalah kepada kesihatan. Berpuasa mampu memberi manfaat kesihatan jika kita menjaga dan mengawal apa yang ingin dimasukkan ke dalam mulut.
Selama 11 bulan sebelum ini, perut kita sentiasa penuh terisi dan menjalankan fungsinya tanpa henti, tiba di bulan Ramadan, perut direhatkan supaya dapat membetulkan ketidakseimbangan serta membaik pulih sistem badan.
Penyelenggaraan ini diperlukan seperti sebuah enjin atau mesin yang perlu diservis selepas digunakan berulang kali. Ini akan meningkatkan tahap kecekapannya. Begitu juga dengan perut, mekanisme penyelenggaraan untuk proses penyingkiran dan pembersihan bahan bertoksik hasil amalan pemakanan serta gaya hidup seseorang saban hari.
Oleh itu, berpuasa mampu meningkatkan kecergasan dan keupayaan badan seseorang untuk mencapai mutu kesihatan terbaik. Ketika berpuasa, badan tidak perlu mengeluarkan asid dan enzim untuk memproses makanan.
Proses pembuangan toksin
Kesannya, fungsi perkumuhan menjadi lebih berkesan dan ini membolehkan sel badan memberikan tumpuan terhadap proses pembuangan toksin melalui pembakaran lemak. Tidak hairanlah jika puasa juga mampu memberi manfaat kepada mereka yang menghadapi masalah obesiti.
Ini peluang yang perlu direbut selain keistimewaan puasa yang lain. Bukan itu saja, bulan puasa mampu menjadi titik permulaan membentuk dan mengembalikan corak pemakanan sihat dan seimbang melalui disiplin yang kental.
Paling penting ialah cara bagaimana kita melihat puasa itu daripada pelbagai dimensi dan bagaimana kita mengambil pengajaran daripada roh Ramadan khususnya dalam konteks kesihatan. Puasa akan meningkatkan kualiti kehidupan dan matlamat utama mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Makanan yang baik dan seimbang diperlukan untuk kelangsungan hidup serta kesihatan tubuh badan. Makanan yang seimbang saja tidak mencukupi untuk tujuan itu malah kita juga perlu menjaga kuantiti makanan diambil.
Berpuasa ketika Ramadan, prinsip ini tidak harus diketepikan malah perlu menjadi panduan supaya kita tidak tercicir daripada mendapat manfaat sebenar berpuasa dari sudut kesihatan.
Ketika berpuasa, kita perlu memastikan tubuh mendapat semua keperluan nutrien berpandukan piramid makanan di samping mengawal pengambilan kalori atau tenaga mengikut kesesuaian badan. Meskipun berpuasa, keperluan nutrisi bagi tubuh tetap sama dan perlu dipenuhi.
Cuma yang membezakannya adalah jadual dan waktu makan. Namun, berpuasa mengajar kita berdisiplin untuk mematuhi waktu makan yang ditetapkan seperti berbuka pada waktu Maghrib dan berakhir apabila menjelang Subuh.
Berbeza semasa tidak berpuasa, waktu makan seseorang hanyalah mengikut kehendak dan selera, tidak mengikuti waktunya. Di samping membiasakan diri dengan waktu makan tertentu, puasa membentuk disiplin seseorang supaya mengambil makanan pada kadar tertentu.
Disarankan supaya orang yang berpuasa mengambil makanan lengkap dan seimbang semasa berbuka serta bersahur untuk kecergasan berpanjangan. Di samping itu, pengambilan air kosong adalah salah satu cara efektif memberi kesegaran dan menyingkirkan sisa toksik daripada tubuh.
Makan secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan akan memudahkan seseorang membuat ibadah pada malam hari. Bagi yang menghidapi penyakit moden seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi, berpuasa mampu mengurangkan risiko peningkatan masalah itu.
Walaupun puasa salah satu cara pencegahan dan perubatan terbaik untuk mengelak penyakit terutama berkaitan perut namun, jika tidak menjaga pengambilan makanan ketika berbuka dan bersahur, akan mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan.
Justeru, setiap individu Muslim juga diajar mengamalkan kesederhanaan sama ada dalam pengambilan makanan mahupun ketika memilih juadah. Sudah pasti ketika membeli makanan, kita akan cenderung memilih makanan banyak kerana perut berada dalam keadaan lapar.
Pada saat itu, kita bukan saja lapar perut tetapi juga lapar mata. Semua makanan nampak enak dan nikmat sekali. Pada ketika inilah, kesabaran orang berpuasa turut teruji. Ramadan sebenarnya mendidik dan mencorak keupayaan kita menahan ujian dengan kenikmatan di depan mata. Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu, nescaya akan jadi sihat.”