Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Julai 2013

Kelebihan membaca, hafal al-Quran

Posted by epondok di Julai 18, 2013

Kita diperintahkan sentiasa membaca al-Quran supaya boleh menghafalnya. Jika meninggalkan bacaan al-Quran nanti terlupa hafalan itu.

Abu Musa berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hendaklah saudara semua sentiasa membaca al-Quran. Demi Allah, sebenarnya al-Quran lebih mudah terlepas daripada ingatan saudara berbanding seekor unta yang sedang ditambat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin Umar berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang menghafal al-Quran umpama seekor unta yang ditambat. Jika terus ditambat, ia tidak lari. Jika talinya penambat dilepaskan, unta itu pun lari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mahir membaca al-Quran bersama dengan malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran dengan tergagap-gagap dan bersusah payah mempelajarinya mendapat dua pahala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Musa al-Asy’ari berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang suka membaca al-Quran ibarat seperti buah utrujah. Ia berbau wangi dan sedap rasanya. Orang beriman yang tidak suka membaca al-Quran pula umpama buah kurma. Ia tidak berbau, tetapi manis rasanya. Orang munafik yang suka membaca al-Quran tidak ubah seperti minyak wangi. Ia berbau wangi tetapi rasanya pahit, manakala orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran pula sama seperti rumput hanzhalah. Ia tidak berbau dan pahit rasanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Barra’ bin ‘Azib berkata: “Ada seorang lelaki sedang membaca surah al-Kahfi. Di sisinya ada seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali. Kelihatan awan melindunginya. Tiba-tiba bayangan awan menghampiri kuda itu. Kuda itu cuba melarikan diri daripada bayangan awan. Pagi esoknya lelaki berkenaan menceritakan peristiwa itu kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas mendengar cerita lelaki itu, Nabi Muhammad SAW berkata: Awan itu menggambarkan ketenangan yang diturunkan oleh Allah kepada saudara kerana saudara membaca al-Quran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mahir membaca al-Quran bersama dengan malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran dengan tergagap-gagap dan bersusah payah mempelajarinya mendapat dua pahala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Keistimewaan Ramadhan yang dikejar

Posted by epondok di Julai 18, 2013

DARIPADA Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadan, iaitu:

1. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah.

2. Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Allah SWT memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: Hampir-hampir hamba-Ku yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan, lalu kembali kepadamu. (Mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat).

4.Syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti bulan lain selain Ramadan.

5. Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya).

Mengenai anugerah kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar? Baginda menjawab: “Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalnya.” (riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita betapa istimewanya bulan Ramadan.

Tetapi sayang seribu kali sayang, apabila berlaku pengabaian dan kecuaian daripada pihak kita sendiri sehingga tidak mampu melaksanakan ibadat puasa dengan sebaik mungkin. Tambahan pula, ada dalam kalangan kita yang mensia-siakan kelebihan Ramadan.

Antara gejala yang kurang sihat dan tidak baik adalah seperti;

1. Melepak dan membuang masa dengan perbuatan sia-sia tanpa diisi dengan perkara yang boleh mendatangkan pahala.

2. Melaksanakan kerja yang sia-sia tanpa faedah seperti bermain dam atau seumpamanya semata-mata kerana menunggu masa berbuka puasa.

3. Begitu juga menggunakan masa untuk mengumpat dan mencela. Ini adalah perkara yang amat di larang yang boleh mengurangkan nilai dan pahala ibadat puasa. Apa yang lebih dibimbangkan tidak mendapat sebarang pahala tetapi mengundang dosa. Maka sia-sialah ibadat puasa mereka dan hanya memperoleh lapar dan dahaga sahaja.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita semangat untuk mengisi Ramadan dengan ibadat yang layak mendapat takwa dan penerimaan daripada Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »