Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Julai 2013

Ramadan sarat ganjaran

Posted by epondok di Julai 17, 2013

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang gembira dengan datangnya bulan Ramadan, Allah haramkan jasadnya daripada sentuhan api neraka.”

Safwak Sa’adallah al-Mukhtar menceritakan, pada suatu hari ada sepasang suami isteri yang kaya raya sedang makan bersama-sama di rumah mereka.

Tiba-tiba pintu rumah diketuk seseorang. Setelah dibuka ternyata seorang pengemis meminta-minta.

Melihat pengemis itu, isterinya sangat kasihan dan hiba dan ingin memberikan sesuatu.

Dia meminta izin daripada suaminya bolehkan dia memberikan sesuatu kepada pengemis itu.

Suaminya dengan suara kasar berkata: “Usir sahajalah, tutup pintu itu dan mari makan.”

Setelah masa berlalu, kehidupan keluarga itu mengalami masa suram. Perusahaan makin merosot dan menanggung banyak hutang. Keluarga itu jatuh miskin, rumah tangga mereka kelam kabut sehingga berlaku perceraian.

Kata Safwak, suaminya sangat menderita dan bekas isterinya itu berkahwin pula dengan seorang pengusaha kaya dari daerah lain.

Pada suatu hari, ketika pasangan suami isteri yang baharu itu sedang makan bersama-sama, tiba-tiba pintu rumah diketuk.

Setelah dibuka, ternyata yang datang itu seorang pengemis yang meminta belas kasihan.

Wanita (isterinya) masuk dan meminta izin pada suaminya: “Bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis itu?”

Lalu dijawab suaminya: “Boleh, boleh… berilah dia makan. Mana tahu dia sangat lapar dan berjalan dari daerah yang jauh.”

Setelah pengemis itu diberi makan, alangkah terkejutnya si isteri, kerana ternyata yang dia beri makan itu adalah bekas suaminya.

Dia menangis kerana merasa prihatin dan hiba. Melihat keadaan itu, si suami dengan hairan lalu bertanya: “Mengapa engkau menangis isteriku, adakah saya salah kalau menyuruhmu memberi makan kepada pengemis itu?”

Isterinya menggeleng kepala dengan nada sedih teresak-esak lantas berkata: “Saya sangat beruntung mendapatkan suami yang baik sepertimu. Namun saya sedih melihat perjalanan takdir hidup bagi seseorang yang sungguh menakjubkan hati, maafkan saya.”

Akhirnya si isteri berkata: “Tahukah engkau suamiku, siapa pengemis yang kita beri makan di luar itu? Dia adalah bekas suamiku yang pertama dahulu.”

Mendenar kata-kata itu, suaminya terkejut namun tetap memperlihatkan sikap arif.

Beberapa saat kemudian, suaminya bertanya: “Tahukah engkau, siapa saya yang saat ini menjadi suamimu ini?” Isterinya menjawab, “Tidak tahu.”

Kemudian suaminya berkata: “Suamimu ini adalah pengemis yang pernah diusir dahulu oleh bekas suamimu dan Allah berikan kepadaku rezeki hingga aku punya harta dan memberi pula rezeki-Nya hingga kita pun dipertemukan Allah dalam satu ikatan akad sebagai suami isteri yang insya-Allah mawaddah wa rahmah.”

Kisah di atas mengajar kita bahawa hidup dan kehidupan ini sesungguhnya seperti roda.

Kerap kali kita menyangka bahawa apa yang kita peroleh hari ini tidak akan berubah esok atau lusa tetapi tidak mustahil juga hilang dalam sekelip mata.

Hanya kerana kecuaian dan keangkuhan kita terhadap sesama insan, kita menutup pintu pada orang yang miskin dan kelaparan. Natijahnya, tertutup pintu rezeki rezeki kita.

Dalam al-Quran dinyatakan: “Dalam harta kamu ada hak peminta-minta (sedekah).”

Ibadat puasa mendidik kita bahawa sesuatu yang diberikan, waima seteguk air, sesuap nasi atau seulas kurma akan menjadikan kita tetap kaya dalam erti nilaian pahala berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.

Ibadat puasa dapat menambah apa yang ada, menutupi kekurangan serta membuka pintu rahmat, rezeki, berkat dan hikmah Allah SWT.

Untuk mendapatkan apa yang kita perlukan, maka berpuasalah untuk mendapat kemaafan Allah. Berpuasalah untuk memperoleh syurga. Bahkan untuk memohon segala hajat kepada Allah maka berpuasalah.

Ibnu Abbas RA berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud ‘andai umatku tahu tentang rahsia yang terkandung dalam Ramadan, pasti mereka mengharap seluruh bulan dalam setahun menjadi bulan Ramadan, sebab Ramadan menghimpun segala kebaikan, doa-doa yang mustajab (dipenuhi), dosa mereka diampunkan dan syurga merindukan mereka.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah bukan hanya di tikar sembahyang

Posted by epondok di Julai 17, 2013

Oleh Lokman Ismail

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya merebut peluang terbentang hanya setahun sekali pada Ramadan. Sesiapa tidak mempedulikan kedatangan Ramadan, sebenarnya menolak kelebihan yang hanya disediakan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari)
Orang beriman gembira sambut Ramadan

Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Orang yang bakal memperoleh kejayaan sepanjang Ramadan adalah mereka yang menghargai kedatangan Ramadan. Orang beriman menyambutnya dengan perasaan gembira dan jiwanya berkobar-kobar menghidupkan seluruh waktu bulan Ramadan dengan ibadat.

Sabda Rasulullah SAW: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” (Riwayat Thabrani)

Layanan terhadap Ramadan bermakna tidak mempersia-siakan masa dan peluang melakukan ibadat. Inilah peluang untuk menambah pahala dan menampung kekurangan atau kecacatan ibadat yang dilakukan sepanjang 11 bulan lalu.

Sesungguhnya konsep ibadat yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim untuk menambah pahala pada bulan Ramadan sungguh luas. Ia bukan sekadar menunaikan puasa pada sebelah siangnya dan bertarawih pada malamnya.
Sesiapa melakukan perkara menepati konsep apa yang disuruh dan menjauhkan yang dilarang, sebenarnya dia telah melakukan satu kebaikan atau ibadat. Melakukan kerja dan urusan kehidupan seharian juga dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat.

Lakukan perkara berfaedah

Oleh itu, tindakan sesetengah individu menghentikan atau mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada Ramadan bukan satu langkah bijak. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah memenuhi setiap waktu dengan perkara berfaedah.

Peluang menghampirkan diri kepada Allah SWT bukan hanya ketika di tikar sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang kebaikan, di mana-mana saja kita berada boleh mendampingi Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya, berzikir, beristighfar dan doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa menghampiri Allah SWT dengan apa sekalipun, maka pasti Allah SWT menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah SWT, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada melakukan apa yang bertentangan syariat.

Kelebihan ibadat puasa menjadikan orang berpuasa mendapat rahmat sehingga dibuka seluas-luasnya pintu langit untuk menerima segala kelebihan daripada Allah SWT. Ramadan bulan rahmat bagi sesiapa memahami peluang tersedia. Sebaliknya, bagi orang lemah imannya, tidak ada peluang untuk mereka rebut.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »