Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Julai 2013

Rugi ponteng puasa tanpa izin syarie

Posted by epondok di Julai 19, 2013

Nik Salida Suhaila
Setiap hari yang diganti tidak sama dengan bulan Ramadan

Sebelum tibanya Ramadan, ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu diisi semaksimum mungkin dan diselang dengan tadarus.

Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah kerana semua ingin menghambakan diri seterusnya menjadi hamba-Nya yang tulus.
Kemeriahan Ramadan bukan diukur dengan besarnya atau gamatnya suasana berbuka puasa, tetapi sejauh mana umat Islam mampu merubah diri ke arah yang lebih baik khususnya dengan amalan puasa.

Amalan berpuasa yang sebenar-benarnya hanya dapat dilakukan oleh mereka yang beriman. Perkara menghalang seseorang daripada makan dan minum pada saat dahaga atau lapar meskipun ada hidangan lazat terhidang depan mata ialah keimanannya kepada Allah.

Perkara menghalang seseorang daripada melakukan maksiat dan berbicara perkara sia-sia juga adalah imannya kepada Allah. Semuanya kerana mereka menahan diri daripada perbuatan yang membatalkan puasa.

Sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum saja, akan tetapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan kotor dan kata-kata kesat.”

Orang puasa luar biasa
Justeru, tiada siapa yang mampu menolak hakikat bahawa orang yang berpuasa ialah orang yang benar-benar luar biasa. Mereka mengejar rahmat pada permulaannya, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari neraka jahanam.

Mereka yang bersalah memohon maaf, sombong menghulur senyum, jahat mula bertaubat, malas menyinsing lengan, takbur tidak jemu bersujud memohon keampunan, pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk menginsafi siri, siang bersabar dan malam yang singkat untuk bertaubat. Selain menahan lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri daripada melakukan perbuatan maksiat yang lain.

Halal dilakukan pada bulan lain menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan di siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Sebab itu orang yang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Orang yang berpuasa ialah orang yang bertakwa dan itulah hakikat tujuan puasa. Mereka menjaga hati daripada berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata daripada memandang sesuatu yang tidak selayaknya.

Menjaga hidung menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga daripada halwa membuai rasa dan suara membawa berita bohong, menjaga lidah membicarakan hal tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya.

Rugi tinggal puasa tanpa izin syarie

Orang yang meninggalkan ibadah puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari pun di dunia, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.

Daripada Abi Hurairah, katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Waktu ini juga ibu wajar mengambil peluang keberkatan Ramadan untuk meluangkan masa berganda bersama anak serta mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lain wajar ditazkirahkan dan diamalkan bersama supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, tetapi juga amalan ditunjukkan oleh ibu bapa, pendakwah yang paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul di peringkat awal usia anak-anak untuk menghadapi Ramadan menjadi batu asas untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamulail.

Khususnya apabila tiba lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini supaya lebih baik daripada sebelumnya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa menjana peribadi Muslim

Posted by epondok di Julai 19, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenai ibadah puasa agar mereka mengetahui ganjaran yang Allah berikan natijah daripada keikhlasan melaksanakannya. – Gambar hiasan

SEBAGAI ibu bapa Muslim, mereka wajib memberikan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan kepada anak-anak yang baharu hendak memulakan ibadah puasa.

Penerangan dan penjelasan ini penting kepada anak-anak sebagai asas ilmu pengetahuan mereka tentang ibadah puasa di bulan Ramadan.

Disebabkan ibu bapa mengambil mudah dan merasakan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan dan puasa-puasa yang lain tidak penting, banyak kalangan anak-anak tidak mengetahui tentang definisi dan hikmah yang tersirat dalam amalan berpuasa.

Jelaskan kepada mereka tentang definisi puasa iaitu puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu.

Daripada istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

Puasa merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadan.

Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada Thalhah bin ‘Ubaidillah, sesungguhnya apabila Nabi Muhammad SAW melihat anak bulan. baginda berdoa: “Wahai tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam. tuhanku dan tuhanmu ialah Allah, bulan yang benar dan baik.” (Riwayat Tirmizi).

Setiap kali Rasulullah SAW menyaksikan terbitnya anak bulan Ramadan yang disebut hilal, baginda mengucapkan doa seperti yang disebutkan di atas.

Doa ini tidak hanya diucapkan baginda ketika hilal bulan Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan lain.

Disebutkan doa ini dalam amaliah Ramadan adalah untuk menyempurnakan sambutan Ramadan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutup anak bulan, maka sempurnakan hitungan bulan Syaaban 30 hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaskan kepada anak-anak tentang rukun puasa. Puasa mempunyai dua rukun sahaja, iaitu niat, menahan diri.

Iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum bermula dari terbit fajar (Subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Puasa terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu sama ada wajib sunat makruh atau haram. Puasa wajib adalah seperti puasa Ramadan, puasa qada, puasa nazar dan puasa kafarah.

Puasa sunat pula ialah puasa Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Puasa pada 9 dan 10 Muharam. Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Puasa enam hari dalam bulan Syawal. Puasa pada tiga hari pertengahan bulan, iaitu 13,14 dan 15 hari bulan pada setiap bulan Hijrah.

Puasa makruh ialah puasa sunat pada hari Jumaat atau Sabtu dan puasa sepanjang tahun. Yang haram pula ialah puasa pada hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. Puasa pada hari-hari tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Puasa pada hari syak, iaitu pada 30 Syaaban.

Perlu dijelaskan akibat buruk tidak berpuasa. Antaranya, mendapat kemurkaan daripada Allah SWT, kehidupan menjadi tidak tenteram, mudah berputus asa, dibenci dan dipinggirkan oleh masyarakat seterusnya tidak menyumbang kepada kemakmuran negara.

Golongan orang yang harus berbuka puasa juga patut dijelaskan. Islam agama yang sesuai dengan fitrah dan tidak membebankan.

Antara golongan yang harus berbuka puasa ialah orang yang menghidap penyakit yang memudaratkan.

Orang yang sakit tenat. Orang yang bermusafir melebihi dua marhalah. Orang yang terlalu lapar. Orang tua yang tidak mampu berpuasa. Perempuan mengandung atau menyusukan anak.

Puasa menjana keperibadian Muslim. Bulan puasa iaitu bulan Ramadan akan dapat mendidik amal, iman dan ketakwaan kepada setiap Muslim. Selain berpuasa menahan lapar dan dahaga umat Islam juga diminta menjauhi dusta, fitnah, mengumpat dan melihat perkara yang haram.

Tidaklah sempurna puasa dengan semata-mata meninggalkan makan dan minum, bahkan sesungguhnya puasa adalah disertai dengan meninggalkan atau mendengar perkataan yang sia-sia pada siang hari.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka. Pada bulan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.

Ada lima keistimewaan bagi umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Pertama, Allah SWT datang melihat mereka, jika ini yang terjadi maka untuk selamanya dia tidak disentuh azab. Kedua, bau mulut mereka yang berpuasa bagaikan minyak kesturi. Ketiga, para malaikat memohon keampunan siang dan malam untuknya.

Keempat, Allah SWT menyuruh syurga menghiasi keadaannya sebagai balasan orang yang berpuasa. Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah SWT mengampunkan dosa mereka semua.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »